Sunday, March 29, 2009

Tidak Retorik Langsung!

Rasa-rasanya, dah seminggu aku tak tengok berita. Mana-mana rangkaian stesen tv punlah. Pukul 8 sampai pukul 9 malam. Jarum jam mencecah aje ke pukul 8. secara tak langsung, telinga aku jadi pekak, mata aku jadi buta. Bukan setakat tahun ini saja. Aku kira, sejak aku dibangku sekolah menengah lagi, dah terbiasa. Masuk saja minggu panas ni, abah memang tak buka mana-manapun siaran tv yang ada berita. Kadang-kadang, dia sengaja menonton Dvd dan Vcd yang dah berabad lama kami tonton. Gara-gara, enggan tengok berita.

Aku masih ingat lagi, ketika di sekolah St Mary dulu, waktu itu subjek sejarah. Cikgu aku... Ya! Cikgu aku seorang bangsa India yang fasih berbahasa Melayu. Malah, petik jari saja dia mampu cerita dari A sampai Z tentang Sejarah Tamadun Islam juga Tanah Melayu.

Nak dijadikan cerita, perhatianku dalam kelas sedikit terpesong (al-maklumlah... pelajar nakal). Aku terpandang ke luar jendela, dan lihat ada sepasang suami isteri sedang mengusahakan kebun sayur. Cantik pemandangannya. Aku asyik melihat kegigihan pasangan itu sehinggalah satu suara menyergah dan menyentap lamunanku.

"Boleh awak terangkan saya tentang apa yang saya terangkan tadi?"

Macam biasa, aku tersipu-sipu. Dah terkantoi!

"Mesyuarat UMNO semalam...?"

"Eh, bagus.... saya ingat kamu tak dengar"

"Saya dengar... tapi kalau cikgu tanya tentang apa yang saya dengar tentang apa atau siapa yang cakap apa di mesyuarat tu, saya tak boleh nak cakap"

"Kenapa pula? Itukan isu semasa..."

"Kalau ada seorang pun macam cikgu... cukuplah, tentu saya sendiri yang buka siaran tu. Tapi..."

"Apa?"

"Ayah saya tak nak tengok... semua dalam tu bercakap... menjerit-jerit.... terlolong macam kena sampuk hantu. Sakit telingalah cikgu... satu benda pun saya tak boleh nak faham. Baik saya tutup aje, tengok cerita dari Vcd lagi bagus"

Aku masih ingat lagi, sebaik sahaja aku menghabiskan ayat tu, satu kelas ketawa. Aku pelik, sebab aku bukan buat lawak. Itu memang kebenarannya.

Oleh kerana sudah terbiasa, sehinggakan hari ini aku tak sanggup tengok liputan tentang perhimpunan UMNO. Entah macam mana, semalam aku terbuka juga Berita Utama di TV3. Masa tu, jam baru pukul 8... tujuan aku buka pun bukan apa, cuma nak melihat ada apa-apa tak yang sedang berlangsung sebelum kempen 'EARTH HOUR' dilaksanakan.

Aku gagahkan juga mata dan telinga, melihat dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh 'seseorang' itu. Tak sampai seminit... aku geleng kepala.

Rasanya dah bertahun-tahun aku tinggalkan sekolah St Mary, tapi trend pemimpin-pemimpin ini masih tak berubah. 'Seseorang' itu..., berdiri megah di belakang podium. Pembesar suara tepat di muncung mulutnya yang merah jambu (bak pakai pemerah bibir). Mukanya kemerah-merahan. Dan 'seseorang' itu juga yang menyampaikan amanatnya umpama langsuir dan 'Pontianak Harum Sundal Malam'.

Bosan betul... pencemaran bunyi. Sakit telinga aku. Ayatnya kosong. Diulang-ulang, semua orang dah tahu. Perlukah 'seseorang' itu berhujah sebegitu rupa? Macam budak kecil yang takut kalah dalam pertandingan syarahan peringkat kelas!

Aku teringat pula ketika aku belajar di sekolah rendah di Bandar Baru Selayang. Masa itu aku baru darjah 5, dan cikgu kelas aku... Puan Nik Azniah, memilih dan melatih aku untuk masuk pertandingan syarahan antara kelas. Aku ingat pesan dia ketika itu....

"Shahaini, kalau kita nak beritahu sesuatu pada sekumpulan orang yang ramai... pastikan ayat yang nak disampaikan mudah difahami dan yang paling penting ada isi. Jangan terjerit-jerit... sakitkan tekak awak dan telinga orang. Faham?"

Aku mengangguk. Sebab perkara itu yang paling mudah untuk aku fahami. Al-maklumlah, budak-budak sekolah memang cepat tangkap.

Hari pertandingan, aku patuhi ajaran cikguku itu. Tetapi, aku sedikit goyah, apabila ada seorang peserta yang juga pelajar perempuan menyampaikan syarahannya dengan penuh bertenaga.

"Wah! Tak payah pakai mic pun tak apa" bisik hatiku.

Sudahnya, bila keputusan diumumkan... (hehehe... bukan nak angkat bakul ya), aku dapat tempat pertama dan si budak yang jerit-jerit tu langsung tak dapat tempat. Alahai, kesiannya.

Aku berlari, tanya pada cikguku....

"Kenapa dia tak menang, rasanya suara dia lagi kuat cikgu?"

Puan Nik senyum aje...

"Itu taktik kotor namanya... tak ada isi, tapi nak menang persembahan...,"

Jadi sekarang, aku tertanya-tanya. Adakah mereka yang terjerit-jerit ketika berhujah di perhimpunan itu semuanya ingin menang sorak atau tidak ada retorik langsung dalam hujahan mereka.

Jangan salahkan aku kalau aku masih memilih bekas timbalan perdana menteri Malaysia 1998 sebagai penghujah terbaik dan pemimpin yang tak perlu mengorbankan kotak suaranya hanya sekadar hendak menang sorak.