Yang Jauh Biar Wangi, Yang Dekat Terbiar Busuk....

Tumpang tanya, ada sesiapa nampak tak? Aku ada kehilangan... dah beberapa hari ini aku kehilangan. Cuba cari, dan puas mencari. Tak juga jumpa. Aduh!

Seminggu aku kehilangan. Cari cana, cari sini... tak juga jumpa. Hilang apa? Aku dah hilang....


SABAR!

Kisah dan luahan hati ini adalah hasil himpunan perasaanku selama 3 minggu. Selama 3 minggu ini jugalah aku membuat pemerhatian dan penelitian dan cukup tempohnya, tiba masa untuk aku memuntahkan segala.

Bukan! Ini bukan berkenaan individu atau sesiapa saja. Cuma, mungkin dipertengahan cerita ada segolongan yang akan terasa. Apa aku peduli kalau ada yang terasa?

Minggu Pertama -
Aku aturkan masa dan sengaja keluar dari rumah menuju ke pejabat sekitar pukul 8.
Bahananya : Aku lewat dan sampai sekitar pukul 9.00 - 9.20 pagi.
Balik dari Pejabat dan sampai di rumah : 6.30 petang - 8.20 malam.

Minggu Kedua -
Aku keluar lebih awal sekitar pukul 7.45 pagi.
Bahananya : Sampai dalam pukul 8.30 - 8.40 pagi.
Balik dari Pejabat dan sampai di rumah : 6.30 petang - 8.20 malam.

Minggu Ketiga -
Aku keluar pukul 7.45 - 7.50 pagi.
Bahananya : Tiba di tempat letak kereta pukul 8.50 - 9.00 pagi.
Balik dari Pejabat dan sampai di rumah : 6.30 petang - 8.40 malam.

Aku ingat lagi, masa aku cerita ini kepada beberapa teman. Dengan mudahnya mereka kata ini kepadaku....

"Siapa suruh beli rumah jauh sangat? Salah sendiri, jangan nak salahkan orang lain?"

- Kata-kata itu membuatkan aku ketawa. Aku tak kisah kalau yang bercakap itu, berikan aku rumah di Kuala Lumpur tapi, bukankah di KL sendiri sudah padat dengan manusia? Kalau semua langau sibuk memburu sampah di Jinjang, bagaimana pula dengan sampah-sampah di Hulu Selangor? Tak seimbang, betul tak?

Nak ikutkan hati, aku boleh pilih mana-mana saja rumah sewa milik abah untuk aku tinggal, sama ada di Bandar Baru Selayang mahupun Selayang Lama. Namun, ia tetap tak mengurangkan beban! Lagipun, kalau aku tinggal sendirian di sekitar kawasan pejabat, banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Bukan kerana dekat dengan pejabat semata-mata. Orang yang tak memikul tanggungjawab tidak akan mengerti perkara ini. Dan aku bukanlah jenis manusia yang hidup untuk diri sendiri.

Beberapa hari lalu, aku ada terbaca berita yang mengatakan bahawa jalan di Rawang akan diperbesarkan ekoran pertambahan penduduk yang mendadak dan drastik. Tak aku nafi, aku antara manusia yang paling gembira pabila membaca berita ini. Namun, sebaik saja aku baca antara kekangan yang dinyatakan, aku dapat menjangka.... ianya adalah satu propaganda dan hanya angan-angan Mat Jenin dan juga cakap hanya membasahkan lidah dan mulut. Hasilnya pula, mungkin terjadi setelah abah dan umi bercicit kelak!

Bayangkan lubang hidung Miqhail (bukan lubang hidung aku sebab saiznya besar!), terpaksa menampung dan disumbatkan binatang bagak-bagak seperti gajah, badak, kancil, rusa, kelisa, godzilla dan segala jenis binatang,... tak terkoyak lubang hidung budak kecil tu?

Itulah keadaan yang sama dengan jalan di Rawang ini. Setiap hari, pagi dan juga petang. Segala datuk moyang lori, kontena, kargo, gogek-gogek, MPV, SUV, k-car, hatchback, skuter, motor kapcai, bas, pejalan kaki, pemabuk semuanya guna jalan yang lorongnya amat langsing bak pinggang Cathie Jung (pemegang rekod pinggang terkecil dunia!).

Hampir setiap hari juga aku mengumpul. Mengumpul? Ya, mengumpul dosa. Walaupun aku cuba berzikir tetapi terkadang terlepas juga kata makian dalam diri. Tambah pula dengan mamat Kapcai yang bagaikan langau-langau yang menghimpit Romi (tercalar banyak kali tau!). Salah kereta sebelah (yang makan bahu jalan), Romi juga yang digeselnya. Aku faham, semua orang mahu sampai cepat ke tempat kerja dan juga rumah. Tapi, mana pula adab sopan mereka? Hon tak tentu pasal. Dahlah jalan kecil, kalau ikut aturan, taklah sesak sangat. Ini kalau jalan dua boleh jadi sampai empat baris, apa akan jadi bila tiba untuk masuk ke satu lorong? Sebab itulah sesak tak sudah!

Aku paling tak berani jenguk, memandang muka pemandu sebelah menyebelah. Gerun , ada yang sampai tahap Zafar Supari dan Adolf Hitler sambil tangan memegang stereng tak ubah macam pegang pisau atau mortar! Tunggu masa nak menyerang. Bila dah sampai ke jalan yang agak lapang, mamat-mamat kapcai ini pula tak berfikir kesenangan bersama. Motor yang selangsing itu, duduk di tengah-tengah jalan dan yang paling menakjubkan, kelajuannya tak sampai 50km/j. Nak potong tak boleh sebab 'double-line'. Kalau ikut terlalu rapat, mengamuk pula boleh sampai bawa geng-geng rempit. Aduh!

Inilah sikap pemandu Malaysia. Bila jumpa bersemuka, sopan yang amat sangat. Beri salam tak lupa, cakap lemah lembut. Tak kurang juga dengan lelakinya, ungkapkan kata manis berselirat dengan madu. Tetapi sebaik saja naik motor atau kereta... tocang jin dan setan pun naik. Entahlah, inikah dia namanya budi bahasa? Kalau marah sekalipun, hon tak payahlah dibunyikan. Jalan dah sesak, nak cucuk muncung kereta ke mana lagi?

Sudah setahun aku bekerja, sudah setahun juga aku alami perkara yang sama. Aku berharap, orang-orang besar dan budiman lagi cendekiawan bukan sekadar memandang masalah Darfur, Gaza atau perbincangan di Copenhagen semata-mata. Sibuk mencari nama di mata dunia dengan menjadi negara pertama di dunia itulah... inilah walhal isu dalam negara bukan sekadar duduk di kerling mata tetapi langsung dibutakan! Pertimbangkanlah cara untuk selesaikan masalah dalaman terlebih dulu. Kalau boleh berbelanja berbillion-billion ringgit membantu dan menaja negara-negara luar, apa pula salahnya kalau keluarkan juta-juta (juta-juta pun jadilah) dalam negara sendiri.

Bagaikan badan manusia, sakit dalaman yang dihantar impulsnya ke otak, tidak akan selalu diberi perhatian kerana kuasa mata yang memandang lebih diutamakan. Lebih kurang macam badan sakit tak terasa dek kerana mata sedang memandang Ratu cantik berbikini.... lebih kurang macam itulah keadaannya sekarang ini.

Yang jauh biar wangi, yang dekat terbiar busuk. Cuba-cubalah wangikan yang dekat dulu, barulah hantar bekalan bertong-tong wangian kepada yang jauh tu. Kalau tak faham juga, tak tahulah nak kata macam mana lagi.

* Sekarang aku tertanya-tanya, adakah pemaju Bandar Tasik Puteri, Country Home, Taman Velox, Emerald dan yang sewaktu dengannya tak ada persepakatan untuk membina lebuhraya seperti yang dijanjikan ketika mula-mula menjual rumah kepada penduduk sebelum ini. Jalan yang ditebuk di belakang BTP itu apa gunanya? Adakah jalan ke Kundang masih belum cukup kukuh untuk tembus dan disambungkan dengan lebuhraya? Sedar tak yang penduduk kawasan Rawang dah mencapai tahap 50,000 orang? Atau tahu jual tapi tak tahu selenggara?

* Aku mengadu pada Ariff, Ayshah dan Harvinder... dan mereka katakan --- sabar. Insya-Allah aku boleh bersabar. Bila bercakap dengan Along pula --- kau keluar saja lepas subuh. Habis cerita. Betul juga kata Along, boleh dipertimbangkan. Bila dah sampai pejabat, aku tidurlah. Macam mana pula masalah balik kerja? Takkan aku nak balik pukul 6 sedangkan waktu habis pejabat 6.30.....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku