Saturday, December 26, 2009

Lelaki BERKEPENTINGAN!

Pengalaman orang lain terkadangnya membuatkan kita mahu lebih berhati-hati. Ada juga ketikanya, filem atau apa juga kisah yang dapat ditimba pengalamannya turut membuatkan kita berjaga-jaga. Namun, keadaan diriku di ketika ini tak ubah seperti sedang terhenti di satu persimpangan yang mendesak segala sudut fikir, hati dan emosi.

Pernahkah aku berkongsi tentang alasan aku menggemari satu filem ini? Rasanya, tidak perlu kusebut tajuk cerita kerana tidak penting. Yang penting dalam cerita itu adalah satu dialog yang disampaikan oleh watak protagonisnya. Sedikit latar cerita dan watak dalam filem ini, yang aku ingin kongsikan di sini.

Si protagonis merupakan seorang jejaka kaya, waris tunggal tetapi masih bujang. Dia bertuah kerana dalam usianya yang mencecah pertengahan 30-an, masih mempunyai datuk. Datuknya pula kepinginkan waris dari cucunya. Malangnya, selagi si cucu tidak bersetuju untuk berkahwin, maka selagi itulah dia tidak berkesempatan untuk menimang cicit.

Si protagonis pula, seringkali didesak dengan persoalan ini

"kenapa masih tak mahu berkahwin, sedangkan usia sudah lewat?"

Aku paling suka jawapan yang diberikan si protagonis. Ringkas tapi padat.

"Keluarga ini sudah cukup bahagia. Bagaimana pula kalau seorang yang asing dibawa masuk dan menghancurkan kebahagiaan keluarga ini?"

Sebenarnya itulah satu soalan yang memerangkap jiwa, minda, emosi dan pertimbangan diriku di ketika ini.

Aku semakin fobia dengan komitmen berumah-tangga lebih-lebih lagi bila bertemu dengan misalan yang sebegini. Ubah pula situasi dan aku mengambil alih watak si protagonis! Aku, seorang wanita yang masih bujang dan sudahpun didesak pelbagai sudut untuk mencari pasangan hidup dan seterusnya berumah-tangga.

Aku belum bersedia. Pelbagai alasan yang aku boleh keluarkan. Terutama sekali bila melihat kisah-kisah disekelilingku, ditambah pula dengan kaum Adam yang bertukar peranan menjadi pisau cukur! Memang tepat, kerana lelaki memang suka pakai pisau cukur! Paling perit, aku banyak bertemu dengan golongan ini.

Kecewa benar aku melihat wanita dipermainkan. Lelaki pula semakin galak dan amat cinta dengan peranannya sebagai parasit. Menumpang dan memakan hasil 'tumbuhan' yang dikerjakan oleh kaum wanita. Mengapa ramai sangat lelaki begini?

Aku bimbang, jika di satu hari nanti aku dipertemukan dengan lelaki yang boleh menggugat kesejahteraan keluargaku. Kalau boleh, aku mahu kembali dan sentiasa kekal seperti seorang kanak-kanak. Tidak mahu terpengaruh kata-kata orang lain dan menentang keluarga sendiri. Biarlah orang kata aku pentingkan diri sendiri, tapi aku tak sanggup lihat isi keluargaku berpecah belah.

Entah. Sukar untuk aku bertemu dengan lelaki yang boleh ber'tanggungjawab' kepada dirinya sendiri. Inikan pula mahu memikul peranan sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya. Bukan aku mahu menunding jari hanya kepada kaum Adam semata-mata. Namun, rata-rata lelaki yang aku temui tidak boleh membawa tanggungjawab kepada diri sendiri.

Kebanyakannya mahu usaha keras seorang wanita. Sebaliknya mereka terus menjadi lelaki yang berkepentingan. Mengharapkan yang baik-baik sahaja dari wanita sedangkan diri sendiri serba kurang. Aduh, aku teramat fobia. Fobia lihat kaum wanita terus mati dibawah telunjuk lelaki.

Adakah pendapat aku ini salah? Masih adakah wujud seorang lelaki seperti abah? Mencari rezeki dengan hasil usaha sendiri tanpa perlu menjadi parasit kepada si isteri! Adakah ini sahaja baki-baki lelaki akhir zaman?

Seorang yang salah (pekerti dan pertimbangan) dibawa masuk ke dalam keluarga, boleh bunuh segala ikatan kekeluargaan. Aku setuju dengan dialog dalam filem yang kusebut tadi. Buatkan aku bertambah takut dengan lelaki. Lelaki parasit, lelaki pisau cukur dan lelaki berkepentingan untuk diri sendiri!

* Parasit - mula dengan sikit-sikit. Kemudian, bila dah mula makan, habis satu tumbuhan boleh mati dibuatnya! Jadi kepada sang parasit, tolonglah berubah sebelum terjadinya perkara yang tak baik berlaku! Kepada perumah pula, janganlah jadi BODOH sangat! Jangan biar diri terus dimakan parasit.