Sunday, March 8, 2009

Perginya...tak akan kembali

Aku mungkin sedikit lewat...
kerana masih berkira-kira dengan percaturan takdir
kehidupan yang pastinya akan disusuli dengan kematian...

Panggilan yang kuterima tepat pukul 12.30 tengah hari, Jumaat (semalam) cukup menggugat fokusku terhadap kerja di depan mata. Dari corong telefon, sayup-sayup kedengaran suara temanku...Airull

"Akak, ada dapat sms yang encik Zubir dah meninggal?"
"Astaghfirullahal-azim...., akak baru je bercakap dengan encik Zubir beberapa minggu lepas. Cuba telefon nombor encik Zubir. Mungkin ada orang salah hantar," kataku cuba memujuk sekaligus menafikan khabar itu. Tak percaya.

Airull akur. Dia cuba segala upayanya untuk menghubungi sesiapa yang mungkin tahu bagi mensahihkan khabar itu.

Manakala aku terus berdoa. Cuba menafikan dan meyakinkan diri. Itu sekadar khabar angin. Hatiku berbelah bahagi. Antara tugas di depan mata dan juga ingatanku yang sudah melayang jauh mencari encik Zubir.

Telefon bimbitku bergetar. Sms masuk. Sms dari Airull. Berat hati untuk membaca kandungannya.

"Dah cuba telefon nombor encik Zubir tapi tak ada 'line', dah sms tapi tak ada balasan"

Jantungku bergoncang. Amat kuat. Rasa satu rentapan dan seakan terputus sedikit demi sedikit dari tangkainya.

Mungkin benar, encik Zubir sudah kembali menyahut panggilan-Nya. Mataku mula bergenang. Tapi kutahan. Tidak mahu dilihat oleh rakan-rakan sejawatan yang lain.

Beberapa minit kemudian, satu sms diterima. Kali ini, nyata menyambar segala kekuatan diri. Tidak sanggup rasanya untuk menatap bait-bait kata itu. Terutama sekali di ayat terakhir.

"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Mont Kiara selepas asar"

"Inalillah-wa-innalillahirajiun...."

Sesalan aku tidak akan bernoktah. Aku terduduk. Air mata tidak dapat tercurah. Sebaliknya, ia mengalir laju di dalam hati. Janjiku pada encik Zubir hanya kekal sebagai janji.

Beberapa minggu lepas, (beberapa minggu selepas kali terakhir aku bertemu dengan arwah encik Zubir di Malam Puisi Demimu Palestine) aku menghubungi encik Zubir. Suaranya riang dan tidak perlu aku bersusah-susah memperkenalkan diri.

"Hah, kamu. Telefon saya ni nak interviu sebagai wartawan ke?" soalnya berseloroh.
"Taklah encik Zubir... saya nak bertanyakan tentang lagu baru encik Zubir... Surat untuk Tuan Presiden,"
"Boleh... awak nak tanya apa?"
Belum sempat aku menjawab, ada suara yang menghentikan perbualan aku dengan encik Zubir.
"Maaflah, ada tetamu di rumah saya ni... boleh kita sambung kemudian?" pintanya.
"Boleh... tentu boleh," ujarku. Aku faham. Encik Zubir memang sentiasa sibuk.
"Jangan lupa telefon saya balik, kita boleh borak-borak panjang... dan bincang tentang lagu tu,"
"Insya-Allah..."

Malangnya... sehinggalah encik Zubir menghembuskan nafas terakhir, jemari aku tidak juga mendail nombornya yang sememangnya ada dalam simpananku. Sampai ke hari ini dan hari seterusnya, lagu Surat untuk Tuan Presiden akan kekal sebagai persoalan besar dalam hidupku.

Pemergian encik Zubir seakan meragut sekeping jiwa yang ada dalam diriku. Dia bukan sekadar guru yang mengajarku subjek penulisan lirik, malah dia salah seorang guru yang mengajar erti kehidupan. Aku belajar menghargai diri. Aku belajar menyayangi alam dan aku belajar menyayangi jiwaku sendiri.

Keletahnya sewaktu di dalam kelas amat menghiburkan. Masih terbayang-bayang gerak tubuhnya menggayakan lagu Tanpa Mu nyanyian Farahwahida. Setiap kali sesi dengannya, pasti ada antara kami menjadi mangsa usikannya.

"Kalau awak dengar lagu ini, mesti awak menangis! Lagi hebat dari lagu Kenangan Terindah..." katanya di saat memperkenalkan lagu DEALOVA kepada ku kerana ketika itu aku terlalu obses dengan lagu nyanyian Samson.

Malah, dia tidak pernah lokek dengan kami... pelajarnya. Sebagai pelajar, kami seringkali mengiringinya setiap kali habis kelas sehinggalah sampai ke keretanya. Seperti para pensyarah jemputan yang lain, encik Zubir juga gigih membawa keperluan mengajarnya sendiri. Maklumlah, di ASWARA ini banyak kekurangannya terutama sekali kepada fakulti penulisan (aku harap kekurangan itu sudah berjaya diisi ketika ini).

Siapa sangka... dalam usik-mengusik dan gurauan kami (aku, Airull dan Fatimah), encik Zubir mempelawa kami untuk mendengar album kompilasi terbarunya (di ketika itu). Bak kata orang, pucuk dicita, ulam mendatang. Kami pun tanpa segan silu masuk dan duduk di dalam keretanya. Bukan setakat seminit dua... tetapi sehingga habis dua buah lagu. Lagu yang berkumandang di dalam keretanya ketika itu adalah lagu Balada Seorang Gadis Kecil.

Sebelum berpisah dengannya, aku ada menunjukkan lirik yang aku buat (malangnya sehinggalah ke hari ini, seorang pemuzik pun tak tahu nak buat lagu untuk dipadankan dengan lirik itu)

Aku masih ingat lagi reaksinya. Sambil mencecahkan roti arab ke dalam kuah, dia tersenyum memandangku. Aku menunggu dengan penuh harapan, biarlah sesuatu yang positif terpacul dari mulutnya. Dia memandang ke arahku sekali lagi.

"Tak sia-sia ilmu yang saya ajar pada kamu semua," kata-kata itu terpacul dimulutnya.
"Kalau boleh, saya nak tengok kamu semua masuk dalam Juara Lagu," ujarnya lagi penuh pengharapan.

Segala-galanya tidak kesampaian.

Selang beberapa lama kemudian, akhirnya kami dipertemukan sekali lagi. Kali ini di Malam Puisi Demimu Palestine. Bila bertemu dengannya, aku sengaja bertanya soalan bodoh... sama ada dia masih ingat padaku atau tidak.

"Mestilah saya ingat. Sekarang buat apa?" soalnya yang ketika itu sibuk dengan gitarnya.
"Nak buat kerja," ujarku.

Dia senyum.

Senyumannya itu masih jelas terbayang. Kata-katanya akan aku jadikan panduan hidup. Aku berharap, di satu hari nanti.... lirik nukilan kami semua akan tercalon untuk Juara Lagu, kerana ia adalah harapan arwah kepada kami. Biarpun amat mustahil, tapi jika kita terus berusaha... pasti boleh! Insya-Allah.

Aku tinggalkan hari ini dengan ucapan takziah kepada keluarga encik Zubir. Manakala bagi aku pula... encik Zubir bukan sekadar guru... dia telah ku anggap seperti bapa sendiri. Dan kini, dia telah kembali kepada-Nya dan meninggalkan kami yang masih belum puas menghabiskan masa bersama-samanya.

Semoga Allah mencucuri rahmatnya. Al - Fatihah...


Alangkah indahnya dunia jika arwah sempat melihat kami berkonvo.