Kalau tiada halangan antara kita...



Ingat lagi tak Imaan? Seorang teman yang selalu kuceritakan kisahnya di sini satu masa dahulu. Hairan? Kenapa sekarang baru aku sebut kembali tentang Imaan? Percaya atau tidak, setelah dia selamat diijabkabulkan, hubunganku dengan dia lenyap begitu sahaja. Adakalanya rindu juga hendak mendengar suara, membalas segala e-mel dan sms darinya. Aku andaikan dia sudah bahagia. Jika dia gembira, aku turut tumpang gembira kerana selama hampir sedekad berkenalan dengannya, terlalu banyak telah kami kongsi bersama. Aku tahu betapa dia mendambakan cinta sejati. Alhamdulillah, dia sudah pun ketemu cinta yang dicari-carinya.

Tidak pula aku sangka, setelah pemergiannya aku didatangi seorang lagi insan. Mirip Imaan. Oh, bukan pada wajahnya tetapi sikap dan perangainya. Perkenalan aku dan dia tak sampai setahun. Mungkin, sudah mencecah enam bulan. Aku kenali dia juga mirip dengan cara aku mengenali Imaan. Bagaimana? Biarlah rahsia. Kali ini, beza aku dan dia amat jauh. Bukan sahaja usia, malah segala-galanya. Dia merupakan seseorang yang menganuti agama Kristian. Ya! Jauh benar bezanya antara aku dan dia.

Tidak cukup dengan itu, usia juga terpisah jauh. Dia di era empat puluhan dan aku dua puluhan. Ya! Macam Tom-Kat yang jarak usia mereka 16 tahun dan Catherine Zeta-Jones-Micheal Douglas pula 25 tahun. Namun, aku tak pernah terfikir untuk bersama dengannya. Terlalu banyak sebab membuatkan aku membina tembok yang lebih kebal dari segala yang ada di muka bumi ini.

Aku bukan mudah dikaburi dengan perkataan cinta semata. Cinta manusia, boleh berubah. Penting bagiku, pegangannya perlulah Islam. Jika ditakdirkan dia berhijrah masuk Islam, aku perlu pastikan ia bukan semata-mata kerana aku. Biarlah dia benar-benar mencintai Allah dan rasulnya Nabi Muhammad s.a.w. Jujurnya usia bukan penghalang bagiku. Apatah lagi asalnya dari luar dan bukan sama dengan tempat kelahiranku, bumi Malaysia. Jadi, faktor-faktor ini membuatkan aku tidak bisa menerimanya.

Berulang kali kupujuk si dia, bahawa aku tidak bisa menerimanya. Alhamdulillah, dia akur. Akur dengan kehendak takdir. Tetapi, aku bersyukur dengan kehadirannya dalam hidupku. Biarpun aku tahu perasaan yang ada padanya untukku, aku tidak pernah menyembunyikan sebarang kisah hidupku. Malah, lebih menarik lagi dia sering sahaja membantu aku menyelesaikan kekusutan. Terutama sekali berkenaan masalah hati. Ya! Pelik bukan? Aku berkongsi kisah cinta separuh masak (belum termatri apa-apa pun lagi, dalam proses kot!) kepadanya. Dia sering menasihati, malah memberi pelbagai tips untuk menarik perhatian si dia yang aku sayang.

Setiap pagi dan setiap kali dia memanggilku menerusi talian telefon perkara ini yang akan disampaikannya...

"Hai Beautiful Lady, how's your boy?"

Jika ini yang muncul, pasti senyuman terus hinggap dibibirku. Ada masanya aku rasa bersalah kerana merasakan aku sedang bermain dengan perasaan dan emosinya. Aku sering mengingatkan padanya, antara aku dan dia terbatas kepada hubungan kawan. Itu sahaja.

"Cody, I appreciate what you feel for me.... but I'm sorry. I dont see we have any future together," kataku di setiap sesi komunikasiku dengannya.

"Dear, If I could... I would come to your house and ask your hands from your parents. All I can do is, hoping that you'll find the right guy that is way better than me,"

Mahu tak terharu dengar kata-katanya itu. Tak mungkin. Alhamdulillah, imanku tidak pernah bergoyah.

"Just promise me, if you got marry... please dont stop talking to me," itu juga ayat yang sering dilontarkannya setiap kali menamatkan perbualan.

Aku tidak berani berjanji tapi yang pasti dia akan kekal menjadi temanku. Teman? Ya, kerana dia sentiasa memahami dan menghormati setiap kesukaanku dan kebencianku. Jika aku tidak suka dia menyembang perkara yang bukan-bukan, dia tidak akan mengulangi kesalahan itu. Apa-apalah, dah bukan jodoh. Lagipun, hatiku dah cukup kebas. Langsung tidak tahu samada mampu menangis atau dibiarkan aja.

Dua hari lagi, hari lahirnya dan aku masih belum sedia. Aduhai.... apalah agaknya kejutan yang sesuai kuberikan padanya?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku