He is a sad, sad little man...

"Sebagai seorang perempuan, dia tak boleh degil dan perlu mengalah!" - Pihak Itu.

* * *

Agak lama juga aku pendamkan hal ini. Semakin dipendam, semakin sakit. Saat-saat begini aku teringat pada pesan sahabatku, Fatimah.

"Kak Shai, nak lupakan kisah yang menyakitkan senang saja. Kau luahkan segala yang terbuku. Pastikan kau tak simpan apa-apa pun bakinya dalam hati, minda mahupun memori kau. Luahkan semua beban yang ada. Insya-Allah, sakit itu hilang".

Dahulu, aku pernah mengalami keadaan yang serupa. Alhamdulillah, kaedah yang Fatimah beri amat berkesan. Bukan sahaja Fatimah, malah Azwa pun pernah berkata hampir serupa.

"Kau tulis apa yang kau rasa dalam kertas sebanyak mana yang mungkin. Kalau kau perlu menangis. Menangis! Lepas tu kau kumpul semua benda atau perkara yang mengingatkan kau tentang hal itu. Bakar! Bila dah bakar, jangan kau ingat lagi tentang hal itu".

Dek kerana sudah tak tertanggung penyesalan (pertama kali buat aku rasa amat-amat menyesal) Sudah tiba masanya aku memuntahkan segala rasa di sini. Bukan untuk meraih simpati atau menyinggung rasa mana-mana pihak. Berilah peluang untuk aku melupakan dan memadamkan 'fasa hidup' yang satu ini. Aku mahu membuang ia terus dari dalam hati, ingatan dan memori.

Kalau boleh, aku tidak mahu tahu tentang kewujudan 'fasa hidup' ini dan tak mahu terbuai lagi. Hati yang mati, biarkan mati. Ini pengajaran untuk diri sendiri. Bila keikhlasan diri diuji sebegini, aku sudah tiada kuasa untuk melayan lagi. Cukuplah aku hidup di bawah kanta mikroskop untuk satu jangka masa yang agak lama! Aku sudah jemu dijadikan uji kaji, dinilai segala segi!

Bukan mudah untuk berkongsi rasa dan perasaan aku pada sesiapa. Bukan juga pada sahabatku sendiri. Adakalanya aku lebih cenderung memendamkan rasa itu. Sehinggalah di satu ketika, aku sedia untuk bercerita. Bercerita kepada mereka yang benar-benar aku percayai. Orang yang rapat dengan diriku tahu akan kebenaran yang satu ini. Adakalanya, aku akan meluahkan rasa apabila semuanya sudah selesai. Akibatnya, aku sering saja dimarahi mereka. Kata mereka, tidak adil kerana aku menyembunyikan ia. Maaf ya, aku tidak mahu menyusahkan. Aku tahu perbuatan itu salah, jadi sekali lagi aku minta maaf.

Umi selalu kata, perangai aku tak ubah seperti abah. Kalau ada sesuatu terjadi, aku pasti sembunyikan terlebih dulu. Adakalanya, perangai aku yang satu ini juga membuatkan umi kecil hati. Begitu juga Along dan Ayuz. Bukan aku tak suka berkongsi, kadang aku rasakan aku mampu hadapinya sendirian. Tetapi aku lupa, kalian terlalu peka dan sememangnya sensitif. Bukan seperti orang lain. Mengaku peka tapi tidak sensitif!

Kisah bermula begini. Hari itu seperti hari-hari sebelumnya. Langit cerah. Burung terbang bebas berkawan. Batang jalanraya agak sesak, seperti juga otakku yang kegagalan melakukan tugas. Tiada satu pun tugasan berjaya kuselesaikan. Buntu. Segala-galanya beku. Jadi, kerana tidak mahu keadaan berlanjutan aku menjenguk ke laman web. Cuba mencari-cari sesuatu yang boleh mengembalikan semangat. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hatiku bukan di situ. Jadi, aku melayan tuntutan jiwa yang kekosongan. Alhamdulillah. Setelah puas membelek ke sana dan ke sini, akhirnya senyuman kembali ke wajahku.

Malangnya, mood yang kucari itu tidak menetap lama dalam hati. Semuanya gara-gara isu yang ditimbulkan oleh pihak itu. Dek kerana tahu lenggok dan jalan cerita itu menuju ke arah yang aku sedia maklum, aku acuh tak acuh. Demi Allah, otakku mula kepenatan tatkala mendengar topik itu. Bukan sekali dua aku dirembat dengan hal ini. Terlalu kerap membuatkan aku jemu dan lelah. Sesekali aku menjeling, tanda aku tidak selesa dengan topik yang dibualkan. Secara beransur-ansur aku memperlihatkan sikap kurang minatku terhadap topik itu. Sayangnya, aku tak rasa pihak tersebut 'peka' dengan ketidakselesaan yang kuperlihatkan itu.

Aku cuba menghentikan topik, tetapi ternyata pihak itu enggan memberi peluang untuk topik itu mati. Lantas meluncur laju ayat provokasi, serangan tepat menusuk emosiku. Demi Allah, aku terluka. Selama hari ini, itu yang dianggapnya terhadap diriku! Perempuan... hidup menumpang dengan keluarga! Perempuan itu, perempuan ini dan bla bla bla.... percayalah, kalau kalian ditempatku ketika itu... kalian dapat rasakan betapa kerdilnya darjat perempuan pada pandangan lelaki bongkak sepertinya!

Jujur aku tidak peduli dengan kejiannya itu. Namun, emosiku ditikam apabila pihak itu menyuruh aku membayangkan jika kedua ibu bapaku tiada nanti! Aku tahu, peluang untuk membela diri di hadapan pihak itu sama sekali tidak akan pernah wujud. Sebelum menjerumus lebih dalam, aku mahu membela sedikit tentang 2 perkara yang disebutkan lalu meresahkan emosiku.

* Perempuan, duduk menumpang dengan keluarga!
Sebagaimana yang diketahui ramai, aku cuma tiga beradik. Along, aku dan Ayuz. Semua perempuan. Kami tidak memerlukan seorang abang atau adik lelaki untuk membela keluarga kami. Kami bertiga sudah cukup kuat. Insya-Allah. Kalau bukan kami bertiga anak-anak perempuan, siapa lagi yang dapat mempertahankan keluarga. Suami? Bakal suami? Teman lelaki? Tidak!

Abah telah mengajar kami bertiga untuk berdikari. Apabila sudah dewasa, tiba masa untuk kami tiga beradik untuk memegang tanggungjawab, membela nasib keluarga. Kalau ini masih membuatkan kami bertiga menumpang keluarga, terpulang. Yang penting, kami bertiga sudah cukup untuk mempertahankan keluarga kami. Tidak perlukan simpati dan bantuan orang lain. Dan yang paling penting, kami bahagia dengan cara kami. Siapa kau untuk menuduh aku menumpang keluarga? Pernahkah kau cuba masuk dan bergaul dengan keluarga kami untuk menuduh sebegitu. Kau tak layak!

*Bayangkan kedua ibu bapa aku sudah tiada!
Demi Allah, aku tidak sanggup membayangkan atau memikirkan ia terjadi sekalipun. Aku pernah hampir-hampir kehilangan abah dan umi. Aku pernah melihat abah terbujur kaku, tidak berdaya di atas katil hospital berbulan-bulan. Aku pernah menemani umi sepanjang malam di wad. Hanya Allah tahu perasaan aku di ketika itu. Aku sudah melaluinya. Aku tahu bagaimana rasa kehilangan itu. Tiang dunia seakan runtuh. Jatuh menghempap diri tatkala hal itu berlaku pada kedua umi dan abah. Aku juga pernah sujud dan meminta agar diri ini menjadi ganti kepada nyawa mereka. Ya! Aku tahu mati itu pasti tapi biarlah ia muncul nanti tanpa perlu aku membayangkannya. Hidup untuk setiap saat. Tidak salah memikirkan masa depan tetapi jangan terlalu taksub sehingga mengikat diri dari menjalani kehidupan.

Sesiapa sahaja yang rapat dengan aku, tahu dua perkara ini, duit (harta) dan keluarga adalah perkara paling sensitif dalam hidupku. Aku tidak suka bercerita tentang duit. Aku juga amat hyper-sensitive tentang keluargaku. Bukan aku kata duit itu tidak penting, tetapi sehingga hari ini aku tidak mahu tahu bagaimana urusan duit itu dalam kehidupan. Aku pernah jumpa ramai orang yang menghambakan diri kepada duit. Tapi aku selalu ikut pesan abah.

"Jadilah tuan kepada duit, tapi jangan jadi hamba duit". Mudah dan aku ingat pesan abah itu sampai bila-bila. Aku tidak mengejar duit berjuta-juta, harta menimbun. Cukuplah sekadar ada. Disebabkan itulah, kami bahagia dengan apa yang kami sudah ada sekarang.

Percaya atau tidak? Aku lebih suka serahkan hal duit dan yang berkaitan dengannya kepada Along, abah dan umi. Setiap kali berfikir tentang duit aku jadi pening. Malah, aku sengaja membiarkan dompet aku dengan duit yang aku rasa aku perlu. Kalau lebih, pasti akan dibelanjakan. Aku tak suka! Duit bagiku hanya syarat untuk meneruskan hidup tetapi bukan hidup untuk duit dan harta!

Tentang keluarga pula, kalian sendiri sedia maklum. Aku rela dikutuk seberapa banyak, tetapi bukan sepatah perkataan menghina keluargaku. Jika ada rasa apa sekalipun dalam hati, akan aku cantas dan kuburkan selamanya. Malah, kalau perbuatan itu mampu melukakan hati dan perasaan mereka, tidak ada maaf dari pihakku melainkan kemaafan itu diminta dari mereka sendiri. Aku tidak berhak memberi kemaafan. Ya! Itulah konsep mudahku.

* * *
Aku bersumpah demi nama Allah, hari itu hatiku terlalu sakit. Bukan saja dia menarik ketenanganku malah menyuntik kesedihan. Bukan aku tidak mahu membalas kembali dan menamatkan segala-galanya di situ. Tetapi aku rasa, cukuplah perasaan dan hatiku dijeruk! Kesabaran seseorang ada batasnya. Hari itu, pihak itu sudah melampaui batas. Aku diam. Satu-satunya cara untuk aku meredakan kesakitan, ialah mendengar suara umi atau abah. Itu yang aku lakukan. Suara mereka umpama percikan embun pagi dalam hati. Jika aku di rumah, pasti aku akan meminta umi meletakkan telapak tangannya di atas bubun kepalaku. Pantas, kepalaku yang terbeban dengan rasa gundah akan jadi setenang-tenangnya. Pelik? Tetapi ianya benar.

Seperti manusia lain, aku juga menjadikan ruang mukabuku sebagai pelepas emosiku. Sekadar nak melepaskan rasa seperti orang-orang lain. Dan abah pernah berkata, internet merosakkan jiwa manusia sekarang ni. Betul cakap abah. Salah seorang yang terkena lempiasnya, aku! Tapi, sebagai seorang manusia yang berpegang kepada ajaran agama, aku tak pernah lupa batasan. Jangan sesekali mengundang aib orang lain. Ya! Aku memang tak buat itu semua.

Status yang aku guna selalunya untuk meluahkan rasa, dan tidak pernah mengharap diperbesar-besarkan. Kalau ada balasan, aku layan. Kalau tiada, biarlah. Tak perlulah aku menggoncang dan provok pengunjung untuk menambahkan bilangan komen. Sungguh tak profesional! Bagiku tindakan sedemikian tak ubah seperti budak-budak yang mahu membandingkan siapa banyak komen atau gelanggang siapa panas. Dan aku cuma mahu orang berkenaan sahaja yang tahu perasaanku agar dia tidak lagi mendesak dan terus menghentak emosiku yang kesakitan. Cukuplah, aku terlalu sakit! Di situ sahaja aku mampu berkata kerana dengan pihak itu, tiada peluang untuk aku membela diri. Tiada peluang untuk aku menjelaskan "aku tak suka, tolong jangan bincang hal ni lagi, boleh tak?" Percayalah! Aku pernah beritahu, tapi tidak dilayan!

Aku pernah beritahu dahulu dan aku rasa bukan sekali dua. Bila aku tidak mampu mengingatkannya tentang batasan yang boleh diperbincangkan melalui lisan, aku rasa cara terbaik untuk aku minta dia berhenti mendesak aku adalah dengan meletakkan status itu di mukabuku.

"Sedap tumbuk dinding toilet tadi... kalau muka orang tu, memang sure pecah!"
Aku tak rasa ada sesiapa menjangka aku marahkan apa atau siapa? Ianya sekadar pelepas rasa. Pelepas rasa untuk menunjukkan aku memang sedang marah.

Oleh kerana kemarahan dan sakit semakin memuncak, aku minta izin pada majikanku untuk pulang setengah hari. Lagipun, apa gunanya aku terus di pejabat kalau hatiku langsung tak tenang. Aku bukan hipokrit. Bagi mengelakkan rasa marah makin memuncak, aku perlu bawa diri pulang. Bermain dengan Miqhail dan bertemu umi dan abah. Alhamdulillah, semuanya tenang.

Tak aku nafikan, umi cuba bertanya sebab kenapa aku balik dan cuti setengah hari. Aku senyum, tak menjawab. Bagiku, apa yang jadi antara aku dan pihak itu hanya perkara kecil. Tidak mahu aku perbesar-besarkan dengan memberi khabaran kepada umi.

"Saja nak balik, umi. Izan sakit kepala," itu sahaja jawabku.

Waktu malam, aku sekali lagi menulis status seterusnya. Niatku bukan untuk perli atau sewaktu dengannya. Aku hanya mahu mengingatkan pihak itu, cukuplah. Aku tidak mahu perbualan tentang hal yang sama (duit) berulang kali. Pihak itu sendiri telah mendengar pengakuan aku tentang duit. Bukan sekali dua. Jika dengan secara lisan dia tidak menghormati permintaanku, aku mahu dia tahu yang aku sudah jemu dengan topik duit dan tiada cara lain adalah menerusi status mukabuku.

Aku tak berniat untuk menyindir tapi aku berharap agar dia berhenti bercakap tentang perkara yang sama. Itu saja!

"Aku cakap sekali jer pada Imaan dan Cody... dorang faham, dan tak pernah sentuh pun soal tu bila2 masa bercakap dengan aku. Tapi, kenapa aku cakap berkali-kali dengan sorang ni dia tak paham! Aku tak suka, maknanya aku tak sukalah! Duit... duit... duit!!!! BOSAN!!!!!"


Percayalah, tak ada sesiapa akan menjunam kepada andaian siapakah manusia yang aku maksudkan. Dunia aku bukan hanya ada pihak itu. Kenalanku ramai, dan orang yang singgah dan membaca statusku itu tidak pernah tahu, siapakah orang yang aku maksudkan. Termasuklah sahabat dan adikku! Aku juga bertanggungjawab untuk memastikan tidak timbul fitnah dan mengundang dosa kepada mereka yang tidak tahu menahu asal-usul cerita. Aku tamatkan dengan segera.

"terlalu ramai, bukan sorang dua... hehehehhee"

Habis disitu dan tiada sambungan darinya. Alhamdulillah. Aku cukup bersyukur kerana teman-temanku bukanlah jenis yang suka menilai dan menghukum orang lain tanpa tahu cerita sebenar.

Jauh di sudut hati, aku mengharapkan dia tahu dan faham malah hormati perasaanku. Malangnya, bukan itu yang aku dapat. Pihak itu telah melancarkan serangan. Serangan "mengajar" aku. Kata pihak itu, aku telah memulakan segala-galanya. Tugasnya adalah untuk mengajarku supaya berfikir berkali-kali sebelum berbuat sesuatu atau sebelum taip sesuatu status.

Tatkala aku membaca status balasan pihak itu terhadap statusku, boleh juga terguling-guling aku dibuatnya. Menurutnya, aku tidak tahu undang-undang. Aku? Tak tahu undang-undang? Sepertimana biasa, aku membalas sekadar suka-suka tanpa ambil tahu apa komentar dari rakan-rakannya. Aku tak terkejut dengan apa yang mereka kata, cuma aku terperanjat dengan lemparan setiap pertuduhan yang dilemparkan oleh pihak itu. Pihak itu mentertawakan aku, melemparkan pelbagai pertuduhan dan mengundang unsur fitnah terhadapku. Ya, aku terima.

Sepertimana yang aku mahu sampaikan padanya, aku juga dapat baca apa yang dia mahu aku tahu tentang perasaannya selama ini terhadapku. Umpama sampah! Perasaan aku ini bagaikan tapak pelupusan yang dipenuhi sampah. Pihak itu mahu aku tahu, aku seorang perempuan berlagak baik dan berhati busuk. Semestinya dengan kata-kata itu membuatkan aku sedar kedudukan aku dalam hidupnya. Semua yang keluar dari mulutnya selama ini adalah pembohongan dan kebenaran itu terpancar di setiap komen-komen yang dibuat di papan komentarnya di mukabuku.

Tidak mahu bercakap banyak, aku bergerak ke surau. Solat sunat untuk menahan marah. Selesai sahaja dari solat sunat, aku terima teks pesanan mukabuku dari sahabatku, Azwa. Aku hanya menggeleng kepala kerana membaca setiap butiran yang ditulis oleh pihak itu.

pihak itu:
"aku malas nak bising kat sini...tapi sekali org buat aku...nak rasa? hahahahahahah bukan sekali...tapi 2 kali dia sindir guna fb? aku cakap sekali jek...tapi now dia g amik air semayang tak silap aku n rest dalam bilik...berapi! hahahahahah padan muka, lain kali sebelum buat kasi pk dulu. ko kasi advice sama dia okey nice knowing u too!!!"

Lihatlah, niatnya terlalu 'murni' untuk mengajar aku jangan cari pasal dengan pihaknya. Persoalannya, kenapa aku seorang sahaja yang perlu diajarnya? Pihak itu selalu kata dia peka. Bagi aku, peka sahaja (dengar perbualan orang sesuka hati!!!) tak guna kalau tidak sensitif! Pernah tidak pihak itu terfikir kenapa aku buat status sedemikian? Pokok tak akan bergoyang kalau angin tak tiup! Api takkan marak, kalau tak ada minyak! Bila pihak itu sudah meletakkan kemenangan pada pihaknya, maka dia buta untuk melihat semua itu. Pihak itu tidak nampak niatku. Kerna itu aku pun terus membutakan mata dan tidak mahu tahu tujuan pihak itu. Aku tak sedih walau pihak itu mengeluarkan setiap tuduhan dan fitnah disertai kawan-kawannya yang lain.

Tak mengapa, kata-kata mereka itu tidak akan dihisab di hari pengadilan kelak atau ketika aku bertemu mungkar dan nangkir. Aku ampunkan kerana mereka tidak kenal aku dan tak tahu menahu apa yang terjadi. Cuma ikut sedap hati tanpa pertimbangkan akal sebelum memberi sebarang komen. Aku rasa, tak ramai orang berfikir dulu sebelum memberi pandangan.

Walaupun di status dan komen-komen itu tidak menyentuh namaku, tetapi setiap kata-katanya itu memang ditujukan khas untuk pengetahuanku. Pihak itu jelas tahu yang aku akan membacanya. Aku dibunuh dengan setiap kata-kata yang dikeluarkan. Astaghfirullahalazim. Bukan panas aku membacanya, tetapi takut. Takut kerana dia sewenang-wenang mencernakan setiap aib, dan setiap perilaku yang ada pada diriku tanpa disedarinya bahawa semua itu boleh sampai ke pengetahuan orang yang mengenali aku. Sahabat-sahabat dan adikku. Malah, ia juga tentu boleh dibaca oleh majikanku yang sedia maklum tentang aktiviti kami. Ya, aku rasa 'ditelanjangkan' sehingga semua aibku sampai ke pengetahuan mereka.

Tak sampai beberapa minit kemudian, aku mendapat mesej melalui ym, inbox mukabuku bertimbun, sms dan tidak ketinggalan juga panggilan telefon. Lebih menyakitkan bila semua itu sudah sampai ke pengetahuan umi yang kebetulan sedang bersama-sama Ayuz melayari internet di rumah. Cuba bayangkan, apa perasaan umi tatkala membaca setiap pertuduhan dan caci-maki yang dijatuhkan pada anaknya? Ibu mana yang tak sakit? Ibu mana yang tidak menangis melihat anak dicaci-maki, diumpat, dikeji, ditertawakan dan disumpah bergilir-gilir? Anak yang dikenalinya, yang dikandungnya, dimalukan dalam satu 'pesta' menjatuhkan aib secara beramai-ramai?

Apabila mereka semua sudah mengetahuinya, tidak ada lagi kuasa padaku untuk memberi penerangan. Kalau ya aku mampu beri penerangan, apa yang perlu aku katakan pada mereka? Tidak mampu aku menahan mereka untuk mengambil tindakan. Mereka bertindak tanpa memberitahuku dan itu tidak lagi penting. Sudah kewajipan sebagai saudara dan sahabat! Mereka membela aku tanpa aku suruh dan tanpa aku minta. Bukan aku yang menyuruh mereka membaca semua komen-komen itu. Mereka sendiri yang membacanya. Kalau pihak itu fikir dia peka, maka sahabat-sahabat dan adikku berlipat kali ganda lebih peka! Bukan sekadar peka, mereka juga sensitif!

Kepada pihak itu, ayat ini pasti tidak akan aku lupakan sepanjang hayat!

"Berlagak baik, luar nampak baik tapi hati busuk! Dahlah tak lawa, apa benda pun tak ada!"

* * *

Sesungguhnya, aku cuba sedaya upaya menjaga nama agama Islam. Memelihara ajaran Rasulullah, dan menyempurnakan amanat umi dan abah. Malangnya, seperti biasa aku dikutuk, dihina dan dikeji.

"Berlagak baik!" Ya, ini bukan kali pertama dilemparkan kata-kata itu padaku dari pihak itu. Aku kira, ini masuk kali kedua. Dan cukuplah kerana aku tidak perlu kali ketiga.

Ketika aku hebat ditempelak pihak itu, aku mengadu pada Allah. Alhamdulillah, Allah pertunjukkan juga rasa yang terbuku di hatinya supaya aku tahu dan aku perlu menjauhkan diri.

"Kenapa kau temukan aku dengan manusia sebegini? Yang tidak tahu menjaga aib orang lain. Yang mencerca ciptaanMu dan menabur fitnah semata-mata ingin perhatian dari ramai?"

"Ya Allah, beri kesabaran padaku. Paling kutakuti, bila dia menghina ciptaan-Mu, aku. Buruk aku, baiknya kejadianku ini adalah ciptaan-Mu, Ya Allah".

Aku tak suka menilai orang. Tapi, sedikit sebanyak pihak itu memberikan peluang untuk aku menjauhkan diri terutama sekali apabila dia mentertawakan usahaku untuk mengawal diri dari marah dengan bertemu Allah dan berzikir. Adakah ianya sesuatu perkara yang lucu sehingga boleh membuatkan seseorang ketawa? Ya! Bagi orang yang EGO tebal dan selalu mencintai diri sendiri dan menganggap AKU BAGUS AKU BAGUS DAN AKU BETUL!

Satu ketika dahulu, aku pernah berjanji pada pihak itu bahawa aku akan jadi kawan pertama untuknya dan aku masih ingat lagi janji itu sehinggalah tadi, apabila pihak itu menyingkirkan aku dari senarai kawan-kawannya. Secara tidak langsung, itu adalah petanda yang menunjukkan dia tidak lagi menerima aku sebagai kawan. Pihak itu yang menolak aku. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, aku tidak mungkir janji kerana aku yang dibuang. Satu lagi prinsip aku, bila aku dibuang, jangan harap aku akan kembali. Kepada pihak itu, terima kasih kerana membebaskan diriku dari janji yang pernah kubuat!

* * *

"Aku dah cakap awal-awal dengan kau, dia memang tak boleh dipercayai. Apa yang keluar dari mulut tak sama apa yang ada dalam hati. Dia akan jatuhkan kau sampai kau tak mampu bangun balik," - Along.

"Dulu tak habis-habis kau cerita yang dia tu baik. Baik sangatlah macam tu. Padan muka kau, kau buat baik dia burukkan kau. Orang cakap tak nak dengar, degil sangat!" - Umi.

"Shai, you have to understand that he is a sad, sad little man," - Azwa.

"Mr. Pathetic..." - Ayuz.

* Kalau ada peluang untuk aku mengampunkan, keampunan itu terjatuh sendiri bila-bila masa hati aku sudah tidak terasa sakitnya. Namun, ini bukan lagi soal hatiku, malah ia berkaitan dengan seluruh keluargaku.

Tanpa pihak itu sedari, dia telah mencalar perasaan umi, Along, Ayuz dan abah juga. Aku tahu abah boleh bertindak bila-bila masa yang dia mahu. Tetapi, ini adalah masalah aku dan tidak mahu kuperbesarkan. Jadi, selagi umi dan abah tidak mengampunkan, maka perbuatannya itu tidak akan terampun. Abah juga ada berpesan padaku....

"Tak guna kau bergaduh dengan orang yang selalu berperang dengan diri sendiri kerana dia sendiri tidak akan pernah tenang,"

Ya! Kalau pihak itu masih lagi berdegil dengan kenyataannya yang aku menumpang keluarga. Terserah. Aku bangga dengan keluargaku. Abah dan umi yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah sentiasa adil dalam mencurahkan perhatian serta kasih sayang terhadap anak-anaknya. Yang mana jarang dialami oleh orang lain. Seperti yang aku katakan awal dulu... aku sentiasa dilindungi Allah. Dia telah mengurniakan aku sebuah keluarga yang kuat pegangan dan kasih sayangnya. Biar apa pun yang terjadi, kami tetap bersama. Insya-Allah.

Pada kamu, pihak itu... dalam diam-diam, adik dan kakakku menjalankan tugas menyelamatkan aib aku! Ayuz, aku terharu sangat. Begitu juga dengan temanku Azwa. Terima kasih. Pada Along, aku rasa tak guna kalau nak keluarkan saman malu. Aku tahu akhirnya ia akan mengundang aib kepada kedua-dua pihak. Lebih baik selesaikan secara diam-diam dan aku jelas dengan keputusanku!

* Kepada sesiapa yang mengenali dan mengetahui 'fasa hidup' ku yang satu ini, aku berharap kalian faham dan hormati keputusan yang telah dibuat. Apabila dua individu memegang kefahaman masing-masing di mana ianya tidak ada titik pertemuan adalah lebih baik, dibiarkan sahaja. Tidak boleh dipaksa untuk ianya bertemu. Aku tahu, pihak itu memang baik. Baik terhadap orang-orang di sekelilingnya tetapi bukan untuk aku. Jujurnya, aku tidak nampak sebarang jalan penyelesaian.

* Kepada pihak itu sendiri, terima kasih yang amat sangat. Kamu adalah satu bentuk ujian yang Allah kurniakan dalam hidupku dan buatkan aku lebih mengenali hati manusia yang pelbagai. Maaf kerana aku tidak lagi boleh kamu jadikan sebagai tikus putih untuk melihat jawapan yang kamu mahukan.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku