Tuesday, March 30, 2010

Peristiwa 14 Rabiulakhir...


Tanpa kamu, tiadalah aku...


Sebelum ini aku tidak pernah tahu, tarikh lahirku mengikut kalendar Islam. Aku selalu ingin mengetahuinya sehinggalah hari itu, aku berpeluang mencari tarikh yang tepat. Ya. 14 Rabiulakhir. Mungkin nakal atau tidak ada kerja selain untuk menyakat orang, aku taipkan status di mukabuku sebagai hari lahirku. Nyatanya mereka terlalu peka dan tahu tarikh sebenar hari lahirku. Jujur, aku rasa terharu. Lantas aku perbetulkan balik fakta dan mengatakan ianya merupakan tarikh lahir mengikut kalendar Islam.

Aku juga sempat menghantar pesanan ringkas kepada umi dan abah....

"Hari lahir bermakna nyawa di hujung tanduk ibu, umi, mama, mak. Terima kasih umi, terima kasih abah. Sayang umi, sayang abah,"

Sebenarnya kata-kata itu aku ambil dari komen yang akak Afna berikan padaku. Katanya pula, dia meminjam kata-kata encik Wan. Secara tak langsung, aku pun meminjam kata-kata encik Wan.

Monday, March 29, 2010

Beringat Sebelum...

Kemalangan boleh terjadi hampir di mana saja. Kadang-kadang, kesalahan itu bukan dari kita tapi orang lain. Kalau dulu, kereta jatuh dari atas bumbung bangunan beli-belah. Baru-baru ini, kemalangan dalam pam minyak. Lihat! Betapa bahayanya kondisi pemandu Malaysia sekarang! Sejak dengar kejadian yang berpunca dari manusia yang tidak bertanggungjawab itu, aku jadi fobia. Setiap orang aku sms dan berpesan agar berhati-hati.

Malangnya, ada yang kata aku memberi respon terlebih. Itu ajal dan maut ketentuan Allah, tak ada sesiapa yang dapat mengelaknya. Benar! Namun, salahkah kalau aku berpesan dan ingat-mengingati sesama kita? Tidak bukan? Jadi, aku berharap kepada semua yang melintas entri kali ini. Berhati-hatilah. Di mana saja anda berada lihat kiri dan kanan, jangan terlalu asyik dengan diri sendiri.

Aku harap akan ada tindakan susulan terhadap kejadian ini. Sebagai seorang yang pernah menuntut undang-undang, aku menghormati perundangan yang diamalkan di Malaysia. Aku berharap tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi menjadi tauladan dan bukan meningkatkan lagi perkara yang sama untuk berulang.

*Dalam masa yang sama, mengingatkan diri aku sendiri juga kerana ada masa-masanya aku khayal dengan fantasiku!

Sunday, March 28, 2010

Anti-Famili...


Sudah agak lama aku tak mempunyai masa, berbincang hati ke hati dengan Along. Bila dapat peluang, aku luahkan segala-galanya pada dia. Ya, dia sahabat aku paling baik. Antara perkara yang aku tak boleh lupa, ayat dia yang satu ini.

"Izan, hidup kalau bermasalah dengan orang tua, jiwa tak akan tenang," ayatnya mudah dan senang untuk aku faham.

Ayatnya itu juga membuatkan aku teringat tentang filem Yuvvraaj. Tentang perjuangan seorang pemuda yang dihalau keluar oleh ayahnya dan bermasalah dengan adik-beradiknya, lantas menjadikan dia seorang yang tidak mempercayai wujudnya 'ayah' dan keluarga. Salah satu filem yang amat dekat di hatiku kerana garapan yang indah. Perhubungan kekeluargaan (memang makanan aku!)



Antara dialog yang aku suka...

Seorang anak yang tinggalkan ayahnya 12 tahun dahulu, dan tidak pernah bermimpi pun tentang ayahnya. Dia bukanlah seorang anak tetapi seorang anti-famili! Dia tidak berhak untuk mempunyai keluarga apatah lagi untuk menjadi seorang menantu!

Sebelum kau mengahwini aku, kau perlu faham apa itu maksud sebuah keluarga. Kalau tidak, anggap saja aku masa lampau kau.


Aku kira, banyak lagi dialog yang bisa merentap jiwa. Kalau tak silap, aku juga pernah ada entri tentang cerita ini dahulu. Aku memang suka filem ini. Selain itu, satu lagu yang benar-benar menyentuh hati aku ialah Dil Ka Rishta... (Perhubungan Hati)



Passion and aggression, can I leave it somewhere?
Biarlah hati ini bersatu...

Jauh,
kita memang berjauhan tetapi bukan hati kita...
Jasad kita berasingan
Tetapi kita adalah satu nyawa, satu roh...

Insan tanpa hubungan...
Ibarat manusia tanpa bayang...
Setiap insan terikat melalui degupan hati...
Hidup adalah satu perjalanan panjang...
Mustahil ditempuh sendirian...
Melainkan ada cahaya di atas...
Tidak akan ada bayangan di bawah...
Biarlah hati ini sampai...
Biarlah ikatan ini menjadi erat...

Viva... telah dan sedang mengukir kejayaan!



Viva ... setelah sekian lama tak berjumpa


senyuman yang semakin melebar...

Sejak bertukar status dari seorang pelajar, penganggur dan sekarang pekerja ini, agak lama juga aku tidak berkumpul dengan sahabat-sahabat yang sentiasa ada dalam ingatan. Sama ada sahabat zaman sekolah dan IPT! Hati aku bertambah rindu sejak insiden buruk yang berlaku dalam hidup.

Adegan jejak kasih...


aksi manja dan malu-malu kucing...

Sebenarnya masing-masing sibuk dengan tuntutan tugasan dan tanggungjawab. Tidak sangka, dulu budak-budak macam tak cukup umur sekarang dah memegang jawatan dalam bidang yang diceburi.


inilah namanya lepas perangai!

Oleh kerana tidak dapat membendung kerinduan, aku dan empat orang sahabat yang lain telah bersepakat untuk bertemu. Aku kira, hampir setahun juga kami berlima tidak keluar dan menghabiskan masa bersama-sama. Namun, tarikh 27 Mac 2010 telah mengukir sejarah tersendiri. Dan PWTC menjadi saksi abadi.


memang sangat gembira!

Percayalah, pertemuan itu amat singkat. Tumpuan sebenar semestinya pada buku-buku yang menyendatkan bangunan PWTC. Tetapi, rindu terhadap kawan-kawan mengatasi segalanya. Alhamdulillah, dalam masa yang singkat itu dapat juga kami duduk dan makan bersama-sama sambil mengimbas kenangan ketika belajar dulu.


Ada berani buat aksi begini di tengah-tengah KL?
Hanya Viva yang mampu tau!


Aku gembira tatkala melihat Jiha dengan senyuman di bibir. Lebih manis bila melihat cincin tersarung kemas di jarinya. Begitu juga dengan adikku Mardhiah, atau lebih manja dipanggil N. Semakin berseri dan manis orangnya. Aku berbangga dia telah berjaya sehingga ke tahap sekarang. Aku juga percaya, dia akan pergi lebih jauh.


N dan Ji... You jump, I push.... hahaha

Salwa, akak teramat gembira bila dapat tahu kau sudah pun beralih jawatan kepada yang lebih tinggi. Malah, bukan itu sahaja alasan untuk akak tumpang gembira. Salwa telahpun memulakan perniagaan. Akak doakan usaha kau akan terus berjaya Salwa. Tidak ketinggalan Fatimah, yang paling ceria hari itu. Tiada apa yang lebih menggembirakan aku bila dapat tahu dia sudah berjaya. Aku rasakan seperti dunia ini milik aku bila mendengar khabar gembira itu.


Aku dan Fatimah... sama-sama tembam... hihihi


Salwa... si mamarazzi!

Lihat! Sahabat-sahabat yang dulunya teman sepermainan. Teman yang dianggap gila dan pelik kini masing-masing sedang mengukir nama. Ini baru permulaan dan langkah kita masih jauh. Mudah-mudahan ini bukanlah pertemuan yang terakhir! Insya-Allah.











* Alangkah indahnya kalau hari itu Viva dapat berkumpul bersama-sama Il Divo...

Saturday, March 27, 2010

He is a sad, sad little man...

"Sebagai seorang perempuan, dia tak boleh degil dan perlu mengalah!" - Pihak Itu.

* * *

Agak lama juga aku pendamkan hal ini. Semakin dipendam, semakin sakit. Saat-saat begini aku teringat pada pesan sahabatku, Fatimah.

"Kak Shai, nak lupakan kisah yang menyakitkan senang saja. Kau luahkan segala yang terbuku. Pastikan kau tak simpan apa-apa pun bakinya dalam hati, minda mahupun memori kau. Luahkan semua beban yang ada. Insya-Allah, sakit itu hilang".

Dahulu, aku pernah mengalami keadaan yang serupa. Alhamdulillah, kaedah yang Fatimah beri amat berkesan. Bukan sahaja Fatimah, malah Azwa pun pernah berkata hampir serupa.

"Kau tulis apa yang kau rasa dalam kertas sebanyak mana yang mungkin. Kalau kau perlu menangis. Menangis! Lepas tu kau kumpul semua benda atau perkara yang mengingatkan kau tentang hal itu. Bakar! Bila dah bakar, jangan kau ingat lagi tentang hal itu".

Dek kerana sudah tak tertanggung penyesalan (pertama kali buat aku rasa amat-amat menyesal) Sudah tiba masanya aku memuntahkan segala rasa di sini. Bukan untuk meraih simpati atau menyinggung rasa mana-mana pihak. Berilah peluang untuk aku melupakan dan memadamkan 'fasa hidup' yang satu ini. Aku mahu membuang ia terus dari dalam hati, ingatan dan memori.

Kalau boleh, aku tidak mahu tahu tentang kewujudan 'fasa hidup' ini dan tak mahu terbuai lagi. Hati yang mati, biarkan mati. Ini pengajaran untuk diri sendiri. Bila keikhlasan diri diuji sebegini, aku sudah tiada kuasa untuk melayan lagi. Cukuplah aku hidup di bawah kanta mikroskop untuk satu jangka masa yang agak lama! Aku sudah jemu dijadikan uji kaji, dinilai segala segi!

Bukan mudah untuk berkongsi rasa dan perasaan aku pada sesiapa. Bukan juga pada sahabatku sendiri. Adakalanya aku lebih cenderung memendamkan rasa itu. Sehinggalah di satu ketika, aku sedia untuk bercerita. Bercerita kepada mereka yang benar-benar aku percayai. Orang yang rapat dengan diriku tahu akan kebenaran yang satu ini. Adakalanya, aku akan meluahkan rasa apabila semuanya sudah selesai. Akibatnya, aku sering saja dimarahi mereka. Kata mereka, tidak adil kerana aku menyembunyikan ia. Maaf ya, aku tidak mahu menyusahkan. Aku tahu perbuatan itu salah, jadi sekali lagi aku minta maaf.

Umi selalu kata, perangai aku tak ubah seperti abah. Kalau ada sesuatu terjadi, aku pasti sembunyikan terlebih dulu. Adakalanya, perangai aku yang satu ini juga membuatkan umi kecil hati. Begitu juga Along dan Ayuz. Bukan aku tak suka berkongsi, kadang aku rasakan aku mampu hadapinya sendirian. Tetapi aku lupa, kalian terlalu peka dan sememangnya sensitif. Bukan seperti orang lain. Mengaku peka tapi tidak sensitif!

Kisah bermula begini. Hari itu seperti hari-hari sebelumnya. Langit cerah. Burung terbang bebas berkawan. Batang jalanraya agak sesak, seperti juga otakku yang kegagalan melakukan tugas. Tiada satu pun tugasan berjaya kuselesaikan. Buntu. Segala-galanya beku. Jadi, kerana tidak mahu keadaan berlanjutan aku menjenguk ke laman web. Cuba mencari-cari sesuatu yang boleh mengembalikan semangat. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hatiku bukan di situ. Jadi, aku melayan tuntutan jiwa yang kekosongan. Alhamdulillah. Setelah puas membelek ke sana dan ke sini, akhirnya senyuman kembali ke wajahku.

Malangnya, mood yang kucari itu tidak menetap lama dalam hati. Semuanya gara-gara isu yang ditimbulkan oleh pihak itu. Dek kerana tahu lenggok dan jalan cerita itu menuju ke arah yang aku sedia maklum, aku acuh tak acuh. Demi Allah, otakku mula kepenatan tatkala mendengar topik itu. Bukan sekali dua aku dirembat dengan hal ini. Terlalu kerap membuatkan aku jemu dan lelah. Sesekali aku menjeling, tanda aku tidak selesa dengan topik yang dibualkan. Secara beransur-ansur aku memperlihatkan sikap kurang minatku terhadap topik itu. Sayangnya, aku tak rasa pihak tersebut 'peka' dengan ketidakselesaan yang kuperlihatkan itu.

Aku cuba menghentikan topik, tetapi ternyata pihak itu enggan memberi peluang untuk topik itu mati. Lantas meluncur laju ayat provokasi, serangan tepat menusuk emosiku. Demi Allah, aku terluka. Selama hari ini, itu yang dianggapnya terhadap diriku! Perempuan... hidup menumpang dengan keluarga! Perempuan itu, perempuan ini dan bla bla bla.... percayalah, kalau kalian ditempatku ketika itu... kalian dapat rasakan betapa kerdilnya darjat perempuan pada pandangan lelaki bongkak sepertinya!

Jujur aku tidak peduli dengan kejiannya itu. Namun, emosiku ditikam apabila pihak itu menyuruh aku membayangkan jika kedua ibu bapaku tiada nanti! Aku tahu, peluang untuk membela diri di hadapan pihak itu sama sekali tidak akan pernah wujud. Sebelum menjerumus lebih dalam, aku mahu membela sedikit tentang 2 perkara yang disebutkan lalu meresahkan emosiku.

* Perempuan, duduk menumpang dengan keluarga!
Sebagaimana yang diketahui ramai, aku cuma tiga beradik. Along, aku dan Ayuz. Semua perempuan. Kami tidak memerlukan seorang abang atau adik lelaki untuk membela keluarga kami. Kami bertiga sudah cukup kuat. Insya-Allah. Kalau bukan kami bertiga anak-anak perempuan, siapa lagi yang dapat mempertahankan keluarga. Suami? Bakal suami? Teman lelaki? Tidak!

Abah telah mengajar kami bertiga untuk berdikari. Apabila sudah dewasa, tiba masa untuk kami tiga beradik untuk memegang tanggungjawab, membela nasib keluarga. Kalau ini masih membuatkan kami bertiga menumpang keluarga, terpulang. Yang penting, kami bertiga sudah cukup untuk mempertahankan keluarga kami. Tidak perlukan simpati dan bantuan orang lain. Dan yang paling penting, kami bahagia dengan cara kami. Siapa kau untuk menuduh aku menumpang keluarga? Pernahkah kau cuba masuk dan bergaul dengan keluarga kami untuk menuduh sebegitu. Kau tak layak!

*Bayangkan kedua ibu bapa aku sudah tiada!
Demi Allah, aku tidak sanggup membayangkan atau memikirkan ia terjadi sekalipun. Aku pernah hampir-hampir kehilangan abah dan umi. Aku pernah melihat abah terbujur kaku, tidak berdaya di atas katil hospital berbulan-bulan. Aku pernah menemani umi sepanjang malam di wad. Hanya Allah tahu perasaan aku di ketika itu. Aku sudah melaluinya. Aku tahu bagaimana rasa kehilangan itu. Tiang dunia seakan runtuh. Jatuh menghempap diri tatkala hal itu berlaku pada kedua umi dan abah. Aku juga pernah sujud dan meminta agar diri ini menjadi ganti kepada nyawa mereka. Ya! Aku tahu mati itu pasti tapi biarlah ia muncul nanti tanpa perlu aku membayangkannya. Hidup untuk setiap saat. Tidak salah memikirkan masa depan tetapi jangan terlalu taksub sehingga mengikat diri dari menjalani kehidupan.

Sesiapa sahaja yang rapat dengan aku, tahu dua perkara ini, duit (harta) dan keluarga adalah perkara paling sensitif dalam hidupku. Aku tidak suka bercerita tentang duit. Aku juga amat hyper-sensitive tentang keluargaku. Bukan aku kata duit itu tidak penting, tetapi sehingga hari ini aku tidak mahu tahu bagaimana urusan duit itu dalam kehidupan. Aku pernah jumpa ramai orang yang menghambakan diri kepada duit. Tapi aku selalu ikut pesan abah.

"Jadilah tuan kepada duit, tapi jangan jadi hamba duit". Mudah dan aku ingat pesan abah itu sampai bila-bila. Aku tidak mengejar duit berjuta-juta, harta menimbun. Cukuplah sekadar ada. Disebabkan itulah, kami bahagia dengan apa yang kami sudah ada sekarang.

Percaya atau tidak? Aku lebih suka serahkan hal duit dan yang berkaitan dengannya kepada Along, abah dan umi. Setiap kali berfikir tentang duit aku jadi pening. Malah, aku sengaja membiarkan dompet aku dengan duit yang aku rasa aku perlu. Kalau lebih, pasti akan dibelanjakan. Aku tak suka! Duit bagiku hanya syarat untuk meneruskan hidup tetapi bukan hidup untuk duit dan harta!

Tentang keluarga pula, kalian sendiri sedia maklum. Aku rela dikutuk seberapa banyak, tetapi bukan sepatah perkataan menghina keluargaku. Jika ada rasa apa sekalipun dalam hati, akan aku cantas dan kuburkan selamanya. Malah, kalau perbuatan itu mampu melukakan hati dan perasaan mereka, tidak ada maaf dari pihakku melainkan kemaafan itu diminta dari mereka sendiri. Aku tidak berhak memberi kemaafan. Ya! Itulah konsep mudahku.

* * *
Aku bersumpah demi nama Allah, hari itu hatiku terlalu sakit. Bukan saja dia menarik ketenanganku malah menyuntik kesedihan. Bukan aku tidak mahu membalas kembali dan menamatkan segala-galanya di situ. Tetapi aku rasa, cukuplah perasaan dan hatiku dijeruk! Kesabaran seseorang ada batasnya. Hari itu, pihak itu sudah melampaui batas. Aku diam. Satu-satunya cara untuk aku meredakan kesakitan, ialah mendengar suara umi atau abah. Itu yang aku lakukan. Suara mereka umpama percikan embun pagi dalam hati. Jika aku di rumah, pasti aku akan meminta umi meletakkan telapak tangannya di atas bubun kepalaku. Pantas, kepalaku yang terbeban dengan rasa gundah akan jadi setenang-tenangnya. Pelik? Tetapi ianya benar.

Seperti manusia lain, aku juga menjadikan ruang mukabuku sebagai pelepas emosiku. Sekadar nak melepaskan rasa seperti orang-orang lain. Dan abah pernah berkata, internet merosakkan jiwa manusia sekarang ni. Betul cakap abah. Salah seorang yang terkena lempiasnya, aku! Tapi, sebagai seorang manusia yang berpegang kepada ajaran agama, aku tak pernah lupa batasan. Jangan sesekali mengundang aib orang lain. Ya! Aku memang tak buat itu semua.

Status yang aku guna selalunya untuk meluahkan rasa, dan tidak pernah mengharap diperbesar-besarkan. Kalau ada balasan, aku layan. Kalau tiada, biarlah. Tak perlulah aku menggoncang dan provok pengunjung untuk menambahkan bilangan komen. Sungguh tak profesional! Bagiku tindakan sedemikian tak ubah seperti budak-budak yang mahu membandingkan siapa banyak komen atau gelanggang siapa panas. Dan aku cuma mahu orang berkenaan sahaja yang tahu perasaanku agar dia tidak lagi mendesak dan terus menghentak emosiku yang kesakitan. Cukuplah, aku terlalu sakit! Di situ sahaja aku mampu berkata kerana dengan pihak itu, tiada peluang untuk aku membela diri. Tiada peluang untuk aku menjelaskan "aku tak suka, tolong jangan bincang hal ni lagi, boleh tak?" Percayalah! Aku pernah beritahu, tapi tidak dilayan!

Aku pernah beritahu dahulu dan aku rasa bukan sekali dua. Bila aku tidak mampu mengingatkannya tentang batasan yang boleh diperbincangkan melalui lisan, aku rasa cara terbaik untuk aku minta dia berhenti mendesak aku adalah dengan meletakkan status itu di mukabuku.

"Sedap tumbuk dinding toilet tadi... kalau muka orang tu, memang sure pecah!"
Aku tak rasa ada sesiapa menjangka aku marahkan apa atau siapa? Ianya sekadar pelepas rasa. Pelepas rasa untuk menunjukkan aku memang sedang marah.

Oleh kerana kemarahan dan sakit semakin memuncak, aku minta izin pada majikanku untuk pulang setengah hari. Lagipun, apa gunanya aku terus di pejabat kalau hatiku langsung tak tenang. Aku bukan hipokrit. Bagi mengelakkan rasa marah makin memuncak, aku perlu bawa diri pulang. Bermain dengan Miqhail dan bertemu umi dan abah. Alhamdulillah, semuanya tenang.

Tak aku nafikan, umi cuba bertanya sebab kenapa aku balik dan cuti setengah hari. Aku senyum, tak menjawab. Bagiku, apa yang jadi antara aku dan pihak itu hanya perkara kecil. Tidak mahu aku perbesar-besarkan dengan memberi khabaran kepada umi.

"Saja nak balik, umi. Izan sakit kepala," itu sahaja jawabku.

Waktu malam, aku sekali lagi menulis status seterusnya. Niatku bukan untuk perli atau sewaktu dengannya. Aku hanya mahu mengingatkan pihak itu, cukuplah. Aku tidak mahu perbualan tentang hal yang sama (duit) berulang kali. Pihak itu sendiri telah mendengar pengakuan aku tentang duit. Bukan sekali dua. Jika dengan secara lisan dia tidak menghormati permintaanku, aku mahu dia tahu yang aku sudah jemu dengan topik duit dan tiada cara lain adalah menerusi status mukabuku.

Aku tak berniat untuk menyindir tapi aku berharap agar dia berhenti bercakap tentang perkara yang sama. Itu saja!

"Aku cakap sekali jer pada Imaan dan Cody... dorang faham, dan tak pernah sentuh pun soal tu bila2 masa bercakap dengan aku. Tapi, kenapa aku cakap berkali-kali dengan sorang ni dia tak paham! Aku tak suka, maknanya aku tak sukalah! Duit... duit... duit!!!! BOSAN!!!!!"


Percayalah, tak ada sesiapa akan menjunam kepada andaian siapakah manusia yang aku maksudkan. Dunia aku bukan hanya ada pihak itu. Kenalanku ramai, dan orang yang singgah dan membaca statusku itu tidak pernah tahu, siapakah orang yang aku maksudkan. Termasuklah sahabat dan adikku! Aku juga bertanggungjawab untuk memastikan tidak timbul fitnah dan mengundang dosa kepada mereka yang tidak tahu menahu asal-usul cerita. Aku tamatkan dengan segera.

"terlalu ramai, bukan sorang dua... hehehehhee"

Habis disitu dan tiada sambungan darinya. Alhamdulillah. Aku cukup bersyukur kerana teman-temanku bukanlah jenis yang suka menilai dan menghukum orang lain tanpa tahu cerita sebenar.

Jauh di sudut hati, aku mengharapkan dia tahu dan faham malah hormati perasaanku. Malangnya, bukan itu yang aku dapat. Pihak itu telah melancarkan serangan. Serangan "mengajar" aku. Kata pihak itu, aku telah memulakan segala-galanya. Tugasnya adalah untuk mengajarku supaya berfikir berkali-kali sebelum berbuat sesuatu atau sebelum taip sesuatu status.

Tatkala aku membaca status balasan pihak itu terhadap statusku, boleh juga terguling-guling aku dibuatnya. Menurutnya, aku tidak tahu undang-undang. Aku? Tak tahu undang-undang? Sepertimana biasa, aku membalas sekadar suka-suka tanpa ambil tahu apa komentar dari rakan-rakannya. Aku tak terkejut dengan apa yang mereka kata, cuma aku terperanjat dengan lemparan setiap pertuduhan yang dilemparkan oleh pihak itu. Pihak itu mentertawakan aku, melemparkan pelbagai pertuduhan dan mengundang unsur fitnah terhadapku. Ya, aku terima.

Sepertimana yang aku mahu sampaikan padanya, aku juga dapat baca apa yang dia mahu aku tahu tentang perasaannya selama ini terhadapku. Umpama sampah! Perasaan aku ini bagaikan tapak pelupusan yang dipenuhi sampah. Pihak itu mahu aku tahu, aku seorang perempuan berlagak baik dan berhati busuk. Semestinya dengan kata-kata itu membuatkan aku sedar kedudukan aku dalam hidupnya. Semua yang keluar dari mulutnya selama ini adalah pembohongan dan kebenaran itu terpancar di setiap komen-komen yang dibuat di papan komentarnya di mukabuku.

Tidak mahu bercakap banyak, aku bergerak ke surau. Solat sunat untuk menahan marah. Selesai sahaja dari solat sunat, aku terima teks pesanan mukabuku dari sahabatku, Azwa. Aku hanya menggeleng kepala kerana membaca setiap butiran yang ditulis oleh pihak itu.

pihak itu:
"aku malas nak bising kat sini...tapi sekali org buat aku...nak rasa? hahahahahahah bukan sekali...tapi 2 kali dia sindir guna fb? aku cakap sekali jek...tapi now dia g amik air semayang tak silap aku n rest dalam bilik...berapi! hahahahahah padan muka, lain kali sebelum buat kasi pk dulu. ko kasi advice sama dia okey nice knowing u too!!!"

Lihatlah, niatnya terlalu 'murni' untuk mengajar aku jangan cari pasal dengan pihaknya. Persoalannya, kenapa aku seorang sahaja yang perlu diajarnya? Pihak itu selalu kata dia peka. Bagi aku, peka sahaja (dengar perbualan orang sesuka hati!!!) tak guna kalau tidak sensitif! Pernah tidak pihak itu terfikir kenapa aku buat status sedemikian? Pokok tak akan bergoyang kalau angin tak tiup! Api takkan marak, kalau tak ada minyak! Bila pihak itu sudah meletakkan kemenangan pada pihaknya, maka dia buta untuk melihat semua itu. Pihak itu tidak nampak niatku. Kerna itu aku pun terus membutakan mata dan tidak mahu tahu tujuan pihak itu. Aku tak sedih walau pihak itu mengeluarkan setiap tuduhan dan fitnah disertai kawan-kawannya yang lain.

Tak mengapa, kata-kata mereka itu tidak akan dihisab di hari pengadilan kelak atau ketika aku bertemu mungkar dan nangkir. Aku ampunkan kerana mereka tidak kenal aku dan tak tahu menahu apa yang terjadi. Cuma ikut sedap hati tanpa pertimbangkan akal sebelum memberi sebarang komen. Aku rasa, tak ramai orang berfikir dulu sebelum memberi pandangan.

Walaupun di status dan komen-komen itu tidak menyentuh namaku, tetapi setiap kata-katanya itu memang ditujukan khas untuk pengetahuanku. Pihak itu jelas tahu yang aku akan membacanya. Aku dibunuh dengan setiap kata-kata yang dikeluarkan. Astaghfirullahalazim. Bukan panas aku membacanya, tetapi takut. Takut kerana dia sewenang-wenang mencernakan setiap aib, dan setiap perilaku yang ada pada diriku tanpa disedarinya bahawa semua itu boleh sampai ke pengetahuan orang yang mengenali aku. Sahabat-sahabat dan adikku. Malah, ia juga tentu boleh dibaca oleh majikanku yang sedia maklum tentang aktiviti kami. Ya, aku rasa 'ditelanjangkan' sehingga semua aibku sampai ke pengetahuan mereka.

Tak sampai beberapa minit kemudian, aku mendapat mesej melalui ym, inbox mukabuku bertimbun, sms dan tidak ketinggalan juga panggilan telefon. Lebih menyakitkan bila semua itu sudah sampai ke pengetahuan umi yang kebetulan sedang bersama-sama Ayuz melayari internet di rumah. Cuba bayangkan, apa perasaan umi tatkala membaca setiap pertuduhan dan caci-maki yang dijatuhkan pada anaknya? Ibu mana yang tak sakit? Ibu mana yang tidak menangis melihat anak dicaci-maki, diumpat, dikeji, ditertawakan dan disumpah bergilir-gilir? Anak yang dikenalinya, yang dikandungnya, dimalukan dalam satu 'pesta' menjatuhkan aib secara beramai-ramai?

Apabila mereka semua sudah mengetahuinya, tidak ada lagi kuasa padaku untuk memberi penerangan. Kalau ya aku mampu beri penerangan, apa yang perlu aku katakan pada mereka? Tidak mampu aku menahan mereka untuk mengambil tindakan. Mereka bertindak tanpa memberitahuku dan itu tidak lagi penting. Sudah kewajipan sebagai saudara dan sahabat! Mereka membela aku tanpa aku suruh dan tanpa aku minta. Bukan aku yang menyuruh mereka membaca semua komen-komen itu. Mereka sendiri yang membacanya. Kalau pihak itu fikir dia peka, maka sahabat-sahabat dan adikku berlipat kali ganda lebih peka! Bukan sekadar peka, mereka juga sensitif!

Kepada pihak itu, ayat ini pasti tidak akan aku lupakan sepanjang hayat!

"Berlagak baik, luar nampak baik tapi hati busuk! Dahlah tak lawa, apa benda pun tak ada!"

* * *

Sesungguhnya, aku cuba sedaya upaya menjaga nama agama Islam. Memelihara ajaran Rasulullah, dan menyempurnakan amanat umi dan abah. Malangnya, seperti biasa aku dikutuk, dihina dan dikeji.

"Berlagak baik!" Ya, ini bukan kali pertama dilemparkan kata-kata itu padaku dari pihak itu. Aku kira, ini masuk kali kedua. Dan cukuplah kerana aku tidak perlu kali ketiga.

Ketika aku hebat ditempelak pihak itu, aku mengadu pada Allah. Alhamdulillah, Allah pertunjukkan juga rasa yang terbuku di hatinya supaya aku tahu dan aku perlu menjauhkan diri.

"Kenapa kau temukan aku dengan manusia sebegini? Yang tidak tahu menjaga aib orang lain. Yang mencerca ciptaanMu dan menabur fitnah semata-mata ingin perhatian dari ramai?"

"Ya Allah, beri kesabaran padaku. Paling kutakuti, bila dia menghina ciptaan-Mu, aku. Buruk aku, baiknya kejadianku ini adalah ciptaan-Mu, Ya Allah".

Aku tak suka menilai orang. Tapi, sedikit sebanyak pihak itu memberikan peluang untuk aku menjauhkan diri terutama sekali apabila dia mentertawakan usahaku untuk mengawal diri dari marah dengan bertemu Allah dan berzikir. Adakah ianya sesuatu perkara yang lucu sehingga boleh membuatkan seseorang ketawa? Ya! Bagi orang yang EGO tebal dan selalu mencintai diri sendiri dan menganggap AKU BAGUS AKU BAGUS DAN AKU BETUL!

Satu ketika dahulu, aku pernah berjanji pada pihak itu bahawa aku akan jadi kawan pertama untuknya dan aku masih ingat lagi janji itu sehinggalah tadi, apabila pihak itu menyingkirkan aku dari senarai kawan-kawannya. Secara tidak langsung, itu adalah petanda yang menunjukkan dia tidak lagi menerima aku sebagai kawan. Pihak itu yang menolak aku. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, aku tidak mungkir janji kerana aku yang dibuang. Satu lagi prinsip aku, bila aku dibuang, jangan harap aku akan kembali. Kepada pihak itu, terima kasih kerana membebaskan diriku dari janji yang pernah kubuat!

* * *

"Aku dah cakap awal-awal dengan kau, dia memang tak boleh dipercayai. Apa yang keluar dari mulut tak sama apa yang ada dalam hati. Dia akan jatuhkan kau sampai kau tak mampu bangun balik," - Along.

"Dulu tak habis-habis kau cerita yang dia tu baik. Baik sangatlah macam tu. Padan muka kau, kau buat baik dia burukkan kau. Orang cakap tak nak dengar, degil sangat!" - Umi.

"Shai, you have to understand that he is a sad, sad little man," - Azwa.

"Mr. Pathetic..." - Ayuz.

* Kalau ada peluang untuk aku mengampunkan, keampunan itu terjatuh sendiri bila-bila masa hati aku sudah tidak terasa sakitnya. Namun, ini bukan lagi soal hatiku, malah ia berkaitan dengan seluruh keluargaku.

Tanpa pihak itu sedari, dia telah mencalar perasaan umi, Along, Ayuz dan abah juga. Aku tahu abah boleh bertindak bila-bila masa yang dia mahu. Tetapi, ini adalah masalah aku dan tidak mahu kuperbesarkan. Jadi, selagi umi dan abah tidak mengampunkan, maka perbuatannya itu tidak akan terampun. Abah juga ada berpesan padaku....

"Tak guna kau bergaduh dengan orang yang selalu berperang dengan diri sendiri kerana dia sendiri tidak akan pernah tenang,"

Ya! Kalau pihak itu masih lagi berdegil dengan kenyataannya yang aku menumpang keluarga. Terserah. Aku bangga dengan keluargaku. Abah dan umi yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah sentiasa adil dalam mencurahkan perhatian serta kasih sayang terhadap anak-anaknya. Yang mana jarang dialami oleh orang lain. Seperti yang aku katakan awal dulu... aku sentiasa dilindungi Allah. Dia telah mengurniakan aku sebuah keluarga yang kuat pegangan dan kasih sayangnya. Biar apa pun yang terjadi, kami tetap bersama. Insya-Allah.

Pada kamu, pihak itu... dalam diam-diam, adik dan kakakku menjalankan tugas menyelamatkan aib aku! Ayuz, aku terharu sangat. Begitu juga dengan temanku Azwa. Terima kasih. Pada Along, aku rasa tak guna kalau nak keluarkan saman malu. Aku tahu akhirnya ia akan mengundang aib kepada kedua-dua pihak. Lebih baik selesaikan secara diam-diam dan aku jelas dengan keputusanku!

* Kepada sesiapa yang mengenali dan mengetahui 'fasa hidup' ku yang satu ini, aku berharap kalian faham dan hormati keputusan yang telah dibuat. Apabila dua individu memegang kefahaman masing-masing di mana ianya tidak ada titik pertemuan adalah lebih baik, dibiarkan sahaja. Tidak boleh dipaksa untuk ianya bertemu. Aku tahu, pihak itu memang baik. Baik terhadap orang-orang di sekelilingnya tetapi bukan untuk aku. Jujurnya, aku tidak nampak sebarang jalan penyelesaian.

* Kepada pihak itu sendiri, terima kasih yang amat sangat. Kamu adalah satu bentuk ujian yang Allah kurniakan dalam hidupku dan buatkan aku lebih mengenali hati manusia yang pelbagai. Maaf kerana aku tidak lagi boleh kamu jadikan sebagai tikus putih untuk melihat jawapan yang kamu mahukan.

Thursday, March 18, 2010

Kalau tiada halangan antara kita...



Ingat lagi tak Imaan? Seorang teman yang selalu kuceritakan kisahnya di sini satu masa dahulu. Hairan? Kenapa sekarang baru aku sebut kembali tentang Imaan? Percaya atau tidak, setelah dia selamat diijabkabulkan, hubunganku dengan dia lenyap begitu sahaja. Adakalanya rindu juga hendak mendengar suara, membalas segala e-mel dan sms darinya. Aku andaikan dia sudah bahagia. Jika dia gembira, aku turut tumpang gembira kerana selama hampir sedekad berkenalan dengannya, terlalu banyak telah kami kongsi bersama. Aku tahu betapa dia mendambakan cinta sejati. Alhamdulillah, dia sudah pun ketemu cinta yang dicari-carinya.

Tidak pula aku sangka, setelah pemergiannya aku didatangi seorang lagi insan. Mirip Imaan. Oh, bukan pada wajahnya tetapi sikap dan perangainya. Perkenalan aku dan dia tak sampai setahun. Mungkin, sudah mencecah enam bulan. Aku kenali dia juga mirip dengan cara aku mengenali Imaan. Bagaimana? Biarlah rahsia. Kali ini, beza aku dan dia amat jauh. Bukan sahaja usia, malah segala-galanya. Dia merupakan seseorang yang menganuti agama Kristian. Ya! Jauh benar bezanya antara aku dan dia.

Tidak cukup dengan itu, usia juga terpisah jauh. Dia di era empat puluhan dan aku dua puluhan. Ya! Macam Tom-Kat yang jarak usia mereka 16 tahun dan Catherine Zeta-Jones-Micheal Douglas pula 25 tahun. Namun, aku tak pernah terfikir untuk bersama dengannya. Terlalu banyak sebab membuatkan aku membina tembok yang lebih kebal dari segala yang ada di muka bumi ini.

Aku bukan mudah dikaburi dengan perkataan cinta semata. Cinta manusia, boleh berubah. Penting bagiku, pegangannya perlulah Islam. Jika ditakdirkan dia berhijrah masuk Islam, aku perlu pastikan ia bukan semata-mata kerana aku. Biarlah dia benar-benar mencintai Allah dan rasulnya Nabi Muhammad s.a.w. Jujurnya usia bukan penghalang bagiku. Apatah lagi asalnya dari luar dan bukan sama dengan tempat kelahiranku, bumi Malaysia. Jadi, faktor-faktor ini membuatkan aku tidak bisa menerimanya.

Berulang kali kupujuk si dia, bahawa aku tidak bisa menerimanya. Alhamdulillah, dia akur. Akur dengan kehendak takdir. Tetapi, aku bersyukur dengan kehadirannya dalam hidupku. Biarpun aku tahu perasaan yang ada padanya untukku, aku tidak pernah menyembunyikan sebarang kisah hidupku. Malah, lebih menarik lagi dia sering sahaja membantu aku menyelesaikan kekusutan. Terutama sekali berkenaan masalah hati. Ya! Pelik bukan? Aku berkongsi kisah cinta separuh masak (belum termatri apa-apa pun lagi, dalam proses kot!) kepadanya. Dia sering menasihati, malah memberi pelbagai tips untuk menarik perhatian si dia yang aku sayang.

Setiap pagi dan setiap kali dia memanggilku menerusi talian telefon perkara ini yang akan disampaikannya...

"Hai Beautiful Lady, how's your boy?"

Jika ini yang muncul, pasti senyuman terus hinggap dibibirku. Ada masanya aku rasa bersalah kerana merasakan aku sedang bermain dengan perasaan dan emosinya. Aku sering mengingatkan padanya, antara aku dan dia terbatas kepada hubungan kawan. Itu sahaja.

"Cody, I appreciate what you feel for me.... but I'm sorry. I dont see we have any future together," kataku di setiap sesi komunikasiku dengannya.

"Dear, If I could... I would come to your house and ask your hands from your parents. All I can do is, hoping that you'll find the right guy that is way better than me,"

Mahu tak terharu dengar kata-katanya itu. Tak mungkin. Alhamdulillah, imanku tidak pernah bergoyah.

"Just promise me, if you got marry... please dont stop talking to me," itu juga ayat yang sering dilontarkannya setiap kali menamatkan perbualan.

Aku tidak berani berjanji tapi yang pasti dia akan kekal menjadi temanku. Teman? Ya, kerana dia sentiasa memahami dan menghormati setiap kesukaanku dan kebencianku. Jika aku tidak suka dia menyembang perkara yang bukan-bukan, dia tidak akan mengulangi kesalahan itu. Apa-apalah, dah bukan jodoh. Lagipun, hatiku dah cukup kebas. Langsung tidak tahu samada mampu menangis atau dibiarkan aja.

Dua hari lagi, hari lahirnya dan aku masih belum sedia. Aduhai.... apalah agaknya kejutan yang sesuai kuberikan padanya?

Tuesday, March 16, 2010

Kejelitaan yang membunuh!!!



Dulu, aku tak faham setiap kali masuk kuliah Tuan Haji Ghazali pasti topik yang dibicarakan terselit kisah King Kong. Mungkin, aku tak pernah ambil endah tentang filem ini. Apatah lagi, aku memang sengaja menjauhkan diri dari menonton filem Hollywood yang ternyata tercemar maksud 'holly'nya itu!


Siapalah berani punya perasaan dengan muka seganas ini?
Ibarat akulah ni, siapa berani nak berperasaan dengan aku?hahaha

Kebetulan, Ahad lepas aku berpeluang menonton filem ini yang disiarkan di saluran suka ramai dan bukan ramai yang suka pun! Apa lagi? TV3 lah... hahahaha, seloroh kasar namanya tu. Aku tak berkesempatan menonton filem ini dari saat-saat pertama. Kalau tak silap dah hampir separuh. Maklumlah, hari Ahad lepas jadual aku memang padat. Pagi, menghadirkan diri ke kursus kahwin, tengah hari memenuhi jemputan kahwin (lari keluar sekejap dari dewan kursus... tak baik, tak penuhi jemputan! Kalian sendiri tahu apa hukumnya sengaja tidak memenuhi jemputan bukan? Tak perlulah aku tegaskan tentang apa hukumnya di sini ya!), petang sambung berkursus dan selesai saja, pulang ke rumah ada pula aktiviti membakar ikan sungai dan sate. Sedap dan lazat. Tak terasa sakit badan. Eh, kenapa tak ajak? Suka hatilah.... hahahaha.... (ketawa pasrah)


Si jelita yang membunuh!!!

Dalam keletihan yang amat sangat, sempat juga aku terbongkang di tengah-tengah ruang tamu. Melayan tv plasma yang tidak ada siapa peduli, melainkan Miqhail yang dah lama lena diulit mimpi sambil berpeluk sakan dengan bantal peluk dan patung kesayangannya Mickey Mouse. Kalau berani, cubalah kau tarik patung tu masa dia tidur... pantang terlepas, bunyi siren nyaring pasti kedengaran.


Ann Darrow lakonan Naomi Watts!

Baiklah, berbalik kepada kisah King Kong tadi. Buat pertama kalinya, sebuah filem yang terpampang di skrin tv plasma itu menambat perhatianku. Sebelum ini, tidak kiralah filem apa, atau segmen apa sekalipun aku tak layan. Kalau ada pun pandang sekali lalu. Begitulah penangan King Kong yang meragut perhatianku. Sempat juga aku menyambar ikan keli bakar disimbahi kuah asam sambil mataku tak lepas memandang skrin tv. Mulut mengunyah laju, tak tercekik tulang pula, ajaib sungguh! Sungguh tekun mulut mengunyah dan mata memandang tv.



Kalau selama ini aku mentertawakan aksi Tuan Haji menggambarkan watak King Kong bercinta dengan seorang wanita, kali ini... air mataku tertumpas. Tak mengira dipandang abah yang kebetulan ketika itu sedang duduk di sebelah. Emosi terlalu kuat. Terasa sampai ke lubuk hati yang paling dalam. Bukan kerana cinta itu, tetapi kenyataan yang Ann Darow amat menyayangi si King Kong yang wajahnya hodoh, saiz besar berganda dan tentu sekali bukan manusia. Apakah yang membuatkan Ann jatuh sayang pada makhluk gergasi itu? Ya! Kerana King Kong itu yang mampu memberi perlindungan padanya, kerana ia juga mampu membuatkannya rasa selamat!



Saat filem itu berakhir, aku terpaku dengan satu dialog ringkas bagi menguatkan tema filem ini...

"Beauty kill the beast!"


Jujurnya, aku lebih terkesan dengan apa yang dirasakan oleh Ann. Aku mengaku, walau seteruk dan sebangsat mana seorang wanita itu (ramai yang gelar perempuan kaki cukur, diktator) dia mencari tiga ciri yang paling penting dalam setiap pasangannya; penyayang, melindungi dan mampu memberikan rasa selamat!


Scene ni buat aku meleleh air mata...!

Malangnya, sampailah saat ini aku tidak bertemu kualiti itu pada para pemuda dan jejaka di luar sana. Rata-rata aku ketemu dengan mereka yang mementingkan diri sendiri dan mahukan wanita memahami diri dan kehendak mereka tanpa mengendahkan kehendak wanita itu sendiri. Dan paling aku tak boleh terima bila mereka angkuh berkata....

"Macam mana pun, lelaki akan menang dan sentiasa betul!"

Kalau macam tu, terserah. Ambillah kemenangan itu.

Thursday, March 11, 2010

Sungguh aku tak sangka...

Selepas aku mengisi entri blog dengan kisahku bercuti ke Bukit Tinggi, ramai juga insan yang rajin bertanya khabar. Jangan terkejut, ayat yang ditanya mudah saja...

"Hish, kenapa letak gambar kau macam lelaki tu? Tak malu tayang kat orang?" terpa satu sms di ruang inbox telefon bimbitku.



Tak kurang juga di peti simpanan e-mel aku. Soalan yang berlainan tapi motifnya tetap sama. Itu tidak termasuk lagi reaksi teman yang bertemu muka dengan aku. Riak wajah mereka jelas menunjukkan rasa kurang selesa ketika bersama aku. Ini tak boleh jadi! Apa aku ini khinzir perlu dipandang sinis begitu? Apa pula salahku berketerampilan sedemikian?



Ya! Aku akui, yang sememangnya perbuatan aku salah. Dan salahku hanyalah menyerupai lelaki dari segi pakaian tetapi bukan dari segi rohnya! Aku hairan. Sejak dari bangku sekolah (tak kiralah semasa sekolah rendah mahupun ke peringkat IPT) orang sekeliling melabelkan aku sebagai 'pengkid'! Astaghfirullahalazim! Saudara sekalian, bawa-bawalah mengucap. Itu fitnah namanya!



Ya benar! Aku pernah diberi nama sebagai Shafiq, Boboy, Mamat dan Shah. Tapi itu sekadar pada panggilan. Jauh dalam hati, aku tetap budak perempuan dan gadis remaja yang begitu lembut hatinya. Mudah tersentuh dengan kelembutan dan kesantunan. Amat tertarik akan sifat angkuh seorang lelaki dan mendambakan kepimpinan serta keasaan seorang jejaka! Aku seorang gadis normal, cenderung meminati dan mempunyai perasaan terhadap lelaki dan bukannya kaum sejenis.



Aku juga tidak menafi, ada saja khabar-khabar liar mengaitkan aku dengan para pelajar perempuan. Bukan calang-calang pula orangnya, malah pelajar yang jadi rebutan para pelajar lelaki. Dalam sedar tak sedar, akulah punca segala fitnah itu. Apabila memikirkannya semula, memang aku yang bersalah. Dan bermula dari saat itu, aku ambil keputusan untuk berubah. Penghijrahan itu memang sesuatu yang dituntut Allah. Dan Alhamdulillah, kerana aku bersikap dan berpakaian lelaki inilah aku tidak pernah terpedaya. Itulah hikmah terbesar selama aku bergelar tomboi. Tidak terluak pun, tak tersentuh dan tercela oleh mana-mana anasir yang digelar pendeta pendusta a.k.a LELAKI! Setiap inci tubuhku adalah bukti ketika disoal kelak.



Jadi, biarlah aku dipandang hina dan serong oleh masyarakat. Yang penting aku, keluargaku dan teman rapatku tahu, siapa aku! Ketika aku bebas dengan memegang watak sebagai tomboi, aku tetap tahu Halal dan Haram. Alhamdulillah. Semuanya berkat ajaran abah dan umi. Tak pernah aku terpesong.

Berbalik kepada e-mel dan sms dari mereka-mereka yang terkejut dengan entri aku, sememangnya aku tak faham! Kenapa aku perlu malu dengan diri aku sendiri? Kenapa aku perlu sembunyikan kebenaran? Itu adalah aku. Tidak kiralah aku dahulu atau sekarang. Secara tidak langsung, hal ini membuatkan aku lebih mengenali siapa sebenarnya kawan-kawanku.

Jika kalian terima aku sekarang, terimalah juga sejarah hidupku. Walau aku begitu keras dari luar, aku tetap lembut di dalam seperti gadis-gadis lain. Mungkin juga aku kira, lebih lembut dan sensitif hatiku dari yang lain. Jadi, kepada sesiapa yang tidak setuju dengan tindakan itu, giliran aku pula untuk bertanya...

"Sampai bila kau mampu menyembunyikan sejarah hidup kau?"

"Berbaloikah kau tanam sejarah dulu, kemudian ia akan menghantui kau... sepanjang masa dan gelisah!"

"Sekurang-kurangnya aku tidak selamanya memakai topeng dan aku bukan hipokrit!"

Sesiapa yang menfitnah aku, aku sampaikan kemaafanku pada kalian. Selebihnya, kalian tuntutlah hak kalian sebagai hamba daripada Allah. Sesungguhnya, menfitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh. Wallahualam.


*Aku adalah aku. Terima atau tinggalkan sahaja aku,
tetapi kau tidak akan bisa mengubah pendirianku - Romibaiduri Zahar

Thursday, March 4, 2010

Memori Bukit Tinggi...


Lambaian Bukit Tinggi...

Bila Ayuz cakap nak pergi bercuti ke Bukit Tinggi, aku terus melonjak gembira. Semuanya seakan berada jelas dalam pandangan mata. Hampir enam tahun tempat itu tidak kami jejaki. Kali terakhir pergi pun semasa aku masih lagi belajar. Masih muda remaja... dan terlalu 'keras', ikut kepala sendiri.


Aku dulu dan sekarang... terkejut?

Kalau sebut Bukit Tinggi, pasti ada yang terfikir tentang satu tempat di Johor. Bukan situ persinggahan destinasi percutian keluarga Zahar kali ini ya. Bukit Tinggi yang dimaksudkan ialah Colmar Tropicale, satu destinasi replika Perancis yang terletak di Pahang. Jadi, tidak hairanlah seni bina bangunan di sini mirip bangunan-bangunan Perancis. Lebih menarik lagi suasana ala-ala Perancis cukup terasa. Baik dari segi makanan yang terhidang juga isi dalam hotel yang membuat seseorang dekat dan jatuh cinta. Maklumlah, Perancis memang terkenal dengan aura romantika! Kalau ada warga Perancis yang bertugas, mungkin tak terasa pun yang kami sebenarnya berada di bumi Malaysia.



Dulu...



Sekarang... dah ada Miqhail

Pada mulanya, Along dan Miqhail mengikut kami dengan menaiki Perdana yang aku pandu kerana abang Zamri terpaksa pergi kerja. Tentu berat hati Along meninggalkan suami yang sedang bekerja. Maklumlah, hati seorang isteri tentu tak pernah lepas mengenangkan suami. Si suami? Entahlah. Hanya mereka yang tahu. Kalau aku ada suami nanti, aku akan tanya pada dia.... hish, dah mula merepek aku ni.


Dulu dan sekarang...

Gambar kenangan di meja makan...

Terimbas lagi kali pertama datang ke sini. Semasa itu, tempat ini masih tidak menerima kunjungan sepertimana yang dapat dilihat hari ini. Sekarang nak tempah bilik hotel pun, tak tentu dapat. Mujur nasib menyebelahi kami sekeluarga. Dua bilik ditempah. Dan yang paling gembira semestinya Miqhail. Tak cukup tanah dia berlari dan terpaksalah makcik-makciknya menjaga supaya dia tidak tersesat. Pantang nampak budak-budak, pasti ditegurnya. Yang peliknya, budak-budak perempuan saja yang mahu ditegurnya. Budak-budak lelaki pandang sebelah mata pun tak nak. Aduhai... kecil-kecil lagi dah tunjuk potensinya jadi buaya darat... amit-amit, mintak dijauhkan!


Dulu...

Sekarang...

Saat kaki menjejaki setiap jalan, aku terus teringat kisah Isabell dan Taufik dalam Rindu Pada Matahari. Ya! Memang di sinilah tempat yang aku maksudkan dalam novel sulungku itu. Tak tercela dek perjalanan masa. Masih sama seperti dulu. Suasana Rindu Pada Matahari seakan hidup di sini. Aku nampak restoran di mana Isabell dan Taufik duduk sambil menikmati sarapan pagi. Aku juga dapat lihat bagaimana Annie merenung Isabell dari jendela. Malah, menara di hujung kota pun masih tersergam indah. Ya Allah, tidak tergambar keseronokannya. Seakan aku mahu terus lama di sini. Menikmati saat Rindu Pada Matahari diterjemah ke alam nyata.


Ingat tak menara dalam Rindu Pada Matahari?
Inilah menara yang aku maksudkan


Amboi, tengoklah model-model ni...
mengalahkan model profesional pulak!



Bayangkan, Isabell dan Taufik bersarapan di sini....


Ayuz berdiri di depan restoran yang aku sebut dalam RPM...

Baiklah, kita tinggalkan kisah Isabell. Dua hari di Bukit Tinggi, nyata membuang segala resah dan gelisah. Malah, medulla oblongata yang menderita tempoh hari seakan menerima rawatan dan terapi. Kesakitan yang kualami segere menghilang. Alhamdulillah. Sepanjang berada di sini, aku meninggalkan segala-galanya di belakang. Tambahan pula, nyawaku sentiasa berada di sisi. Apalagi yang lebih indah melainkan menghabiskan masa bersama keluarga tercinta?


Hotel Colmar Tropicale Fuschia siang....


Hotel Colmar Tropicale Fuschia waktu malam....


Umi dan abah... main cak cak pulak!

Tak sangka pula bila dah berada di sini, jiwa keanak-anakan dalam diri menjelma. Sebelum ini tak teringin pula aku bermain permainan untuk mendapatkan 'teddy bear'. Lain ceritanya di sini. Sebaik saja aku nampak gerai mainan, aku merengek pada Along untuk mencuba nasib. Mana tahu, mungkin aku akan bawa balik 'teddy bear' besar. Tiga kali percubaan berani mati, aku lakukan, satu pun tak dapat. Kesian. Putih mata sajalah tengok patung-patung besar yang bergantungan. Tak dapat juga teman untuk berpeluk masa tidur nanti. Alahai...


memang tak bernasib baik... sepuluh ringgit terbang!!!


Teddy bear yang buat aku terpaksa berputih mata!

Nak makan apa malam ni?

Bagi mengubat hati yang luka dan parah, aku ditemankan Ayuz, Along dan familinya meronda-rondalah sekitar kota mini itu. Seronok juga. Malam terasa lebih meriah dengan persembahan yang diadakan oleh ahli akrobat yang didatangkan khas dari China.


Along dan famili...

Sempat melawat sepasang angsa hitam dan putih...


Menonton persembahan akrobatik... memang menarik!


Bilik umi, abah, aku dan Ayuz


Bilik Along dan famili


Letih sangat... tertidur atas sofa!

Terlanjur di sini, pasti tidak dilepaskan peluang melawati destinasi yang semestinya MESTI LAWAT, betul tak? Seperti biasa, kami pergi menaiki bas khas ke Japanese Village & Botanical Garden. Memang tak ada perubahan. Suasana dan ketenangan yang masih sama. Cuma kali ini diikuti dengan sedikit pencemaran. Pencemaran? Ya! Pencemaran bunyi.... bila dah ramai pengunjung, tentulah macam-macam jenis bunyi yang dapat didengar. Betul tak? Itu sahaja, kerana yang lain masih sama termasuklah ikan-ikan yang menjadi 'penunggu' tempat ini. Wah, saiz ikan-ikan ini besar sangat. Kalau abah tengok, mesti dia nak bela.


pemandangan waktu pagi di Colmare Tropical...


Santap! Amboi, tekun betul umi...


Bebas bergerak...


menuju puncak... ke Japanese Village & Botanical Garden


ikan-ikan ini mengingatkan aku pada kesebelasan
koikoi yang mati serentak... sedih sangat!


Kemudian, singgah pula ke tempat arnab. Mulanya, Miqhail tidur tetapi dia terjaga dek mendengar ramai kawan. Memang ramai kanak-kanak yang mengunjungi tempat arnab ini. Ada sedikit perubahan berbanding enam tahun lepas. Kalau dulu, pengunjung dibenarkan mendukung arnab-arnab ini tetapi tidak kali ini. Para pengunjung hanya dibenarkan memberi makan. Sedih betul. Kesedihan itu tak lama kerana aku berpeluang bertemu dengan seekor kura-kura yang besar dan sangat comel. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku masuk ke dalam kandang kura-kura itu dan mendukungnya. Tetapi, memandangkan kiri kanan ada penjaga dari Myanmar, aku diamkan saja dan terpaksa berpuashati melihat dari kejauhan.


pasangan emas, sehati dan sejiwa...


Ala Miqhail, tidur pulak dia....


Percubaan terbaik dari Ayuz...


Habislah arnab-arnab tu, Salman Khan jr dah bangun....


Sumpah!!!
Aku rindukan 'anak-anak' kesayanganku yang telah lama pergi...



Miqhail yang setia menemani Angahnya...

Dua hari yang dihabiskan ternyata terlalu singkat. Sebelum balik, aku sempat mengecek umi mahu bercuti lagi di sini. Jawab umi senang saja....,

"Pergilah dengan suami kau pulak....!"

Aduh, kan dah kena. Memang padan dengan muka aku. Apa-apa pun, Insya-Allah aku akan kembali mengutip memori dan mencipta kenangan baru di sini kelak.


melangkah... meninggalkan Bukit Tinggi


satu lagi kenangan familiku yang terindah
di Bukit Tinggi 2010