Saturday, January 30, 2010

Kepada yang mengingati setulusnya... terima kasih


Hari ini, 27 tahun yang lalu... aku telah dipinjamkan. Dipinjamkan nyawa, tubuh dan segala-galanya yang aku ada hari ini. Terlalu banyak pengalaman, kisah suka dan duka yang aku telah perolehi. Selain dari Dia, Maha Pencipta... Allah, aku amat berhutang seluruh nyawaku kepada Umi yang melahirkan dan abah yang membesarkan. Tanpa mereka berdua, aku tiada. Tanpa mereka, aku bukan sesiapa.

Hari ini, aku dedikasikan kepada mereka. Melahirkan adalah sesuatu perkara yang sememangnya lumrah dan tanggungjawab semua makhluk. Namun amanah yang lebih besar adalah menjaga, mendidik dan membimbing. Umi dan abah, bukan memegang tanggungjawab sebagai ibu bapa yang sempurna. Mereka juga menjadi guru, teman, dunia, syurga dan akhirat bagiku. Terima kasih kerana menjalankan amanah dengan begitu sempurna sekali. Ijan tak rasa ada ibu bapa lain sehebat umi dan abah.

Tidak lupa kepada adik-beradikku yang tak pernah jemu, bosan dan lelah melayan kerenah aku. Walau ada ketikanya, aku jadi terlalu bebal, degil, keras kepala dan kebudak-budakkan kalian tetap ada bila-bila masa aku perlukan. Terima kasih bukanlah satu perkataan yang mampu menunjukkan berapa aku amat menghargai kalian dalam hidupku.

Akhir sekali kepada sahabat-sahabatku yang selalu merisik khabar dan tak pernah lupa akan kehadiran insan ini dalam hidup kalian, aku amat terharu dan bertuah kerana sentiasa ada kalian. Jika hubungan antara kita sudahpun terjalin melangkaui usia sedekad, tidak mustahil persahabatan ini akan terus kekal untuk seabad yang akan datang. Ucapan hari lahir dari kalian sesuatu yang amat berharga kerana aku tidak perlukan wang atau pun hadiah. Cukuplah sekadar ingatan yang tidak akan pernah pupus.

Kepada yang teristimewa... aku sentiasa sediakan satu ruang di sudut hatiku... hanya untukmu.

Terima kasih sekali lagi atas ucapan dan ingatan.