Meriahnya 30 Januari 2010



Seawal 5.45 pagi, aku sudah bangun. Bersiap untuk majlis hari ini, menyambut acara yang paling bermakna buat aku sekeluarga. Bukan untuk bermegah, tetapi untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran bersama teman-teman lain.

Perkara pertama yang aku dan abah buat, pergi buang tv 29" yang meletup tempoh hari. Beratnya? Allah saja yang tahu. Sampai terkehel pinggang boleh dibuatnya. Aku dan abah gagah membuang peti televisyen (yang kebetulan dibeli beberapa tahun lepas pada tarikh hari lahirku).





Sebelum sempat meninggalkan peti tv yang aku sayang itu (semua barang aku sayang!), ianya telah mencederakan aku. Tergaris panjang di sebelah lengan kananku. Tapi mulutku tak bisa menjerit, terkunci di dalam dan hanya menahan sakit. Sakit itu terasa juga tatkala aku masuk ke dalam Romi.

"Kau kenapa?" soal abah sebaik melihat aku asyik memegang lenganku.
"Tadi tv tergelincir kan? Tergaris kat lengan ni... panjang," kataku tapi masih mampu menahan sakit.
"Balik nanti, jangan lupa sapu ubat gamat," kata abah, terus memandu.

Aku melihat saja lenganku yang sudah kemerahan. Ini sahaja yang aku ada, itu pun dah tercemar, bisikku sendiri dalam hati.

Balik ke rumah, aku melakukan tugasku. Hari ini, aku berdegil untuk memasak. Al-maklumlah, aku dah lama tak memasak. Jadi, aku berkeras nak masak dan jamu pada tetamu yang datang. Aku masak bihun goreng saja (dua rasa, pedas dan tawar). Makanan lain, tunggu c.Man dan c.Tini datang. Satay dan kepak ayamlah, apa lagi.



Lebih kurang, tengah hari mereka sampai. Hanya Allah saja tahu perasaan gembira yang terisi dalam hati sebaik sahaja nampak wajah Ina. Adik angkatku yang telah bersamaku sejak umurnya dua hari. Hari ini, dia sudah besar. Dah jadi anak dara sunti.

"Kak Ijan, Ina dah patut pakai tudung tau sekarang ni," bisiknya padaku.
"Ina kecil lagi, bila dah besar... pakailah ya," ujarku pula.
"Ya, Ina dah besarlah ni," katanya lagi.

Aku pandang ke dalam anak matanya. Ya, aku mengerti ayatnya itu. Cuma, aku tidak menyangka, si kecil itu sudah besar. Sebak tiba-tiba menghunus perasaanku. Aku datang ke arahnya dan terus peluk Ina.

"Kak Ijan tak sangka kau dah besar Ina... dulu kau kecik sangat, sekarang ni dah nak sama tinggi dengan kak Ijan," ujarku lagi.

Ina tersenyum. Ya, memang dia sudah besar.

Tepat pukul 4, tetamu pun mula membanjiri. Alhamdulillah, tak sia-sia pun hidangan yang kami peruntukan. Walaupun terkilan kerana tiada siapa yang datang dari pihakku, aku amat bersyukur kerana masih ada yang sudi datang atas jemputan orang lain.





"Kau tak ajak kawan-kawan kau Ijan?" soal Umi.
"Tak, kalau ajak dorang tak akan datang," kataku selamba.
"Ajaklah, tak baik buat kawan macam itu," sampuk abah.
"Membazir amalan syaitan, bukan? Jadi Ijan tak naklah jadi kawan syaitan.
Membazir saja panggil tapi kawan-kawan tak datang, betul tak?" balasku.

Tiada siapa yang tahu lebih dari aku dan aku tahu siapa yang akan datang jadi lebih adil aku tak panggil sesiapa pun. Kalau ada aku panggil, sekadar nak menduga. Dan di situ juga aku sudah dapat jawabnya.

"Suka hatilah Ijan," ujar abah pula.
"Memang sukalah sangat hati sekarang ni," kataku lagi.

Kepada semua yang hadir, terima kasih. Majlis pada kali ini amat bermakna. Selain menyambut hari lahir Ayuz dan aku yang jatuh pada 27 dan 29 Januari, majlis ini juga merupakan sambutan ulangtahun perkahwinan Along-Abang Zamri (26 Januari) dan umi-abah (29 Januari). Insya-Allah, panjang umur dan murah rezeki, tahun depan akan ada lagi.


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku