Thursday, March 5, 2009

Lintah, Tikus dan Manusia

Hari ini, aku nak berkongsi pengalaman. Pengalaman yang paling berharga dan aku pastinya sentiasa menyimpannya jauh-jauh dalam benak ingatanku.Tiga peristiwa yang aku kumpul dan kuriwayatkan semua dalam satu entri.


Lintah
Siapa takut lintah? Kenapa takut lintah?

Makhluk yang perlukan air untuk hidup ini seringkali menjadi ancaman kepada kita, makhluk manusia khususnya wanita. Mungkin kerana kejadiannya yang licin, membuatkan kaum wanita terasa geli. Geli?

Beberapa hari yang lepas, aku bersama seorang lagi rakan telah pergi ke Bukit Sentosa (hanya beberapa minit dari rumahku) untuk satu liputan khas mengenai rawatan kecantikan (rawatan resdung) dengan menggunakan lintah. Pertama kali mendengar perkataan lintah, sesuatu dari dalam diri membuatkan aku teruja.

Ya. Benar. Aku ingin mencabar diriku sendiri. Sebaik sahaja tiba di sana (pyraura) aku seakan tak sabar untuk menjadi tikus putih. Aku tahu, rakanku tidak sanggup untuk menjadi model. Jadi, dengan rela hati aku menawarkan diri. Sebelum sesi rawatan dijalankan, kami diberi peluang untuk melihat lintah-lintah yang digunakan.

Ada yang bersaiz kecil dan ada juga yang telah diklasifikasikan sebagai 'bapa lintah'. Saiznya memang amatlah besar.

Bila aku tengok lintah tu, perasaan takut tiba-tiba singgah. Namun, aku tekad demi tugas. Dan yang paling utama.... melawan rasa takut dan geli. Tatkala lintah-lintah menyapa kulit pipi... tak terasa apa-apa pun. Licin dan berair sahaja. Tapi, bila lintah mula menggigit, rasa sakit itu ada. Bukan sakit yang sakit tapi sakit yang sedap. Sakit yang sedap? Cukuplah untuk aku katakan sebagai 'tak dapat digambarkan dalam kata-kata.

Selesai rawatan, kami pun pulang. Terima kasihlah banyak-banyak kepada kedua-dua pengusaha pusat rawatan yang memang mesra alam. Layanan yang memang cukup baik dan membuatkan aku terfikir untuk kembali membuat rawatan susulan. Bukan setakat demo!

Bila sampai ke rumah, macam biasa Umi dan Abah panik. Apa taknya, keluar rumah elok, balik dah bertampal kapas dan darah masih meleleh.

"Tak ada orang lain ke nak buat? Pandai-pandai kau aje cuba-cuba. Dahlah darah kau tu cair, kalau darah tak berhenti macam mana?" rungut Umi dalam kesamaran malam.

Aku tak terfikir pula sampai ke situ. Mungkin juga aku terlupa tentang darahku. Tak apalah. Alhamdulillah, darah tak mengalir teruk cuma tak berhenti dan terus meleleh sehingga awal pagi. Aneh? Memang aneh sebab abang tu ada cakap, paling lama pun darah meleleh sejam. Aku? Jadi, aku terpaksa menampal kesan gigitan lintah yang masih mengalir sebelum pergi ke tempat kerja. Nasib baik hanya sebelah sahaja yang masih meleleh, kalau kedua-dua pipi...

TIKUS
Sebelum masuk pejabat, aku mengambil kesempatan untuk pergi pejabat pos untuk membayar bil. Takut-takut nanti terlambat bayar, maka banyaklah bekalan yang akan terpotong.

Sebaik saja aku mencecahkan kaki ke dalam pejabat, aku dapat rasakan sekeliling sedang memerhati gerakku. Ada yang berbisik dan ada juga yang tersenyum dan cuba menyimpan senyum. Cubaan yang baik kak, tapi saya tetap nampak.

Satu saja yang paling terkesan dek hatiku. Sepasang sahabat, memandang ke arahku sambil ketawa sakan. Aku dapat mendengar butir kata-kata mereka.

"Nak elak jerawat pun tak payahlah sampai tampal plaster"

Memang tak sayang mulut dan tak sayang budi bahasa. Terang-terang mengutuk orang. Apa nak jadi dengan masyarakat Malaysia hari ini. Selalu sangat menyemarakan kontroversi. Itu baru sikit. Bayangkan golongan atasan kita.... fikirlah sendiri. Tak hairanlah satu ketika dulu pernah ada yang mewartakan tahap mentaliti masyarakat Malaysia tidak mencecah gred B, hanya ditakuk gred C. Bangga jadi rakyat Malaysia? Ubahlah persepsi masing-masing, tak perlu prejudis.

Namun ceritanya bukan berkenaan dengan dua makcik-makcik ini. Ceritanya lebih bertumpukan kepada pemerhatian. Oleh kerana bosan dengan cara mereka bertutur dan memandang. Aku bersandar di cermin pejabat pos. Pandangan mataku tertumpah kepada seekor makhluk kecil yang sedang terjengket-jengket untuk masuk ke dalam pejabat. Sedih melihat keadaannya. Tentu sekali tikus ini baru keluar dari longkang.

Kebiasaanya, kita manusia akan berasa geli melihat makhluk yang dilabelkan kotor itu. Bebrbeza pula dengan aku, ada perasaan pilu melihat kegigihan si tikus mencari ruang... untuk berehat, mungkin. Aku terus memerhatikan dari jauh. Aku ingin membantu, tetapi seakan ada yang menghalang. Aku alih pandang ke tempat lain. Tidak mahu dinampak jelas oleh 'manusia-manusia' lain yang sedang akur menunggu giliran.

Tiba-tiba, pejabat pos gempar. Seorang amoi melalak, diikuti beberapa makcik yang lain. Semuanya geli dan jijik melihat si tikus yang hanya duduk di satu sudut, sebelah pintu masuk. Ya! Setakat menjerit lalu mengelak dan terus masuk. Habis-habis pun mereka mengurut dada dan tersenyum ke arahku.

"Terkejut makcik dibuatnya... besar tikus tu"

Aku membalas dengan senyuman. Faham perasaan makcik-makcik itu. Lalu, ada seorang kakitangan pos yang segak datang, menerpa ke arah pintu. Mukanya merah, seakan ada yang tak kena. Aku terus memerhatikan gelagatnya. Aduh! Kenapa binatang sungguh kakitangan itu? Habis diterajangnya si tikus yang tidak mengganggu orang. Tidak cukup diterajang, dihalau pula dengan batang besi. Ya Allah! Manusiakah orang ini? Kenapa binatang sungguh hatinya? Perlukah disepak terajang makhluk sekecil itu, yang hanya menumpang tempat untuk berehat? Salahkah si tikus menumpang ruang milik Allah? Apalah dosa si tikus diperlakukan sekejam itu? Bukankah elok, tangan yang dikurniakan Allah itu digunakan untuk mengambil tikus itu dan dialihkan ke tempat lain, jika benar si tikus mengganggu.

Aku tidak sanggup melihat. Segera aku alihkan pandangan ke arah lain. Ya! Aku cuba membutakan mata, tapi aku gagal memekakkan telinga.

Aku terdengar suara halus, berdecit-decit... sayup-sayup masuk ke ruang telinga. Tak tertahan airmata untuk menjengah keluar. Akukah manusia? Dijadikan Allah untuk melindung makhluk yang lemah. Aku gagahkan diri, cuba mengerling ke arah si tikus. Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu ini. Sesungguhnya aku tak berdaya untuk membantu makhluk ciptaan-Mu dari terus ditindas. Si tikus terjengket-jengket, meninggalkan pejabat pos dan berteduh pula di bawah pondok telefon. Si tikus lemah tidak berdaya dan menarik ekornya yang sudah kelayuan. Ia menggigit hujung ekor, mengesat darah akibat dihentak manusia yang binatang.

Apa bezanya manusia binatang itu dengan bangsa Yahudi laknatullah?
Aku kira, sama saja. Bangsa Yahudi terus menzalimi bangsa Islam dan manusia binatang itu pula menzalimi makhluk kecil yang tidak berdaya.

MANUSIA
Pada hari yang sama, sewaktu pulang dari kerja aku bertemu dengan satu lagi insiden yang memberi aku peluang untuk belajar. Belajar dari kehidupan. Aku memandu ke sebatang jalan yang kecil dan sesak. Ya, tiada apa yang menarik. Hanya melihat kedegilan dan keegoan pemandu-pemandu yang mempunyai lesen dan 'kaya' mempunyai kereta.

Jalan yang kecil dan sesak. Jam pula sudah tepat pukul 6 petang. Semua warga kerja berpusu-pusu untuk pulang. Ya! Sikap pentingkan diri sendiri, tak lepas dari setiap individu yang bergelar... manusia.

Aku lebih suka memerhati dari diperhati. Jadi, dalam keadaan yang sesak itu... aku lebih rela memberi peluang untuk kenderaan lain untuk keluar dari tempat letak kereta. Kereta di hadapanku pula, lebih agresif. Setiap kali ada nyalaan lampu belakang, mohon laluan... pasti dilajukan lagi keretanya. Buruk perangai betul!

Ceritanya bukanlah tentang pemandu kereta Wira hitam di depanku, tetapi dua buah kereta dari bahu-bahu jalan. Kereta Viva putih dan sebuah teksi. Viva, pemandunya seorang wanita lewat 30-an berbangsa cina dan pemandu teksi pula, seorang lelaki juga berusia lewat 30-an dan tidak pasti bangsanya.

Dua-dua memberi isyarat untuk keluar dari tempat letak kereta dan KEDUA-DUANYA EGO! Jangan lupa, ditambah pula dengan pemandu Wira Hitam yang enggan memberi jalan. Dicampur kesemuanya... penyumbang kesesakan dan kemalangan di jalan yang kecil.

Tidak... tiada kemalangan, tetapi hampir-hampir berlanggar. Si teksi enggan memberi laluan, si kereta Wira dengan lagak wiranya yang terus menderumkan bunyi enjin. Tinggallah si Viva, beralah dan memandu kereta masuk semula ke tempat letak kereta.

Apa yang menghairankan aku, si pemandu teksi dan si Wira tadi... lebih kurang ajar dari Mat-Mat Rempit yang bersidaian di bahu-bahu jalan, menunggu giliran mereka untuk melepasi ruang sempit. Mereka inilah yang memberi isyarat kepada si Wira untuk berhenti dan memberi peluang kepada makcik Viva. Si Wira tetap keras kepala, sedang makcik Viva terkial-kial nak mengundur, ditekannya minyak dan meluncur laju sedikit lagi bergeser dengan Viva. Makcik Viva terhenti sekali lagi. Mungkin trauma dan terus berhenti. Aku tidak berganjak dari posisiku dan terus memerhatikan dari dalam kereta.

Seorang Mat Rempit menaikkan tangan, meminta aku untuk memberi peluang makcik Viva keluar. Aku hanya balas dengan senyuman. Akhirnya, bebas juga makcik Viva. Itupun dengan bantuan Mat-Mat Rempit tadi.

Sekarang buat aku terfikir, bukan semua Mat Rempit itu jahat dan bukan semua Mat-Mat berkereta itu baik.