Monday, October 25, 2010

Kelahiran si pari-pari baru... Mierza Zamri

23 Oktober. Waktu itu aku gigih mendukung Miqhail. 3 hari lagi, genaplah usia 2 tahun pari kesayanganku ini. Diam tak diam, sudah besar rupanya. Seakan semalam dia masih dalam ribaan dan dakapanku. Mukanya masih kemerah-merahan. Anugerah yang paling indah. Miqhail. Sekarang, dia dah boleh berlari, berjalan, bertutur dalam sepatah dua kata. Teman yang boleh diajak bermain di waktu sepi. Sepi? Adanya dia, tiada lagi kurasa sepi.

Petang itu, aku bersama-sama Ayuz, Umi dan Along (yang sedang menunggu hari! walaupun tarikh diberikan doktor hari ini) keluar pergi beli-belah untuk dua majlis yang bakal diadakan 29 Januari ini. Ya! Tarikh keramat saban tahun. Bukan hanya kerana ia tarikh lahirku, tetapi juga banyak peristiwa yang mendarat pada tarikh itu. Along sudah menetapkan tarikh untuk majlis cukur jambul anaknya pada tarikh itu. Begitu juga dengan majlis Ayuz. Kiranya, macam-macam aturcaralah yang akan berlangsung 29 Januari nanti. Sambutan ulang tahun perkahwinan Along (26 Januari ... dah 3 tahun dah!), hari lahir Ayuz yang ke 24 (27 Januari) ulang tahun perkahwinan Abah-Umi (29 Januari ... 33 tahun), hari lahir aku yang ke..... kiralah sendiri! (29 Januari), majlis cukur jambul anak kedua Along dan majlis pertunangan Ayuz (29 Januari). Padat sangat!

Sepertimana biasa, Along dan Ayuz memang terkenal dengan sikap cerewet. Jadi, petang itu kami berpeleseran dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Gara-gara nak memastikan barang-barang untuk hari bersejarah itu menepati citarasa masing-masing. Aku menurut saja. Tapi, memang betul apa yang mereka praktikan. Aku kira, kalau majlis aku... mungkin aku pun turut sama cerewet. Atau... mungkin lebih lagi? Siapa tahu.

Pulang dari sesi membeli-belah, secara spontan Along bertanya, bila agak-agaknya anak dalam kandungannya akan keluar? Yalah, tarikh dah sampai, sakit nak bersalin tak terasa lagi. Pantas aku berkata...

"Kalau tak besok, mungkin 26 haribulan... tapi tak mungkin 30...," yakin!

"Kenapa bukan 30?" soal Along lagi.

"Lama sangat tu... mana ada bayi lahir lambat sangat. Setahu aku, aku seorang je yang lahir lewat sebulan," kataku diikuti gelak tahap sawan.

Nak dijadikan kisah. Tepat pukul 6 pagi, umi meluru masuk ke bilik. Masa itu pandangan aku kabur-kabur. Tak tidur, melayan manuskrip yang tak bertemu jalan penyudah!

"Kau tak tahu, Along dah pergi hospital?" soal umi dengan mimik muka yang agak muram.

"Tak... kenapa tak bagitahu?" soal aku pula..

"Orang bising-bising kat luar ni, kau tak dengar?" soal umi lagi.

"Manalah Izan nak dengar, tengah menatap kerja ni," kataku kesal. Selalunya aku akan tengok Along pergi.

Di rumah, aku meresah. Nak pergi, Along pesan tak payah lagi. Katanya, mungkin lambat. Takut tak terkawal si Miqhail. Aku menurut. Panggilan seterusnya, pukul 11.45 dari abang Zamri. Katanya, Along dah selamat lahirkan anak keduanya. Lelaki seberat 3.75 kg. Alhamdulillah.

Sepantas kilat kami bersiap, menuju ke hospital di Seri Gombak. Perasaan yang sama seperti menyambut Miqhail dulu muncul kembali. Indahnya kurniaan Allah. Air mata tak tertumpahkan, melihat kesempurnaan ciptaan-Nya. Mierza. Ya, itulah nama yang diberikan kepada si anak comel ini. Putih gebu. Lebih terharu apabila melihat raut wajahnya yang ada iras aku. Matanya sepet, pipinya labuh, hidungnya? Tak payah cakap. Muncungnya? Sama macam aku.

Alhamdulillah, Along pun selamat dan sihat-sihat saja. Bersyukur kerana kedua-duanya selamat. Berita ini terus aku khabarkan kepada teman-teman. Ada yang bertanya dan mahu melihat seraut wajah pari-pari kecilku itu. Maaflah, kami masih memegang pantang larang orang-orang tua zaman dulu. Tak baik ditunjuk-tunjuk gambar bayi baru lahir. Insya-allah, genap usianya 2 bulan, akan aku pahatkan gambarnya di sini. Buat sementara itu, biarlah Mierza berselindung dan terus menjadi tanda tanya. Cuma doakan kesejahteraan anak ini agar sentiasa sihat. Amin.

Beberapa gambar Mierza yang sempat aku ambil...






Saturday, October 23, 2010

Ada Yang Lain...



Hari ini nak berkongsi cerita tentang novel terbaru aku, bergabung dengan penulis (kakak yang aku sanjungi) kak Ellis Gee. Tak pernah aku menyangka dapat bekerjasama dengan kak Ellis Gee. Bertemu untuk pertama kali di Pesta Buku Antarabangsa. Itu pun disebabkan kerana kebetulan, aku dijadualkan untuk bersama-sama memeriahkan booth Fajar Pakeer beberapa tahun yang lepas. Sejak hari itu, sehinggalah ke hari ini, aku dan kak Ellis sentiasa berhubung. Terima kasih ya kak. Aku rasa, dia seorang sahaja yang sudi beri peluang untuk digabungkan karyanya bersama karyaku.

Awalnya, aku agak gerun nak digabungkan dengan mana-mana penulis. Apa taknya, masing-masing sudah ada pengikut tersendiri dan kak Ellis mempunyai sejumlah pengikut yang agak ramai. Buktinya, beberapa kali karyanya berjaya menjadi antara yang terlaris. Tahniah. Bertambah gerun aku dibuatnya. Namun begitu, dia selalu membantu aku bina semangat dan terus cekal dalam bidang yang sememangnya aku cintai ini. Pernah di satu ketika, aku rasa mahu tinggalkan dunia penulisan ini dan menumpukan seratus peratus terhadap kerjayaku sebagai editor. Alhamdulillah, dengan adanya dorongan keluarga, sahabat dan juga rakan penulis (terutamanya kak Qaseh Qaisara dan kak Ellis Gee) aku cekalkan hati dan terlahirlah Ada Yang Lain.

Satu perkara yang boleh aku katakan, Ada Yang Lain merupakan karyaku yang agak lain dari sebelum ini (Rindu Pada Matahari dan Hatimu Hatiku Jadi Satu) Ya. Aku meletakkan diri dalam keadaan yang jauh sekali berbeza dengan karakter, situasi dan pengalaman diri. Masih terngiang-ngiang di telinga soalan umi kepadaku setelah karyaku ini selesai dibacanya.

"Ini cerita siapa?"

"Bukan cerita Izan,"

"Tapi macam kau, ada kereta Satria... majalah, editor,"

"Nak ambil mood, lebih alami,"

Ya. Aku sengaja menggunakan elemen yang berada di sekelilingku. Namun, Shazia bukanlah Romibaiduri dan pastinya bukan Shahaini. Shazia adalah seseorang yang aku doakan tidak pernah terjadi dalam hidup aku. Tapi, tidak aku nafikan, sebahagian Shazia ada aku, ada Romibaiduri dan juga ada Shahaini. Sudut mana? Siapa yang baca akan mengetahuinya. Kisah Cinta Yang Lain, hanyalah bayangan semata-mata. Tiada kaitan sama ada hidup mahu pun mati.

Secara jujurnya, aku teramat suka dengan hasil penulisan kali ini. Bak kata seseorang, dia sudah nampak ada kemajuan dan kematangan dalam lenggok penggunaan bahasaku. Atau dalam penghakiman aku sendiri, "lebih bersahaja, telus dan jujur!"

Selain Cinta Yang Lain, dalam novel Ada Yang Lain siri novel Dwilogi Cinta ini, ada kisah Selenge. Aku kira, inilah kali pertama aku bertemu dengan watak sebegini. Nasratul Adawiyah atau nama ringkasnya Nas, seorang wanita yang suka makan percuma dan bercantik! Kak Ellis berani mengutarakan watak utamanya memakai perwatakan negatif. Amat jarang digunakan tetapi menarik. Berlawanan dengan perwatakan Shazia.

Nas gila-gila tetapi berani. Seorang yang bersahaja tetapi berkeyakinan. Shazia pula, seorang yang amat serius, keras hati. Tetapi dalam masa yang sama, lemah hati kerana terlalu menyayangi seorang lelaki, Haikal. Berbeza dengan Nas yang suka cabaran dan mencabar. Nas yakin dengan cinta hatinya. Walau seribu lelaki datang menawarkan cinta, hatinya milik seorang. Tidak seperti Shazia, setia pada satu dan merana sendirian.

Dua wanita dalam dua dunia berbeza dengan sudut pandang yang berlainan tetapi punyai keinginan yang sama. Apakah keinginan yang satu itu?

* Gembira hati ini apabila menerima komen darinya yang mengatakan sudah selesai membaca novel ini. Tambah terharu bila menerima komen ini...di ruangan Facebook (Mukabuku) Khamis yang lalu.

"I dah baca CYL tu. Seronok...akhir cerita tu i nangis juga. Bagus sebab ada elemen agama dalam cerita tu. Umur panjang, kita bekerjasama lagi. Semoga sukses selalu." Thursday at 07:55

Sekali lagi terima kasih diucapkan kepada kak Ellis Gee yang sentiasa bersabar dengan kerenah dan kesibukan seorang Romibaiduri Zahar. Insya-allah, panjang umur dan ada jodoh, kita akan bergabung lagi di projek yang lain.


Kak Ellis Gee... macam-macam yang dirancang tak menjadi.
Insya-allah, mungkin ada rezeki di lain hari. Amin.

Kejutan!

Sebenarnya kisah ini terjadi semalam. Lupa. Nama pun kejutan. Terkejut sampai terlupa. Semalam, pagi-pagi lagi dah buka komputer riba. Dapat emel yang tak disangka-sangka, tapi memang amat menggembirakan hati. Apa taknya? Bukan senang nak dapat emel begitu. Susah nak dijelaskan dalam kata-kata. Jadi, biarlah gambar ini yang menerangkan segala-galanya.


Apa Being Human? Bukan sekadar jenama jam tetapi satu organisasi kebajikan yang diasaskan oleh Salman Khan. Aku dah tengok model-model jam ini. Memang rekaannya klasik. Harganya pun amat 'klasik'. Keluaran edisi pertama, harganya lebih seribu ringgit. Edisi akan datang pula sekitar lima ratus. Senak perut. Teringin nak beli. Kena tunggu dulu. Sementara menunggu untuk memiliki jam ini, si tuan punya jenama ini beri peluang kepada orang ramai, khususnya peminatnya untuk jadi model. Hihihi. Termasuklah aku. Oi, perasan!

Tapi, memang benar. Dia beri peluang kepada peminat dan sesiapa yang berminat untuk mengabadikan diri bersama jam ini dengan memberikan gambar kepada munna@munnas.com. Sesiapa rasanya yang berminat nak jadi model secara sukarela untuk jenama Being Human - Salman Khan Foundation ini, hantarlah gambar ke alamat tadi. Sekali-sekala jadi model sukarela. Tak salah, bukan? Hihihi.

Friday, October 22, 2010

Nyaris, Hampir...

Semalam 4 kali aku nyaris ditimpa musibah. Pertama, ketika waktu rehat (makan tengah hari), aku sengaja keluar pejabat. Berjalan-jalan, kononnya nak bakar kalori dan dalam masa yang sama nak 'bersihkan' ruang minda dan pemikiran. Bebaskan diri seketika dari ruang kerja. Niat di hati mahu hirup udara segar, sebaliknya bau asap kenderaan dan juga keadaan berjerebu menambah sesak lubang hidungku yang secara zahirnya memang besar.



Bertemankan nyanyian Maher Zain di lubang telinga (Insya-allah, Alhamdulillah dan Allahi Allah Kiya Karo), aku berjalan melayan diri. Satu tabiat aku, tidak suka memandang keliling sebaliknya tapak kaki sendiri dan juga arah tuju harus aku ambil kerana aku tak suka berhenti. Nak dijadikan cerita, aku enggan gunakan ruang pejalan kaki yang tidak rata. Apa tidaknya? Batu-batu yang ditimbunkan atas urat-urat kayu, tentu sahaja ianya agak menyusahkan aku berjalan. Kadang-kadang, tersepak batu-batu itu sendiri. Sakit kaki! Jadi, aku gunakan laluan yang sudah berbekas dan membentuk seakan denai. Tanpa aku sedari, laluan itu bersebelahan dengan tebing bahu jalan. Di sebelahnya pula jalan utama. Aku teruskan perjalanan dan kaki tersadung dahan kayu dan hampir buat aku jatuh ke bahu jalan. Kebetulan ketika itu ada bas sedang lalu. Cepat-cepat aku naikkan diri kembali. HAMPIR! Kalau aku tidak alihkan kaki, mahunya diri aku ini disambar. Alhamdulillah... itu yang dibisikkan suara Maher Zain di telinga, seakan meluahkan rasa hati aku ketika itu.

Aku teruskan berjalan. Dalam jadual yang aku simpan untuk diri sendiri, sesi berjalan-jalan ini seharusnya mengambil masa selama 20 minit. Ada lagi baki 10 minit sebelum aku kembali ke pejabat dan nikmati hidangan tengah hari. Ya, memang pelik. Sepatutnya, aku perlu makan terlebih dulu dan barulah diikuti dengan sesi membakar kalori. Alasan kenapa aku berjalan dahulu adalah kerana aku tahu, bila makanan dah bertambah dalam badan, semakin berat pula aku nak berjalan. Jadi, aku bakar kalori, makan dan kemudian senam ringan untuk bakar baki makanan yang baru masuk. Macam mana? Kelakar bukan? Suka hatilah.

Tinggal baki 10 minit, aku berjalan pula pulang menuju pejabat. Aku rasa kurang selesa berjalan seakan sesuatu terlekat di tapak kasut. Aku berhenti melangkah dan melihat tapak kasut itu. Sah. Ada paku yang sudah pun terbenam. Lantas, aku mencabutnya keluar. Ya Allah! Paku karat yang panjang. Alhamdulillah, aku berjalan menggunakan kasut bertumit agak tebal. Kalau tidak? Mahunya kaki aku terhunus karat itu dan mungkin terpaksa ke hospital untuk menerima suntikan. Ya, sekali lagi aku HAMPIR! Allahu Akbar, besar sungguh kuasa Mu kerana sentiasa menghalang kecelakaan menimpa diri.



Selesai sesi berjalan, aku pun berehat di ruang surau yang juga tempat aku selalu menikmati hidangan tengah hari. Seperti hari-hari sebelumnya, aku membawa bekal khas dari rumah. Mudah, cepat dan jimat. Makanan lebih berkhasiat dan terjamin. Adakalanya sahaja barulah aku turun ke kedai membeli. Itu pun ikut selera. Masih lagi mendengar dendangan lagu Maher Zain yang sengaja kusimpan dalam simpanan telefon bimbitku. Dek kerana surau kedua ini tiada kelengkapan seperti kipas udara, aku sengaja membuka cermin tingkap. Segarnya udara. Berbeza dengan udara yang kuhirup tadi. Sedang sedap menghirup udara yang sedikit nyaman itu, kakiku tiba-tiba menggigil dan menggeletar. Aku seolah-olah rasa mahu terjunam ke bawah. Ya Allah, sekali lagi aku HAMPIR terjatuh ke luar tingkap. Itu pun dari tingkat 10! Bayangkan kalau aku benar-benar jatuh. Silap haribulan, orang akan sangka aku membunuh diri. Na'uzubillah... mustahil. Tak akan sesekali pun terlintas di fikiran untuk mengakhiri hayat sendiri dengan berkelakuan kejam sebegitu.



Astaghfirullahalazim.... alhamdulillah. Tiada apa-apa pun terjadi pada aku. Semuanya hampir sahaja dan membuatkan aku bersyukur. Bersyukur yang aku masih mampu menikmati kurniaan nyawa ke atas tubuhku ini. Sedikit terkejut, tetapi cukup membuatkan aku sedar. Biar sebanyak mana perkara menjengkelkan terjadi, Allah tetap ada denganku. Aku hanya perlu sentiasa mengingati-Nya, nescaya Dia akan melindungi aku. Insya-Allah.

Namun, masih ada satu lagi baki kisah yang berlaku pada aku. Kejadian selepas pulang dari pejabat. Aku memandu Lolly dan sepertimana perjalanan tengah hari tadi, dalam kereta pun aku ditemani Maher Zain. Alhamdulillah, lagu-lagu nyanyian Maher Zain mampu menenangkan dan aku pun tidak memandu kereta gila-gila. Aku lebih sabar dan memandu dengan had laju yang ditetapkan (tidak lagi memecut sehingga 140km/j). Sedang asyik melayan lagu dan melafazkan ungkapan bait-bait lirik dalam lagu, aku NYARIS digesel sebuah Prado dan lori kecil. Ya Allah. Inilah masalah pemandu-pemandu Malaysia. Adakalanya, kita sudah pun tenang dan lebih cermat, tetapi pemandu lain pula yang membuat kesalahan. Kalaulah kedua-dua Prado dan lori tadi berlanggar sesama sendiri dan aku juga akan diheret bersama. Tentu remuk juga dibuatnya.

Alhamdulillah, semua kejadian itu berlaku tanpa membawa apa-apa kecederaan pada diriku. Namun, kecederaan di hati, siapa tahu?

Sebelum menutup entri ini, aku mahu kongsi satu lagi lagu Maher Zain yang amat aku gemari. Allahi Allah Kiya Karo berduet dengan Irfan Makki.



Lirik Allahi Allah Kiya Karo

Allahi Allah kiya karo
(Say Allah, only Allah)
Dukh na kisi ko diya karo
(Do not hurt anyone)
Jo duniya ka malik hai
(The one who is Master of the universe)
Naam ussi ka liya karo
(Mention only His name)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)

Just like a sunrise,
Can't be denied,
Just like the river,
Will find the sea,
Oh Allah,
You're here You're always near
And I know without a doubt
That you always hear my prayers

Such ki rahoon pe chala karo
(Keep walking on the right path)
Dukh na kisi ko diya karo
(Do not hurt anyone)
Jo duniya ka malik hai
(The one who is Master of the universe)
Naam ussi ka liya karo
(Mention only His name)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)

Allahi Allah kiya karo
(Say Allah, only Allah)
Dukh na kisi ko diya karo
(Do not hurt anyone)
Jo duniya ka malik hai
(The one who is Master of the universe)
Naam ussi ka liya karo
(Mention only His name)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)

So many bright stars
Like diamonds in the sky
It makes me wonder
How anyone can be blind
To all the signs so clear
Just open your eyes
And I know without a doubt
You will surely see the light

Teri duniya, teri zameen
(Your world, your land)
Yeh kehkashan hai
(Is like a galaxy)
Tu hai Kareem
(And You are the Magnificent)
Mere Maula, sun le dua
(My Lord, answer my prayer)
Hum be bas hain tere bina
(We are helpless without you)
Roshan kar jahaan
(Please enlighten the world)

Aisa zulm na kiya karo
(Do not commit such injustice)
Dukh na kisi ko diya karo
(Do not hurt anyone)
Jo duniya ka malik hai
(The one who is Master of the universe)
Naam ussi ka liya karo
(Mention only His name)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)

Allahi Allah kiya karo
(Say Allah, only Allah)
Dukh na kisi ko diya karo
(Do not hurt anyone)
Jo duniya ka malik hai
(The one who is Master of the universe)
Naam ussi ka liya karo
(Mention only His name)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)
Allahi Allah
(Allah, only Allah)

Thursday, October 21, 2010

Kerana Maher Zain!

Tidak aku sangka, entri semalam mengundang pelbagai respon. Ada yang mula bertanya siapakah manusia yang aku maksudkan? Tak kurang juga yang menasihati supaya jangan terlalu berkeras hati. Satu sahaja yang boleh aku katakan, biar aku seorang sahaja yang tahu. Sebagaimana yang pernah aku katakan dahulu, blog ini ruang untuk aku meluahkan rasa dan sekadar nukilan diri. Bukan untuk mengaibkan sesiapa. Siapa juga orang itu, biar aku sahaja yang tahu.

Ya. Pelbagai respon aku terima termasuklah dari Along sendiri. Dia ada menasihati aku, jangan terlalu keras kepala dan keras hati. Tak elok. Satu saja yang aku mampu buat, hanyalah tersenyum. Bila ditanya pula, adakah aku sedia melupakan. "Insya-allah" jawabku.

Dalam banyak-banyak respon yang aku terima, satu soalan yang aku tak boleh lupakan. Apa dia?

"Kenapa tiba-tiba engkau jadi budak emo ni?"

Soal insan itu yang aku kira tidak perlu didedahkan namanya. Cukuplah sekadar berkongsi soalannya sahaja.

"Jangan memaksa diri..., biar masa yang tentukan," katanya pula.

"Masa tak boleh selesaikan apa-apa pun.
Pertama kali dalam hidup aku punyai
rasa benci yang terlalu banyak," balasku pula.


"Habis tu, kenapa kau tanya soalan tu?
Kafirkah aku? Mengarutlah!"

"Mungkin penangan Maher Zain!"

Ya. Semalam, aku mengamati semula lirik-lirik lagu Maher Zain. Mungkin tidak perlu aku jelaskan rangkap apa yang buat perasaan aku tercubit dan terhunus rasa serba tak kena. Walaubagaimanapun, seperti yang pernah aku katakan... aku tak akan menyesal dengan keputusan yang diambil. Aku redha dan inilah pilihan muktamadku. Bukan aku suka bermain dengan dosa, cuma tidak mahu dijadikan boneka sekali lagi. Bak kata sahabatku, Imaan.

"Kesalahan sekali boleh dimaafkan, kedua kali pun masih boleh diterima tapi kalau disusuli dengan kali ketiga... kaulah orang paling bodoh yang pernah wujud dalam dunia!"

Jadi, aku memilih untuk tidak jatuh dalam golongan paling bodoh dengan membenarkan diri tertipu hanya untuk sekali. Tidak perlu kedua mahupun yang ketiga. Kerana sekali itu, tempohnya amat panjang. Hmmm.



Insha Allah (God Willing) - Maher Zain.

Every time
You feel like you cannot go on
You feel so lost and that you're so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless you can't see which way to go
Don't despair
And never lose hope
'Cause Allah is always by your side

Chorus:
Insha Allah
Insha Allah
Insha Allah
You'll find your way

Every time
You commit one more mistake
You feel you can't repent and that it's way too late
You're so confused
Wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full shame
But don't despair
And never lose hope
Coz Allah is always by your side

Chorus

Turn to Allah
He's never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
Ya Allah
Guide my steps, don't let me go astray
You're the only one who can show me the way
Show me the way
Show me the way
Show me the way

InshaAllah
InshaAllah
InshaAllah
We'll find the way

Lyrics: Maher Zain & Bara Kherigi
Melody: Maher Zain
Arrangement: Maher Zain & Hamza Namira
© Awakening Records 2009


* Aku yakin,
inilah caranya. Kata-kata dan gerak hati tak pernah menipu diri. Alhamdulillah. Allah sentiasa membuka jalan untuk diriku mencari penyelesaian. Penyelesaian yang paling indah.

Wednesday, October 20, 2010

Kafirkah aku?

Salahkah aku,
jika hati tidak mampu menyedekahkan kemaafan?

Kejamkah aku
kalau hati ini sudah belajar membenci?

Zalimkah aku kalau aku katakan,
aku tak mahu lihat dia sampai mati?

Kafirkah aku
kerana enggan memaafkan kesalahannya?


Percayalah, aku yang lebih terluka. Kemaafan itu sekadar ayat yang boleh diucapkan dibibir tetapi di hati ia terus meninggalkan parut paling dalam.

Aku pernah dengar, orang yang tidak memaafkan kesalahan orang lain menanggung dosa yang lebih besar berbanding orang yang melakukan kesalahan. Sekiranya benar, aku rela menanggung dosa itu. Jika aku memaafkan sekalipun, ianya tidak ikhlas. Jadi, buat apa menipu? Betul tak? Lagipun, dia juga menyimpan perasaan benci yang sama. Lebih banyak yang ada pada aku. Aku pasti, kemaafan itu tidak pernah pun terwujud di bibirnya. Dia mulia, dia benar, dia suci. DIA DEWA! Jadi, kepada dewa seperti dia, kemaafan dari aku tidak beerti. Tak salah rasanya kalau aku tidak memaafkan. Namun persoalan itu tetap muncul.

Kafirkah aku?

Dan sedang aku sibuk bertanyakan soalan ini berulang kali, seseorang datang sambil mencuit bahuku.

"Diamlah, Pandir!"

Bila aku pusing, tidak pula ada sesiapa di situ. Pelik.


"Siapa pula pandir? Akukah pandir?

Aku tanya soalan lain,kau jawab lain.

SENGAL!"

Adakah mereka pernah rasa BERSALAH?

Aku masih ingat satu perkara yang dibualkan bersama adikku, Ayuz pada hari Ahad lepas. Di waktu itu, seperti biasa, aku dan mereka (umi, abah dan Ayuz) keluar bersiar-siar, mencuci mata. Kebetulan jalan yang kami ikuti (ketika itu aku yang memandu) adalah lebuhraya Kuala Lumpur-Ipoh. Sedang rancak berbual, aku keluarkan cerita tentang perasaan aku selepas melihat gambar-gambar kejadian kemalangan ngeri 10.10.10 lalu.



Sempurnakah tarikh ini?
Jangan salahkan tarikh!


Sebelum mengakhiri perbualan, Ayuz sempat membuat permintaan padaku. Aku rasa, itulah permintaan yang paling menyentuh perasaan aku. Dia mahu aku menulis sesuatu tentang hal ini di blog. Betapa rasa kecewa, terkilan dan ralatnya apabila mengenangkan kebarangkalian yang mungkin terjadi sekiranya pasukan keselamatan 'mampu' sampai tepat pada waktunya di tempat kejadian. Dia juga meluahkan tentang logiknya perkhidmatan keselamatan udara.

"Angah, cuba kau bayangkan kalau pasukan penyelamat datang cepat dan bukannya 3 jam lewat? Kau rasa, ada tak mangsa yang boleh diselamatkan?"

Soalan itu meninggalkan garis dalam hati kecilku. Ya. Ada benarnya persoalan Ayuz itu. Bukan hendak melawan apa yang telah ditakdirkan, cuma apa yang berlaku jika benar-benar pasukan keselamatan datang tepat pada waktunya. Mungkin ada nyawa yang boleh diselamatkan. Aku cuba pula meletakkan diri sebagai mangsa atau keluarga kepada mangsa. Pasti lebih terkilan. Kalau aku benar-benar di situ, hilang kawalan? Ya. Aku pasti hilang kawalan dan mungkin juga kewarasan.

Aku juga difahamkan, kemungkinan ambulan boleh tiba awal di tempat kejadian jika laluan kecemasan dibiarkan kosong. Maksudnya, tiada kereta atau kenderaan lain menyekat lorong kecemasan yang dibuat KHAS untuk kecemasan. Aku faham, semua orang tidak mahu lambat. Apatah lagi tersekat dalam kesesakan lalulintas. Malah, ada sahaja pemandu-pemandu di Malaysia ini yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri. Laluan kecemasan digunakan sesuka hati. Alasan? Buat apa bersesak-sesak macam orang bodoh sedangkan lorong kecemasan itu kosong dan boleh digunakan.




Lorong kecemasan bukan untuk laluan kereta, tetapi untuk KECEMASAN.
Faham apa itu kecemasan?


Percayalah, lorong kecemasan dan juga bahu jalan sentiasa menjadi mangsa kegunaan para pemandu yang hanya mementingkan diri sendiri. Aku masih teringat satu kejadian di tol Rawang. Semua orang tahu, jalan di Rawang ini umpama 'dewa' kesesakan lalulintas. Sebaik keluar dari tol, jalan yang besar akan mengecil menjadi 2 lorong. Akibatnya, lorong kecemasan dan juga bahu jalan pasti akan digunakan. Setiap kali itu juga aku dapat lihat kesukaran penunggang motosikal yang tidak dapat menggunakan lorong itu. Sudahlah jalan 2 lorong itu padat, seakan syaf yang disusun rapat-rapat. Bahu jalan yang sepatutnya digunakan oleh penunggang motosikal juga dipenuhi kenderaan lain. Siapa yang salah? Pemandu kereta, ataupun penunggang motosikal? Selalu juga aku mengambil gambar mereka tetapi tidak pernah aku simpan.

Satu lagi persoalan yang berlegar di fikiran, apakah perasaan pemilik kereta yang sengaja menggunakan lorong kecemasan pada kejadian tersebut? Tidakkah mereka rasa bersalah kerana menghalang perjalanan pasukan kecemasan? Pernahkah mereka terfikir, jika ada antara mangsa tersebut adalah ahli keluarga sendiri? Tidakkah mereka akan mula menyalahkan itu dan ini?

Sebenarnya, sikap pemandu Malaysia sudah tidak dapat dibendung lagi. Secara jujur, aku tidak ambil pusing berapa laju mereka mahu memandu kenderaan, selagi mereka mampu mematuhi peraturan yang lain, bagus. Tidak membawa kesusahan kepada orang lain dan juga kepada diri sendiri. Kalau terlanggar pagar, tembok atau mana-mana tempat, atau mati sendiri lebih bagus. Sekurang-kurangnya cabut nyawa sendiri dan tidak membawa maut kepada orang lain. Apa? Ayat aku kejam? Fikirlah sendiri. Siapa lebih kejam? Aku yang mengeluarkan ayat ini, atau mereka yang tidak sayangkan nyawa?

Jadi, apakah tindakan rakyat Malaysia sesudah terjadinya tragedi ngeri ini? Bukankah sepatutnya dipertimbangkan rancangan untuk mewujudkan pasukan keselamatan udara? Ada bermacam-macam cara yang boleh digunakan. Yang penting, perlu menyelamatkan nyawa. Jika di luar negara ada pasukan keselamatan melalui udara, kenapa tidak kita? Bukankah Malaysia BOLEH?



Gambar hiasan.
Kalaulah Malaysia ada helikopter ambulan... bukankah bagus?


Mungkin juga di masa akan datang, para pemandu perlu menyimpan ini dalam ingatan. Jangan sesekali menggunakan lorong kecemasan. Lebih baik lambat dari menyusahkan orang lain. Insya-allah. Kadang-kadang, tidak salah rasanya kalau kita lewat tetapi dalam masa yang sama dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dari masa kita. Betul tak? Fikir-fikirkanlah.

Makluman... jangan terpedaya!


Pagi tadi, sebaik sahaja aku membuka e-mel, seperti biasa teman dan juga sahabat sehatiku dari jauh, telah memberitahu tentang suatu masalah yang mengaitkan e-melku. Cody. Masih ingat siapa Cody dalam hidupku? Kalau tidak ingat, tak mengapa. Tidak. Entri kali ini bukan tentang Cody tetapi apa yang dimaklumkannya kepada aku.

Tidak silap aku, hampir 2 bulan aku tidak melayan segala ym, sms dan juga panggilannya. Bukan aku mengelak atau sombong, cuma aku tidak menang tangan melayan semua itu. Ya. Banyak tugasan yang perlu aku lakukan. Tambahan pula garisan masa dua negara yang berbeza antara aku dan Cody. Di sini pagi, manakala di sana pula tengah malam. Begitulah sebaliknya. Kadang-kadang namanya ada tertera pada YM, tetapi sengaja tidak aku tegur. Kalau mula tegur, maka akan bersembang panjang. Kerja pun tidak akan berjalan. Benar bukan?

Namun, Cody seorang yang memahami. Pagi tadi, dia hantar sahaja YM yang turut diakhiri

"I just wanted you to know. Reply is not needed."

Mulia sungguh dia. Kenapa pula mulia? Antara ramai-ramai yang menerima e-mel kosong dari ID e-mel aku, hanya dia seorang 'berani' memaklumkannya kepada aku. Katanya lagi, dia tahu emel-emel itu bukan aku yang hantar. Bagus. Alangkah baiknya, kalau semua penerima emel itu beritahu aku. Sekurang-kurangnya aku tahu, ada budak nakal sudah menceroboh benteng emel aku dan menghantar perkara yang bukan-bukan. Sesiapa juga insan atau sistem komputer yang memasuki sistem e-mel aku.... kurang akhlak sungguh!

Jadi, entri aku kali ini hanya sebagai makluman. Jika ternampak nama aku dalam senarai 'inbox' kalian, pohon bertanya aku terlebih dahulu atau hapuskan terus. Paling mudah untuk mengecam emel yang dihantar itu bukan dari aku bilamana kalian menerimanya dengan tajuk [No Subject]. Awas! Jangan tekan kerana aku khuatir isi dalamnya mengandungi virus. Harap kalian semua peka tentang hal ini. Aku kira sudah menjalankan tanggungjawab dengan mengumumkannya di sini. Berhati-hatilah ya. Terima kasih juga kepada Cody, tanpa dia... mungkin aku tak tahu terjadinya masalah ini. Alangkah bagusnya kalau Cody faham bahasa Melayu. Hmmm.

Saturday, October 16, 2010

Kisah Lucu?

Sejak kebelakangan ini, aku seringkali terdengar bisik-bisik yang melabelkan aku sebagai anti-lelaki dan menjunjung FEMINISME. SUKA HATI KALIAN nak labelkan aku apa-apa pun. Apa yang penting, orang di sekeliling aku tahu kebenarannya. Bagi aku, lelaki atau perempuan, kalau salah tetap salah!

Beberapa hari lepas aku terserempak dengan sepotongan video. Aku tak berminat untuk berkongsi video itu di sini. Isinya amat menjengkelkan. Cukuplah aku katakan, video itu mengandungi unsur-unsur kedayusan seorang lelaki dan kebodohan seorang wanita. Dayusnya lelaki itu kerana berlaku kejam ke atas perempuan. Segala jenis serangan. dilakukannya. Penerajang, penyepak, segala-galanya singgah di tubuh si perempuan. Bagaikan si perempuan itu barang mainan. Si perempuan pula menerima segala perbuatan yang mirip kebinatangan itu. Ah, bodoh! Kalau aku di tempat perempuan itu, aku bukan sahaja mengelak. Malah, siaplah si lelaki itu menerima serangan aku pula. Kalau tak, sia-sia abah mengajar aku silat dan menghantar aku ke kelas tae-kwando. Kaum perempuan, tolonglah! Tiada orang lain boleh tolong anda melainkan diri sendiri. Orang sekeliling lebih suka melihat dari membantu. Aduh! Apalah nasib? Harap sesiapa yang terlihat potongan video itu segeralah memberi hukuman kepada lelaki yang melampau tahap kedayusannya.

Tunggu dulu, itu bukanlah kisah lucu yang mahu aku kongsikan. Aku kira, pasti ada yang anggap aku tidak betul jika mengatakan itu kisah lucu. Percayalah, aku masih waras.


Kisah Lucu 1

Musim raya lepas dan semestinya, musim cuti sekolah yang akan datang...satu soalan selalu mengunjungi rongga telingaku. Soalan klise dan jawapannya pun agak klasik yang aku berikan. Soalan apa lagi kalau bukan," bila nak tamatkan status bujang?"Seperti biasa aku akan jawab, "belum sampai seru, lagipun tengah sibuk nak bina kerjaya."Alhamdulillah, ada yang faham dan tidak akan bertanyakan soalan lain (berkaitan kahwin!).

Namun, ada segolongan manusia yang bersedih mendengar jawapan aku itu. Malah, ada yang sanggup menjadi telangkai. Itu yang membuatkan aku ketawa tak sudah. Apa taknya, masing-masing sibuk meluahkan kerisauan melihat aku masih solo. Masing-masing sibuk mahu aku dijodohkan. Masing-masing sedih... hanya untuk ketika itu sahaja. Sebab? Ketika itu sahaja mereka berjumpa dengan aku. Biasalah, kerja orang-orang yang tak ada kerja. Kalau nak tahu sesuatu, pandai-pandailah mencorak cerita. Bila dah tahu cerita, angkat kaki, lari. Ini yang buatkan aku ketawa. Aduh, tak berubah lagikah kalian ini? Ada sahaja cara untuk korek cerita lepas tu jaja sana sini.


Kisah Lucu 2



Dulu, aku pernah berkenalan dengan seseorang yang kecederaan hati. Jiwanya luluh kerana sering menjadi mangsa penipuan. Katanya, dia menyesal berkawan dengan gadis. Terutamanya gadis melayu. Lidah bercabang. Tak pernah menepati janji. Aku berkawan dengan dia pun kerana mahu buktikan, tanggapan itu salah. Setiap malam kami berbual sampai mencecah pukul 2-3 pagi. Aku tak kisah, kerana aku tahu dia perlukan seseorang untuk meluahkan dukanya. Itu komitmen yang aku berikan sebagai seorang kawan. Selalu ada ketika diperlukan. Tidak aku biarkan dia terus menghukum si gadis-gadis yang belum tentu salahnya.

Agak lama juga aku berkawan dengannya. Tidak lama selepas itu, dia memberitahu sudah bertemu dengan pilihan hatinya. Ya, aku gembira kerana akhirnya dia bertemu gadis yang berjaya mengubati perasaan dan jiwanya yang parah itu.

Sejak itu dia tidak pernah lagi menghubungi aku. Kenapa ya? Takut pada isteri atau takut pada diri sendiri. Lebih kurang 2 tahun, hubungan aku dan dia terputus begitu sahaja. Tidak aku tahu apa terjadi padanya, sama ada masih hidup, sudah punyai zuriat ataupun tidak. Demi Allah, aku juga hampir melupakan yang dirinya pernah aku kenali sehinggalah aku didatangi satu panggilan. Ya, nombornya sentiasa ada dalam simpanan tetapi aku lupa siapakah pemilik kepada nama dan nombor itu. Pelik? Tidak. Alasannya? Buat apa ingatkan orang yang tak mahu mengingati kita. Betul tak?

Selepas dia memperkenalkan diri, barulah aku terkenang kembali memori bergayut berjam-jam melayan jiwa lukanya. Pelik dan hairan juga aku dibuatnya. Kenapa dengan tiba-tiba aku diingatinya? Ya, seperti biasa aku melayan dia bercerita itu dan ini. Namun, sebaik sahaja aku bertanya khabar isterinya, dia jadi bisu. Katanya, "saya dah bercerai."

Lucu sangat. Tidak. Bukan sebab dia bercerai, tetapi lucu bila mengenangkan cara dia datang kembali dalam telefon bimbit dan rongga telingaku. Apa tindakan susulan aku selepas itu? Aku tidak ketawakan dia tetapi, "maaflah, aku 'sibuk' dengan masalah orang lain." Sejak hari itu, dia tidak lagi menghubungi aku dan nombornya telah aku padam. Cukuplah melayan lelaki begini kerana aku tahu, tujuan di sebalik kemunculan semulanya. Jangan harap aku nak layan lagi.


Kisah Lucu 3


Aku kira, antara banyak-banyak kisah, ini paling lucu. Beberapa minggu lepas, aku menghadiri satu majlis perkahwinan salah seorang sahabatku yang berpangkat adik kepadaku. Nurjihadah (semoga berbahagia di sisi suami tercinta). Oh tidak, bukan kisah lucu di majlis perkahwinannya atau apa-apa yang berkaitan dengannya. Cuma aku teringatkan kata-kata seorang lagi sahabatku, Fatimah Sri yang turut ada bersamaku di majlis itu.

"Kak Shai, kau ni dah macam tembok besar China," katanya saat aku memandu keretaku, si Lolly.

"Kenapa? Besar sangat ke aku ni sampai nak disamakan dengan tembok besar atau aku ini jenis yang tak tahu malu?" soalku kerana agak keliru.

"Kau degil sangat, tahap tembok besar. Hati batu," jelasnya.

Ketika itu, aku tidak ambil pusing. Mungkin benar kata Fatimah. Seperti yang pernah aku riwayatkan (amboi!) satu ketika dulu. Aku tidak akan menerima sesuatu dengan mudah. Mungkin aku mudah diperdaya, tetapi bila sekali tertipu. Cukup setakat itu sahaja. Bagi aku, individu itu langsung tidak memberi kepentingan kepada hidup aku. TAMAT! Putus segala-galanya.

Aku tidak ingin tahu apa-apa pun tentang dia, atau pun mahu dia tahu tentang aku. Diari yang sudah dibakar, tidak mungkin kembali menjadi kitab untuk tatapan di masa akan datang. Betul? Jadi, aku umpamakan hubungan aku dengan setiap individu bagaikan coretan diari. Kalau hubungan itu cantik, maka diari itu akan bersambung untuk tahun-tahun seterusnya. Jika jodoh tak panjang, diari itu akan aku simpan untuk kenang-kenangan. Sekiranya kisah yang terjadi di dalam diari itu mengundang seribu rasa kecelakaan, maka rentunglah diari, ranaplah segala memorinya.


Kisah lucu ini, baru sahaja hinggap di telingaku. Baru aku tahu, selama ini aku diintip. Ada mata-mata yang memandang. Ada telinga-telinga yang mendengar. Malah ada juga mulut-mulut yang menyampaikan cerita. Mungkin salah aku. Salah aku kerana menganggap diari itu terbakar penuh. Aku lupa, abu-abunya masih boleh mencederakan mata. Baki abu-abu itulah yang membuatkan aku ketawa terguling-guling hari ini. Adakah susah untuk abu itu menganggap yang aku tiada? Jikalau aku boleh menganggap abu itu sudah lesap bersama angin, kenapa dia perlu kembali dan menggelikan mata dan telingaku?

Sekarang, aku fikir ada benarnya cakap abah dan umi satu ketika dulu. Ada orang yang diluarnya memakai tubuh lelaki tetapi di dalamnya disaratkan sifat kewanitaan. Fikir-fikirkanlah. Aku tinggalkan ruang ini untuk kalian berfikir atau sertai aku dalam sesi gelak-gelak sampai terguling!

Friday, October 15, 2010

Naluri dan gerak hati?

Pernah tidak kalian bertemu dengan situasi yang mana telah dirasakan terlebih dahulu sebelum terjadinya situasi itu? Atau, menjangkakan sesuatu kejadian aneh akan berlaku tetapi kalian tidak ambil pusing kerana tahu itu sekadar mainan perasaan? Mungkin juga, kalian pernah tersepit antara untuk mempercayai satu perkara yang mempunyai dua pengadilan berbeza? Ya. Kesemua itu, pernah dan juga sedang aku alami. Apakah itu yang dikatakan naluri atau pun gerak hati?

Sejak dari kecil, aku selalu didatangi sesuatu yang aku gelarkan sebagai visi. Adakalanya, ia mengganggu dan membuatkan aku seringkali duduk sendirian berfikir. Kadang-kadang, dengan berfikir sahaja aku sudah takut. Takut kalau kejadian itu benar-benar berlaku. Aku lebih suka menyendiri dan mendiamkan diri setiap kali didatangi visi sebegini. Aku masih ingat satu peristiwa ketika di bangku sekolah rendah dahulu. Ketika itu aku bermain di hujung padang sekolah. Kebetulan kawasan itu berhampiran dengan cerun. Sedang aku sibuk bermain dengan sekumpulan kawan yang lain, aku terbayangkan sesuatu terjadi. Seseorang terjatuh dan tercedera. Tidak. Aku tidak beritahu hal ini kepada sesiapa. Seingat aku, beberapa minggu selepas itu, ketika aku dan rakan-rakan yang lain tekun bermain, salah seorang kawanku terjatuh dan bahagian lehernya terhunus batang kayu. Ya, dia cedera. Apa yang aku lihat, tidak sama tetapi ianya terjadi. Seseorang terjatuh dan tercedera. Adakah itu dinamakan naluri, atau sekadar satu visi mainan minda?

Menjelang remaja, pelbagai lagi kisah-kisah sebegini yang aku temui. Sehinggakan aku naik gerun memikirkannya. Satu lagi peristiwa berlaku ketika aku di sekolah asrama. Aku masih ingat, waktu itu hampir tengah malam. Seperti malam-malam lain, malam itu juga aku tidur lewat. Walau dipejamkan mata, alam mimpi itu gagal aku masuki. Lain yang aku cuba, lain pula yang aku dapat. Dapat apa? Dapat panggilan tuntutan 'semulajadi'. Ya, aku mahu ke bilik air yang terletak dihujung bangunan dan berdekatan dengan kawasan hutan. Apa? Ya. Dek kerana mahu menunaikan tuntutan, aku perlu mengejutkan salah seorang ahli bilik untuk menemani aku (itu pesanan warden kerana khuatir apa-apa terjadi).

Entah apa salahnya, semuanya enggan bangun dan menemaniku. Tak apalah. Aku beranikan diri, pergi seorang diri. Sebelum sampai ke destinasi, beberapa bilik lain aku tempuhi. Aku tetap cuba mengejutkan ahli bilik lain pula. Malangnya, tetap sama. Malam itu, semuanya tidur mati. Jadi, aku teruskan perjalanan. Namun sebelum sampai, aku dapat rasakan ada sesuatu di dalam bilik air. Langkah semakin berat. Isi dalam perut pun begitu juga. Kalau tidak dikurangkan, aku juga akan menerima natijahnya. Aku kebalkan segala pendinding diri. Ya, selesai melaksanakan tuntutan aku didatangi satu visi. Visi sahaja. Aku terbayangkan ada sesuatu sedang berdiri di satu sudut bilik air. Aku enggan melayan bayangan yang dirangka minda aku, lalu melangkah keluar meninggalkan bilik air.




Apabila aku keluar, ada dua orang pelajar lain pula mahu pergi ke bilik air. Mereka terkejut kerana melihat aku keluar sendirian. Aku hanya senyum sebagai balasan. Visi tadi masih mengganggu fikiranku. Tanpa berfikir banyak, aku pun masuk tidur. Keesokan harinya, aku bangun dan mendapati beberapa pelajar lain berkumpul. Aku yang agak bengong, menghampiri mereka dan bertanya, apa yang terjadi.

"Apa jadi ni?" soalku yang ingin tahu.

"Semalam, ada dua orang pelajar kena keteguran lembaga putih dalam bilik air," jawab salah seorang dari mereka.

"Bila? Tengah malam semalam, aku ada pergi bilik air. Tak ada apa-apa pun," ujarku, hairan.

"Habis tu? Kau tak dengar dorang menjerit-jerit? Histeria?" soal mereka lagi.

Aku gelengkan kepala. Memang aku tak dengar apa-apa. Mereka membawa aku berjumpa dengan salah seorang dari mangsa. Aku dapat lihat ketakutan dalam dirinya. Pucat. Tak mahu berganjak dari katilnya. Aku datang menghampiri. Dia berbisik padaku

"temankan saya mandi, dia tak akan kacau kalau awak ada," katanya padaku.

Mustahil aku boleh temankan dia mandi. Namun, aku punyai idea lain. Aku menemani dia ke bilik air dan berjaga di luar. Sepanjang menemaninya, membuatkan aku terfikir. Apakah visi yang aku lihat semalam itu menunjukkan sesuatu bakal berlaku?

Percaya atau tidak? Aku masih dikunjungi visi-visi aneh ini. Adakalanya aku akan bercerita pada umi dan abah. Adakalanya aku diam sahaja. Khuatir orang akan labelkan aku gila. Takut orang kata aku berimaginasi lebih. Satu sahaja yang aku hairan, kenapa aku perlu berimaginasi untuk hal-hal mengarut sebegitu. Ada banyak lagi perkara yang boleh aku lakukan. Apa fikir aku sengaja suka-suka berimaginasi. Tolong sikit. Ia datang secara tiba-tiba. Aku tak mahu pun.


Jujur aku katakan, aku sendiri tidak tahu untuk melabelkan masalah visi yang aku alami ini sebagai apa? Naluri? Gerak hati? Baru-baru ini, aku dikunjungi visi yang paling menakutkan. Sebenarnya ia bukan berlaku sehari dua ini. Tetapi, aku pernah melihat visi ini sebulan yang lepas, sebelum Syawal menjelma. Aku pernah juga khabarkan kepada umi dan sepertimana biasa umi katakan, itu mungkin sekadar perasaan aku. Mungkin. Visi atau bayangan kali ini aku dapat ketika memandu balik dari pejabat menuju ke rumah. Sedang aku tekun memandu, aku terbayangkan ada sebuah lori dari arah bertentangan melambung dan seakan-akan jatuh menghempap kereta yang aku pandu. Ketika itu juga pemanduan aku jadi kacau. Kereta yang aku pandu bergoyang ke kiri dan kanan. Hampir juga bergesel dengan kereta di lorong sebelah. Memang mengerikan bayangan itu. Aku terbayangkan perkara yang sama untuk 3 hari berturut-turut.

Hari ini, apabila aku menziarah laman web dan blog yang berceritakan tentang tragedi ngeri bas ekspress pada tarikh keramat 10.10.10, mengingatkan aku kepada visi yang aku lihat sebulan lepas. Pada mulanya, aku enggan melihat gambar-gambar dan membaca kisah kejadian itu. Entah bagaimana, hari ini hati aku ingin tahu kejadian sebenar. Bila aku lihat kereta yang turut terlibat dalam kemalangan itu ialah kereta Myvi, aku jadi gerun. Apakah bayangan yang aku alami dulu ada kaitan dengan tragedi ini atau sekadar kebetulan? Pulang sahaja ke rumah, aku terus berceritakan kembali visi yang aku alami dan mengaitkan dengan tragedi itu. Kali ini juga umi mengatakan, mungkin perasaan aku sahaja. Adakah ini mainan perasaan, atau inilah yang dikatakan naluri dan gerak hati?



Baiklah. Aku akur. Mungkin benar kata umi. Aku tak perlu susahkan fikiran untuk memikirkan hal itu. Kebetulan sahaja aku terbayangkan lori itu melambung dan menghempap kereta aku.

Kisah seterusnya pula tiada kaitan dengan visi atau bayangan tetapi gerak hati dan naluri. Aku enggan nak bercerita penuh tentangnya tetapi aku tetap akan bercerita sedikit sahaja di sini.

Kisah 1

Saat orang lain mula merungkaikan satu kejadian ini, malah mula menunding jari mengatakan tindakan si dia ini salah, entah kenapa naluri aku merasakan sebaliknya. Aku enggan tunduk kepada pertuduhan yang dilemparkan. Sehinggalah di satu petang, dia muncul. Berceritakan segala-galanya. Kebetulan, ceritanya itu menyebelahi apa yang aku jangkakan. Seperti yang aku katakan, gerak hati dan naluriku tak pernah menipu. Percaya atau tidak, andaian kalian salah.

Kisah 2

Hati aku berat sekali untuk mengendahkan hal ini. Namun begitu hampir setiap pagi aku merasakan ada sesuatu yang bakal terjadi dalam hidupku. Dalam erti kata yang lain, ada yang mengganggu ketenteraman hidupku. Gerak hati aku semakin kuat, rupa-rupanya benar apa yang dijangkakan hati. Apa dia? Biar aku sahaja ketahuinya. Tiba masa, akan aku luahkan juga. Dan apabila aku luahkannya, aku pasti itulah kali pertama dan yang terakhir. Tiada lagi toleransi atau kompromi!

Kisah 3

Yang ini, aku simpan untuk diri sendiri. Memang amat pasti kerana gerak hati tak pernah menipu!

Aku semakin yakin dengan gerak hati yang aku miliki. Cuma aku kurang pasti, apakah tujuan aku diberikan bayangan yang mengganggu sistem pemikiran aku ini. Adakah ia sekadar kebetulan, atau pun imaginasi yang aku bayangkan?