Tuesday, January 8, 2013

Warkah Cinta... pertama!

Kalau baca tajuk, pasti ada macam-macam emosi yang turut menyusul. Gembira, sedih dan nak tergelak pun ada. Yalah, surat-menyurat ini dah kira ketinggalan zaman. Maklumlah, dunia sekarang semakin canggih. Apa guna surat? Apa kelasnya guna setem, beli sampul surat. Tunggu jawapan pula, berbulan-bulan. Ah, menyusahkan. Lebih relevan pakai SMS, Twitter, Facebook dan macam-macam lagilah ruang laman sosial.

Apakah isi dalamnya?
Namun, ada sesuatu yang sangat indah terukir di halaman kertas kosong. Di situlah terletaknya usaha dan kesungguhan orang yang menulis. Lebih istimewa atau nilai yang tiada tandingannya berbanding Twitter, Facebook atau segala mak datuk laman sosial tadi, ianya tak dapat dibelek, dipeluk cium, diletak atau lekapkan terus atas muka dan singgah di dada!

Gila!!!
Siapa buat benda macam tu? 

Eleh, jangan nak membongak! Kalau tak nak mengaku sudah. Tapi, aku dengan jujurnya mengaku pernah buat benda-benda gila tadi! Surat pertama aku terima dari peminat misteri, sewaktu di sekolah rendah. Lebih tepat lagi, darjah 4 (SK Bandar Baru Selayang ; tahun 1994). Hahaha. Lucu, kan? Tapi waktu ini, aku tak buat perangai gila nak cium atau peluk surat yang ditulis atas halaman buku latihan. Lagipun, bukanlah aku jenis yang suka sangat dapat surat-menyurat semacam itu tapi, terkejut juga. Maklumlah, di sekolah rendah dulu aku memang ganas. Siapa tak kenal, tomboi BBS; orang selalu panggil aku Shafiq sebab serupa dengan watak Shafiq dalam Cili Padi. Ingat lagi tak? Tak ingatlah tu!

Hahaha... ada tak macam muka aku?
Dusta dusta dusta

Saat bertemu dengan surat itu, bermulalah misi aku mencari empunya tulisan tanpa diketahui oleh kawan-kawan yang lain. Nak jadi Sherlock Homes persendirian. Agak lama juga aku mencari siapakah orangnya. Hampir seminggu atau lebih. Sampailah aku didatangi sendiri oleh orangnya. Mak aih, orang yang selalu bergaduh dengan aku. Atau lebih tepat lagi, orang yang selalu aku tulis namanya dalam buku peraturan sebab selalu buat pasal dalam kelas. Oh ya, ketika itu aku bertugas sebagai penolong ketua kelas kepada Mateen Zayani. Agak-agak, Mateen ingat lagi tak kepada pembantunya ini?

Hmm, kalau nak diikutkan isi kandungan surat itu agak lucu. Tapi, biarlah aku seorang sahaja yang tahu apa yang diluahkan dan siapa pula orang yang meluahkannya. Si penulis surat itu tak lagi aku jumpa setelah beranjak ke sekolah menengah. Maaflah, memang aku tak suka dia sebab... NAKAL TAHAP GABAN! Menyakitkan hati. Hmm. 

Selepas surat dari dia, banyak lagi surat yang aku dapat. Tapi, kedatangan surat-surat seterusnya lebih kepada persahabatan. Terharu. Tak sangka ramai yang mahu aku jadi kawan mereka tapi tak tahu bagaimana nak mula. Hal yang satu ini, bukan setakat berlaku di zaman sekolah rendah tapi berlarutan sehingga aku belajar di akademi dahulu. 

Bagi pengetahuan kalian, bukan susah untuk mendekati aku. Cuma, ada ketikanya perwatakan luaran membuatkan orang terus mengandaikan aku ini... sombong. Satu sahaja yang aku boleh katakan, "tak kenal maka tak cinta!" Lalalala...

Itu semua tentang surat orang lain untuk aku. Bagaimana pula surat dari aku sendiri? Maksud aku, warkah cinta pertama dari aku buat seseorang. Ditulis kira-kira 15 tahun dahulu. Ya, masih tersimpan rapi tetapi telah aku buang baru-baru ini. Baru sahaja aku ketemu, tahun lepas (2012). Lucu apabila membaca isinya, tapi sedih jika dikenangkan memori di sebaliknya. 

Benarkah begitu? Hmm.
Surat itu aku buang kerana ia sudah tidak bererti dan ingin menjaga hati orang yang hadir kemudiannya.

Antara warkah dan mesej pendek di twitter, FB atau sebagainya, aku lebih memilih tulisan tangan yang lahir ikhlas terus dari hati dan perasaan yang putih. 

Kepada yang bertanya, kenapa aku tiba-tiba bercerita tentang warkah cinta pertama; salahkan lagu ini kerana aku mendengarnya tadi. Hahaha. 

 

* Kalaulah aku miliki seekor burung merpati putih, pasti surat ini sudah lama sampai kepada si dia! Tak begitu? Ya, memang betul Twitter pun guna burung biru, tapi tak sama nilai sentimentalnya sayang! Hahaha. 

Kabootar ja ja ja!