Monday, March 30, 2009

Minuman Retro....

Sebenarnya, hari ini bukanlah satu hari yang menenangkan. Hati dan perasaan aku jauh tertinggal di rumah. Umi dan abah tak berapa sihat. Miqhail pun begitu juga. Sepanjang masa di pejabat bagaikan hulu jantung di hujung keris. Beginilah aku kebiasaanya. Jika ada sahaja antara mereka yang kurang sihat, maka perasaan aku pun akan kurang senang.

Amat berbeza waktu aku di sekolah dulu atau yang paling hampir, semasa aku masih belajar di ASK. Jika dapat sahaja panggilan atau SMS, aku bisa berlari, keluar dari dewan kuliah atau sengaja tidak menghadirkan diri semata-mata untuk bersama-sama mereka. Aku tak kisah, nak disenarai-hitamkan nama aku atau sebagainya, asalkan aku berada di samping mereka. Bagi aku, mereka lebih penting. Ilmu sentiasa boleh dicari... tapi nyawa keluargaku, amat berharga maka setiap detik, adalah saat yang paling penting untuk bersama.

Namun bila aku sudah menjejak ke alam pekerjaan, tuntutan tugasan dan tanggungjawab bukan lagi bisa diperlekehkan. Kadang-kadang emosi terpaksa tunduk. Sebagaimana yang terjadi pada aku hari ini.

Selesai melaksanakan tugasan di Puchong, aku buat panggilan kepada umi. Hati tak sabar, resahnya mungkin tak terbau dek umi. Aku masih pandai sembunyikan perasaan risauku. Bila aku dengar suara umi di hujung talian, rasa lega tetapi masih tidak mampu memadamkan kekalutan yang melanda. Umi masih tidak sihat sepenuhnya. Tangannya bengkak dan menyebabkan dia tidak boleh bergerak. Aku tahu sangat keadaan itu. Aku telah terbayangkan keadaan di rumah.

Hati aku ingin pulang. Sebelum sempat berkata apa-apa, umi berpesan supaya aku singgah ke rumah pakcik saudaraku (adik abah, Pak Andak Johar) di Taman Samudera. Umi suruh aku mengambil air botol yang telah dipesan sebelum ini. Air apa? Aku pun tak berapa pasti. Jadi, aku singgah sebelum aku pulang terus ke rumah.

Kebetulan semasa aku tiba di hadapan rumah, hanya Mak Andak sahaja yang ada. Pak Andak masih belum balik. Jadi, aku dan rakanku itu masuk ke dalam rumah. Rasa membebankan pula kerana ketika itu Mak Andak sedang bersiap-siap untuk memasak buat suami yang tercinta. Namun, Mak Andak tetap melayan kami.

Terima kasihlah Mak Andak kerana sudi melayan kami ini, wartawan cabuk!

Mak Andak turut menghidangkan kami dengan air minuman yang amat istimewa. Sebelum ini aku selalu mendengar cerita dari abah dan umi mengenai air minuman ini. Kata mereka, air minuman ini memang air berkarbonat tetapi kurang rasa 'gas'nya. Tak seperti air minuman berkarbonat seperti yang ada sekaran (coca cola....) Tak dapat aku nafikan, tatkala air itu mencecah ke tunas-tunas rasa lidahku, rasa lain yang amat sangat. Malah, mampu menghilangkan lelah seharian berkerja.

Aku pulang ke rumah dan siap menunjukkan air minuman itu kepada umi dan abah. Mereka hanya senyum. Bagaikan yang dulu kembali hidup. Aku pun tumpang sekaki. Minum 2 botol lagi. Sedap yang amat dan kerana kesedapan dan keunikan air itulah, dapat mengurangkan beban kesakitan tangan umi yang membengkak. Semuanya hilang dan aku pula terimbau adegan filem Bujang Lapok.... masa Sudin sedang main laga-laga botol gara-gara nak memanggil Zaitun.

Abah sempat berkata kepada aku, mungkin ada persamaan tetapi air minuman yang dulu lebih sedap dan kurang manis. Mungkin sebab itu juga, air dalam botol abah tinggal separuh dan aku perlu menghabiskannya... seperti selalu.

*Kesian Miqhail... matanya terkebil-kebil, memandang aku, abah dan umi menikmati air minuman yang menyegarkan itu. Tak apa, bila Miqhail dah besar nanti... Insya-Allah Miqhail pun akan ada peluang untuk rasa.

semuanya 3 dozen... hah! Minumlah sampai lebam

2 botol aje larat habis

Saja-saja.... teringat Bujang Lapok