Saturday, January 2, 2010

Salam dari Cameron...




1 Januari, 2010. Hari baru, tahun yang baru. Bagi aku, ia tetap sama seperti hari biasa. Matahari tetap terbit di utara. Malaysia masih tidak bersalji dan hari masih lagi 24 jam. Manakala, jadualku untuk bulan Januari sudah pun padat.

Bermula dengan 1 hingga 2 Januari. Aku dan keluarga telah membawa diri lari jauh dari hiruk pikuk kehidupan di kota. Destinasi yang dituju adalah Cameron Highland. Alhamdulillah. Rancangan ini tetap berjalan lancar. Terima kasih kepada rakan-rakanku. Kalau tidak kerana rancangan yang satu lagi ditunda ke tarikh yang lain, mungkin percutian ini hanya tinggal sebagai 'perancangan'.

Hari Pertama di Cameron

Kali ini, segala-galanya telah dirancang lebih awal. Tempat penginapan pun sudah dibuat terlebih dulu. Tidak perlu lagi risau tentang tempat tidur ketika dalam perjalanan. Jadi, seawal 8.30 pagi (Jumaat), kami sekeluarga bertolak. 2 kereta kesemuanya. Aku memandu kereta abah dan diekori abang Zamri yang memandu dari belakang. Perjalanan yang agak jauh tidak terasa kerana dijamu dengan pemandangan yang begitu tenang dan mengasyikan.

Setibanya di bandar Brinchang, kami sekeluarga berehat sebentar sebelum keluar makan tengah hari. Malangnya, abang Zamri tak dapat ikut keluar makan bersama sebab sudah pening-pening akibat memandu tadi. Mungkin dia masih baru sebab itulah dia tak biasa dengan keadaan di Cameron Highland. Lainlah aku yang sudah terbiasa dengan jalan yang pusing-pusing sebab memang telah diajar abah. Waktu aku nak duduki ujian memandu dulu pun, abah melatih aku di jalan lama di Batu 12 Gombak sehingga Genting-Bentung-Raub. Disebabkan itu jugalah aku tak mudah pening ketika memandu.



Berbalik kepada kisah percutian di Cameron Highland. Selesai saja makan tengah hari, kami pun pulang ke tempat penginapan untuk menyegarkan badan terlebih dahulu. Beberapa minit kemudian, bermulalah pengembaraan kami sekeluarga di Cameron Highland. Abah mengambil alih tugas memandu disebabkan dia lebih arif tentang selok-belok jalan di sini.

Destinasi pertama, Tanah Rata. Di sini, keadaannya memang sejuk. Sepanjang berada di Cameron Highland, penggunaan penghawa dingin dapat dijimatkan. Udara luar lebih sejuk dan nyaman berbanding penghawa dingin kereta.



Mungkin disebabkan hari cuti umum, maka ramailah kelibat manusia memenuhi setiap ceruk bandar Tanah Rata. Namun begitu, sempat juga kami turun dan mencuci-cuci mata di sekitar kawasan pekan. Tak aku nafikan, banyak perubahan yang sudah berlaku kepada bandar ini berbanding kali terakhir kujejak kaki ke sini beberapa tahun dulu.



Tiba saja di kedai-kedai cenderamata, masing-masing rambang mata. Kalau boleh, mahu diangkut semuanya termasuklah kedai sekali. Miqhail pula riang tak terkata tak seperti beberapa hari lepas. Dia juga sudah semakin sembuh dari ulser lidah yang dialaminya. Setelah puas meronda dan merentungkan sejumlah duit, kami menuju pula ke Ringlet.



Malangnya, tak sampai separuh jalan kami terpaksa berpusing balik. Semuanya gara-gara cuaca yang tidak mengizinkan. Tambahan pula keadaan jalan yang rosak. Sebelum apa-apa yang tidak diingini terjadi, berpusinglah kami kembali ke Brinchang dan singgah di taman kaktus.





Kaktus, memang menjadi salah satu pokok kegemaran aku sejak kecil. Sudah tentu aku tidak lepaskan peluang untuk memilikinya. Oleh kerana dah biasa dengan kaktus, kami sekeluarga tidak menghabiskan masa yang lama di situ. Kemudian, kami menuju pula ke kebun strawberry.





Tak seperti dulu, kebun strawberry ini muram. Malah para pekerjanya mempunyai kefahaman bahasa Melayu dan Inggeris yang amat terbatas. Apa-apapun, sempat juga duit dihabiskan di situ. Along membawa Miqhail dan abang Zamri pergi ke puncak di mana pengunjung diberi peluang memetik sendiri buah strawberry. Aku, Ayuz dan umi tidak mengikut sama kerana leka dengan gerai-gerai yang menjual cenderamata. Abah pula sekadar duduk di bawah kerana dah biasa dengan kawasan itu.





Bila tengah sibuk membeli-belah, perut yang lapar tak terasa. Tetapi bila masuk saja ke dalam kereta, perut masing-masing mula menyalak kelaparan. Apalagi, bergegaslah masing-masing mencari tempat untuk makan malam pula. Aduh, tidak sangka di sini pun sesak seperti di Kuala Lumpur. Kereta-kereta hampir tidak bergerak. Aku kira, mungkin ada kemalangan atau pun pembaikan jalan. Tapi yang sebenarnya, ada pasar malam. Untuk jimat masa, aku dan Ayuz turun, manakala umi dan abah sabar menunggu di dalam kesesakkan lalu lintas. Ada macam-macam juadah unik dijual di pasar malam ini termasuklah strawberry disaluti coklat. Sudah tentunya aku tak lepaskan peluang untuk merasa buah yang hanya ada di sini. Selain itu juga, ada jagung bakar. Makanan kegemaran aku. Dan sebagai lebih pilihan, KFC dibeli untuk makanan sampingan.





Mungkin masih tidak cukup, jadi abah memecut kereta sekali lagi menuju ke Tanah Rata. Ternyata, suasana malam di Tanah Rata indah sekali. Terasa-rasa bagaikan di luar negara dengan dipenuhi ramai warga asing. Hampir di mana sahaja, pasti ada orang. Sehinggakan, makanan yang kami pesan hanya siap selepas 45 minit! Bayangkan betapa ramainya manusia yang sanggup menunggu untuk makan! Dahsyat dahsyat!







Selesai pengembaraan hari pertama di Cameron Highland. Malam itu, aku kekenyangan yang amat sangat. Sehingga tidak tersedar bila aku terlelap. Dan percaya atau tidak, kalau selama ini aku punyai masalah untuk tidur, tapi tidak pada malam itu. Aku tidur nyenyak sekali dengan memakai baju yang baru dibeli. Baju tidur berwarna merah jambu. Pertama kali aku menyarungkan warna itu ke tubuhku dan aku berasa bangga!





Hari Kedua di Cameron Highland

Sebenarnya, tinggal satu sahaja tempat lagi yang belum kami kunjungi. Ladang teh. Semalam, Along ada pesan pada aku, yang dia teringin sangat pergi ke ladang teh sebelum balik ke Kuala Lumpur. Aku ikut sahaja, sebab aku pun teringin juga ke sana.



Awal-awal pagi aku dah bangun. Abah pula dah bersiap sedia untuk jalan-jalan dan pesan agar kami bersiap cepat. Setelah siap bersarapan pagi, kami sekeluarga meninggalkan tempat penginapan. Disebabkan tidak tahu tempat ladang teh, kami singgah sebentar di deretan kedai dan kebun strawberry Uncle Sam. Di situlah kami bertanya kepada orang tempatan lokasi sebenar ladang teh sambil membeli bunga-bunga hidup untuk dibawa pulang. Aku pula sempat memborong buah strawberry untuk diberikan kepada kawan-kawan sebaik saja aku pulang ke Kuala Lumpur nanti.



Sepertimana yang dikatakan oleh seorang kakak di kedai itu, kami pun bergeraklah menuju ke Sg Palas. Perasaan teruja mula terasa dengan hanya melihat papan tanda Ladang Teh Boh. Namun, tidak pula terfikir yang perjalanan ke sana bukanlah satu perjalanan yang diidam-idamkan oleh sesiapa pun. Ya Allah, taubat dan insaf sebaik saja sampai di lereng bukit Sg Palas.



Jalannya jauh lebih sempit berbanding jalan di Rawang. Lebih sadis lagi, jalan sempit itu pula diikuti dengan curam yang tinggi. Salah sikit, pasti ada kereta yang tergolek, dan jatuh terhempas ke bawah. Kereta pula penuh di kedua-dua arah. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan di ketika itu. Degup jantung bertambah laju. Kalaulah aku yang memandu, pasti kakiku ini tak terasa jejaknya. Nasib baik abah yang memandu kereta. Nyata, abah memang sabar. Sempat juga aku bertanya soalan ini kepada umi dan abah....

"Pernah keluar berita kereta tergolek kat ladang teh tak sebelum ni?"

"Hish, apa kau tanya macam tu?" bentak Ayuz...

"Baguslah kalau takde. Insya-allah, hari ini pun tak ada..." kataku, cuba melegakan hati.

Hampir setengah jam juga kereta-kereta tersadai di sepanjang lereng ladang teh. Namun, perasaan cemas sedikit berkurangan apabila melihat suasana yang indah. Masya-allah. Indah sungguh ciptaan Allah. Kalau sebelum ini, aku selalu lihat keindahan ladang teh dalam filem Hindi, kali ini aku dapat melihat dan merasakannya sendiri.







Perjalanan yang berbahaya dan mendebarkan itu berbaloi kerana selamat juga kami sekeluarga sampai ke lokasi. Sejuk sehingga menggigit ke isi tulang. Sempat juga aku dan yang lain-lain bergambar kenangan. Percayalah, udaranya terlalu nyaman. Kalaulah ada satu-satu perkara yang ingin dibawa balik, tentu sekali udara bersih di Cameron Highland ini jadi bekalnya.





Agak lama juga kami menghabiskan masa di ladang teh. Kebahagiaan di wajah masing-masing jelas terpancar. Terutama sekali di wajah umi dan abah. Seronok hati lihat mereka gembira. Miqhail pula menjadi tumpuan ramai pengunjung yang sama-sama melawat ladang teh. Dia juga seronok dan bertambah lasak sehingga sukar untuk dikawal.









Setelah puas menghabiskan masa, tiba pula masa untuk pulang. Sepertimana kami datang, begitu juga caranya kami balik. Namun rasa takut berkurangan. Aku tinggalkan Cameron Highland dengan hati yang berat. Mungkin di satu hari nanti, aku akan kembali. Ketika itu, diharapkan aku bukan lagi sendiri.




* Tak perlu ke luar negara kalau nak berbulan madu. Di Malaysia pun sudah cukup. Apa yang penting, waktu bersama dapat dihabiskan sebaik mungkin!