Memori Bukit Tinggi...


Lambaian Bukit Tinggi...

Bila Ayuz cakap nak pergi bercuti ke Bukit Tinggi, aku terus melonjak gembira. Semuanya seakan berada jelas dalam pandangan mata. Hampir enam tahun tempat itu tidak kami jejaki. Kali terakhir pergi pun semasa aku masih lagi belajar. Masih muda remaja... dan terlalu 'keras', ikut kepala sendiri.


Aku dulu dan sekarang... terkejut?

Kalau sebut Bukit Tinggi, pasti ada yang terfikir tentang satu tempat di Johor. Bukan situ persinggahan destinasi percutian keluarga Zahar kali ini ya. Bukit Tinggi yang dimaksudkan ialah Colmar Tropicale, satu destinasi replika Perancis yang terletak di Pahang. Jadi, tidak hairanlah seni bina bangunan di sini mirip bangunan-bangunan Perancis. Lebih menarik lagi suasana ala-ala Perancis cukup terasa. Baik dari segi makanan yang terhidang juga isi dalam hotel yang membuat seseorang dekat dan jatuh cinta. Maklumlah, Perancis memang terkenal dengan aura romantika! Kalau ada warga Perancis yang bertugas, mungkin tak terasa pun yang kami sebenarnya berada di bumi Malaysia.



Dulu...



Sekarang... dah ada Miqhail

Pada mulanya, Along dan Miqhail mengikut kami dengan menaiki Perdana yang aku pandu kerana abang Zamri terpaksa pergi kerja. Tentu berat hati Along meninggalkan suami yang sedang bekerja. Maklumlah, hati seorang isteri tentu tak pernah lepas mengenangkan suami. Si suami? Entahlah. Hanya mereka yang tahu. Kalau aku ada suami nanti, aku akan tanya pada dia.... hish, dah mula merepek aku ni.


Dulu dan sekarang...

Gambar kenangan di meja makan...

Terimbas lagi kali pertama datang ke sini. Semasa itu, tempat ini masih tidak menerima kunjungan sepertimana yang dapat dilihat hari ini. Sekarang nak tempah bilik hotel pun, tak tentu dapat. Mujur nasib menyebelahi kami sekeluarga. Dua bilik ditempah. Dan yang paling gembira semestinya Miqhail. Tak cukup tanah dia berlari dan terpaksalah makcik-makciknya menjaga supaya dia tidak tersesat. Pantang nampak budak-budak, pasti ditegurnya. Yang peliknya, budak-budak perempuan saja yang mahu ditegurnya. Budak-budak lelaki pandang sebelah mata pun tak nak. Aduhai... kecil-kecil lagi dah tunjuk potensinya jadi buaya darat... amit-amit, mintak dijauhkan!


Dulu...

Sekarang...

Saat kaki menjejaki setiap jalan, aku terus teringat kisah Isabell dan Taufik dalam Rindu Pada Matahari. Ya! Memang di sinilah tempat yang aku maksudkan dalam novel sulungku itu. Tak tercela dek perjalanan masa. Masih sama seperti dulu. Suasana Rindu Pada Matahari seakan hidup di sini. Aku nampak restoran di mana Isabell dan Taufik duduk sambil menikmati sarapan pagi. Aku juga dapat lihat bagaimana Annie merenung Isabell dari jendela. Malah, menara di hujung kota pun masih tersergam indah. Ya Allah, tidak tergambar keseronokannya. Seakan aku mahu terus lama di sini. Menikmati saat Rindu Pada Matahari diterjemah ke alam nyata.


Ingat tak menara dalam Rindu Pada Matahari?
Inilah menara yang aku maksudkan


Amboi, tengoklah model-model ni...
mengalahkan model profesional pulak!



Bayangkan, Isabell dan Taufik bersarapan di sini....


Ayuz berdiri di depan restoran yang aku sebut dalam RPM...

Baiklah, kita tinggalkan kisah Isabell. Dua hari di Bukit Tinggi, nyata membuang segala resah dan gelisah. Malah, medulla oblongata yang menderita tempoh hari seakan menerima rawatan dan terapi. Kesakitan yang kualami segere menghilang. Alhamdulillah. Sepanjang berada di sini, aku meninggalkan segala-galanya di belakang. Tambahan pula, nyawaku sentiasa berada di sisi. Apalagi yang lebih indah melainkan menghabiskan masa bersama keluarga tercinta?


Hotel Colmar Tropicale Fuschia siang....


Hotel Colmar Tropicale Fuschia waktu malam....


Umi dan abah... main cak cak pulak!

Tak sangka pula bila dah berada di sini, jiwa keanak-anakan dalam diri menjelma. Sebelum ini tak teringin pula aku bermain permainan untuk mendapatkan 'teddy bear'. Lain ceritanya di sini. Sebaik saja aku nampak gerai mainan, aku merengek pada Along untuk mencuba nasib. Mana tahu, mungkin aku akan bawa balik 'teddy bear' besar. Tiga kali percubaan berani mati, aku lakukan, satu pun tak dapat. Kesian. Putih mata sajalah tengok patung-patung besar yang bergantungan. Tak dapat juga teman untuk berpeluk masa tidur nanti. Alahai...


memang tak bernasib baik... sepuluh ringgit terbang!!!


Teddy bear yang buat aku terpaksa berputih mata!

Nak makan apa malam ni?

Bagi mengubat hati yang luka dan parah, aku ditemankan Ayuz, Along dan familinya meronda-rondalah sekitar kota mini itu. Seronok juga. Malam terasa lebih meriah dengan persembahan yang diadakan oleh ahli akrobat yang didatangkan khas dari China.


Along dan famili...

Sempat melawat sepasang angsa hitam dan putih...


Menonton persembahan akrobatik... memang menarik!


Bilik umi, abah, aku dan Ayuz


Bilik Along dan famili


Letih sangat... tertidur atas sofa!

Terlanjur di sini, pasti tidak dilepaskan peluang melawati destinasi yang semestinya MESTI LAWAT, betul tak? Seperti biasa, kami pergi menaiki bas khas ke Japanese Village & Botanical Garden. Memang tak ada perubahan. Suasana dan ketenangan yang masih sama. Cuma kali ini diikuti dengan sedikit pencemaran. Pencemaran? Ya! Pencemaran bunyi.... bila dah ramai pengunjung, tentulah macam-macam jenis bunyi yang dapat didengar. Betul tak? Itu sahaja, kerana yang lain masih sama termasuklah ikan-ikan yang menjadi 'penunggu' tempat ini. Wah, saiz ikan-ikan ini besar sangat. Kalau abah tengok, mesti dia nak bela.


pemandangan waktu pagi di Colmare Tropical...


Santap! Amboi, tekun betul umi...


Bebas bergerak...


menuju puncak... ke Japanese Village & Botanical Garden


ikan-ikan ini mengingatkan aku pada kesebelasan
koikoi yang mati serentak... sedih sangat!


Kemudian, singgah pula ke tempat arnab. Mulanya, Miqhail tidur tetapi dia terjaga dek mendengar ramai kawan. Memang ramai kanak-kanak yang mengunjungi tempat arnab ini. Ada sedikit perubahan berbanding enam tahun lepas. Kalau dulu, pengunjung dibenarkan mendukung arnab-arnab ini tetapi tidak kali ini. Para pengunjung hanya dibenarkan memberi makan. Sedih betul. Kesedihan itu tak lama kerana aku berpeluang bertemu dengan seekor kura-kura yang besar dan sangat comel. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku masuk ke dalam kandang kura-kura itu dan mendukungnya. Tetapi, memandangkan kiri kanan ada penjaga dari Myanmar, aku diamkan saja dan terpaksa berpuashati melihat dari kejauhan.


pasangan emas, sehati dan sejiwa...


Ala Miqhail, tidur pulak dia....


Percubaan terbaik dari Ayuz...


Habislah arnab-arnab tu, Salman Khan jr dah bangun....


Sumpah!!!
Aku rindukan 'anak-anak' kesayanganku yang telah lama pergi...



Miqhail yang setia menemani Angahnya...

Dua hari yang dihabiskan ternyata terlalu singkat. Sebelum balik, aku sempat mengecek umi mahu bercuti lagi di sini. Jawab umi senang saja....,

"Pergilah dengan suami kau pulak....!"

Aduh, kan dah kena. Memang padan dengan muka aku. Apa-apa pun, Insya-Allah aku akan kembali mengutip memori dan mencipta kenangan baru di sini kelak.


melangkah... meninggalkan Bukit Tinggi


satu lagi kenangan familiku yang terindah
di Bukit Tinggi 2010




Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku