Monday, January 7, 2013

Disergah Izrail?

Cerita bersesuaian dengan gambar, di akhir entri ya! Hehehe. (Gambar Malaysia Terkini)
Dua hari tak menyibuk di ruangan ini. Rasa rindu pula. Biasalah, berhujung minggu di rumah. Lebih gemar mengemas. Eh, mengemas? Hahaha. Entah. Hobi baru agaknya. Habis setiap sudut di rumah, khususnya dapur dan bilik tidur aku kemas rapi. Buat masa sekarang, tiada tempat paling indah dan tenang melainkan bilik tidurku. Ruang imaginasi dan fantasi bergabung jadi satu lalu membentuk duniaku sendiri tanpa sebarang batasan. 

Oh, ya. Semalam, pastinya separuh rakyat Malaysia menghambakan diri depan kaca tv. Tidak mahu diri ketinggalan acara terbesar. Apa lagi kalau bukan; Juara Lagu. Berbeza dengan aku yang awalnya ingin turut serta tetapi melupakan niat itu kerana... Tidur lebih INDAH! Hahaha. Mungkin, seharian sibuk mengemas. Kuak lentang atas katil dari 9 malam hinggalah 4 pagi! Nasib baik tak hidupkan Romi Jr. Kalau tak, berjalanlah bil elektrik bulan ini. Sia-sia membayar, tapi tak digunakan.

27 tahun? Hmm
Sepertimana yang aku jangkakan, tahun ini menjadi milik Yuna menerusi lagu Terukir Di Bintang. Mungkin, kalau arwah Tn Haji Zubir masih ada, dia juga setuju. Kenapa? Aku rasa kekuatan pada liriknya yang sebati dengan iramanya. Mungkin. Aku cuma memberi pendapat dan berkongsi. Tak setuju, tak apa! Lagu tulisan Malique juga punya kekuatan pada lirik. 

Sebenarnya, ada kisah lain yang berlaku pagi tadi. Dalam perjalanan aku ke tempat kerja. Keluar dari rumah, pukul 7 pagi. Memandangkan hari ini adalah Isnin pertama dalam tahun 2013, maka banyaklah kenderaan dan membuatkan jalan sesak. Sangat sesak! Aku masuk ke lebuhraya pun sudah pukul 8:10 pagi. Sah-sah, lambat masuk pejabat. Tapi, tak mengapa. Kalau lewat, aku perlu bayar balik. Lewat masuk 15 minit, balik lewat 15 minit. 

Entah ke mana fikiran melayang, tatkala sedang memecut Lolly pada 120km/j (dah insaf, tak mahu pecut sangat!) kelihatan sebuah Preve merah di belakang. Dia tak menaikkan lampu, tetapi aku cukup faham tindakan pemandu yang dah mula cucuk-cucuk angin, ketika itu benar-benar di selekoh sebelum masuk simpang Hospital Sg Buloh, aku beri isyarat untuk masuk dan menggunakan laluan kedua. Kebetulan, ada seorang penunggang motosikal, tak mahu mengalah. Aku masuk perlahan-lahan cuba tidak melanggar penunggang dan beri laluan kepada Preve. Sedang aku menjaga jarak di antara keduanya (terima kasih Preve yang tak sabar-sabar terus ambil alih laluan aku di laluan pertama) sebelum sempat aku masuk sepenuhnya ke laluan kedua, BMW yang mengekori rapat 'punggung' Preve hampir melanggar badan Lolly!

Preve merah, lebih kurang begini!
Aku mengaku. Jika perlanggaran itu benar-benar berlaku, kesalahan perlu diletakkan seratus peratus di pundakku! Aku kerling cermin sisi, mata BMW mengganas ingin merempuh badan Lolly. Di mana, di situlah kedudukan aku. Waktu itu, aku seakan dibutakan sekejap; mata dan minda. Di telinga, hanya kedengaran kalimah syahadah yang terlafas secara spontan di bibir. Sesaat itu, aku dapat lihat jelas tanah kubur, aku seakan merelakan Izrail menjemput. Entah bagaimana, minda terdorong, mata memerhati penunggang motosikal; agar tidak tercuit, muncung Lolly tidak mencium 'punggung' Preve dan badannya pula tidak dijamah BMW!

Iya, inilah BMW yang ganas itu
Allahu Akbar, Allah Maha Besar. Tangan dan kaki ini tidak dikawal minda tetapi ada satu kekuatan yang memandu untuk berpindah ke laluan ketiga tanpa mengorbankan Lolly, Preve, BMW dan penunggang motosikal tadi. Alhamdulillah., aku selamat ke susur masuk Hospital Sungai Buloh tanpa sebarang kecederaan. 

Allah mahu menduga aku. Dia tidak mahu aku mati sia-sia dan terlalu mudah. Masih ada banyak dugaan yang telah disediakan untuk aku hadapi. Sepertimana yang abah pernah bilang, Allah akan terus menduga hamba-Nya agar mereka tidak pernah lupa. Ya, aku tidak pernah lupa. Cuma sesekali terleka.

Selepas lega terlepas dari jemputan Izrail, sekali lagi Lolly nyaris dihentam. Bayangkan situasi aku ketika itu? Tangan dan kaki menggigil, tapi tetap ada kekuatan memandu Lolly ke tepi. Syukur, Alhamdulillah. Lolly jadi perisai kepada tubuh dan mindaku yang sudah melembik. Jalan sesak. Lebih sesak berbanding hari-hari sebelumnya. Bila aku toleh ke jalan berlawanan, ada kemalangan berlaku. Hmm. Tidak cakap banyak sambil dalam hati tak putus mengucapkan syukur. Kalau lewat sesaat, pasti aku juga menghadapi masalah serupa. Mungkin, lebih teruk lagi keadaannya dan bisa mengisi ruang depan surat khabar arus perdana di keesokan hari?

* pengalaman disergah Izrail, tiada siapa yang hadir menerpa dalam ingatan melainkan Allah. Mungkinkah, aku sudah bersedia?