Thursday, November 18, 2010

Masanya Untuk Kurban

Sebagai umat Islam, pernahkah kalian disoal tentang signifikasi Hari Raya Kurban? Ya. Nama lain bagi perayaan Hari Raya Aidil Adha. Pernah tidak kalian dihadapkan dengan salah faham yang membenak dalam fikiran kawan-kawan bukan Islam. Atau sedarkah kalian tentang betapa terpesongnya pemahaman mereka tentang hari memperingati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ini?

Perkara ini seringkali menjadi perdebatan. Masih ingat lagi ketika aku di bangku sekolah. Seorang rakanku (beragama Buddha) yang kebetulan sama-sama bertugas sebagai Pustakawan, bertanyakan apa itu Hari Raya Kurban. Aku menceritakan tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim yang diuji kesetiaannya terhadap Allah. Dimana Nabi Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s yang kemudiannya digantikan dengan seekor sembelihan yang besar.

Aku akui, penerangan itu terlalu dangkal hingga mewujudkan persoalan yang lain pula dari rakanku.

"Apa bezanya Islam dengan agama yang lain? Masih minta korban juga, bukan?"

Sebagaimana yang aku katakan, penjelasan aku dangkal. Waktu itu aku masih mentah. Aku gagal mempertahankan kemurniaan di sebalik peristiwa itu. Sepertimana yang pernah seorang mualaf berkata padaku,

"Salah faham yang ada pada orang bukan Islam datangnya dari kelemahan orang Islam sendiri kerana tidak mampu menjelaskan sesuatu tentang Islam itu dengan tepat dan benar."

Ya. Semenjak hari itu, satu sahaja aku tanamkan pada diri. Tidak akan perlu ada lagi soalan sebegini yang akan aku biarkan berlalu tanpa aku terangkan dengan sebenar-benarnya. Aku masih terus belajar dan cuba bersedia dengan setiap jawapan. Setiap kali juga aku perlu ingatkan diri sendiri, adalah lebih baik kita sebagai umat Islam bertindak menjauhkan salah faham itu dengan sebaik-baiknya.

Malam semalam, soalan yang hampir serupa hinggap ke ruang telingaku.

"Apa pengorbanan Nabi Ibrahim untuk Hari Raya Kurban ini? I tak faham," soal suara di hujung talian.

Kali ini, aku tidak mahu rasa bersalah dengan penjelasan yang dangkal. Penjelasan yang mampu menerbitkan persoalan demi persoalan. Aku mahu si penyoal itu faham. Faham tentang kemurniaan di sebalik peristiwa kurban itu sendiri.

Aku menjawab dengan bahasa yang mudah difahami. Terserah kepada tuan punya diri sama ada untuk memahami atau tidak kerana aku telah menjawab dan menjalankan tanggungjawabku sebaik-baiknya, insya-allah.

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini, aku abadikan entri kali ini dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai renungan bersama. Maklumlah, kita manusia yang lahir dengan kealpaan, ada masanya kita terlupa. Jadi secara tidak langsung, dengan kehadiran entri ini di blog sendiri, turut membantu aku untuk sentiasa ingat tentang peristiwa ini. Insya-allah.

Nabi Ibrahim tidak punya zuriat dan kemudiannya berdoa kepada Allah supaya dikurniakan seorang anak. Doanya dimakbulkan dan lahirlah Nabi Ismail a.s hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Satu hari, Nabi Ibrahim menerima perintah dari Allah (menerusi mimpi) supaya menyembelih anak kesayangannya itu. Kemudian, Nabi Ibrahim menceritakan mimpi itu kepada Nabi Ismail a.s dan dijawab oleh anaknya, "hai bapaku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insyaallah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Sebelum itu, para syaitan (yang sentiasa hidup berlandaskan janjinya memesongkan anak-anak Adam) telah menghasut Siti Hajar dengan mengatakan bahawa suaminya akan menyembelih Nabi Ismail. Siti Hajar lantas berteriak bertanyakan Nabi Ibrahim ke mana hendak dibawa anaknya Nabi Ismail. Namun begitu, tidak sedikitpun menggoyahkan iman Nabi Ibrahim dan teguh menurut perintah Allah s.w.t. Di tempat ini pula, pada tanggal 10 Zulhijjah para jemaah haji dituntut melemparkan batu sambil membacakan "Bismillahi Allahu Akbar" bagi merejam syaitan dan sifat-sifat syaitan yang ada pada diri masing-masing.

Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail a.s tiba di Jabal Qurban, dan kedua-duanya berserah diri kepada Allah s.w.t. Maka, sebelum sempat Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s, telah digantikan seekor sembelihan yang besar (seekor kibas). Sesungguhnya ujian ini membuktikan kesetiaan dan kepercayaan kedua-dua Nabi kepada Allah s.w.t.

Sepertimana yang telah diriwayatkan di dalam Al-Quran (Surah As-Saffat, Ayat 100-111)

Rabbi (wahai Tuhanku)! Kurniakanlah kepadaku daripada (keturunan) orang yang salih. Maka Kami (Allah) berikannya khabar gembira dengan seorang anak yang penyantun. Maka tatkala anak itu sampai (umur) berusaha bersama-samanya (Ibrahim), dia berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku (mimpi) bahawa aku menyembelih engkau. Maka fikirkanlah, apa pendapatmu!" Dia (anaknya) menjawab: "Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada engkau, Insya’llah engkau akan mendapati aku termasuk orang yang sabar." Tatkala kedua-duanya telah aslim (berserah diri), dan dia (Ibrahim) membaringkan (anak)nya atas kening(nya). Dan Kami (Allah) panggillah dia: "Wahai Ibrahim!” Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami (Allah) memberi balasan kepada orang muhsinin (yang berbuat baik). Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami (Allah) tebus (ganti) dia (anak itu) dengan (seekor) sembelihan yang besar. Kami (Allah) tinggalkan atasnya (Ibrahim) pada orang yang datang kemudian. Salam atas Ibrahim. Demikianlah Kami (Allah) memberi balasan kepada orang muhsinin (yang berbuat baik). Sesungguhnya dia (Ibrahim) termasuk hamba-hamba Kami (Allah) yang beriman.

Walaupun begitu, ibadah Kurban wajib bagi orang yang berkemampuan tetapi apabila tidak melaksanakannya, Nabi Muhammad saw mengingatkan :

“Barang siapa yang sudah mampu dan mempunyai kesanggupan tapi tidak berqurban, maka dia jangan dekat-dekat ke mushala-ku.” Hadis tersebut merupakan sindiran bagi orang-orang yang mampu dan banyak harta tetapi enggan melakukan kurban.

Selain dari pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, hari raya Aidil Adha juga tentang pengorbanan Siti Hajar. Di mana Siti Hajar mengikut Nabi Ibrahim keluar berjalan dengan melalui pelbagai laluan sukar termasuklah mendaki gunung, menuruni lembah dan mengharungi padang pasir yang luas serta kering kontang. Di situlah Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya dan Nabi Ismail yang masih menyusu dengan berbekalkan bungkusan kurma dan pundi air lalu berpesan agar membuat tempat berteduh. Di awalnya, Siti Hajar merayu kepada Nabi Ibrahim supaya jangan ditinggalkan tetapi, apabila Nabi Ibrahim mengatakan dia menerima perintah Allah, Siti Hajar redha dan pasrah. Siti Hajar berdoa dan yakin, jika itu kehendak Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan mereka (Siti Hajar dan Nabi Ismail).

Siti Hajar yang tinggal bersama-sama Ismail, menyerahkan diri dan kehidupan kepada Allah. Lama-kelamaan, bekalan yang ditinggalkan Nabi Ibrahim kehabisan, begitu juga dengan air susunya yang sudah pun tidak mampu mengeluarkan walau setitis susu. Ismail kelaparan dan mula menangis. Siti Hajar yang tidak tertahan mendengar tangisan anaknya cuba usahakan sesuatu. Siti Hajar mula mencari sekeliling, berharap terserempak dengan golongan musafir, pedagang yang lalu lalang. Dia berlari menuju ke bukit yang paling hampir, dan berdiri di kemuncak Bukit Sofa. Siti Hajar turun dari Bukit Sofa dan berlari-lari pula ke lembah sehingga sampai ke Bukit Marwah. Masih tiada lagi bayang-bayang manusia. Siti Hajar mengulangi perbuatan ini, berulang-alik antara Bukit Sofa dan Marwah sebanyak 7 kali. Siti Hajar yang kepenatan terjatuh tidak bermaya (kemudiannya perbuatan ini menjadi salah satu rukun haji, sa'ie). Tangisan Ismail semakin kuat, Siti Hajar melawan keletihannya dan merangkak mendapatkan Ismail. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa, di atas tanah yang tandus bekas hentakan kaki Ismail, terpancutlah air yang mana sekarang dikenali sebagai air zam-zam. (Ada versi yang meriwayatkan malaikat Jibrail diutuskan untuk menggali air di bekas hentakan kaki Nabi Ismail. Wallahualam) Air yang keluar itu pula terus mengalir dan tidak pernah berhenti sehinggalah ke hari ini.

Islam itu Indah, dan ini antara peristiwa yang memperlihatkan keindahan Islam. Pengorbanan. Jadi, sama-samalah kita hayati hari raya Aidil Adha kali ini. Bak kata abah, bila kita sudah mengetahui perkara disebalik sesuatu ibadah, ianya lebih mudah dilakukan dengan hati yang lebih tenang. Wallahualam.