Wednesday, January 2, 2013

Diari Hati...

Diari baru aku!
Agak lama aku tak menulis diari. Teringin memiliki semula, sebuah diari seperti waktu dulu, jadi diari di atas ini aku beli seminggu sebelum tahun 2012 menghabiskan bakinya. 

Aku memang suka menulis diari. Diari pertama aku miliki adalah sewaktu berusia 13 mahu beranjak ke 14 tahun. Itupun, hadiah pemberian Angah. Ketika itu, aku baru mengenal pelbagai rasa dan mengetahui ertinya juga; sayang, cinta, benci, kecewa, sedih, marah dan lain-lain lagi. Diari pertama, masih ada di rumah. Tersimpan di satu sudut yang mudah untuk ditemui tetapi tidak pernah diambil peduli.

Kalau tak silap, kali terakhir aku mempunyai sebuah diari; tahun 2007. Baru terbaca isinya semalam. Hahaha, ada coretan pelbagai emosi. 2007, ketika itu aku masih di ASK. Kebanyakannya, halaman kosong. Hanya beberapa helaian yang berkisah. Biarpun tanpa diari, kenangan dan memori di ASK tersemat rapi dalam ingatan. 

Bila aku selak-selak kembali, coretan yang ada pada setiap diari mampu buat aku senyum, ketawa dan adakalanya, menangis seorang diri. Kenapa diari? Aku lebih percayakan diari. Bukan disebabkan aku terpengaruh filem 'Bodyguard' atau yang sewaktu dengannya. Tapi, diari tidak akan mengkhianati kepercayaan aku (selagi aku pandai menjaganya dan tidak jatuh ke tangan orang lain!)

Aku tak bisa mempercayai manusia. Tak ada jaminan mereka menyimpan segala rasa yang ada pada diri. Mungkin, setahun dua, ia boleh disimpan. Namun, siapa boleh beri jaminan, rasa itu tersimpan untuk selamanya? Sebab itulah, aku sukar membuka atau meluahkan rasa hati pada orang sebarangan. Ada cerita yang tidak pernah aku luahkan pada sesiapa, tapi diari aku tahu segalanya. Sepertimana aku berkisah kepada Allah, seperti itu jugalah aku catatkan pada helaian diariku. Bezanya, perlukan dakwat untuk menulis, tetapi dengan Allah, tiada sempadan meluah rasa. Setiap detik, setiap ketika. Selagi aku bersama-Nya, dia sentiasa mendengar resahku. 

Tahun ini, Alhamdulillah...semuanya berjalan dengan baik sekali. Harap berkekalan isi yang tercoret di atas helaiannya. Biarpun dakwatnya biru atau hitam, aku tidak mahu isinya merah!

* Isi hati aku ada dalam diari. Nak tahu apa yang diisi? Tunggulah hingga aku mati! Hihihi...