Friday, January 11, 2013

Had

Mesin bola tenis!
Salam hari Jumaat yang penuh keberkatan. Hah, pasti semua dah pernah melihat mesin ini malah tahu kegunaannya. Betul, bukan? Ya, ia digunakan khas untuk sesi latihan tenis. Hmm, apa pula kena mengena dengan entri aku kali ini? Ada. Takkanlah, suka-suka hati aku nak muat-naik gambar ini tapi tidak ada kaitan. Buang masa namanya!

Pernah tak kalian kaji, bagaimana mesin ini berfungsi? Bola itu dilontarkan dan pemain harus memukulnya. Kalau tak dipukul, maka bola terlontar jauh. Sama ada ianya akan kembali atau tidak, terpulang kepada pengutip bola. Hahaha. 

Baiklah, maafkan aku kerana mula melalut. Memang itulah kebiasaannya. Sebelum bermula, aku pasti akan melalut entah apa. 

Sebenarnya, apa yang berlaku pada mesin bola tenis ini turut terjadi dalam kehidupan manusia seharian. Bola itu adalah umpama kata-kata yang dilafazkan. Adakalanya, kata-kata itu akan kena tepat ke atas 'hati' orang yang mendengarnya. Kalau ia sesuatu yang sedap didengar, maka ianya tidak akan kembali kepada penyampainya. Sebaliknya, kalau kata-kata itu mengoyak hati orang mendengarnya, maka terimalah balasannya. 

Apa yang menghairankan apabila, setiap lafaz kata diberikan balasan yang menyakitkan. Seakan menunggu peluang mulut dibuka. Lebih sakit lagi apabila kata-kata balasan disampaikan secara sindirian sekaligus menimbulkan persepsi bahawa, lebih baik diam dari bercakap. 

Cuma persoalannya sekarang, apakah masalah yang melanda sehingga ada sahaja serang balas dilancarkan. Cara terbaik untuk mengelakkan perkara menjadi rumit adalah berdiam diri. Biarlah orang mentertawakan tindakan diam membisu yang penting tidak timbul perbalahan. Biar kalah di mata manusia, tapi Allah menghitung setiap kesabaran yang kita pegang.

Aku teringat akan pesan seseorang, 

"Kalau kau tiada perkara baik yang ingin dilafazkan, lebih baik berdiam!" 

* mungkin akan sampai ke satu tahap di mana kesabaran dan kemarahan diterjemahkan menerusi kebisuan. Sekiranya kebisuan itu terjadi juga, jangan pula menuduh kesombongan menguasai diri. Orang tidak akan membuat sesuatu tanpa ada punca dan sebabnya.