Saturday, December 19, 2009

Ajarkan aku erti dewasa....



Nyatanya aku belum bersedia. Dunia ini terlalu besar, dan aku pula tak ubah bagaikan pepasir yang terhanyut dalam tiupan keras sang angin. Ya, aku masih belum sedia untuk dunia ini!

Semalam (Jumaat), detik permulaan tahun yang baru dalam kalendar Islam. Detik yang turut mengejutkan aku dan menemukan dengan keadaan yang tak terbayang difikiranku sebelum ini. Semua bagaikan mimpi ngeri di siang hari.

Kala diri dilanda celaka, hati mula ketandusan, fikiran menjadi sebangsat-bangsatnya! Mengapa aku?

Hati mula menjeruk diri, berendam dalam segala rasa bersalah. Ya! Tiada orang lain sedungu aku! Tidak ada satu manusia pun sebodoh aku! Hanya satu panggilan, buat diriku hilang bayang sendiri. Darah membeku, jantung berdegup laju dan nafas kecelaruan. Mahu aku luahkan segala tapi tidak berdaya dan terkunci dari segala arah.

Aku hanya ingin bebas. Kiri dan kanan semakin kabur. Minda mula mengarang perkara yang bukan-bukan. Aduh, sesak dan sempit seakan oksigen terlalu mahal untuk kuhirup. Tiada siapa dapat kuadu, dan tiada siapa dapat membantu.

Aku terima panggilan kedua. Kali ini, deraian airmata menumpaskan segala kekuatan diri. Wajah semua tersayang, melambai-lambai jelas. Tiba-tiba aku nampak gelap. Tiada cahaya hari esok untukku. Bagaikan ingin saja aku melarutkan diri dalam atmosfera, menghilang dan ghaib. Tak mungkin! Tak mungkin terjadi.

Satu sahaja nama yang terlintas. Pantas aku mendail nombornya.

Tidak tahu untuk aku menyusun kata-kata, namun seingat aku... meluncur sahaja ayat itu keluar dari mulut dengan membelakangkan perasaan malu serta segan. Aku adukan segala padanya, ketua editorku. Tak sampai beberapa minit selepas itu, segala-galanya selesai. Namun, sukar untuk aku tepis ketakutan dan kegelisahan yang sudah pun berjaya merasuk.

Sesungguhnya, aku tidak tahu cara untuk mengucapkan terima kasih di atas bantuan ketua editorku. Satu sahaja yang disampaikannya padaku melalui muncung telefon bimbit.

"Awak ini terlalu naif," katanya dan aku akui kata-katanya dengan hati yang terbuka.

Aku dedikasikan ruangan ini khas kepada ketua editorku kerana ada di sisi dan membantu aku melalui minit-minit neraka dalam hidupku. Terima kasih sekali lagi.

Aku akui, dia bukanlah insan pertama yang melontarkan kata-kata itu padaku. Terus-terang aku katakan, terkadang aku sendiri risau tentang diriku ini yang terlalu naif dan polos. Berkali-kali aku ingatkan yang dunia luar penuh dengan dusta dan orang-orang gila yang akan menjangkitkan virus gila kepada kita.

Umi dan abah pun pernah cakap perkara yang sama. Tetapi, bila difikir-fikirkan kembali... sememangnya aku ini terlalu bertuah. Bertuah kerana sentiasa dilindungi oleh orang disekelilingku dan tidak pernah aku terus hanyut dalam pendustaan. Kali ini juga, aku terus bertuah dan dilindungi. Alhamdulillah.

Aku akan cuba untuk lebih berhati-hati dengan menimbangkan perkara positif dan negatif. Kehidupan hari ini sudah tidak relevan sekiranya hanya melihat dari sudut positif semata-mata kerana ianya mampu menjahanamkan diri. Manusia semakin hina. Aku perlu menjentik rasa negatif kerana ia adalah yang terbaik untuk diriku. Bukan semua orang baik!

* Aku sudah letih dengan label naif. Hati, tolonglah ajarkan aku erti dewasa.... bukan terus terperangkap dalam kenaifan dan kepolosan.