LATAR : Satu KEGAGALAN!

Sebelum aku teruskan dengan entri kali ini, suka untuk ditegaskan di sini bahawa, ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Cuma, ianya satu luahan. Sekiranya ada pihak terasa dan rasa perlu tindakan susulan diadakan, cuba-cubalah pertimbangkan. 

Lebuhraya LATAR Gambar dari Koleksi Bas dan Truck
Kalau diselak semula senarai tajuk entri dalam blog ini, pasti ada yang terserempak dengan beberapa entri yang khusus tentang luahan masalah kesesakan yang dialami sebilangan besar penduduk Rawang. Agak lama juga entri sama tidak kembali. Mungkin kerana pengendalian Majlis Perbandaran baru yang peka terhadap masalah rakyat. Terima kasih, kerajaan Selangor!

Perjalanan menjadi lebih mudah untuk para penduduk Bandar Tasik Puteri semenjak adanya laluan alternatif yang menyambungkan Kuang terus ke kawasan perumahan Bandar Tasik Puteri tanpa perlu mengikuti jalan besar dan lebih jauh. Kewujudan lebuhraya LATAR juga sangat memberi kebaikan dan keselesaan kepada pengguna jalanraya khususnya kepada mereka yang menggunakan lebuhraya ini untuk berulang-alik pergi ke tempat kerja.

Namun di setiap kebaikan itu pasti ada kelemahan. Kelemahan pula harus disusuli dengan tindakan untuk memulihkan keadaan. Memang benar, LATAR memberikan kemudahan tetapi timbul perkara tidak relevan yang seharusnya tidak berlaku. Masalah yang dimaksudkan adalah susur masuk dan keluar di Kuang. (Sesiapa yang menggunakan LATAR pasti maklum dengan permasalahan ini)

Dari Kuang, ada disediakan susur keluar. Sama ada menuju ke Kuala Lumpur, Selayang, Jalan Duta atau Shah Alam. Masalah yang timbul pula, tiada susur masuk di lokasi sama! Lazimnya, setiap lebuhraya ada menyediakan susur keluar-masuk tetapi tidak di Kuang. Para pengguna harus mengembara lebih KM untuk bertemu dengan susur masuk yang ada di Kota Puteri. Bayangkan, pengguna LATAR yang rumahnya terletak di Kundang tetapi harus mengembara ke Kota Puteri. Berapa pula masa yang harus diambil? Bagaimana pula dengan kos petrol? Bayaran tol? 

Memang benar, kalau ada tol tentu ada bayaran dikenakan. Namun, adakah harga RM2 dengan jarak yang tidak sampai 5 KM berbaloi? Dari tol Rawang (Taman Rimba Templer) ke tol Kota Puteri, menelan belanja sejumlah RM4 dengan adanya 2 hentian tol. Kalau dibuat perbandingan antara perjalanan dari tol Rawang ke tol Jalan Duta, belanja yang dikeluarkan baru berjumlah RM3.60 dengan 2 perhentian R&R berbanding LATAR tadi yang hanya ada satu di Kuang (itu pun masih tidak lengkap sepenuhnya).

Disebabkan bayaran yang tidak relevan ini, ditambah pula susur masuk yang tidak sesuai membuatkan ramai pemandu mengambil langkah sendiri; menjadikan susur keluar Kuang sebagai susur masuk (perhentian R&R Kuang). Secara tidak langsung, ia mengakibatkan kecelaruan dan adakalanya boleh mengundang kemalangan. 

Pihak berkuasa juga cuba mencegah kesalahan jalanraya ini dari terus berleluasa dengan memberikan saman kepada kenderaan yang menggunakan susur keluar ini sebagai susur masuk. Ya, mungkin ia cara yang terbaik untuk menghalang kesalahan ini dilakukan berterusan dengan sengaja dan dalam masa yang sama menghindar kemalangan. Tetapi, adakah ia ADIL apabila kenderaan pihak berkuasa sendiri menggunakan susur keluar ini untuk bergerak masuk ke kawasan Kuang? Adil? Hmm. Undang-undang dan peraturan diwujudkan bukan untuk berat sebelah. Betul, bukan?

Apakah cara terbaik bagi memulihkan keadaan dan dalam masa yang sama memberikan kebaikan kepada semua pihak? Perlukah saman dikeluarkan atau pihak LATAR sendiri mencari inisiatif membuka susur masuk ke Kuang? 

Sebagai pengguna jalanraya, jujur aku katakan yang lebuhraya LATAR ini merupakan satu kegagalan. Sebagai seorang warga negara Malaysia pula, aku rasa pihak bertanggungjawab harus mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian ini dari terus berlaku dan peraturan dicabuli; lebih baik perbetulkan dari akar umbi. Apabila kelemahan berjaya dibaiki, aku pasti kejadian sama tidak akan berulang. 

Tidak, aku bukan pengguna kerap LATAR tetapi seringkali menghadapi masalah setiap kali berada di simpang susur keluar Kuang kerana kenderaan-kenderaan yang menggunakan susur itu sebagai susur masuk. Fungsi lampu isyarat tidak bererti kerana kenderaan yang menggunakan susur ini tunggu peluang untuk merempuh masuk tanpa hiraukan pengguna jalanraya lain, sama ada mencuri peluang untuk masuk ke simpang atau pun mahu lari dari pihak berkuasa yang juga ada masanya mengekori dari jalan yang sama. Lucu? Hahaha.

* umi selalu tanya, kenapa aku tak guna lebuhraya saja, lebih cepat sampai ke rumah. Aku hanya cakap, tak selesa. Aku lebih sanggup guna jalan Sungai Buloh-Bandar Rahman Putera-Tasik Biru dan masuk ke Bandar Tasik Puteri. Walaupun lambat, tetapi aku rasa selesa dan selamat. Selesa sebab ada ramai orang. Selamat? Duit aku tak habis! Kedekut? Bukan kedekut tapi berjimat! Aku guna LATAR pun, bila betul-betul dah sesak!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku