Tuesday, September 29, 2009

Ulasan filem yang aku suka...

Talentime
Sepatutnya aku tulis ulasan filem ini beberapa bulan yang lepas. Tak pun semasa semua warga Malaysia dan terutamanya peminat arwah Yasmin Ahmad meratapi pemergiannya. Namun, aku rasa adalah lebih baik kalau aku simpan terlebih dulu.

Sebenarnya, aku tak sebertuah rakan-rakan yang lain punyai kesempatan mencuri masa menonton filem di pawagam. Hanya satu tempat aku boleh menikmati filem-filem yang baru ditayangkan. Sama ada di Astro atau pun Youtube. Memandangkan aku penyokong kuat filem-filem Melayu, aku lebih suka menahan diri untuk tidak menonton di Youtube. Aku hanya menonton filem luar negara di rangkaian popular internet ini.

Terus-terang aku katakan, filem Talentime merupakan salah satu filem Melayu yang paling aku suka. Kelebihan Yasmin Ahmad yang tiada pada orang lain adalah, dia menghormati budaya, bahasa dan juga kesenian bangsa lain. Kalau dibuat perbandingan antara filem-filem Melayu dari pengarah yang sedia ada, kebanyakkan mereka memasukkan unsur-unsur bangsa lain sebagai sebahagian dari unsur lawak. Tolonglah sucikan pemikiran sikit! Sampai bila nak jadikan bahasa orang lain sebagai bahan lawak!

Aku suka cara arwah Yasmin Ahmad menyampaikan cerita dalam Talentime. Ya! Filem ini merupakan filem kedua yang aku suka selepas filem Sepet.

Signifikan lampu terpasang, sekaligus menggambarkan permulaan suatu kisah dan terpadamnya lampu di dewan menunjukkan pula penamat kepada kisah yang disampaikan. Mudah bukan? Harus diingat, semua perkara yang dibuat membawa maksud tersendiri. Bagi aku sendiri, sebaik melihat poster filem ini jelas kelihatan huruf N sengaja dikecilkan berbanding perkataan yang lain. Lalu memisahkan dua perkataan menjadi TALE N TIME! KISAH DAN MASA.




Begitu juga dengan filem ini, cerita yang disampaikan adalah sepanjang persiapan talentime sempena ulangtahun sekolah tersebut. Sepanjang sebulan, filem ini ditayangkan di rangkaian Tayangan Hebat di ASTRO dan sepanjang itulah juga aku cuba tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. Malah, bukan aku seorang sahaja. Abah pun turut sama menonton filem ini. Bukan mudah nak buat abah menonton filem Melayu.

"Kalau kau nak orang tengok filem kau, cuba buat macam Yasmin. Ringkas, mudah tapi bermakna," itu pesan abah setiap kali habis filem itu kami tonton.

"Kisahnya ada di sekeliling kita je, tapi buat dengan bijak," tambah abah lagi.

Memang bijak. Itu juga yang aku ingin katakan. Malah, Yasmin peka dengan isu yang pernah terjadi dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum. Satu scene yang paling melekat dalam jiwa adalah semasa kematian pakcik Mahesh yang terbunuh disebabkan ada perselisihan faham di hari perkahwinannya yang kebetulan, jiran Melayunya baru kematian ahli keluarga. Peristiwa ini merupakan kisah benar yang berlaku di Kampung Datuk Haron beberapa tahun lalu dan aku masih ingat keadaan tegang akibat kejadian itu. Cuma di dalam realitinya, keluarga Melayu yang sedang mengadakan majlis perkahwinan manakala jiran India pula sedang berkabung kerana kematian.

Banyak perkara yang boleh dipelajari. Antaranya, sikap bersungguh-sungguh Hafiz. Pada hari berlangsungnya Talentime, dia baru sahaja kehilangan ibunya yang tersayang. Disebabkan dia sudah berjanji kepada arwah ibu, Hafiz tetap datang dan mengadakan persembahan. Namun, scene yang berjaya menyentuh hati dan emosiku apabila filem hampir menuju ke penghabisan cerita di mana Hafiz menyanyikan lagu 'I go'. Memang adik Syafie layak menang untuk watak Hafiz yang dibawanya. Semasa Hafiz menyanyikan lagu 'I Go', Kahoe yang selalu menjadikan Hafiz sebagai pesaing dan pencabarnya turut sama menggesek erhu bagi mengiringi persembahan Hafiz. Ya! Aku menangis tika itu bila Kahoe duduk di sebelah Hafiz dan kemerduan erhu bergabung dengan petikan gitar Hafiz. Tersayat hati seketika tiap kali menonton scene ini.

Sebelum itu, ada satu scene yang menggabungkan dilema yang dilalui oleh Melur, Mahesh, Hafiz dan Kahoe sambil diiringi lagu O Re Piya (Aaja Naachle - lakonan Madhuri Dixit dan nyanyian Rahat Fateh Ali Khan). Lagu ini disampaikan berselang-seli dengan emosi kesemua watak dan konflik yang mereka alami. Kesedihan(Melur-Mahesh), kekecewaan(ibu dan kakak Mahesh), perjuangan(Azean-Jit), cemburu(Kahoe) dan harapan(Hafiz). Lebih menarik, keindahan maksud di sebalik setiap kata-kata yang terkandung pada liriknya, disampaikan pula dalam bentuk tarian oleh seorang pelajar India. Inilah yang dikatakan seni! Berjiwa seni. Kebiasaan filem Melayu menjadikan lagu-lagu Hindi malah apa juga lagu-lagu bahasa lain seperti Tamil atau Cina sebagai unsur lawak untuk orang gelak! Bayangkan kalau lagu ghazal Melayu dijadikan bahan gelak, tak terasakah?

Secara keseluruhannya, para pelakon yang menghidupkan setiap watak sewajarnya diberikan penghargaan. Seperti biasa, pelakon kegemaranku Mislina Mustafa. Dia tidak pernah gagal membawa sebarang watak. Ternyata dia juga merupakan pelakon serba boleh. Tahniah! Lakonan pertama Mahesh sebagai budak lelaki bisu, amat kena. Bukan mudah untuk melakonkan watak bisu, emosi pada ekspresi wajah adalah perkara yang paling penting dan Mahesh berjaya melakukannya. Pamela Chong sebagai watak Melur kurang menyerlah tapi percubaan yang baik memandangkan dia pun masih baru dalam dunia lakonan. Jadi kepada para peserta rancangan Anak Wayang sepatutnya mengkaji watak-watak seperti ini jika mahu menang di musim akan datang (itu pun kalau masih ada musim seterusnya!)

Aku pasti akan merindui sentuhan allahyarham Yasmin Ahmad.


Pokkiri dan Wanted





Sejak mula diuar-uarkan dulu, aku memang ternanti-nanti tayangan filem ini di Malaysia. Aku pernah menonton filem Pokkiri lakonan Vijay dalam versi Tamil yang juga re-make kepada versi asal dalam bahasa Telegu Pokiri dengan lakonan Mahesh Babu. Aku hanya boleh komen tentang Pokkiri Tamil dan WANTED sebab aku masih belum berkesempatan menonton filem Pokiri Telegu. Terus-terang aku katakan, semasa menonton Pokkiri versi Vijay, aku mula menvisualkan kalau Salman yang berlakon dalam filem itu tentu hebat.

Doa aku dimakbulkan dan terhasillah WANTED lakonan Salman Khan. Oleh kerana aku dah pernah tonton versi Tamil, terlalu banyak yang aku harapkan. Mungkin, lebih dari apa yang telah aku tonton. Sebelum aku mulakan dengan ulasan, aku mahu nyatakan yang sebetulnya, aku juga peminat kepada lakonan Ilaya Thalapathy, Vijay. Sukar juga bagiku untuk membuat perbandingan sebab kedua-duanya aku suka.

Akhirnya, aku mampu katakan yang kedua-duanya punyai kelebihan masing-masing. Dari segi lakonan, kedua-duanya hebat. Tarian, hebat. Tapi cara penyampaian dialog, Vijay lebih selamba, dan Salman pula tegas dan garang! Aku suka sangat lakonan Vijay sebab dia sungguh natural bila tiba scene komedi. Ya! Dia menang yang itu. Namun, dia kalah pula dari segi aksi. Aku (sebagai peminat Salman) berani kata aksi adalah 'makanan' Salman dalam banyak-banyak watak yang pernah dilakonkan. Mungkin ramai yang katakan filem ini sebagai lakonan terbaiknya setakat ini, tapi aku tak setuju kerana aku menunggu filem Veer, hasil tulisannya sendiri. Aku pasti Veer akan lebih hebat sepertimana filem Baaghi yang juga merupakan sentuhan emasnya.

Berbalik kepada WANTED, filem ini mungkin tidak berapa diterima di Malaysia kerana semua yang berlaku adalah mengenai isu yang berlaku di India. Korupsi, kongsi gelap dan pergaduhan geng-geng samseng. Malah, lebih menarik ia menyuntik keberanian untuk menegakkan kebenaran. Penulis yang membuat cerita ini masih berpegang kepada unsur keperwiraan dengan menunjukkan hero yang hebat dan boleh mengatasi kejahatan secara sendirian. One Man Army!

Mungkin juga disebabkan ramai rakyat India mahu menjadi sepertimana watak yang dilakonkan di layar perak. Disebabkan itulah filem sebegini mendapat sambutan dan mencapai tahap pecah panggung. Dan kerana filem ini jugalah Salman dapat satu lagi gelaran baru SALMAN LION KHAN!

Senang kata ...
Pokkiri - Komedi dan romantik menyerlah
Wanted - Aksi!

Bila tiba klimaks WANTED, aku boleh jatuh pengsan. Terasa-rasa aku dapat menyerap tenaga yang dikeluarkan secara all-out oleh Salman melalui renungan matanya yang penuh amarah dan dendam! Sekali lagi aku jatuh cinta dengan Radhe! Kalau dulu Radhe dalam Tere Naam, kali ini Radhe dalam WANTED!

Satu dialog yang aku suka sangat
"ek baar jo maine commitment kardi, uske badh to mein khud ki bhi nahin sunta"
- Sekali aku dah buat keputusan, tiada siapa dapat mengubahnya termasuklah diri aku sendiri! -

* Ya, aku tak tengok WANTED di pawagam sebab di Malaysia hanya filem Datuk Shah Rukh Khan ditayangkan. Selain itu, hanya filem yang bernasib baik akan ditayangkan di sini! Aku tengok di Youtube! Itupun ada sesetengah scene yang tak dapat aku tonton sebab disekat. Apa-apa pun, aku suka sangat sebab filem WANTED sudah menyamai pencapaian filem GHAJINI!!!! Jadi, tak salah aku tonton di Youtube kerana tak mempengaruhi langsung kutipan box-office filem ini.


Monday, September 28, 2009

Raikan hari kemenangan bersama-sama...

Kepada semua teman-teman, kenalan dan sesiapa juga yang mengenali diri ini. Anda semua dijemput hadir bagi memeriahkan Rumah Terbuka keluarga saya pada hari Sabtu, 3 Oktober, 2009.

Kedatangan anda semua amat dinanti-nantikan. Inilah masanya untuk kita merapatkan lagi hubungan yang sudah sedia terjalin dan mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam hendaknya. Majlis Rumah Terbuka akan bermula seawal 12 tengahari dan berakhir pada pukul 5.30 petang.



Raya bersama yang Teristimewa....


Selama beberapa bulan ini hari-hari yang dilalui tak semeriah dulu. Adakalanya, seksa diri menanggung rindu. Terkadang, dihujung talian sahaja dapat ku dengar suara dan mendengar cerita. Semakin membuak-buak rasa rindu di dalam. Akhirnya, Jumaat lepas rindu ini terubat juga.

Lama merancang untuk itu dan ini. Itu dan ini juga tidak pernah menjadi. Malah yang begitu dan begini juga gagal kesampaian. Sehari sebelum bertemu, talian telefon bimbit sangat sesak. Ada sahaja panggilan masuk juga sms yang mengisi peti masuk mesej. Masing-masing ingin memastikan bahawa rancangan kali ini menjadi.

Aku juga tahu, 24 haribulan September adalah satu tarikh keramat. Tapi, seperti biasa aku tidak mahu menunjulkan diri. Buat-buat lupa. Sebab, lebih seronok kalau aku ucapkan selamat di hadapan mukanya. Ya. Di hadapan muka sahabatku, Fatimah Sri Anas Puteri. Ini bukan kali pertama aku sengaja buat-buat lupa. Ayshah dan Harvindar pun pernah melalui pengalaman yang sama. Namun, setiap kali aku ingin buat kejutan, pasti aku yang terkejut. Bukan mereka.

Pagi-pagi hari Jumaat (6 Syawal), aku dah bangun. Bersiap sedia untuk ke destinasi yang dirancang bersama beberapa teman yang lain termasuklah Jiha dan Airul. Pada mulanya, seakan sukar untuk aku mengikut seperti yang dirancangkan kerana penyakitku (sakit di bahagian perut!) menyerang kembali. Sebelum bertolak dari rumah ku di Rawang, aku sempat meneguk air bali panas. Mudah-mudahan, selamat.


Jiha, aku dan Fatimah

Alhamdulillah, sampai juga aku di rumah Fatimah sambil disambut Jiha, Mama dan Ayu. Manakala Bobot tengah tekun memasak. Pak Anas (ayah Fatimah), pun ada dan menyambut kedatangan aku dengan senyuman. Malangnya, Airul dan Roydy tak dapat hadir. Mungkin kerana hari Jumaat, membantutkan kedatangan mereka.

Jadi bila dah berjumpa, tidak sedar masa berlalu. Masa memang musuh utama dalam persahabatan. Tak puas rasanya untuk duduk berbual-bual, bercerita tentang diri masing-masing. Bergurau senda, ketawa sakan sehinggakan bumbung rumah di PJ itu boleh terbang dibuat hilai tawa kami bertiga.

Saat yang paling aku nantikan, bila Fatimah kata yang hari lahirnya bagaikan tiada siapa yang ingat. Kalau ikutkan hati, aku nak ketawa bila tengok wajahnya yang kelihatan hampa. Aku pun dengan selambanya buat-buat tak tahu dan tanyakan kembali padanya...

"Lah, hari lahir kau semalam ke?"

Dia tunduk saja, jadi dengan pantasnya aku mengeluarkan sampul. Hanya itu sahaja yang mampu aku berikan sebagai hadiah di hari lahirnya. Mana mungkin aku melupakan tarikh penting itu Fatimah!

Fatimah bertanyakan soalan yang sama kepada Jiha. Jiha, selalu ingat haribulan yang betul tetapi selalunya bulan yang salah. Sama juga dengan kes Fatimah ini. Dia terlewat sebulan kerana menyangkakan Fatimah lahir pada bulan sepuluh. Bila dengar jawapannya, aku pun jadi keliru. Sehinggakan aku rasa, aku sudah tersalah tarikh. Sudahnya kami bertiga ketawa berdekah-dekah kerana tengok gelagat masing-masing.

Sebelum bertolak pulang, kami bertiga bertemu dengan Pak Anas. Seronok juga dengar cerita darinya. Bermacam-macam pengalaman yang dikongsi bersama kami bertiga. Aku terharu bila dia menggelar kami bertiga, 'tiga bersaudara'.

Hari Sabtu pula, tiba giliran pertemuan dengan ahli keluarga yang lain. Kali ini di Keramat dan Bangi. Sebenarnya di Keramat, aku dan keluarga pergi menghadirkan diri untuk majlis perkahwinan cucu nenek. Di Bangi pula, Pak Cu buat rumah terbuka. Di situlah kami bertemu dan beramah mesra. Seronok pula aku rasakan sehingga terlupa tentang sakit yang aku alami. Ah, persetankan dengan sakit itu.

Sebelum pulang, keluarga aku dan Pak Andak sempat menziarah Tok Ali yang tinggal satu kawasan dengan rumah Pak Cu. Kalau ikutkan, mahu sampai ke tengah malam kami berjalan dan menziarah ahli saudara yang lain. Namun disebabkan masing-masing sudah tak larat, jadi balik adalah keputusan yang paling tepat.




* Tahniah kepada Harvindar Kaur Gill (Bhindia@Dia) kerana telah dinaikkan pangkat menjadi phua (makcik). Harap Tyashveer Singh (anak buahnya yang lahir pada 25.9.2009) akan sentiasa sihat disamping ayah dan ibu tercinta.

Friday, September 25, 2009

Terharu dan Keliru...KELABU!

Kalau ikutkan hati, aku malas nak mengisi entri blog hari ini. Nak cuti panjang sepertimana aku cuti berhari raya, seminggu lamanya. Namun, rasa di dalam bagai tak lepas. Jadi aku rajin-rajinkanlah diri mengurai kata-kata yang membelengu dan terpenjara di dalam minda aku untuk sekian lama (lama ke?)

Malam raya (kebetulan hari yang sama aku sakit!), kami melawat atuk di Keramat. Ketika itu, aku masih tak sihat sepenuhnya. Bisa perut masih terasa. Kalau sakit biasa, bolehlah juga aku sorok. Pura-pura senyum, buat-buat sihat. Tapi sakit yang ini, lain azabnya. Kesakitan itu segera terpancar di wajahku yang sihat, segar bugar.


Terharu...
Kebetulan di rumah nenek(isteri kedua atuk aku, selepas arwah Wan), Nadia (anak nenek, makcik aku... tapi macam sebaya aku aje pun), tengah sibuk mengemas. Disuruhnya aku bangun ke sana dan ke sini. Aku menurut tapi sedikit lambat. Oleh kerana gerakan yang agak lemah dan perlahan itulah membuatkan abah dan umi buka cerita yang aku sebenarnya baru keluar dari hospital. Kalau ikutkan, aku tak mahulah berita ini diheboh-hebohkan. Malu!

Bila dah dengar begitu, layanan kelas pertama aku dapat. Nenek pun sempat beri macam-macam petua dan tak ketinggalan memberi kata-kata penguat supaya aku tak fikir yang bukan-bukan sebelum tahu keputusan ujian kesihatanku pada hari Rabu berikutnya.

Tak aku nafi, aku rasa sedikit terharu. Tak sangka, ada orang lain selain keluarga aku yang ambil berat tentang aku. Entahlah. Aku sukar nak percaya, orang lain risau tentang kesihatan orang yang lain. Mungkin disebabkan aku jarang sangat bergaul dengan ahli keluarga besar yang lain. Tak ada masa dan memang sengaja malas nak bergaul. Ya, itulah jawapannya. Malas nak bergaul sebab, tak suka bercerita banyak. Terutama sekali yang menyentuh hal peribadi.

Hari raya pertama dan kedua, kami sekeluarga di rumah saja. Abah, umi dan Ayuz masing-masing demam. Aku? Melayan kerenah perut yang adakalanya sakit seperti disiat-siat. Nasib baik, aku dibekalkan dengan ubat penahan sakit. Berbekalkan ubat itulah aku mampu bertahan.

Along balik hari raya kedua. Sakit aku berkurangan. Mungkin sebab dapat jumpa dengan Miqhail semula. Leka bermain dengan anak buah sampai terlupa kesakitan yang aku tanggung. Bila Along dah balik, bermakna kami perlu mula bergerak melawat dan menziarah sanak saudara. Kalau tak, maka tak berertilah raya tahun ini. Ya ke?

Kami sekeluarga pun pergila buat pusingan, menziarah semua saudara mara yang semuanya tinggal di sekitar Selayang, Gombak dan Kuala Lumpur. Mana ada kampung? Kalau adapun, itulah Kampung Puah dan Kampung Chubadak.

Kampung Chubadak yang telah pun dikorbankan atas nama pembangunan. Di situlah penempatan keluargaku, bermula dari zaman moyangku, Umi Kelsum sehingga ke hari ini. Gara-gara untuk memberikan laluan kepada pembangunan, lebuhraya DUKE merajalela di Kampung Chubadak. Alhamdulillah, masih ada lagi kesan peninggalan keluarga kami. Di situlah aku dan sekeluarga beraya sambil melihat kereta-kereta memecut laju di dada DUKE.

Sesampainya aku di kampung Selayang, soalan pertama yang aku temu dari Pak Cu dan Pak Andak...

"Izan, macam mana? Dah sihat? Apa kata doktor?"

Ya! Kali pertama soalan yang lain dari sebelum ini. Dulu, kalau nampak muka aku aje, soalan tentang kahwin yang terpacul, kali ini berbeza.

"Bolehlah, doktor suruh datang hari Rabu sebab hospital tak ada doktor. Semua cuti," jawabku.

"Jangan risau sangat ya, tak ada apa-apa tu," kata Pak Cu, tapi bukan terus kepadaku.

Aku diam saja. Dalam hati, terharu. Ya. Aku tak boleh menipu diri. Aku benar-benar terharu dan tidak menyangka akan bertemu dengan keadaan ini.

Pergi pula ke Kampung Chubadak yang penduduknya di situ semuanya adalah saudara mara abah. Ke hujung, kiri dan kanan. Semuanya saudara. Disebabkan jarak antara rumah ke rumah dekat, jadi aku dan yang lain-lain hanya berjalan kaki. Ketika dalam perjalanan nak balik, tereserempak dengan Mak Ande pula. Belum sempat ke rumah, di tengah jalan pun jadi untuk berborak.

"Mak Ande dengar kau sakit ada kat hospital, macam mana sekarang ni. Dah sihat?"

"Sakit sikit aje. Doktor saja mengada-ngada buat orang risau," kataku, tidak mahu melarat panjang.

"Kau jaga kesihatan Izan. Dahlah abah kau macam tu, jangan kau pula tak sihat. Susah nanti," nasihat dia. Aku menyimpan nasihatnya itu.

Ke mana saja aku pergi sekarang, semua pasti bertanya hal kesihatanku. Aku hanya mampu katakan, yang aku sendiri tak pasti sebab doktor tak beri keputusan yang jelas. Sepertimana mereka tertanya-tanya tentang aku, aku pun lebih lagi tertanya-tanya apakah sakitku ini.


Keliru...
Hari Rabu pun tiba. Setelah beberapa hari aku menahan diri dari berfikir benda yang bukan-bukan, akhirnya aku akan dapat keputusan ujian yang aku jalani Sabtu lepas.

Pagi-pagi lagi aku dah bangun. Tak mahu lambat sampai ke hospital. Abah menemankan aku. Manakala yang lain, menunggu saja di rumah dan bersedia bila-bila masa untuk datang sekiranya aku buat panggilan dan beritahu berita buruk.

Sampai di hospital sekitar pukul 8.30 pagi. Aku berjalan menuju ke klinik pakar bedah dengan hati yang sudah pun goyah. Aku pergi ke kaunter dan tunjuk surat. Jururawat yang bertugas di kaunter, menyuruh aku pergi ke tingkat dua, bahagian SOPD. Katanya, selesai saja aku berjumpa dengan doktor, baru aku boleh buat pendaftaran untuk masuk ke wad dan jalani pembedahan.

Ya Allah. Berceramuk darahku dibuatnya. Takkanlah aku perlu dibedah. Sedangkan aku sendiri tak tahu sakit yang aku tanggung, tiba-tiba mahu dibedah. Seram sejuk aku dibuatnya. Aku pun melangkah menuju ke klinik pakar bedah. Tiba di sana, aku jadi keliru kerana jawapan dari jururawat yang bertugas di sana pula berlainan.

"Hari ini, kami tiada pesakit. Nama cik pun tiada dalam data,"

Aku benar-benar keliru. Kenapa lain-lain jawapan yang aku terima? Aku terus berdiri di situ dan mengatakan pada jururawat yang aku di hantar oleh doktor yang memeriksa aku pada Sabtu lepas.

Mungkin, dia tidak mahu bercakap banyak, dia suruh aku duduk. Beberapa minit kemudian, aku dipanggil dan diarak masuk ke dalam bilik doktor.

Belum sempat berkata apa-apa, dengan selamba doktor itu berkata...

"Masih sakit lagi atau tak?"

"Saya makan ubah, dah kuranglah sakitnya," jawabku.

Dia membelek-belek surat yang aku bawa sambil sempat menyemak e-melnya, di depan mataku. Pesakit yang tak tahu apakah penyakit sebenar yang ditanggungnya.

"Saya beri awak tempoh dua minggu, baru datang sini semula," katanya sambil menyerahkan surat dan kad kepada jururawat.

Itu sahaja? Tak ada pemeriksaan lanjutan langsung? Apa guna aku habiskan masa sekadar untuk datang mengambil tarikh dua minggu lagi? Dahlah begitu, ubat pun tidak diberinya.

Jururawat menyerahkan aku tarikh baru untuk aku datang melaporkan diri. 14 Oktober. Masa tu, aku dah pun bekerja. Apa dia fikir, aku tak ada kerja lain nak menapak ke hospital 24 jam?

"Nanti datang ya, kemudian baru kami aturkan untuk rawatan atau pembedahan,"

Gila apa? Tak tahu apa sakitnya tiba-tiba nak bedah?

"Kalau saya sakit teruk dalam masa 2 minggu ni?"

"Beri kad ni di wad kecemasan, masa tu tak perlu temujanji," jawapnya sambil menghulurkan kad temujanji padaku.

Aku mengambilnya dan terus terbayangkan scene filem Hindi yang baru ku tonton sehari sebelum itu. Di mana dalam scene itu menunjukkan doktor di sana enggan memberi rawatan selagi para pesakit tidak mengikuti prosedur yang telah ditetapkan. Ironinya, pesakit itu berdarah kepala dan tidak mampu bergerak serta didukung oleh bapanya. Macam mana dia mampu bertahan sehingga selesai prosedur. Kalau diikutkan juga prosedur, matilah pesakit sebelum sempat dirawat.

Begitulah keadaan aku ketika ini. Aku ceritakan pada kawanku yang benar-benar ambil berat tentang diriku, Ayshah. Dia suruh aku pergi sahaja ke hospital swasta, guna duit abah.

Selama ini aku dah banyak guna duit abah, takkan dah tua macam ini pun aku nak susahkan dia?


KELABU...
Apa gunanya kalau kerajaan bersikap sedemikian? Apakah ini konsep sebenar 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?

Aku sebagai rakyat pun dah diperlekehkan, inikan pula pencapaian mampu diutamakan. Omongan kosong belaka. Hospital kerajaan untuk rakyat atau sekadar sebagai lambang 'kemestian'?

* Ubat masih ada, tapi sengaja tak aku jamah. Jemu. Kalau ditakdirkan mati, mati jugak!

Sunday, September 20, 2009

Eid Mubarak, Salam Aidilfitri....


SALAM AIDILFITRI


Andai mulut salah bicaranya,
Andai mata khilaf pandangannya,
Andai telinga cuai pendengarannya,
Andai minda khayal pemikirannya,
Andai aku pernah mengecewakan,
Dalam jaga mahupun lena,
Maafkanlah aku.

Dari aku,
Anak,
Saudara,
Sahabat,
Teman,
Kawan,
Kenalan,
Pelajar
dan
seorang insan bernama
Shahaini Aizan Md Zahar
@
Romibaiduri Zahar
@
Shai Zahar




EID MUBARAK


Satu hari sebelum raya...


Rabu... ku menghitung hari keputusan

Aku pasti tidak dapat melupakan sambutan menjelang Syawal pada tahun ini sampai bila-bila. Sedang orang lain sibuk membuat persiapan terakhir, aku terpaksa dikejarkan ke hospital. Mulanya aku sangkakan sakit perut biasa. Namun, lama kelamaan aku sendiri tak boleh tahan. Inilah kali pertana, aku sakit yang tak dapat ditahan-tahan lagi sakitnya.

Siapa sangka, tubuh badan yang sihat tiba-tiba dirasuk bencana. Ya! Begitulah juga keadaan aku. Pagi-pagi, aku mengikut Along ke Selayang hendak menghantar baju yang sudah tersalah ukuran.Opps, bukan berat semakin naik, cuma ada bahagian yang tak selesa dan sesuai untuk aku pakai.

Perjalanan ke Selayang yang tidak sampai pun setengah jam telah mencatatkan masa terbaru. Hampir satu jam kami tersadai dalam kereta gara-gara kesesakkan lalulintas. Mulanya aku bawa juga tidur sebab abang iparku yang memandu ketika itu. Sedang asyik memerhati pejalan kaki, perutku mula meragam. Serba tak kena aku dibuatnya.

Balik ke rumah, aku mengadu pada umi. Umi kata mungkin tersalah makan. Aku tak setuju dengan kata-kata umi. Umi suruh aku berbuka. Hish, mana boleh? Rugilah dah puasa sampai pukul 2 petang. Tunggu sikit jam saja lagi.

Malangnya, aku memang tak dapat nak bertahan terus meluru ke bilik air untuk muntah. Aku sedih, sebab tak dapat tengok Along dan Miqhail berangkat pulang ke kampung. Selepas muntah, badan aku rasa sangat lemah dan perutku pedih semacam ada sesuatu yang sedang membaham.

Abah suruh aku ke kliniik. Mulanya aku tak mahu nak susahkan abah. Apa taknya? Masak rendang masih belum siap. Kuah kacang dan macam-macam persiapan lain. Abah berkeras dan aku pergilah ke klinik di Country Home sebab semua klinik di BTP tutup.

Sampai saja klinik, doktor tak cakap banyak... dia terus menekan perutku. Aku hampir sahaja mahu menjerit. Sakitlah doktor oi! Kemudian, dia berikan aku surat. Mulanya aku tak baca. Aku fikirkan surat biasa dan nama-nama ubat. Tapi bila dia cakap,

"Awak suspect appendix, ambil surat ini dan pergi ke bahagian kecemasan di hospital Sg. Buloh,"

"Lain kali sajalah doktor. Esok nak raya, banyak kerja nak buat ni," balasku.

"Kalau tak buat dengan segera, saya khuatir ianya pecah dalam perut. Lagipun awak betul-betul sakit, bukan?" soalnya pula.

"Memanglah saya sakit tapi saya tak sedia pula nak bermalam di sana pula," bentakku.

"Saya pelik, awak kata awak betul-betul sakit. Tapi masih boleh senyum," katanya pula.

"Saya sedang tahan sakitlah saya senyum,"ujarku lantas pergilah ke hospital Sg Buloh ditemani umi,abah dan ayuz.

Sampai sana, aku terpaksa tunggu berjam-jam. Pelbagai ujian aku perlu duduki. Ya. Memang aku sedang dalam pengawasan. Tapi bukan disebabkan penyakit appendiks tetapi sakit lain. Aku disuruh pulang dan datang semula lepas raya. Terus pergi ke doktor pakar bedah sebagai rawatan.

Perasaan dah bercampur. Kegembiraan raya dirampas sekelip mata. Kini aku asyik memikirkan apa yang bakal terjadi padaku nanti... Wallahualam....

Friday, September 18, 2009

Berbuka Puasa Ala Thai...

Kemanisan kunjung tiba juga di hujung Ramadhan. Ops, jangan salah faham. Bukan aku tidak bersyukur berada dalam bulan Ramadhan ini. Cuma, terkadang ada sebabnya membuatkan aku kesayuan dan kesedihan kerana diri tak mampu mengulangi saat-saat manis yang lampau. Saat-saat yang pernah dilalui ketika berpuasa bersama-sama sahabat.

Semuanya gara-gara tak ada masa. Bila aku kata tak cukup masa, percayalah cakap aku. Memang aku tak cukup masa untuk diri sendiri, inikan pula untuk orang lain. Mula-mula, aku sedih juga, ramai yang tak faham situasi aku. Malah, ada yang telefon aku pun mesti maki-maki kata aku tak ingat kawanlah sebab tak boleh cari masa berbuka sama.

Kenangan berbuka puasa di Tebing.



Apa aku boleh katakan di sini, lantaklah kalau dah tak faham sangat. Kalau kalian fikir aku sudah lupa, tak apa. Tapi, adakah kalian tahu betapa aku rindukan situasi itu? Pernah ada sesiapa terfikir perasaanku setiap kali menatap gambar-gambar berbuka puasa beramai-ramai di Tebing? Jangan asyik ingat rasa sendiri saja. Macamlah aku tak ada perasaan kalian buat begini. Sedih tau tak?

Jadi semalam, setelah beberapa hari aku dengar desas-desus yang syarikat mahu adakan makan-makan berbuka puasa. Akhirnya keluarga kecil tempatku bekerja menapak ke De' ChiangMai Restaurant yang terletak di Sungai Buloh untuk menjamu selera. Jarak antara restoran itu dengan pejabat taklah sejauh mana, tetapi disebabkan hujan yang lebat membuatkan kami semua tiba lewat.

Lebih kurang pukul 7.15 malam baru sampai. Sampai-sampai saja tengok semua dah mencekik. Tak apa, dugaan. Aku dan ahli kumpulan yang lain di bawa pula ke meja yang khas untuk kami semua (11 orang kesemuanya)Makanan sampai lambat (sebab sampai kat sana pun lewat, betul tak?). Tak apa, aku buka puasa pun berbekalkan air longan yang pada mulanya aku sangkakan air laici. Tragik betul, longan dengan laici pun tak dapat beza. Apa taknya, selalu berbuka dengan kurma... tup tup buka dengan air sejuk. Tunas deria rasa sedikit keliru dan bingung macam empunya diri juga.

Mulanya rasa sikit kekok. Yalah, aku bukan biasa makan-makan bersama dengan orang yang tak berapa mesra dengan sifat semulajadiku. Kalau dah biasa, barulah berselera nak makan. Semalam makan pun sebab, nak berbuka puasa dan isi perut yang dah mula menunjukkan tanda-tanda nak gastrik (aku pantang betul bila gastrik, sebab aku benci muntah!)Lepas dah makan-makan, aku gatal tangan sms umi. Ucap selamat berbuka pada dia (padahal dah selamat makan pun). Sedih pula bila aku baca sms yang dia balas semula pada ku...

"Malam ni takde selera la sebab kau tak ada, Banyak lebih la."

Itulah umi aku. Terharu pula aku dengar.

Selepas selesai menjamu selera dengan hidangan Thai, aku tak balik terus. Duduk-duduk, berborak dan berbual. Sembang-sembang sampai nak mencecah pukul 8.30 malam. Aku dah mula resah. Jadi dengan selamba dan ringan mulutnya aku tanya Man (rakan sekerjaku).

"Lambat lagi ke nak duduk borak-borak ni? Baik balik aje,"

"Kena tunggulah," katanya ringkas.

Memang itulah yang aku buat. Jasad di situ, hati dan fikiran di rumah. Terbayang-bayangkan lauk-pauk yang umi masak. Masakan Thai di depan mata masih tidak dapat menandingi masakan air tangan umi. Namun, tak pula aku nafi, aku rasa gembira sekali kerana dapat berkumpul dengan majikan-majikan dan pasangan masing-masing. Dihiasi pula dengan puteri-puteri yang comel dan putera yang nakal.

Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenangan yang mana kalau boleh aku tak mahu pun ada dalam gambar itu sebab, aku hanya mencacatkan gambar-gambar yang cantik itu.

* Aku pasti akan rindukan suasana semalam. Bertambah lagi satu kenangan yang entah akan berulang lagi atau pun tidak. Cuma Allah sahaja yang tahu. Wallahualam.

Thursday, September 17, 2009

Tertanam Jauh Ke Dalam....

Puas cari...
tak jumpa tak juga ketemu...
Tapi dia ada...
Bagai siang berteman mentari
Bagai bulan bersahabat dengan malam

Aku cari lagi
Kali ini dia dekat
Benar-benar dekat
Sedekat kerongkong...
Sehampir nyawa dan nafas....

Trauma datang mengetuk...
Pintu dengan engsel berkarat...
Belum sempat terbuka...
Kembali tertutup rapat...
Rasa yang berkuntuman...
Tertanam jauh ke dalam....

* Bisakah rasa itu menggapai naik ke permukaan semula? Wallahualam....

Wednesday, September 16, 2009

Malang atau kebetulan?



Pagi ni aku kehilangan tiket yang bernama 'mood' tetapi itu tak menghalang aku dari terus melangkah keluar rumah untuk menjalankan tanggungjawabku dan amanah yang ku pegang untuk mencari rezeki yang halal.

Alhamdulillah, sampai di tempat kerja 'mood' aku kembali tersuntik sedikit demi sedikit. Tambahan pula tugas yang diberikan tidaklah seberat rakan sekerjaku. Aku jauh lebih bertuah dan dalam masa yang sama, jauh lebih rugi.

Bak kata abah, kerja itu salah satu ibadat. Bila aku kurang kerja, aku rasa kosong dan aku penat dengan diriku yang aku sendiri rasa terlalu membosankan. Pada saat-saat beginilah, tangan mula merapu dan mulut melalut bercakap sekadar hanya untuk membazir tenaga otot-otot pipi dan urat-urat otak.

Seingat aku, ketika di zaman sekolah, bila tiba saja hari Rabu aku pasti muncung. Tak ada semangat nak pergi sekolah apatah lagi mengulangkaji dan belajar. Hati terasa berat seakan hari Rabu ini ada sumpahan ke atas diriku.

Bila menganjak dewasa, 'badi' kemuraman hari Rabu sudah tidak ada. Malah, hari-hari adalah hari ceria bagiku. Sekejap, apa kena mengena pula tajuk entri dengan hari Rabu ni? Ada, memang sesuai betul tajuk itu dengan isi entri kali ini.

Kebiasaannya proses memanaskan injin bagiku di pejabat terjadi dalam proses yang agak perlahan. Begitulah juga keadaan yang berlaku hari ini. Menjelang tengah hari, barulah ada sedikit kelancaran mencantumkan patah-patah kata sehinggalah membentuk satu artikel penuh.

Sedang aku bersungguh-sungguh dengan setiap patah perkataan yang keluar, aku menerima panggilan dari seorang sahabat yang umurnya setahun muda. Aku masih mampu menjawab kerana aku faham perasaan jika panggilan tidak berjawab.

Pada mulanya, perbualan biasa-biasa saja. Sehinggalah sampai ke satu tahap yang aku sendiri tak boleh nak terima kata-kata yang keluar dari mulut sahabatku itu. Dan ketika ini pula aku kehilangan teman yang sentiasa ada dalam hatiku. Teman yang bernama 'kesabaran'.

Ini adalah kali kedua sahabatku itu (aku tak pasti dengan sengaja atau tidak!) menyakitkan hati aku. Sebelum ini dia ada menyentuh tentang datuk aku. Tak perlulah aku sebut apa, tapi memang cukup menghiris keping hatiku. Fikirku, kalau benar dia kenal aku, tentu dia hormat perihal atuk atau sesiapa saja dalam keluarga aku. Tapi, aku maafkan. Biarlah, mungkin dia tak sedar.

Namun, kali ini aku gagal untuk memahami atau mampu memaafkan. Benar. Aku mengaku, aku lebih cenderung bila orang memanggil aku kakak. Lagi bertambah pedih bila dia menggunakan pangkat panggilannya untuk tiket aku jatuh dan rebah atas kehendaknya.

Maaf 'dik', kau harus faham hubungan itu lebih dulu. Lagipun, setiap manusia ada masalah sendiri. Tidak bermakna jika 'dik' seorang bermasalah orang lain tidak ada. Sudah tiba masanya, 'dik' selesaikan masalah dengan cara dan pemikiran sendiri dan tidak selamanya bergantung kepada orang lain.


FAHAMILAH, AKAK TAK BERDAYA SEBAB AKAK PUN ADA MASALAH SENDIRI DAN SEDANG CUBA TIDAK MEMBAWA MASUK ADIK-ADIK SEKALIAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH INI. BERFIKIRLAH DENGAN CARA LEBIH DEWASA DAN BIJAK. BUKAN SEKADAR MENANGISI DIRI UNTUK KESALAHAN DAN KESILAPAN YANG SUDAHPUN KAU(MALAH KITA SEMUA) CIPTAKAN!'




SELAGI TANGAN KITA BERPEGANGAN SELAGI ITULAH AKU BERDAYA MENOLONG NAMUN BILA SEKALI TANGAN KAU LEPASKAN BUKAN AKU TIDAK BERDAYA TETAPI AKU SUDAH TIDAK BERMAYA UNTUK MELALUINYA BERSAMA LAGI KERNA AKU LETIH, SEDIH, HAMPA DAN KECEWA!

Selesai masalah berperang dengan telefon bimbit. Aku ambil kesempatan untuk pergi menunaikan kepingan cek yang diberi kerana khuatir sekiranya aku guna khidmat mesin, makanya, selepas raya belum tentu duit itu akan dapat aku perolehi.

Tepat pukul 1 tengahari, aku keluar dari pejabat menuju ke bank. Aku sudah pun menetapkan tempoh untuk aku selesaikan urusan bank iaitu sebelum pukul 2 petang. Alhamdulillah, aku berjaya. Malangnya, kad pengenalan aku tertinggal di kaunter bank. Semuanya gara-gara prosedur yang membingungkan aku.

Aku terpaksa menyuruh pihak bank, simpankan kad pengenalan kerana aku akan ambil selepas pulang dari pejabat. Kebetulan kerja dah siap, majikan pun tiada maka aku berkeputusan untuk keluar pejabat awal untuk sampai sebelum pukul 6 petang di bank.

Ya! Memang aku keluar dari pejabat awal(tepat 5.30). Masalah lain pula timbul. Sistem alarm kereta tidak berfungsi. Puas aku mengetuk alat kawalan jauh. Masih juga tidak berfungsi. Awalnya aku mahu minta tolong rakan sekerjaku, tapi bila fikir yang aku hanya menyusahkan dia, aku batalkan saja niatku itu. Lagipun, dia tentu ada banyak lagi urusan selepas kerja.



Jadi, tanpa melengahkan masa yang sememangnya aku sedang kesuntukkan masa (takut tak sempat sampai bank sebelum pukul 6) aku buat panggilan menelefon abah. Jawapan yang aku terima dari abah memang enak didengar.

"Entah apa yang kau buat dengan kereta tu, sampai bisu pula,"

Memang kata-kata itu tidak membantu, tetapi membunuh. Tak aku nafi ketika itu aku hampir-hampir menangis sehinggalah sampai seorang hero dari Hong Kong yang ala-ala Jet Li datang menyapa.

"Ada apa prob?" soalnya tanpa kehadiran senyuman di bibir.

"Saya tak boleh nak buka kereta ini, alarm tak berfungsi tapi lampu bernyala," terangku panjang lebar.

"Beri saya alat kawalan jauh tu," pintanya dan aku menurut tanpa membantah.

Tak sampai beberapa saat, pintu kereta berjaya dibuka. Bagaimana caranya? Ops, aku tak boleh nak ajar sebab takut ada yang ceroboh masuk ke dalam kereta kesayanganku pula. Kemudian dia mengajar aku bagaimana nak buka juga tanpa guna alat kawalan jauh.

Aku sempat berterima kasih kepada hero itu. Malangnya, aku tak sempat bertanyakan nama. Insya-Allah, pasti akan bertemu juga di satu hari nanti. Setelah itu, aku memecut deras untuk tiba ke bank. Ya! Aku bertolak dari pejabat pukul 5.40 petang. Tetapi dengan kuasa ajaib pedal dan kakiku, aku sampai juga di bank sebelum pukul 6 petang iaitu lebih kurang dalam pukul 5.50 petang.

Sampai di sana, ada masalah komunikasi pula dengan sekuriti. Adoila... lepas satu, satu lagi masalah yang timbul. Dahlah aku terpaksa meredah hujan. Kuyup jugalah baju dibuatnya. Walaupun aku memang suka bermain hujan, tapi macam tak kena gaya pula kalau tetiba aku berjalan dan menari-nari dalam hujan. Silap haribulan orang panggil aku... SEWEL!

Sebaik sahaja aku berjaya melepaskan diri dari kekusutan di bank, ada masalah lebih besar lagi. Ya! Kesesakkan lalulintas. Ada cerita yang agak menarik tapi rasanya biarlah di masa akan datang. Buat masa sekarang ini, selesaikan cerita untuk entri kali ini.

Rawang, memang sudah cukup serasi dengan masalah kesesakkan lalulintas. Namun, aku dikira bernasib baik kerana sempat sampai sebelum berbuka puasa.

Jadi, bila aku mengenang semua peristiwa yang berlaku hari ini adakah ia sekadar kebetulan terjadi pada hari Rabu, atau pun Rabu itu benar-benar tak sesuai dengan aku. Hish, tak patut cakap macam itu. Masalahnya, aku bercakap saja bukan ada niat apa-apa pun. Biarlah apa pun juga, satu hikmah yang paling besar berlaku hari ini ialah, aku tak payah tunggu lama dan balik terus saja berbuka. Urrrppp.... kenyang pulak.....

Tuesday, September 15, 2009

Rasa Ini Membunuh...

Saja-saja nak isi entri kali ini dengan sesuatu yang menenangkan sikit. Bukan semua orang suka membaca. Ada yang langsung tak suka membaca. Itu yang buat aku tak faham. Kenapa ya?

Hari ini, mood aku sedikit berbunga. Kenapa? Biasalah tu, sedang dalam proses memakai kulit orang lain. Aku ingin hiburkan diri dengan lagu 'Dont say Alvida'. Liriknya menarik, susunan muziknya pun harmoni dan melodik.

Kalau siapa nak dengar cuma klik di sini tapi sebelum itu peringatan ianya khas untuk orang yang tahu menghargai muzik dan bukan mengutuk bahasa orang lain! Benci betul kalau jumpa orang macam ni.

Ini lirik lagu dan terjemahannya.

Ajeeb Ittefaq Hai
Strange Coincidence This Is
Kya Mulaqat Hai
What A Meeting This Is

Ajeeb Ittefaq Hai
Strange Coincidence This Is
Kya Mulaqat Hai
What A Meeting This Is

Mil Gaye Aaj Phir
Today I Ran Into You Again
Koi To Baat Hai
There Must Be Something
Takaluf Chodiye
Stop Being Formal
Aji Tarruf Kijiye
Please Introduce Yourself

Takaluf Chodiye
Stop Being Formal
Aji Tarruf Kijiye
Please Introduce Yourself

Aaye Aur Chale Diye
You Came And Than Left

Na Kaho Alvida
Dont Say Alvida

Na Kaho Alvida
Dont Say Alvida

Chalte Chalte Raahon Mein
While Walking In These Streets
Rukne Laga Hoon
I Have Started Stoping

Aisa To Nahi Tha
I Was Not Like This
Jaisa Ho Gaya Hoon
The Way I Am Now

Aaye Hawa To Milun Muskura Ke
I Meet The Wind With A Smile
Kisse Sunaau Karun Teri Baatein
I Talk About, Tell Your Stories

Jane Kyun Lagta Hai Yeh Sapna
Why Does This Seem Like A Dream
Kyun Koi Ho Raha Hai Apna
Why Someone Is Becoming Mine

Aise Kyun Kho Rahi Duniya
Why Am I Losing This World
Kyun Lage Ab Nahi Hoon Tanha
Why Does It Seem That I Am Not Alone Now

Takaluf Chodiye
Stop Being Formal
Aji Tarruf Kijiye
Please Introduce Yourself

Aaye Aur Chale Diye
You Came And Than Left

Na Kaho Alvida
Dont Say Alvida

Once Upon A Time
Once Upon A Time I Was So Lost And All Alone
Then You Brought Sunshine To My Life
Make Me Your Own

I'm So Afraid That I Dont Wanna Ever Let Go
Of This Special Feeling No No

Shiqwa Nahi Hai Tujhse Shikayat Nahi Hai
I Don't Have Any Complains From You
Teri Har Baat Mujhko Acchi Lagti Hai
I Like Everthing You Say

Dekhun Jo Mud Ke Darta Hai Yeh Dil
I Get Scared When I Look Back
Kahin Raston Pe Kho Na Jaye Manzil
What If Our Destination Is Lost In These Streets

Tera Milna Yun Karam Hai
Meeting You Like This Is A Blessing
Dil Mera Todna Kasam Hai
Promise Me You Will Never Break My Heart
Tere Bin Tanha Tanha Hum Hai
Without You I Am Lonely

Ruk Ja Zindagi Kasam Hai
Stop This Life, I Swear

Takaluf Chodiye
Stop Being Formal
Aji Tarruf Kijiye
Please Introduce Yourself

Aaye Aur Chale Diye
You Came And Left
Na Kaho Alvida
Dont Say Alvida

Monday, September 14, 2009

Maaf, tak tahu!

Kebelakangan ini dah ramai sangat orang bertanya tentang karya kedua aku. Sudah aku jawab pada mereka-mereka yang prihatin ini, karya kedua aku(novel penuh), sedang dalam pembikinan. Bukan dalam penyuntingan atau proses cetakan, sebaliknya masih diusahakan.

Aku yakin sangat karya kedua aku ini pun bakal ikut jejak Rindu Pada Matahari (ambil masa bertahun lamanya). Banyak perkara yang perlu aku kaji. Tambah pula aku masukkan unsur antara budaya, antara agama. Salah fakta dan memesongkan pemikiran orang, aku yang memikul dosa.

Tanggungjawab dan amanah sebagai penulis tak boleh dipandang ringan semata-mata nak mengumpul kuantiti karya. Bak kata Tuan Haji Rahim dan Tuan Haji Ghazali, setiap penulis perlu ada rasa tanggungjawab.

Jadi, siapa kata tugas penulis ini senang? Setakat cucuk Mp3 kat lubang telinga, tekan kekunci komputer dan imaginasi kosong depan skrin komputer. Aku tak tahu kalau ada penulis jenis ini tapi maaflah, itu bukan aku.

Selain itu, ada juga yang prihatin dan peka terhadap perkembangan perjalananku sebagai penulis. Malah, ada yang tak jemu-jemu tanya tentang mini novela aku Hatimu Hatiku Jadi Satu. Bila agaknya akan keluar di pasaran sebab ada yang dah cari pun. Aku hanya boleh cakap pada mereka,

"Maaf, saya pun tak tahu bila keluar atau berada di pasaran."

Teman-teman terdekat yang sentiasa menantikan karyaku pun tidak ketinggalan bertanyakan soalan yang sama.

"Shahaini, aku nampak cover dah lama kau tampal kat blog. Kenapa aku cari di kedai buku masih tak ada," tanya salah seorang dari mereka.

"Aku tak tahu! Yang aku tahu, aku dah hantar karya aku. Bila nak keluar? Macam mana juga jenis promosinya, sumpah demi Allah, aku tak tahu. Mereka ada tenaga pemikir strategi yang hebat-hebat dan lebih tahu bila masa yang sesuai dan aku rasa penulis tak perlu tahu," kataku pula bagi menjawab pertanyaannya itu.

"Biar benar kau ni, takkanlah satu benda pun kau tak tahu. Atau kau yang malas bertanya?" soalnya lagi yang menjengkelkan aku.

"Bodohlah aku kalau aku tipu kau. Aku dah tanya tapi jawabnya belum. Maknanya belumlah. Takkan aku kena berpandir pada mereka. Kalau kau sendiri di tempat aku, kau pun tentu malas nak bertanya soalan yang sama berulang kali, betul tak? Jadi, biarlah. Mereka lebih arif," jelasku panjang lebar.

Benar. Bukannya aku tidak ambil berat tentang mana-mana karyaku. Masalahnya, kalau aku terlalu sibuk bertanyakan itu dan ini, tentu pihak yang berkenaan jemu. Sebagaimana aku naik jemu menjawab pertanyaan orang lain. Bezanya, mereka bertanya pada aku yang tak tahu apa-apa. Dan jawapan yang selalu aku berikan....

"Maaf, saya tak tahu."

* Kalau mereka sebagai pembaca, risau dan tertanya-tanya bila karya penulis akan keluar, cuba bayangkan perasaan penulis itu sendiri? Selagi boleh butakan mata, hati dan perasaan. Aku butakan saja. Kalau tak boleh...

Sunday, September 13, 2009

Tag Dari Kak Umaira...

Sudah agak lama serangan virus Tag ni menyepi. Tup, tup... muncul kembali. Terima kasihlah kepada kak Umaira kerana sudi memiilih saya sebagai penjawab Tag yang seterusnya.

1) Anda rasa anda hot?
Suam-suam kuku
Hot (hot tempered... most of the time, lately :p
)

2) Upload gambar kesukaan/kesayangan anda


3) Kenapa anda suka/sayang dengan gambar ini?
Putih, suci dan bersih...

4) Bila kali terakhir anda tak puasa?

Beberapa minggu lepas. Dapat jemputan melawat negara matahari terbit!

5) Apa yang anda buat sambil selesaikan tag ini?

Sedang siapkan mss Dwilogi Cinta sambil dengar lagu
"Love Me Love Me"
dari filem Wanted!

6) Selain dari nama anda sendiri, anda suka dipanggil dengan nama apa?

Aizan
(belum pernah orang panggil pun, tunggu seseorang
yang istimewa di hati untuk guna panggilan tu nanti)


7) Tag lagi 7 orang tanpa rasa kekesalan...
Memang kesal nak tag orang lain. Takkan berjawab.

* Kak Umaira, terima kasih sekali lagi tapi tentang nak beri tag pada orang lain Romi terpaksa skip sebab tak ada mood nak beri. Tawar hati.

Monday, September 7, 2009

Mungkinkah...

Sukar untuk menggambarkan hari ini.

Pedih yang terlalu pedih.

Sakit yang terlalu sakit.

Rasa diri bagai sendiri.

Semakin sepi semakin tak dipeduli.

Mungkin satu saja jawab yang kuberi pada diri...

aku perlu kembali kepada alam fantasi...

Bertemankan famili yang sentiasa menghargai.

Sunday, September 6, 2009

Selayang dan Bingka


Aku lahir dan dibesarkan sehingga berumur 5 tahun, di sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah kepesatan kota Kuala Lumpur. Bukannya Kampung Baru tetapi Kampung Puah. Bila aku berumur 6 tahun sehingga 23 tahun, aku menetap di Selayang. Baru saja 3 tahun lepas, aku duduk di Rawang. Aku pasti, inilah destinasi terakhir. Insya-Allah.

Tak banyak kenangan yang aku ingat ketika duduk di Kampung Puah, melainkan Atuk, Wan, ayam, arnab, basikal dan buaian. Mungkin disebabkan, aku lewat bercakap (umurku 4 tahun baru mula bercakap, itupun masih pelat) jadi tak banyak perkara yang aku boleh ingat. Kalau aku ingatpun, tentang peristiwa dikejar Angah dan Wan sebab selalu buat kacau di rumah mereka yang terletak di sebelah rumahku. Adakalanya, aku terjatuh sebab cuba mengelak dari ditangkap. Hasilnya, parut di dahi. Tanda budak nakal.



Sepanjang hayatku sehingga hari ini, Selayang merupakan tempat aku mengenali segala-galanya. Banyak pengalaman yang aku kutip di Selayang. Malah aku mula mengenal dan merasa perasaan 'sayang' itu pun di Selayang. Jadi, terlalu sukar untuk aku memadamkan Selayang.

Namun, kali ini aku tidak pula hendak bercerita tentang 'itu'. Cerita dah lama terkubur, buat apa digali semula?

Sudah agak lama juga aku tidak menjejakkan kaki ke Selayang. Kali terakhir pun sebab menempah baju untuk raya, sebulan yang lepas. Aku pernah katakan pada umi, yang aku mahu datang lagi ke Selayang. Ke bazaar Ramadhan Selayang. Bagi aku, Selayang seumpama syurga dunia. Banyak jenis makanan yang ada dijual. Tambah pula bulan Ramadhan, pelbagai juadah berpuasa tersedia untuk dibeli.

Kenapa bazaar Selayang? Kenapa tak beli saja makanan di bazaar Bandar Tasik Puteri?

Senang saja jawapannya. Di BTP tak ada kuih-muih tradisional kegemaran aku. Kuih bingka ubi. Sudah agak lama juga aku mengidam nak makan, malah sebelum puasa lagi. Jadi, semalam aku nekad. Walaupun sudah lewat, aku tetap berdegil mahu juga ke Selayang.

Sampai saja di bazaar Ramadhan, aku dan umi jalankan misi mencari kuih bingka. Sementara abah pula, cari hidangan berbuka puasa yang lain. Puas juga aku meneliti setiap isi gerai kuih-muih. Malangnya, tidak ada satu pun yang menjual kuih yang aku idam-idamkan.

Aku dah mula patah hati, entah macam mana abah muncul di depan aku dan menghulurkan sebungkus juadah yang dibelinya.

"Nah, kuih bingka ubi kau," kata abah.

"Ada 3 jenis, kau ambillah... makan puas-puas. Abah beli banyak," tambah abah lagi.

"Abah cari kat mana? Puas Izan dengan Umi cari tapi tak jumpa?" soalku kehairanan tetapi sukar untuk aku mengawal perasaan keterujaan melihat kuih bingka yang sudah selamat berada dalam genggaman.

Abah hanya senyum.

Aku sampai lewat di rumah, tetapi sempat-sempat sebelum masuk waktu berbuka. Sedang orang lain khusyuk berbuka puasa, aku pula makan sambil merenung kuih bingka ubi. yang sengaja aku letak di depan mata. Dalam hati berkata-kata... "tak sabarnya aku nak makan kau".


Sekadar gambar hiasan

Selayang adalah tempat jatuh bangunku. Sukar untuk aku membuat perbandingan antara Selayang dan Rawang. Bagiku, Selayang memberi impak yang terlalu besar dalam hidupku kerana sebahagian besar riwayatku di sana. Rawang? Aku masih mencari-cari ruang untuk membuatkan aku selesa di sini. Namun, aku bersyukur.... Rawang memberikan aku keselesaan dan ketenangan (tetapi ada juga ketikanya rasa macam perang bila-bila saja aku pulang dari kerja.)

Thursday, September 3, 2009

Jerman & Wanted!



Hari ini, tersangatlah bosan. Baru tadi dapat tahu yang aku ada tugasan penting Isnin ini. Paling mendebarkan aku sebab inilah pertama kali aku akan hadiri satu sidang akhbar untuk produk terbaru, jenama terbaru dari Jerman. Jerman!!!! Mak aih, sakit terus telinga aku memikirkannya. Jadi, aku perlu sediakan soalan-soalan yang mantap. Masalahnya, aku tak berapa faham tentang jenama yang baru ini, tambah pula aku perlu berdepan dengan orang firang (kulit putihlah tu). Apa-apa pun aku akan cuba yang terbaik.


* Saja suka-suka letak poster Wanted - Dead and Alive sebab aku tahu tak akan di tayangkan di pawagam Malaysia ini sebab bukan Dato' Shahrukh Khan yang berlakon(lagipun aku dah naik trauma tengok wayang). Sepatutnya ditayangkan di pawagam 18 September ini. Mungkin, lepas filem ini dah terbit dalam bentuk Dvd barulah aku beli. ORIGINAL!

Wednesday, September 2, 2009

Ini pelajar Islam UIA?

Kalau boleh aku memang tak mahu buka pekong. Tambah pula yang boleh menjatuhkan umat seagama denganku dalam bulan mulia ini. Namun aku rasa aku patut kongsi satu cerita ini yang terjadi sebaik tamat solat terawih. Bukan aku yang bersolat terawih, sebab aku tidak punya kesempatan itu (Insya-Allah kalau ada peluang, aku memang nak luangkan sedikit masa di surau).

Semalam, sebaik selesai berbuka puasa dan menunaikan kewajipan lain, aku, abah dan umi menuju ke UIA. Tujuannya tiada lain, untuk hantar barang-barang keperluan Ayuz dan makanan untuk dia bersahur. Aku yang pandu kereta, sampai ke UIA sekitar pukul 9.30 malam. Kebetulan pagar sudah pun dikunci, jadi aku tak bolehlah nak hantar barang-barang itu di depan mahalah yang menempatkan Ayuz.

Umi buat panggilan kepada Ayuz dan meminta dia datang. Sementara kami yang lain menunggu di dalam kereta di tempat letak kereta. Beberapa minit kemudian, muncullah Ayuz. Aku tak keluar, sekadar melihat dari dalam kereta. Tiba-tiba datang sebuah kereta Atoz hijau (sudah tentu milik pelajar UIA ataupun milik mak bapak dia dan dia berlagak guna harta mak bapaknya!) Ada satu tempat kosong, betul-betul di depan tempat kereta yang ku pandu.

Aku nampak dengan jelas isi dalam kereta itu. Dua pelajar perempuan. Aku hanya perhati cara dia memandu. Aku kagum usaha dia, walaupun sedikit terkial-kial (percayalah, senang dan mudah nak masuk tempat tu tapi dia pandai sangat sampai ambil masa yang agak lama!) Sehinggalah dia (aku tak tahu namanya) mengundurkan kereta. Aku pelik juga, kenapa dia ambil masa yang sangat lama untuk masukkan kereta di petak itu (lulus lesen terbangke dik oi?).

Percaya atau tidak, dia mengundurkan kereta (sesedap kakinya menekan minyak) sehingga hampir mengenai bampar depan kereta Perdana yang ku pandu. Aku menekan bunyi hon lebih awal untuk mengingatkan dia bahawasanya, ada kereta di belakang! Lagipun, aku masih trauma disebabkan kemalangan yang mengakibatkan kereta Waja yang abah pandu remuk kerana dilanggar secara mengundur oleh Prado di pasar Kuala Selangor tahun lepas.

Akibat kejadian tahun lepas itu, aku trauma bila-bila saja ada kereta yang mengundur. Rasa tak sedap hati saja, aku akan hon. Kalau dilanggar, kereta di belakang yang tetap di anggap salah. Bukan itu saja, prosedurnya macam-macam. Jadi, untuk mengelakkan kejadian lama berulang aku akan sentiasa lepaskan hon. Alhamdulillah, tak ada masalah. Rata-rata, mereka yang aku hon akan angkat tangan.

Namun, lain pula ceritanya dengan kisah budak hingusan yang berlagak atas harta mak bapak dia ni. Dia turun dari kereta marah-marah. Aku perhatikan saja. Abah dan umi serta Ayuz pun lihat saja gelagat budak itu yang umpama beruk kepanasan. Dia datang menghampiri kereta kami dan menghentak cermin kereta, suruh diturunkan. Aku akur, mungkin ada perkara yang ingin disampaikannya.

Sebaik cermin tingkap turun, tanpa salam... terus dengan wajah yang agak bengis...

"Kereta saya tu ada sensor, tak payahlah nak hon-hon,"

Aku senyum saja. Umi sempat cakap "biadap betul budak ni!" Abah pula diam. Aku pasti, keegoan dia sebagai pemandu Atoz tercalar sebab itu dia sanggup bertindak kurang ajar.

"Kenapa kau tak jawab Izan? Diam aje?" tanya abah.

"Kau patut balas," sampuk umi.

"Izan malas nak layan budak-budak. Akal pendek... lagipun, inilah gambaran orang-orang Islam sekarang ni. Patutnya, nilai-nilai murni ajaran Islam lebih tinggi di kalangan pelajar yang menuntut di tempat universiti Islam macam ni. Tapi tengoklah tadi tu. Ini hal kecil, dah jadi isu besar. Macam mana Islam tak bergaduh sesama sendiri dan kena ketawa bangsa agama lain?" ujarku dalam ketawa yang bernada hampa dan kecewa.

Kalau boleh, aku ingin balas. Namun, disebabkan aku malas dan kalau aku buat juga nampak sangat aku pun tak berfikiran waras macam budak tu. Jadi, tak ada beza pula antara aku dengan dia(budak hingusan). Kadang-kadang, ada benar andaian orang yang mengatakan, lagi tinggi pendidikan seseorang itu. lagi tebal ego dan tahap kebiadapannya.

Kepada si pemandu Atoz hijau, sempena bulan mulia ini aku maafkan kau. Namun, kau perlu ingat, Islam bukan sahaja menyuruh umatnya menutup aurat (pakai tudung labuh), malah kita sebagai muslimah, adat sesama manusia perlu dipelihara. Tutur bahasa harus dijaga. Sopan dan menghormati orang yang lebih tua. Mungkin, hari ini kau berlaku kurang ajar dengan aku (yang memang tak layan budak kurang waras dan akal pendek) tapi bukan selamanya kau akan terlepas.

Esok lusa, kalau kau teruskan juga identiti yang kau bawa ini, bukan saja kau mendapat susah tetapi memalitkan keburukan kepada orang yang bergelar Islam. Kecewa dan agak hampa bila lihat dia yang baru saja balik dari terawih (aku kira) dan berkelakuan sedemikian. Hayati Islam bukan setakat jadi Islam. Amalkan Islam dan hidup dengan Islam. Bukan sekadar mengaku Islam tetapi perangai tidak menggambarkan Islam.

Ujian dan dugaan selalu datang. Tambah pula di bulan Ramadhan yang menuntut lebih kesabaran. Pesanku, adik Atoz Hijau... kau terlalu daif dalam perlakuanmu dengan tidak menghormati orang yang jauh lebih tua darimu. Ingatlah, setiap manusia itu membawa 4 perkara bersama-samanya ke mana juga dia melangkah.

1 - Allah s.w.t
2 - Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w
3 - Ibu
4 - Bapa

Apa juga yang kau lakukan, apa juga perkataan yang kau tuturkan kau membawa keempat-empat ini. Jadi ingatlah, perlakuanmu itu telah mencacatkan 4 perkara tadi. Berhati-hatilah dan pelihara adab sopanmu kerana jika kau berkelakuan sumbang, kau bukan saja mengotorkan diri sendiri malah mengheret sama keempat-empat ini. Jangan salahkan bangsa lain kalau mereka kata kita bodoh (sebab hakikatnya kita sering diperhatikan dan selalu ditertawakan kerana bergaduh sesama sendiri).

* Kalau aku tak hon semalam, sah-sah dia langgar juga bampar depan kereta tu. Aku tahu dia tak akan menyesal sebab dia boleh habiskan duit mak bapak dia dan terus belajar. Mak bapak dialah yang kena tanggung. Aku dah biasa tengok keadaan sebegini. Orang yang senang dapat, tak akan endah benda-benda remeh sebab tak tahu harga di sebalik duit itu sebab bagi mereka, duit datangnya dari mak bapak bukan dengan bekerja. Sebab itu aku benci sangat dengan budak-budak yang berlagak dengan harta mak bapak. Aku perlu ingatkan kepada semua....

JANGANLAH BERLAGAK DENGAN HARTA MAK BAPAK! YANG SENANG MEREKA, TAPI KAMU TIDAK ADA HARTA (SELAGI BELUM BEKERJA) SELAIN BUDI BAHASA DAN ADAP SOPAN!

Wassalam.