Friday, January 1, 2010

Sekadar perubahan angka?



Semua menanti detik 12 tengah malam, 31 Disember 2009. Tidak sabar-sabar untuk menyambut kedatangan tahun baru. Tetapi tidak bagi aku. Keghairahan itu langsung tidak aku rasai. Bukan aku memboikot kedatangan tahun baru, cuma aku tak berapa nak setuju dengan ketaksuban sesetengah manusia yang mengabdikan diri dan menunggu tibanya detik tahun baru. Bagi aku, detik 12 tengah malam 31 Disember, tak ubah seperti hari-hari lain.

Mungkin disebabkan peningkatan usia, atau pun sudah jemu bersikap ke'anak-anakan'. Apa yang perlu disibukkan dengan peralihan tahun 2009 ke 2010? Padahal kita dah pun sambut kedatangan tahun baru. Betul tak? Secara peribadinya, bukan peralihan angka yang penting, tetapi perubahan diri. Bila agak-agaknya nak berubah? Berubah untuk apa? Demi siapa? Kepada apa?

Aku tak kisah kalau beri atau terima ucapan Tahun Baru, cuma aku tak fikir ianya relevan dengan perlu meraikan sambutan sambil mengira detik menuju 12 tengah malam. Satu perkara yang membazir. Perlukah hentikan hidup semata-mata ingin menjadi seorang manusia yang khusyuk mengira ketibaan Tahun Baru? Mungkin kedengaran seperti pemikiran kolot. Terpulang kepada sesiapa ingin fikirkan apa. Cuma aku dah bosan melihat keadaan ini. Lebih khusyuk dari melakukan ibadat.

Kalau ingin berubah, tak perlu tunggu datangnya Tahun Baru atau buat azam baru. Semuanya terserlah pada diri sendiri. Aku juga tahu, satu pemikiran tidak akan mampu mengubah dunia. Bila dunia sudah terbiasa dengan amalan berkurun lama, maka amalan baru dipandang sebelah mata. Hakikatnya, manusia sudah terbiasa dengan amalan ini. Aku juga takkan hairan kalau amalan sebegini akan terus berlanjutan untuk generasi yang akan datang pula.

Di kesempatan dan ruang yang ada, kuucapkan Selamat Tahun Baru, bagi mereka yang baru sedar tentang perubahan tahun ini. Kepada mereka yang masih lena dan sedang asyik dengan mimpi rekaan sendiri, segeralah bangun. Masa tidak pernah tunggu sesiapa, malah sebanyak mana kekayaan yang ada pun tidak mampu membeli masa yang sudah terlepas. Nikmatilah hidup untuk setiap saat. Bukan menjadi hamba tetapi rakan karib kepada masa.