Friday, November 26, 2010

Kompromi atau Toleransi

Kadang-kadang, manusia keliru antara kompromi dan toleransi. Adakalanya bila sudah mampu melakukan kompromi, ada pihak yang sengaja melanggar apa yang telah dikompromikan. Dalam satu minggu ini, terlalu banyak perkara yang perlu AKU kompromi dan menjadi terlalu toleransi. Kononnya, mahu ambil jalan tengah dan tidak mahu memperbesarkan sesuatu isu. Aku juga malas berfikir perkara yang tidak sepatutnya digelarkan sebagai masalah.

Namun, aku masih boleh bersabar kerana sabar itu sebahagian dari iman juga sebahagian dari jihad. Mungkin ini salah satu cara untuk aku berjihad menentang bisik-bisik syaitan mahu aku bergaduh dan melawan orang tak tentu pasal. Alhamdulillah, aku telan kemarahan dan biarkan ia berlalu. Aku akui, orang yang bersabar itu kalah di pandangan mata orang tetapi dalam masa yang sama turut menang yang banyak.

Aku tinggalkan kemarahan ini dan biar ia memberkas di dalam hati sendiri. Allah sentiasa punyai cara sendiri memberi ketenangan padaku. Bukan sahaja aku, malah semua orang yang mengamalkan sabar. Insya-allah.
Pesan aku untuk diri sendiri (kalau ada yang nak menggunakan pesanan ini pun, tiada salahnya),

"Jangan fikir masalah orang lain, ingati Allah lebih baik dari memikirkan hal orang lain."

Thursday, November 18, 2010

Masanya Untuk Kurban

Sebagai umat Islam, pernahkah kalian disoal tentang signifikasi Hari Raya Kurban? Ya. Nama lain bagi perayaan Hari Raya Aidil Adha. Pernah tidak kalian dihadapkan dengan salah faham yang membenak dalam fikiran kawan-kawan bukan Islam. Atau sedarkah kalian tentang betapa terpesongnya pemahaman mereka tentang hari memperingati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ini?

Perkara ini seringkali menjadi perdebatan. Masih ingat lagi ketika aku di bangku sekolah. Seorang rakanku (beragama Buddha) yang kebetulan sama-sama bertugas sebagai Pustakawan, bertanyakan apa itu Hari Raya Kurban. Aku menceritakan tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim yang diuji kesetiaannya terhadap Allah. Dimana Nabi Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s yang kemudiannya digantikan dengan seekor sembelihan yang besar.

Aku akui, penerangan itu terlalu dangkal hingga mewujudkan persoalan yang lain pula dari rakanku.

"Apa bezanya Islam dengan agama yang lain? Masih minta korban juga, bukan?"

Sebagaimana yang aku katakan, penjelasan aku dangkal. Waktu itu aku masih mentah. Aku gagal mempertahankan kemurniaan di sebalik peristiwa itu. Sepertimana yang pernah seorang mualaf berkata padaku,

"Salah faham yang ada pada orang bukan Islam datangnya dari kelemahan orang Islam sendiri kerana tidak mampu menjelaskan sesuatu tentang Islam itu dengan tepat dan benar."

Ya. Semenjak hari itu, satu sahaja aku tanamkan pada diri. Tidak akan perlu ada lagi soalan sebegini yang akan aku biarkan berlalu tanpa aku terangkan dengan sebenar-benarnya. Aku masih terus belajar dan cuba bersedia dengan setiap jawapan. Setiap kali juga aku perlu ingatkan diri sendiri, adalah lebih baik kita sebagai umat Islam bertindak menjauhkan salah faham itu dengan sebaik-baiknya.

Malam semalam, soalan yang hampir serupa hinggap ke ruang telingaku.

"Apa pengorbanan Nabi Ibrahim untuk Hari Raya Kurban ini? I tak faham," soal suara di hujung talian.

Kali ini, aku tidak mahu rasa bersalah dengan penjelasan yang dangkal. Penjelasan yang mampu menerbitkan persoalan demi persoalan. Aku mahu si penyoal itu faham. Faham tentang kemurniaan di sebalik peristiwa kurban itu sendiri.

Aku menjawab dengan bahasa yang mudah difahami. Terserah kepada tuan punya diri sama ada untuk memahami atau tidak kerana aku telah menjawab dan menjalankan tanggungjawabku sebaik-baiknya, insya-allah.

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini, aku abadikan entri kali ini dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai renungan bersama. Maklumlah, kita manusia yang lahir dengan kealpaan, ada masanya kita terlupa. Jadi secara tidak langsung, dengan kehadiran entri ini di blog sendiri, turut membantu aku untuk sentiasa ingat tentang peristiwa ini. Insya-allah.

Nabi Ibrahim tidak punya zuriat dan kemudiannya berdoa kepada Allah supaya dikurniakan seorang anak. Doanya dimakbulkan dan lahirlah Nabi Ismail a.s hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Satu hari, Nabi Ibrahim menerima perintah dari Allah (menerusi mimpi) supaya menyembelih anak kesayangannya itu. Kemudian, Nabi Ibrahim menceritakan mimpi itu kepada Nabi Ismail a.s dan dijawab oleh anaknya, "hai bapaku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insyaallah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Sebelum itu, para syaitan (yang sentiasa hidup berlandaskan janjinya memesongkan anak-anak Adam) telah menghasut Siti Hajar dengan mengatakan bahawa suaminya akan menyembelih Nabi Ismail. Siti Hajar lantas berteriak bertanyakan Nabi Ibrahim ke mana hendak dibawa anaknya Nabi Ismail. Namun begitu, tidak sedikitpun menggoyahkan iman Nabi Ibrahim dan teguh menurut perintah Allah s.w.t. Di tempat ini pula, pada tanggal 10 Zulhijjah para jemaah haji dituntut melemparkan batu sambil membacakan "Bismillahi Allahu Akbar" bagi merejam syaitan dan sifat-sifat syaitan yang ada pada diri masing-masing.

Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail a.s tiba di Jabal Qurban, dan kedua-duanya berserah diri kepada Allah s.w.t. Maka, sebelum sempat Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s, telah digantikan seekor sembelihan yang besar (seekor kibas). Sesungguhnya ujian ini membuktikan kesetiaan dan kepercayaan kedua-dua Nabi kepada Allah s.w.t.

Sepertimana yang telah diriwayatkan di dalam Al-Quran (Surah As-Saffat, Ayat 100-111)

Rabbi (wahai Tuhanku)! Kurniakanlah kepadaku daripada (keturunan) orang yang salih. Maka Kami (Allah) berikannya khabar gembira dengan seorang anak yang penyantun. Maka tatkala anak itu sampai (umur) berusaha bersama-samanya (Ibrahim), dia berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku (mimpi) bahawa aku menyembelih engkau. Maka fikirkanlah, apa pendapatmu!" Dia (anaknya) menjawab: "Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada engkau, Insya’llah engkau akan mendapati aku termasuk orang yang sabar." Tatkala kedua-duanya telah aslim (berserah diri), dan dia (Ibrahim) membaringkan (anak)nya atas kening(nya). Dan Kami (Allah) panggillah dia: "Wahai Ibrahim!” Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami (Allah) memberi balasan kepada orang muhsinin (yang berbuat baik). Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami (Allah) tebus (ganti) dia (anak itu) dengan (seekor) sembelihan yang besar. Kami (Allah) tinggalkan atasnya (Ibrahim) pada orang yang datang kemudian. Salam atas Ibrahim. Demikianlah Kami (Allah) memberi balasan kepada orang muhsinin (yang berbuat baik). Sesungguhnya dia (Ibrahim) termasuk hamba-hamba Kami (Allah) yang beriman.

Walaupun begitu, ibadah Kurban wajib bagi orang yang berkemampuan tetapi apabila tidak melaksanakannya, Nabi Muhammad saw mengingatkan :

“Barang siapa yang sudah mampu dan mempunyai kesanggupan tapi tidak berqurban, maka dia jangan dekat-dekat ke mushala-ku.” Hadis tersebut merupakan sindiran bagi orang-orang yang mampu dan banyak harta tetapi enggan melakukan kurban.

Selain dari pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, hari raya Aidil Adha juga tentang pengorbanan Siti Hajar. Di mana Siti Hajar mengikut Nabi Ibrahim keluar berjalan dengan melalui pelbagai laluan sukar termasuklah mendaki gunung, menuruni lembah dan mengharungi padang pasir yang luas serta kering kontang. Di situlah Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya dan Nabi Ismail yang masih menyusu dengan berbekalkan bungkusan kurma dan pundi air lalu berpesan agar membuat tempat berteduh. Di awalnya, Siti Hajar merayu kepada Nabi Ibrahim supaya jangan ditinggalkan tetapi, apabila Nabi Ibrahim mengatakan dia menerima perintah Allah, Siti Hajar redha dan pasrah. Siti Hajar berdoa dan yakin, jika itu kehendak Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan mereka (Siti Hajar dan Nabi Ismail).

Siti Hajar yang tinggal bersama-sama Ismail, menyerahkan diri dan kehidupan kepada Allah. Lama-kelamaan, bekalan yang ditinggalkan Nabi Ibrahim kehabisan, begitu juga dengan air susunya yang sudah pun tidak mampu mengeluarkan walau setitis susu. Ismail kelaparan dan mula menangis. Siti Hajar yang tidak tertahan mendengar tangisan anaknya cuba usahakan sesuatu. Siti Hajar mula mencari sekeliling, berharap terserempak dengan golongan musafir, pedagang yang lalu lalang. Dia berlari menuju ke bukit yang paling hampir, dan berdiri di kemuncak Bukit Sofa. Siti Hajar turun dari Bukit Sofa dan berlari-lari pula ke lembah sehingga sampai ke Bukit Marwah. Masih tiada lagi bayang-bayang manusia. Siti Hajar mengulangi perbuatan ini, berulang-alik antara Bukit Sofa dan Marwah sebanyak 7 kali. Siti Hajar yang kepenatan terjatuh tidak bermaya (kemudiannya perbuatan ini menjadi salah satu rukun haji, sa'ie). Tangisan Ismail semakin kuat, Siti Hajar melawan keletihannya dan merangkak mendapatkan Ismail. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa, di atas tanah yang tandus bekas hentakan kaki Ismail, terpancutlah air yang mana sekarang dikenali sebagai air zam-zam. (Ada versi yang meriwayatkan malaikat Jibrail diutuskan untuk menggali air di bekas hentakan kaki Nabi Ismail. Wallahualam) Air yang keluar itu pula terus mengalir dan tidak pernah berhenti sehinggalah ke hari ini.

Islam itu Indah, dan ini antara peristiwa yang memperlihatkan keindahan Islam. Pengorbanan. Jadi, sama-samalah kita hayati hari raya Aidil Adha kali ini. Bak kata abah, bila kita sudah mengetahui perkara disebalik sesuatu ibadah, ianya lebih mudah dilakukan dengan hati yang lebih tenang. Wallahualam.

Wednesday, November 17, 2010

Racun Jadi Madu!

"Jika kehidupan berikan kita racun,
cari jalan untuk jadikan racun itu sebagai madu"

Ayat yang paling aku suka. Aku sendiri tidak pasti, dari mana aku terbaca ayat ini. Apa-apapun, ianya boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Seperti biasa, aku tidak suka lama-lama lemas dalam perasaan. Emosi paling rendah hanya mengganggu sistem pemikiran. Buat apa terhanyut dalam perasaan? Cari jalan untuk lawan rasa itu. Terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan. Jadikan kerendahan emosi itu sesuatu yang boleh membangunkan semangat diri. Ya, itulah aku. Jika rasa sedih, tranformasikan ia kepada sesuatu yang menggembirakan.

Hari ini, akulah manusia paling gembira. 2 misi yang aku rancang beberapa hari lepas, selamat dijalankan. Tidak aku nafikan, pelbagai halangan yang cuba menghentikan misiku. Otak yang mula membahagi, hati yang berbelah dan telinga yang diganggu bisik-bisik jahat. Alhamdulillah. Aku dapat melawan dan kekal dengan niat yang satu. Semoga diberkati segala usaha. Racun menjadikan aku lebih kuat dan sedang menikmati kemanisan madunya. Harap berkekalan dan terus dapat menjalankan misi murniku. Insya-allah. Amin.

Bagiku, untuk memperoleh kegembiraan bukan terbatas untuk diri sendiri. Tidak perlu sebarang pujian menggunung mahupun hadiah pemberian orang. Cukup dengan melakukan sesuatu yang boleh memberikan senyuman dan kebahagiaan kepada pihak yang lain. Itu kegembiraan yang sukar dibeli dari mana-mana sekalipun!

Ya, aku akan terus dengan misiku. Aku akan menjalankannya dengan cara sendiri. Sudah tiba masanya aku berkongsi kemanisan kehidupan ini dengan yang lain. Yang lebih memerlukan. Insya-allah. Teman, doakan agar niatku tidak terhenti kerana ini baru permulaan. Amin.

Tuesday, November 16, 2010

Ayuh!

Dipetik dari halaman FACEBOOK yang diposkan oleh Value in Islamic Culture

Jom kita hulurkan bantuan kepada bayi tiga minggu yang mengalami masalah jantung.

Ammar Nasran Hashim dan Yaseerah Mustaffa adalah bapa & ibu kepada seorang bayi perempuan berusia tiga minggu yang kini sedang mengalami masalah TGA (transposition of great arteries) atau transposisi arteri besar. Keadaan ini sangat jarang berlaku di mana pembuluh darah utama di sebelah kanan dan kiri jantung bertukar tempat.

Sebelum ini bayi tersebut telah pun mendapat rawatan di hospital kerajaan. Namun begitu, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, ibu dan bapa bayi tersebut terpaksa membawa bayi mereka untuk menjalani rawatan di hospital swasta. Ketika ini bayi yang dimaksudkan berada Hospital Gleneagles Pulau Pinang dan sedang berada di bawah pengawasan ICU.

Kini mereka berdua berhadapan dengan masalah kos rawatan yang tinggi. Kos pembiayaan pembedahan dianggarkan RM 45,000 dan kos rawatan di ICU sekurang-kurangnya RM1,500 sehari. Bantuan pihak individu mahupun badan NGO amat dialu-alukan untuk membiayai kos rawatan bayi ini. Bantuan dan sumbangan boleh disalurkan terus kepada akaun ibu bayi tersebut. Berikut adalah butiran akaun untuk anda menghulurkan bantuan.

Nama bank: CIMB
Nama pemegang akaun: Yaseerah Mustaffa (ibu kepada bayi)
Nombor Akaun: 07440002038524

Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi Dr. Hameeth Shah di talian 012-474 1101 atau En. Hashim Amidi Ahmad di talian 019-2805559. Sumbangan dan doa anda didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

* Ayuh teman sekalian. Sama-sama kita bantu adik ini. Bayangkan kalau setiap 50,000 orang dari kita menderma walau hanya RM1, ianya sudah cukup membiayai kos pembedahan adik ini. Buatlah sesuatu untuk kehidupan. Insya-allah, kehidupan akan jadi lebih bermakna. Ayuh, bantu ringankan beban ibu bapa adik ini.

Saturday, November 13, 2010

Siapa sangka?

Semalam, ada pelbagai kisah yang berlaku. Ada yang menguji, mengejutkan, menggembirakan tidak kurang juga, tidak terjangka di fikiran. Pastinya juga, ada kisah yang menyeronokan. Semua itu, rasa yang aku alami. Orang lain, aku tak tahu.

Sudah aku katakan, aku cuba mengubah diri. Bukan sekadar penampilan, tetapi juga melembutkan hati. Kawal rasa yang kurang elok. Cepat marah, atau cepat menduga. Cepat menduga? Maksudnya, cepat berprasangka. Alhamdulillah, seminggu ini masih ada yang mampu melintasi sempadan amarahku kecuali, semalam!


Kisah 1 : Menguji?

Awal-awal pagi, aku sudah bersiap-siap ke tempat kerja. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, aku sengaja keluar sedikit awal. Mudah-mudahan, sampai ke tempat kerja pun awal. Itu perancangan. Ingat, tak semua yang dirancang akan kekal mengikut kehendak kita ya!

Belum pun sempat sampai ke simpang keluar dari Bandar Tasik Puteri, jalan sudahpun sesak. Aku masih boleh bersabar. Puas juga aku tarik nafas panjang-panjang. Ditemani pula lagu Maher Zain, bantu aku mententeramkan jiwa. Sudah lima minit deretan kereta tak juga bergerak-gerak, aku terus membelok ke kanan. Ikut jalan Kundang, tembus Sungai Buloh dan keluarlah ke Kepong. Ikut jalan kampung.


Tak guna mengembek tanpa bukti...
ini apa? Sesak!


Aku fikirkan tidak banyak kenderaan lain. Sudahnya, di situ pun sesak! Tak apa. Aku masih bertahan. Mulut pun laju melagukan lirik Allahi Allah Kiya Karo. Tepat pukul 8.45 pagi, Romi yang aku pandu (Lolly kupinjamkan sekejap kepada Ayuz, bertugas menghantar abah dan lain-lain bersiar-siar) muncul di Sg Buloh. Lega. Aku pun tekan minyak, meluncur laju. Tetapi, tak sempat bergaya macam Micheal Schumacher, sebabnya jalan di persimpangan Damansara Damai pula yang sesak. Aku jeling jam tangan, pukul 8.55 pagi. Sah, tak sempat sampai pukul 9 pagi.


Bayangkan kesengsaraan pada betis, paha dan kakiku!

Ketika inilah aku mula mendurjanakan sumpahku untuk berubah. Aku dapat rasa perubahan pada muka aku. Apa tidaknya? Dadaku semakin berombak, menahan nafas yang semakin laju keluar masuk menerusi serombong hidungku bersaiz extra large ini. Aku dapat rasa pipiku kemerahan. Mulut sempat juga berzikir. Sejuk juga hati dibuatnya. Tetapi, semua itu tak tahan sebaik saja aku tengok, lori tersadai di bahu jalan. Tak. Bukan aku marah lori itu rosak. Aku kesal, kenapa 'dunia jadi perlahan'? Sedangkan lori itu duduknya di bahu jalan. Tahu apa itu bahu jalan? Habis masa aku terbuang di situ sahaja kerana sebuah lori yang tak bersalah. Siapa harus dipersalahkan? Kalau aku beritahu ini kepada majikan, mahukah diterimanya? Apa-apa pun, marah aku tak lama. Aku lewat 5 minit sahaja. Mujur, masih menjadi orang paling awal sampai ke pejabat.


Kisah 2 : Mengejutkan!

Tentu ada yang sudah menjenguk ruangan blog (yang tak seberapa ini) semalam. Apa yang mengejutkan aku bukanlah melihat wajah-wajah pelik milik aku sendiri, tetapi ada beberapa komen yang aku terima dari rakan-rakan (mukabuku) yang buatkan aku agak terkejut. Khasnya salah seorang rakanku dari Indonesia. Aku mengenalinya dengan nama Tony. Adik Tony. Katanya, gambar-gambar aku ini kelihatan gokil. Dek kerana kurang jelas dengan maksud itu, aku bertanyakan maksudnya. Gokil itu lucu.

Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, aku tahu entri itu semalam mampu membuat orang lain ketawa. Ketawa adalah sebahagian dari ubat penawar sakit emosi. Antaranya kesunyian, kemurungan dan sebagainya. Jadi, secara tak langsung aku telah menghiburkan beberapa orang tanpa sedar. Bagi aku, ia bagaikan satu kerja paling indah pernah aku lakukan. Membuat orang lain terhibur. Malah kata adik Tony lagi, menghiburkan orang lain bagaikan satu ibadah. Benarkah begitu? Apa-apa pun, aku senang bila melihat orang lain senang. Apatah lagi senyum kegembiraan.



Ada juga aku terima komen dari seseorang. Siapa lagi kalau bukan Cody. Oh Cody, tidak pernah gagal melawat blog aku. Ya. Dia sendiri mengaku tidak mengerti apa yang aku pahatkan di ruangan blog ini. Tetapi, katanya, gambar-gambar ini membuatkan rindunya terubat. Hmm. Bagaimana hendak rindu kalau tidak pernah bersua. Musykil? Ya. Selain itu, dia juga ada memanjangkan buah fikirannya kepadaku. Buat masa ini, aku masih meneliti dan akan melihat rasional buah fikirannya itu untuk jangka masa panjang. Jika cocok, maka akan aku teruskan.

Selain Cody, ada seseorang lagi yang buat aku sedikit terkesima. Komennya tidak datang dengan panjang lebar untuk mengujakan aku. Cukup dengan sebaris ayat.

"Dari dulu kau memang suka membodohkan diri untuk gembirakan orang lain."

Ayatnya agak kasar, tetapi tidak melukai hatiku. Tidak, walaupun untuk segaris. Aku mengerti ayatnya. Aku kira, tiada orang lain lebih mengerti ayatnya itu melainkan aku sendiri. Pasti yang lain fikir ayat itu agak kurang sopan. Bagi aku pula, buatkan aku tersedar yang diriku ini diperhatikan sejak dari dulu lagi. Tolonglah jangan bermain dengan kata-kata, cakap saja terus-terang... bak lagu terbaru Radja tu! Aku tak akan marah! Sikap terus terang adalah sikap berani. Lelaki perlu berani. Lelaki berani, aku akan hormati.



Kisah 3 : Menggembirakan

Semalam juga keputusan Ujian Penilaian Rendah diumumkan. Petang itu, sebelum aku terlupa (maklumlah, dah banyak urat-urat kepala terputus gara-gara banyak berfikir) aku menghubungi adik angkat kesayanganku. Syazlina. Adik angkat yang jarak usianya hampir 15 tahun. Benarkah begitu? Ya. Aku mengenalinya sejak usianya 2 hari. Sayang aku kepadanya amat tinggi. Dia adikku, berlainan mak dan bapa. Apa yang pasti, satu bangsa. Bangsa manusia.


ini dia si comel Ina...selalu ku dukung ketika kecilnya

Sebaik sahaja suaranya menyentuh dinding gegendang telinga, terus aku tanyakan keputusan yang diperolehinya. Suaranya malu-malu. Saat itu, aku sudah menjangka keputusannya.

"Tak bagus macam kak ejan," katanya.

Bukan itu yang aku mahu. Bagus atau tidak, apa pentingnya itu? Terkadang kasihan aku melihat kanak-kanak diberikan tekanan sebegini. Aku bertanyakan pula, apa yang dikatakan oleh mereka-mereka yang lain. Bukan untuk menghukum orang lain, tetapi cuma mengagak kenapa ayat itu terpacul dari mulut si kecil itu. Mujurlah, tiada yang kata apa-apa. Ini menunjukkan, tidak ada tekanan dari mana-mana pihak yang boleh menjatuhkan semangat si kecil Ina ini.

"Semua Ina kutip, kak Ejan," katanya lagi.

"Bahasa Melayu?" soalku gelojoh.

"Penulisan A,"

Mendengarkan itu, aku jadi bangga. Sekurang-kurangnya dia tidak membelakangkan bahasa ibundanya. Bak kata orang, melentur buluh, biar dari rebung. Cintakan bahasa, biarlah dari zaman anak-anak kecil. Kalau dah besar baru pandai kenal tatabahasa, susah juga dibuatnya.

"Tak apa, Ina. Bukan semua pandai sejak kecil. Lagipun, ini baru UPSR. Lepas ini, belajar lagi. Jangan main-main. Banyak baca buku bahasa Inggeris. Seimbangkan," nasihatku selaku seorang kakak. Kakak tua! Hahahaha.


sekarang dia dah boleh dukung budak pulak!


Kisah 4 : Tidak Terjangka!

Seperti biasa, aku pulang pukul 6.30 petang. Perjalanan keluar dari kawasan pejabat ke jalan besar ambil masa 10 minit. Itupun tidak termasuk jalan sesak. Lebih kurang pukul lewat pukul 6 mencecah 7 petang, aku telah pun sampai di stesen minyak Esso (kegemaranku). Tak tahu apa sebabnya, setiap kali aku di sini pasti dilayan bak puteri. Oh, bukan tak perlu bayar ya tetapi tak perlu isi minyak sendiri. Ada seorang petugas di sini yang sentiasa membantu aku. Bukannya aku tak boleh isi sendiri, tetapi bila-bila masa sahaja aku tiba di stesen ini, petugas ini pasti datang ke keretaku. Dengan senyuman dan salam, ini yang pasti disoalnya

"baru balik? Kerja mana?"

Aku pula pasti jawab.

"Tak selewat u," macam biasa, orang yang tak aku kenal aku akan panggil U. Silap haribulan, dia boleh ambil pusingan U kalau nak tanya lebih-lebih padaku.

Kadang-kadang, seronok juga. Yalah, tak perlu bersusah-susah isi minyak. Bayar duit di kaunter, tunggu sekejap dan terus jalan. Jimat masa, betul tak? Jadi, terima kasih sangat-sangat kepada petugas itu yang beri layanan terbaik untuk aku. Hihihi. Tetapi, kali ini sedikit berbeza kerana aku terpaksa keluarkan duit terlebih dahulu. Apa taknya? Sudah memang kelaziman aku, tidak suka keluarkan duit banyak-banyak. Selalunya, yang cukup-cukup sahaja. Jadi, aku keluarkan duit dan bersidaian di depan kaunter sementara menunggu pelanggan hadapan aku yang bermasalah dengan kad kreditnya. Huh? Sampai 3 kad kredit dikeluarkannya. Hmmm. Dalam kesabaran, aku cuba alihkan perhatian ke tempat lain. Tiba-tiba kedengaran suara Linda Onn. Oh, pastinya ini stesen radio Suria.fm. Kebetulan, sekarang ini pun aku sudah mula kemaruk dengan stesen kepunyaan suami Erra Fazira ini.

Kali ini, suara Linda lain sekali. Emosinya sayu. Apa yang tak kena? Yalah, selalunya kak Linda ini suaranya ceria. Nak pula kalau ada pemanggil yang sedang marah-marah, ada saja cara untuk dia menenangkan pemanggil itu. Aku amati betul-betul suaranya dan cuba mendengar butiran ayatnya. Rupa-rupanya dia sedang cuba menghubungi Johan Aziz, sahabat penyanyi rock kumpulan Fotograf, Shamrin. Ya, penyanyi yang cukup aku minat satu ketika dahulu. Seangkatan dengan Saleem dan Zamani. Mendengar suara sayu Johan buat aku agak terkejut. Baru aku tahu tujuan Linda menghubunginya adalah untuk mengesahkan pemergian Shamrin. Terkejut? Ya, betul-betul mengejutkan!



Dalam kekalutan perasaan, sempat juga aku mengucapkan innalillah, dan menyedekahkan Al-Fatihah. Siapa sangka? Kalau tak silap aku, baru sahaja minggu lepas mendengar suaranya. Aku mula mengenali suara emas Shamrin ini ketika masih kecil. Ya, di bangku sekolah rendah lagi. Ketika itu lagu yang selalu menghiasi bibirku ialah Di Alam Fana Cinta. Bukan sekadar meminati suaranya, aku akui bahawa namanya juga amat menarik minatku. Kenapa? Entahlah. Shamrin. Sehinggakan, satu watak dalam novelku (Hatimu Hatiku Jadi Satu) telah ku abadikan dengan namanya. Malah, ketika di zaman sekolah menengah dulu, nama itu juga aku guna untuk coretan cerita-cerita pendek untuk tatapan teman-teman. Dua nama yang sentiasa aku suka, Shamrin dan Sharmin. Apa-apa pun, diharapkan keluarga dan kenalan allahyarham dapat menjalani ujian ini dengan tabah. Aku doakan, agar rohnya dicucuri rahmat. Insya-allah, amin.




Kisah 5 : Seronok!

Aku kira, inilah fasa hidup yang paling menggembirakan. Ya. Kehadiran Mierza menambahkan lagi erti kegembiraan dalam hidupku. Pulang dari perjalanan yang panjang, perkara pertama yang aku buat, peluk cium Miqhail dan Mierza. Itupun setelah selesai aku cuci tangan dan kaki. Maklumlah, sampai rumah pun dan mencecah waktu Maghrib. Ikut pantang larang orang dulu-dulu, supaya benda yang tak elok, tak melekat sama. Tambahan pula, mereka masih budak-budak, senang kena ganggu. Terpulanglah kepada pemikiran masing-masing nak kata ia karut atau mengarut. Tapi, aku percaya setiap pantang larang orang tua-tua ada betulnya. Cuba fikir sendiri, sepanjang hari kita di luar, tidak tentu terjamin kebersihannya. Kuman dan bakteria ada di mana-mana. Kalau orang dewasa, sudah ada ketahanan, budak-budak bukankah lebih terdedah kepada bahaya? Ha, itulah cara pemikiran orang dulu-dulu. Lebih tinggi dari logik sains. Cuma cara larangan mereka membuatkan orang zaman sekarang ramai yang ketawa. Ketawa tanpa berfikir. Itulah padahnya. Jangan senang-senang nak ketawakan orang ya!

Seperti biasa, waktu malam adalah waktu paling singkat untuk aku. Ada masa (yang mana aku pastikan perlu ada!) aku akan jenguk kerja-kerja persendirian yang boleh aku bereskan. Kalau tak dapat dihabiskan, aku buat setakat mana yang mampu. Aku membataskan waktu bekerja di rumah sejak adanya Mierza. Sementara untuk 2 bulan ini sahaja. Yalah, itukan tempoh berpantang Along. Selepas dia sihat, tentu dia akan lebih banyak habiskan masa dengan Mierza. Jadi, di kesempatan inilah aku mencuri peluang, menghabiskan sebanyak masa yang boleh dengan Mierza.

Ada satu tabiat Mierza yang membuat aku kecut perut, gelihati dan tak lena tidur. Hampir setiap malam, dia sukar untuk tidur. Bila Mierza tak tidur, makanya dia akan mula menangis. Bila dia menangis, Along pun tidak dapat tidur. Begitu juga kami yang lain. Pada ketika inilah aku akan berpeluang habiskan masa dengan Mierza. Ya. Aku akan memangku si kecil ini sehinggalah dia tidur lena. Mierza suka dipeluk, didakap kemas. Mungkin dia masih tidak biasa dengan kehidupan dunia luar. Yalah, selama ini dia dalam kandungan ibu. Selesa. Jadi, mungkin disebabkan itu dia tidak selesa berbaring sendirian. Seronok tidur sambil berpeluk kemas si Mierza. Satu lagi yang buatkan aku tidak pernah lelah menemani dia tidur, tabiat tidur Mierza sama dengan aku. Apa dia? Ya. Dia seakan merengek ketika tidur. Bunyinya comel. Umi dan Along pun beritahu aku perkara yang sama....

"Itu tabiat kau tidur.... merengek," kata mereka.

Hahaha. Apa lagi agaknya yang akan Mierza warisi dari aku. Cara tidurnya pun sama. Kepala tertinggal di belakang dan badan ke depan (mendongak). Bila aku ketawa, Along pun mulalah kata, yang aku tak payah ketawakan cara Mierza tidur kerana itu juga cara tidurku. Hmmm. Aku bisik ke telinga Mierza....

"Kepala ke Perak, badan ke Selangor ya?"

Mierza menyambut dengan mengerang manja. Aduhai anak. Sayangnya angah pada kau. Dua permata hatiku, Miqhail dan Mierza.

Thursday, November 11, 2010

Eksperimen

Ini bukan hobi terbaru. Kegilaan yang sudah lama ada tetapi tidak pernah dikongsi bersama. Kali ini, aku saja-saja nak letakkan dalam blog. Apa dia? Aku suka ambil gambar diri sendiri. Suka bereksperimen dengan sudut wajah. Adakalanya, sudut-sudut yang berlainan dapat beri impak yang lain. Entahlah. Aku tak tumpukan sangat pada hobiku yang satu ini. Seperti Ayuz, aku suka mengabadikan gambar. Semua jenis. Tidak kiralah pemandangan, haiwan atau apa juga. Janji, aku puas.

Terlalu banyak dalam simpanan dan ini antara yang sempat aku letak di sini. Eksperimen pada ekspresi dan sudut wajahku sendiri. Malangnya, aku ambil gambar-gambar ini dengan menggunakan kamera telefon bimbit. Kualitinya tak bagus. Apa-apa pun, aku suka. Suka lihat hasil yang terkadangnya memperlihatkan wajahku yang agak pelik. Hmmm.



































ingat lagi,
gambar ini diambil sebelum masuk tidur...

Aku kira, gambar-gambar ini dapat membuktikan beberapa perkara. Antaranya, mata aku tak sepet! Mungkin saiznya sahaja yang kecil sebab itu ramai salah faham dan mengatakan mata aku SEPET! Warna mata aku bukan HITAM. Bukan juga biru. Hahaha.

Ada orang kata aku gila, aku pula kata... mereka cemburu sebab lihat aku gembira. Tak begitu?

Satu lagi, perkara yang paling pasti. Pipi aku sentiasa tembam atau lebih tepat lagi, tak pernah kurus. Hahaha. Kalau pandai, cuba teka gambar mana satu paling baru?

*Bak kata Azwa semalam padaku, "muka kau dari zaman sekolah tak berubah. Kekal remaja!" Apa taknya? Tak pernah kurus, mana nak nampak tua! Hahaha.

Untuk mereka yang menyayangi seorang AKU

Kelmarin, usai makan malam, aku duduk di ruang tamu ditemani abah dan umi. Ada beberapa minit sebelum abah pergi berjemaah di surau. Sepertimana biasa, ada sahaja soalan yang akan aku ajukan padanya. Ya. Abah guruku. Tidak akan aku persiakan ilmu yang ada padanya.

Pelbagai soalan aku sempat tanyakan. Sehingga bertemu noktah. Aku tertunduk. Jawapan abah selalu membuatkan aku kembali berfikir. Adakah ianya soalan yang sepatutnya aku tanya di awal-awal tadi.

Tiba-tiba, abah memberitahu aku sesuatu yang tidak aku tahu selama ini. Rahsia namaku. Ya. Bukan mengikut definisi bahasa Arabnya. Tetapi, sejarah terbinanya namaku. Shahaini Aizan. Abah kata, maksudnya mudah.

Shahaini itu melambangkan indah, manakala Aizan pula datangnya dari alunan azan. Kebetulan saat aku dilahirkan, alunan azan sedang berkumandang. Itu sejarah namaku. Keindahan azan. Ya. Seperti yang aku katakan awal tadi, ia bukannya definisi bahasa arab tetapi aplikasi kehidupan.

Abah juga berkata, satu kelebihan yang ada padaku tanpa aku sendiri sedari. Ke mana juga aku pergi, aku akan dikelilingi orang-orang yang menyayangi aku. Kata abah lagi, aku mudah disayangi. Aku tekun mendengar kerana tidak pasti sama ada ianya benar atau pun anggapan abah semata-mata.

Abah juga mengatakan aku mudah rapat dengan sesiapa yang aku mahu. Masalah terbesar aku pula ialah, aku tidak tahu menjaga hati orang yang menyayangi aku. Sepatah pun sudah cukup buat mereka terluka. Aku terus mendengar. Mungkin benar. Aku sendiri tidak pasti.

Azan Isyak berkumandang. Abah bingkas bangun.

"Bukan senang untuk disayangi orang lain Izan, hargai orang yang menyayangi kau. Sama ada kau tahu atau tidak, jangan lukai hati orang," pesan abah sebelum melangkah keluar.

Aku terdiam. Berfikir. Aku ragu, adakah benar ada orang yang menyayangi tanpa aku sedar? Tapi aku mengaku, aku telah melukakan ramai hati. Kepada hati yang terluka, maafkan aku. Dalam sedar dan dalam lena, ampunkan dosaku. Maafkan aku, ya.

Aku tinggalkan hari ini dengan lagu yang meninggalkan impak mendalam padaku. Khas untuk umi, abah, along, ayuz, Miqhail, Mierza dan kepada semua yang menyayangi seorang aku bernama Shahaini Aizan. Ya. Shahaini Aizan. Bukan Shai, bukan juga Romibaiduri tetapi, Shahaini Aizan.

Ku Ada Kamu - Adira AF8

Di kala ku kehilangan
Di dalam kegelapan,
Kau suluhkan sinar petunjuk,
Di kala ku kesedihan,
Kau ukirkan senyuman,
Dengan penuh sabar memujuk,

Engkau menyambut tiap kali aku terjatuh

Andai hari esok langit akan runtuh,
Tabahlah menjunjung bersamaku,
Andai hari esok dunia gelora,
Takkan ku gemuruh selagi ku ada kamu

Di kala aku tak pasti,
Kau tampil dengan berani,
Membimbing agar lebih yakin,
Dan bila hidup penuh soalan,
Kau berikan jawapan,
Melengkap semua kekurangan...

Engkau menyambut tiap kali aku terjatuh

Andai hari esok langit akan runtuh,
Tabahlah menjunjung bersamaku,
Andai hari esok dunia gelora,
Takkan ku gemuruh selagi ku ada kamu

Tidak mungkin diri ini mampu,
Hidup tanpa doronganmu,

Andai hari esok langit akan runtuh,
Tabahlah menjunjung bersamaku,
Andai hari esok dunia gelora,
Takkan ku gemuruh selagi ku ada kamu


*Terima kasih.... insya-allah, akan aku cuba hidup dengan sejarah di sebalik terbinanya namaku. Tiba masanya untuk aku berbuat sesuatu. Bukan lagi sekadar menunggu. Doakan perjuanganku. Aku yang sedang mencari. Amin.

Wednesday, November 10, 2010

30 Perkara Perempuan Tak Sempat Bagitau Lelaki..

Artikel menarik yang aku temu di ruangan mukabuku. Sengaja ku isi di entri ini hanya untuk tatapan melapangkan minda. Bacalah dan hayati. Mungkin ada benarnya, mungkin juga sebaliknya.

Dahsyat sungguh perempuan ni. Banyak perkara yang mana perempuan lebih suka difahami secara tersirat. Ya ke tak sempat bagitau? Silakan baca.

1. Bila seorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitiskan airmata, itu bermakna dia sedang menangis di dalam hatinya.
(Err...iye ke?)

2. Bila dia tidak menghiraukan kamu selepas kamu menyakiti hatinya, lebih baik kamu beri dia masa untuk menenangkan hatinya semula sebelum kamu menegur dengan ucapan maaf. (Huh? Lelaki sampai mati pun takkan ucap maaf...)

3. Wanita sukar nak cari benda yang dia benci tentang orang yang paling dia sayang. Disebabkan itu ramai wanita yang patah hati bila hubungan itu putus di tengah jalan.
(Hmm... betullah tu. Lebih mengenangkan perkara yang baik-baik saja)

4. Sekiranya sorang wanita jatuh cinta dengan sorang lelaki, lelaki itu akan sentiasa ada di fikirannya walaupun ketika dia sedang keluar dengan lelaki lain.
(Oh ya. Memang pernah terjadi.)

5. Bila lelaki yang dia suka dan cinta merenung tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!
(Tak pulak.Hahaha)

6. Wanita memang sukakan pujian tetapi selalu tidak tahu macam mana nak menerima pujian.
(Huh... pujian? Apa itu pujian?)

7. Jika kamu tidak suka dengan gadis yang sukakan kamu separuh mati, tolak cintanya dengan lembut, jangan berkasar sebab ada satu semangat dalam diri wanita yang kamu tak akan tahu bila dia dah buat keputusan, dia akan lakukan apa saja.
(Benar. Antaranya, benci sampai mati. Hahahaha. Lawak!)

8. Sekiranya sorang gadis mula menjauhkan diri darimu selepas kamu tolak cintanya, biarkan dia untuk seketika. Sekiranya kamu masih ingin menganggap dia sorang kawan, cubalah tegur dia perlahan-lahan.
(Perempuan tak selemah itu. Apa susah? Kumbang bukan seekor, nyamuk dan lalat pun ada, bukan?)

9. Wanita suka meluahkan apa yang mereka rasa. Muzik, puisi, lukisan dan tulisan adalah cara termudah mereka meluahkan isi hati mereka.
(Wanita itu salah satu seni terindah...)

10. Jangan sesekali beritahu perempuan yang mereka ni langsung tak berguna.
(Orang yang kata begitu, sepuluh kali tak berguna. Tak kiralah, lelaki atau perempuan)

11. Bersikap terlalu serius boleh mematikan mood wanita.
(Lucu dan tenang. Lebih bagus dari berlagak bagus)

12. Bila pertama kali lelaki yang dicintainya dalam diam memberikan respon positif, misalnya menghubunginya melalui telefon, si gadis akan bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat, tetapi sebaik saja ganggang diletakkan, dia akan menjerit kesukaan dan tak sampai sepuluh minit, semua rakan-rakannya akan tahu berita tersebut.
(Tak ingat pulak...)

13. Sekuntum senyuman memberi seribu erti bagi wanita. Jadi jangan senyum sebarangan.
(Wanita sudah pandai menilai antara senyuman ikhlas, plastik atau materialistik)

14. Jika kamu menyukai sorang wanita, cubalah mulakan dengan persahabatan. Kemudian biarkan dia mengenalimu dengan lebih mendalam.
(Sahabat tidak mungkin jadi kekasih. Kekasih sepatutnya jadi sahabat!)

15. Jika sorang wanita memberi seribu satu alasan setiap kali kamu ajak keluar, tinggalkan dia sebab dia memang tak berminat denganmu.
(Mudahnya buat andaian. Belajar adab sopan timur dulu ya)

16. Tetapi jika dalam masa yang sama dia menghubungimu atau menunggu panggilan darimu, teruskan usahamu untuk memikatnya.
(Yang penting ikhlas.)

17. Jangan sesekali mengagak apa yang dirasakannya.Tanya dia sendiri!
(Lelaki golongan pengecut, mana ada keberanian tanya terus! Hahaha.)

18. Selepas seorang gadis jatuh cinta, dia akan sering tertanya-tanya kenapalah aku tak jumpa lelaki ini lebih awal.
(Hmmm... betullah tu.)

19. Kalau kamu masih tercari-cari cara yang paling romantik untuk memikat hati sorang gadis, cubalah rajin-rajinkan tangan menyelak buku-buku cinta.
(Tak guna, yang penting ikhlas. Rujuk buku, buang masa)

20. Bila setiap kali gambar kelas keluar, benda pertama yang dicari oleh wanita ialah siapa yang berdiri di sebelah buah hatinya, kemudian barulah dirinya sendiri.
(Tak pula. Mestilah cari si jantung hati dulu. Apa daa!)

21. Bekas teman lelaki akan sentiasa ada di fikirannya tetapi lelaki yang dicintainya sekarang akan berada di tempat teristimewa iaitu di hatinya!
(Sukar.)

22. Satu ucapan 'Hi/Assalamualaikum' sahaja sudah cukup menceriakan harinya.
(Benar)

23. Teman baiknya saja yang tahu apa yang sedang dia rasa dan lalui.
(Ya, betul. Ayshah... jawapan paling tepatnya. Hahaha)

24. Wanita paling benci lelaki yang berbaik-baik dengan mereka semata-mata nak mengurat kawan mereka yang paling cantik.
(Tak juga. Kalau niat dia betul-betul ikhlas dengan kawan itu, tak salah, bukan?)

25. Cinta bermaksud kesetiaan, ambil berat, jujur dan kebahagiaan tanpa sebarang kompromi.
(Siapa kata? Tanggungjawab pergi mana? Jamban?)

26. Semua wanita mahukan sorang lelaki yang cintakan mereka sepenuh hati.
(Aduh, ajaran sesat ni)

27. Senjata wanita adalah airmata!
(Salah lagi! Air mata tanda orang yang lemah)

28. Wanita suka jika sesekali orang yang disayanginya mengadakan kejutan buatnya (hadiah,bunga atau sekadar kad ucapan romantis). Mereka akan rasa terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan ini dia tak akan ragu-ragu terhadapmu.
(Siapa perempuan macam tu, tunjukkan sikit)

29. Wanita mudah jatuh hati pada lelaki yang ambil berat tentang mereka dan baik terhadapnya. So,kalau nak memikat wanita pandai-pandailah.
(Salah lagi. Apa ni?)

30. Sebenarnya mudah mengambil hati wanita kerana apa yang dia mahu hanyalah perasaan dicintai dan disayangi sepenuh jiwa.
(Mudahnya lelaki memperdayakan wanita ya? Lakonan semata-mata)

* Tidak semestinya 30 perkara diatas semuanya wujud dalam diri setiap wanita,tapi zaman sekarang ni lelaki pun ramai yang aplikasikan perkara-perkara diatas.
(Ini memang betul. Zaman dah terbalik agaknya)

Thursday, November 4, 2010

Sedang mencari ERTI...

Apakah tugas manusia yang telah diamanahkan di muka bumi ini?

Adakah sekadar, menjadi manusia yang mengikut kitaran biasa?

Setakat itu sahajakah hikmahnya kelahiran manusia di muka bumi ini?

Itu antara soalan yang pernah diajukan oleh arwah guruku, allahyarham Tuan Haji Zubir. Aku tidak pernah mengamati soalan-soalan itu. Sehinggalah, aku ditemukan sekali lagi dengan soalan yang hampir serupa. Kali ini, datangnya dari abah.

Mungkin benar kata abah. Aku anak yang agak keras hati. Agak nakal dan degil. Setiap kali abah ajukan soalan, aku mengelak. Bukan kerana tidak dapat menjawab, tetapi tidak suka menghabiskan masa yang lama untuk berfikir. Ya. Seperti manusia yang lain. Aku malas.

Namun, sejak beberapa hari kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang membuatkan aku berfikir. Segala-galanya aku tanya kepada abah. Seperti biasa juga, abah tidak terus memberi jawapan. Sebaliknya, dia suruh aku berfikir. Alhamdulillah. Mungkin, kekerasan hati yang selama ini aku miliki, terkikis sedikit demi sedikit.

Aku mula mencari erti sebenar kehidupan. Setiap hari, jawapan ditemukan di depan mataku. Perlu berfikir dan bukan disuap bulat-bulat. Hati menjadi tenang. Ayat ini juga sentiasa berlegar di fikiran.

"Kenali Allah melalui diri kau," itu pesan abah.

Pagi semalam, kemuncak kemarahanku. Hampir meletus tetapi, dapat aku kawal. Merungut, mengeluh. Itu bukan sikap aku. Letih. Tentunya aku mengeluh. Hampir setiap pagi aku ditemukan dengan situasi yang sama. Merungut, mengeluh akhirnya aku mengalah. Pantas, tangan mencapai telefon bimbit. Ku ajukan soalan kepada umi.

Jawapan umi tidak berpihak kepada aku. Aku akur, aku salah. Namun, aku tahu, di sinilah noktahnya. Aku tidak perlu meneruskannya jika tidak ikhlas melakukannya. Tiada keberkatan jika tidak ikhlas. Apakah berkat duit yang aku dapat, kiranya aku mengeluh, merungut dan tidak ikhlas?

Aku berbincang dengan abah. Ini keputusan aku. Aku mengharapkan, keputusan aku akan diterima oleh pihak atasan.

"Tak guna buat kerja kalau tak ikhlas. Tak berkat. Merungut, mengeluh. Kau nak makan duit yang tak berkat?" itu kata-kata yang membisik ke telinga.

Dalam perjalanan pulang hari itu, aku mendail pantas nombor majikanku.

"Maafkan saya, tapi saya nak berhenti dari melakukan tugasan itu," kataku.

"Kenapa?"

"Saya tak boleh buat. Saya tak dapat jalankan tanggungjawab yang dah diamanahkan dengan betul," kataku.

Ada lagi alasan yang aku beri. Mujur majikanku mengerti. Alhamdulillah. Aku katakan lagi padanya, aku tidak akan menerima bayaran kepada kerja yang tidak aku laksanakan. Makanya, aku menolak pembayaran untuk tugas itu. Cukuplah. Aku tidak mahu mengembek. Rezeki yang ada sudah cukup. Insya-allah. Aku mahu laksanakan tugas dengan lebih ikhlas agar ianya membawa berkat. Amin.

*Bukannya aku tidak buat salah, cumanya aku ingin mengurangkan kesalahan yang pernah ada. Insya-allah. Teman, temanilah aku dalam perubahan yang ingin aku lalui dan corakkan ini. Amin. Sesungguhnya, tanggungjawab kita terlalu besar. Jangan dikhianati tanggungjawab itu.