Sunday, January 31, 2010

Meriahnya 30 Januari 2010



Seawal 5.45 pagi, aku sudah bangun. Bersiap untuk majlis hari ini, menyambut acara yang paling bermakna buat aku sekeluarga. Bukan untuk bermegah, tetapi untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran bersama teman-teman lain.

Perkara pertama yang aku dan abah buat, pergi buang tv 29" yang meletup tempoh hari. Beratnya? Allah saja yang tahu. Sampai terkehel pinggang boleh dibuatnya. Aku dan abah gagah membuang peti televisyen (yang kebetulan dibeli beberapa tahun lepas pada tarikh hari lahirku).





Sebelum sempat meninggalkan peti tv yang aku sayang itu (semua barang aku sayang!), ianya telah mencederakan aku. Tergaris panjang di sebelah lengan kananku. Tapi mulutku tak bisa menjerit, terkunci di dalam dan hanya menahan sakit. Sakit itu terasa juga tatkala aku masuk ke dalam Romi.

"Kau kenapa?" soal abah sebaik melihat aku asyik memegang lenganku.
"Tadi tv tergelincir kan? Tergaris kat lengan ni... panjang," kataku tapi masih mampu menahan sakit.
"Balik nanti, jangan lupa sapu ubat gamat," kata abah, terus memandu.

Aku melihat saja lenganku yang sudah kemerahan. Ini sahaja yang aku ada, itu pun dah tercemar, bisikku sendiri dalam hati.

Balik ke rumah, aku melakukan tugasku. Hari ini, aku berdegil untuk memasak. Al-maklumlah, aku dah lama tak memasak. Jadi, aku berkeras nak masak dan jamu pada tetamu yang datang. Aku masak bihun goreng saja (dua rasa, pedas dan tawar). Makanan lain, tunggu c.Man dan c.Tini datang. Satay dan kepak ayamlah, apa lagi.



Lebih kurang, tengah hari mereka sampai. Hanya Allah saja tahu perasaan gembira yang terisi dalam hati sebaik sahaja nampak wajah Ina. Adik angkatku yang telah bersamaku sejak umurnya dua hari. Hari ini, dia sudah besar. Dah jadi anak dara sunti.

"Kak Ijan, Ina dah patut pakai tudung tau sekarang ni," bisiknya padaku.
"Ina kecil lagi, bila dah besar... pakailah ya," ujarku pula.
"Ya, Ina dah besarlah ni," katanya lagi.

Aku pandang ke dalam anak matanya. Ya, aku mengerti ayatnya itu. Cuma, aku tidak menyangka, si kecil itu sudah besar. Sebak tiba-tiba menghunus perasaanku. Aku datang ke arahnya dan terus peluk Ina.

"Kak Ijan tak sangka kau dah besar Ina... dulu kau kecik sangat, sekarang ni dah nak sama tinggi dengan kak Ijan," ujarku lagi.

Ina tersenyum. Ya, memang dia sudah besar.

Tepat pukul 4, tetamu pun mula membanjiri. Alhamdulillah, tak sia-sia pun hidangan yang kami peruntukan. Walaupun terkilan kerana tiada siapa yang datang dari pihakku, aku amat bersyukur kerana masih ada yang sudi datang atas jemputan orang lain.





"Kau tak ajak kawan-kawan kau Ijan?" soal Umi.
"Tak, kalau ajak dorang tak akan datang," kataku selamba.
"Ajaklah, tak baik buat kawan macam itu," sampuk abah.
"Membazir amalan syaitan, bukan? Jadi Ijan tak naklah jadi kawan syaitan.
Membazir saja panggil tapi kawan-kawan tak datang, betul tak?" balasku.

Tiada siapa yang tahu lebih dari aku dan aku tahu siapa yang akan datang jadi lebih adil aku tak panggil sesiapa pun. Kalau ada aku panggil, sekadar nak menduga. Dan di situ juga aku sudah dapat jawabnya.

"Suka hatilah Ijan," ujar abah pula.
"Memang sukalah sangat hati sekarang ni," kataku lagi.

Kepada semua yang hadir, terima kasih. Majlis pada kali ini amat bermakna. Selain menyambut hari lahir Ayuz dan aku yang jatuh pada 27 dan 29 Januari, majlis ini juga merupakan sambutan ulangtahun perkahwinan Along-Abang Zamri (26 Januari) dan umi-abah (29 Januari). Insya-Allah, panjang umur dan murah rezeki, tahun depan akan ada lagi.


Saturday, January 30, 2010

Kepada yang mengingati setulusnya... terima kasih


Hari ini, 27 tahun yang lalu... aku telah dipinjamkan. Dipinjamkan nyawa, tubuh dan segala-galanya yang aku ada hari ini. Terlalu banyak pengalaman, kisah suka dan duka yang aku telah perolehi. Selain dari Dia, Maha Pencipta... Allah, aku amat berhutang seluruh nyawaku kepada Umi yang melahirkan dan abah yang membesarkan. Tanpa mereka berdua, aku tiada. Tanpa mereka, aku bukan sesiapa.

Hari ini, aku dedikasikan kepada mereka. Melahirkan adalah sesuatu perkara yang sememangnya lumrah dan tanggungjawab semua makhluk. Namun amanah yang lebih besar adalah menjaga, mendidik dan membimbing. Umi dan abah, bukan memegang tanggungjawab sebagai ibu bapa yang sempurna. Mereka juga menjadi guru, teman, dunia, syurga dan akhirat bagiku. Terima kasih kerana menjalankan amanah dengan begitu sempurna sekali. Ijan tak rasa ada ibu bapa lain sehebat umi dan abah.

Tidak lupa kepada adik-beradikku yang tak pernah jemu, bosan dan lelah melayan kerenah aku. Walau ada ketikanya, aku jadi terlalu bebal, degil, keras kepala dan kebudak-budakkan kalian tetap ada bila-bila masa aku perlukan. Terima kasih bukanlah satu perkataan yang mampu menunjukkan berapa aku amat menghargai kalian dalam hidupku.

Akhir sekali kepada sahabat-sahabatku yang selalu merisik khabar dan tak pernah lupa akan kehadiran insan ini dalam hidup kalian, aku amat terharu dan bertuah kerana sentiasa ada kalian. Jika hubungan antara kita sudahpun terjalin melangkaui usia sedekad, tidak mustahil persahabatan ini akan terus kekal untuk seabad yang akan datang. Ucapan hari lahir dari kalian sesuatu yang amat berharga kerana aku tidak perlukan wang atau pun hadiah. Cukuplah sekadar ingatan yang tidak akan pernah pupus.

Kepada yang teristimewa... aku sentiasa sediakan satu ruang di sudut hatiku... hanya untukmu.

Terima kasih sekali lagi atas ucapan dan ingatan.



Thursday, January 28, 2010

Si Comot Yang Kusayang... Selamat Ulang Tahun!!!


27 Januari datang lagi. Alasan yang paling bagus untuk aku kembali mencatatkan sesuatu di ruang blog yang agak lama aku diamkan. Aku datang kerana hari ini terlalu istimewa. Ya, hari yang sentiasa istimewa sejak 23 tahun yang lalu. Tarikh inilah telah menabalkan aku sebagai seorang kakak. Kakak kepada seorang anak perempuan bongsu Md Zahar dan Shaharum Bariah, Shahyuzana Akmam.

Masih jelas terbayang di mataku, melihat budak perempuan yang kurus melidi. Lincah dan tak boleh duduk diam. Selalu sangat menjerit dan melalak dengan lagu kacang goreng juga Rimba Cintaku. Tak hirau dimarah, ditengking atau dicubit. Ayuz tetap memekak dan terus berjuang menghabiskan nyanyiannya yang memang nyaring seakan menghunus gegendang telinga.

Peristiwa yang sukar untuk aku lupakan (aku pasti Along pun akan sentiasa ingat!), di mana Ayuz beria-ia nak mengikut membuang sampah. Ketika itu dia masih kecil. Berjalan pun perlu dipimpin takut terjatuh. Puas disuruh tunggu sahaja dirumah, tapi si kecil ini tetap berdegil (itulah perangai dia sampai sekarang ni!).

Aku pun menjalankan tugas, menyeberang longkang dan terpaksa dilangkah luas (yelah, masa tu aku kecil lagi... kaki pun pendek, langkah perlulah luas!) Bila aku berpusing, aku nampak Ayuz tiada. Cuma Along saja di situ. Rupa-rupanya, Ayuz dah selamat berenang-renang dalam longkang. Ya Allah! Berlarilah aku dan Along mengeluarkan Ayuz. Kesian, hari itu Ayuz mandi lumpur hitam.

Berbeza dengan keadaan hari ini. Bukan aku dan Along yang perlu pimpin dia, sebaliknya dia yang memimpin kami. Tak sangka si kecil yang dulunya comot dan selalu bengkak sebelah mata dah besar panjang. Tak lama lagi, bakal menjadi milik orang pula. Kepada Ayuz, aku tak perlu cakap banyak sebab masa kecil dulu aku dah puas cakap. Sekarang kalau aku cakap, kau kata aku mengada-ngada. Tapi, lantaklah kau nak cakap apa. Yang penting aku dah bagitahu yang aku sayangkan kau....

Untuk hari istimewa ini anyah(itu gelaran aku yang dipanggil Ayuz... manjalah tu konon-kononnya!) ucapkan


Selamat Hari Lahir....


Anyah doakan agar kau kecapi segala apa yang kau hajati



dan



Belajar rajin-rajin....



Tuesday, January 12, 2010

Sesuatu Yang Ingin Aku Tinggalkan...


Bagaimana keadaannya apabila seseorang sudah tekad untuk meninggalkan sesuatu yang sudah sebati dalam diri?

Adakah ianya mudah, bagaikan meludah gula-gula getah setelah habis kemanisannya disedut?

Masalahnya, mampukah aku meninggalkan setelah hidup hampir 17 tahun dengannya?

Aduh, aku cuma perlukan kekuatan untuk meninggalkan ia terus dan menjadi seorang insan yang baru.

Aku harap, kali ini aku mampu meninggalkan ia untuk selama-lamanya. Aku sudah jemu dibelenggu masalah yang sama saban hari. Insya-allah. Aku boleh!

* Dan kepada sesuatu yang ingin aku tinggalkan, lepaskanlah aku dari cengkamanmu yang bisa menghanyutkan diriku....

Monday, January 11, 2010

Memang Dah Dijangka!



Anugerah Juara Lagu, bukanlah sesuatu yang asing. Sejak pertama kali diperkenalkan sehinggalah ke hari ini, siri AJL ini sudah seakan sebati dengan rakyat Malaysia tak terkecuali, aku. Satu-satunya anugerah di Malaysia yang aku nantikan dan cuba pastikan tidak terlepas siarannya. Namun, itu dulu. Waktu zaman kegemilangan AJL di mana keunikannya bergantung kepada gabungan keseluruhan persembahan AJL itu sendiri. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bisa dan virus yang dibawa oleh AJL ini semakin hilang kuasanya.

Aku masih ingat lagi, rancangan Muzik-muzik merupakan salah satu segmen yang tidak akan aku lepaskan selain dari Melodi. Sekarang, kedua-duanya tidak lagi aku layan dan ambil peduli. Adakah kerana cara penyampaian yang kurang mantap atau rancangan ini sudah kehilangan X-faktornya? Entahlah. Aku pun tak dapat mengenalpasti kekurangan yang membuatkan aku jemu melihat dua rancangan ini. Kadang-kadang, aku masih layan juga Melodi. Tetapi Muzik-muzik, dah bertahun rasanya tidak aku ikuti.

Berbalik kepada AJL ke 24. Aku telah membuat ramalan sendiri sebaik saja mengetahui keputusan artis-artis yang bakal berentap di pentas akhir. Ramalanku yang tidak pernah berubah adalah lagu Kau Pergi dan Kau Aku dari Aizat. Selain itu aku juga mengharapkan kemenangan buat Yuna dan Black. Ya, aku pasti ketiga-tiga mereka akan berjaya membolot sesuatu pada malam AJL 24. Rata-rata peminat AJL yang aku jumpa tak setuju kerana masing-masing mahukan Faizal Tahir menang. Bukan aku tak suka lagu Bencinta, tetapi kekuatan lagu Kau Pergi bagiku terletak kepada lirik dan komposisi lagunya yang 'subtle'!

Pada mulanya, aku tidak mahu mengikuti siaran langsung AJL ke 24. Sejak dari mula aku tidak merasa kehangatannya, dan disebabkan itu aku mahu melepaskan saja waktu siarannya. Namun, aku seakan terpengaruh dengan perbincangan rakan-rakan lain di Facebook. Malah, sebelum berlangsungnya AJL 24, macam-macam berita telah disiarkan oleh pihak media yang mengatakan AJL 24 menjanjikan sesuatu yang lain dari lain. Lantas, aku perjudikan kepercayaanku dan menonton juga AJL 24 dari awal sehinggalah menutup tirai.

Sebaik saja selesai menonton, satu soalan yang bermain di kepala.

"Apa yang lainnya? Selain ketiadaan kategori-kategori yang pernah diadakan sebelum ini, apa yang menariknya AJL kali ini?"

Terus terang aku katakan, jangkaan AJL 24 terlalu tinggi. Namun, jangkaan itu tak tercapai dan aku cukup tak berpuas hati. Boleh dikatakan AJL kali ini cuba untuk membangunkan kumpulan India. Bagus, tak salah. Tapi agak berlebihan. Kali ini, AJL menampilkan kelainan dengan mengangkat Juara Lagu terdahulu dengan menyuntik nyanyian berbisa Dato' Siti Nurhaliza dan digandingkan pula dengan Lan, bekas penyanyi utama Meet Uncle Husin. Sekaligus memberi gambaran jelas...." Selamat Datang ke Era Indie," tapi kenapa adanya Dato' Siti di situ? Mungkin strategi AJL. Gimik. Ya, AJL 24 penuh dengan gimik. Gimik tak menjadi!

Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, AJL dilihat sebagai platform kepada bukan sahaja barisan artis baru. Malah mengangkat darjat penulis dan komposer sesebuah lagu. Agak janggal apabila tahun ini, AJL 24 lebih menfokuskan kepada para artis sehingga mengaburi tujuan sebenar AJL diadakan. Di harapkan, tujuan sebenar mengiktiraf para pengkarya tidak berkubur begitu sahaja.



Aku tak mahu komen banyak tentang persembahan artis yang bertanding. Ada yang sama dan langsung tak menarik. Mengharapkan seratus peratus penggunaan props dan penari, tetapi kaku dari segi gerak badan sendiri. Aku cukup pelik bila ada penyanyi yang menyampaikan dengan emosi yang tak seiring dengan lagu. Mungkin, itulah kelainan yang dimaksudkan? Satu lagi sebab yang membuatkan aku kecewa adalah camera-work AJL ini kerana jika diperhatikan, lebih cenderung melakukan ekstrem close-up sehingga terlupa bahawa persembahan tarian juga perlu dipertontonkan kepada penonton di rumah.

Persembahan yang ingin sekali aku lihat secara keseluruhan (gerak di pentas!) adalah Stacey, untuk lagu Pakai Buang dan juga Bencinta dari Faizal Tahir. Alangkah bagusnya, kalau kamera dapat menfokuskan gerak tari Stacey yang lincah dan juga sudut yang tepat semasa Faizal Tahir buat gimik di mana dia bertukar dengan Shila. Malangnya, itu tak terjadi. Aku sebagai penonton di rumah, sedih sangat. Tambah pula dengan 'black-out'. Aduh, siaran langsung yang telah menjalani latihan berminggu-minggu pun boleh alami masalah ini? Tapi, tak mengapalah. Gangguan di luar kawalan!



Apa-apa pun, aku perlu nyatakan di sini yang aku terlalu berpuas hati dengan keputusan akhir AJL 24. Jangkaan aku tepat belaka. AJL kali ini antara yang terbaik dari segi keputusan dan kesemua pemenang memang layak menerima penganugerahan. Persembahan lagu Kau Pergi (semasa disampaikan Aizat) meneribitkan kesedihan dan kesayuan ditambah pula dengan kehadiran slide show yang mengiringi persembahan. Black memukau dengan kehebatan suaranya (sama dengan rakaman studio), Yuna yang santai dan Faizal Tahir. Persembahan yang paling aku suka sudah semestinya Kau Aku.



Aku juga mahu mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pengacara yang berjaya menimbulkan suasana ceria. Kalau sebelum ini aku rasakan, kehadiran Ally tidak diperlukan tetapi pada malam AJL ini, Ally membuktikan dia pun boleh dan layak mengendali acara terbesar ini bersama-sama Faizal Ismail dan juga Cheryl Samad.



* Harap di tahun hadapan, TV3 meneliti fakta dengan lebih tepat. Persembahan finale memang hebat tetapi menghampakan apabila tanda aras tahun 90'-an diketepikan terus dan melompat ke tahun milennium. Tahun 90'-an menyaksikan kemunculan muzik genre rap dan hip hop dan kebanjiran artis sealiran itu tidak boleh diabaikan antaranya KRU, NICO, KOOL, FEMININ, RES'2, 4U2C, POETIC AMMO, TOO PHAT dan banyak lagi. Ingat, mereka ini juga pernah menggegarkan persada seni muzik tanah air dan mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sunday, January 10, 2010

Santai Sabtu...


Taman Mini Umi
Align Center

Kemas dan teratur....

Hari Sabtu datang lagi. Banyak rancangan yang aku sudah sediakan untuk diri sendiri. Antaranya...TIDUR!


Beri ketenangan

Sejak kebelakangan ini, aku dapat rasakan jadual tidur aku dah berubah. Setiap hari di tempat kerja, mataku memberat. Menguap? Lebih dari itu. Kadang-kadang dah jadi macam Jiha (Sallu gelar gunung Tahan) tersangguk banyak kali tapi tak jatuh-jatuh. Balik rumah, buat kerja apa yang patut, masuk bilik dan lakukan rutin setiap malam. Apa lagi kalau bukan melayari laman maya sambil berborak sakan menerusi telefon. Ada masanya, sedang sibuk berborak aku boleh terlena. Teruk betul! Malu dibuatnya. Sedar-sedar saja, notebook terbuka, tapi nasib baik telefon bimbit dah terputus panggilan. Kalau tidak, cuba bayangkan apalah agaknya si pemanggil dengar igauan aku. Kalau tak ada apa-apa, oklah. Buatnya kalau aku mengumpat simpolan-simpolan mana atau terluah isi hati... parahlah alamatnya.


Itu pokok sireh dan inai, stok untuk kahwin...

Setiap hari juga aku bangun awal. Paling lewat aku bangun, pukul 5 pagi. Paling cepat pukul 3. Tak sempat mimpi indah-indah. Bila dah bangun, nak sambung tidur mesti tak boleh. Aduh! Parah!

Aku cuba nak betulkan jadual waktu tidur. Sengaja aku tidur di sofa ruang tamu. Aku pejamkan juga mata. Tapi tak juga lelap. Sudahnya aku terpaksa tukar rancangan. Kebetulan umi ada minta aku tolong bersihkan kawasan taman mini di belakang rumah. Aku pun, naik atas tukar baju yang bersesuaian. Mana mungkin pakai baju tidur pergi buat kerja di taman. Betul tak?

Dengan mata yang memberat, badan yang lesu, aku gagahkan juga ke taman mini belakang rumah.

Opss, hanya tangan boleh dipertontonkan ya!

"Ya Allah! Ini rumah aku ke?" soalku sendiri, terkejut melihat taman mini itu yang hampir 7 bulan tak kujenguk.

"Inilah hutan rumah kita, sejak kau kerja, tak ada siapa nak bersihkan kawasan ini!" bentak umi.

Aku faham maksud umi. Mata yang tadi memberat terus berubah. Jelas betul pemandangan. Aku mencapai cangkul dan penyodok. Tak sampai lima belas minit, aku bersihkan semua semak-samun dan rumput rampai yang menghalangi laluan air di longkang. Bukan itu sahaja, sisa-sisa simen yang dah keras turut kuketuk dan hancurkan. Pasu-pasu bunga aku susun di satu sudut.

Semasa sedang asyik mengemas, Miqhail yang leka bermain dengan Along di ruang tamu datang ke dapur. Nak melihat wan dan angahnya membanting tulang membersihkan taman mini. Kelakar betul bila dia menangis nak turut serta. Tunggulah bila dah besar, mungkin dia boleh tolong sama.

Aksi ganas Miqhail, cuba melepasi halangan Along


Terpisah jua kita! Miqhail dan aku (tangan tu!)

Setelah bersungguh-sungguh mengerjakan taman mini itu, akhirnya selesai. Fuh, barulah berseri sedikit kawasan taman mini umi. Umi tersenyum bangga, begitu juga aku.


Hijau... menenangkan

"Barulah cantik, macam ni... duduk lama-lama kat sini pun tak apa," kata umi.

Aku hanya tersenyum. Selesai mengerjakan taman mini, mataku kembali mengantuk. Malangnya, terbantut sebab terima panggilan dari pejabat.

"Mustahak mungkin," fikirku sendiri.

Namun, lain pula yang terjadi. Aku telah ditegur kerana isi kandungan blogku. Dan aku faham. Serta merta aku penuhi permintaan yang disampaikan oleh ketua editorku.


Nak menghendap? Inilah bilik aku dan Ayuz...

Aku kembali duduk di taman mini dan memandang jauh dan hinggap ke arah bukit dan berkejar-kejar mencari kaki pelangit.


Bilik Along....

"Ya Allah, aku tak perlu takut kerana aku tahu... aku tak bersalah untuk mempertahankan namaMu," ujarku sambil melemparkan pandangan ke atas dedaunan yang menghijau....


pemandangan bukit... belakang rumah


Selesai...!!!!

Saturday, January 9, 2010

Allah itu Jesus, Ganesha itu Allah? Allah! Apa itu Allah?

Sebenarnya aku tak suka mengapi-apikan keadaan. Cuma aku tak faham, kenapa orang-orang bukan Islam berminat dan 'cinta' sangat dengan perkataan Allah? Agak pelik juga sekiranya orang Islam berdegil dan berkeras mahu gunakan perkataan Allah setiap kali teringat Jesus! Kini perebutan penggunaan Allah oleh penganut bukan Islam semakin galak.

Aku cuba membayangkan situasi yang bakal atau pun sememangnya sudah terjadi.

Penggunaan Allah oleh Kristian.

"Sorry Father, I commit sins. I'm here to seek forgiveness,"
"What you've done my child?"
"Having sex with my mother-in-law.... in this chapel,"
"Allah christ, why you did that?"
"Thats why I'm here seeking forgiveness,"

Terbalikkan situasi. Penggunaan Jesus oleh Islam.

"Ustaz, saya nak bertaubat. Adakah pintu taubat masih terbuka?"
"Pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada mereka yang telah sedar kesalahannya. Selagi belum terjadinya matahari terbit di barat, maka pintu taubat itu sentiasa terbuka,"
"Saya bersalah ustaz kerana telah berzina dengan isteri ustaz,"
"Holy Jesus, apa yang kamu dah buat ni?"
"Saya dah sedar, sebab itulah saya nak taubat!"

Aku tak mahu berbicara panjang kerana kalian tentu sudah faham. Tidak cukupkah menghormati agama lain dan Tuhan kepercayaan mereka. Masalahnya, kenapa perlu jentik Islam, sedangkan Islam tidak pernah menyentuh pun soal kepercayaan agama lain. Malah, sikap hormat menghormati agama lain amat dituntut oleh Islam. Dan bila ada yang membantah, terus diselar sebagai sombong, kedekut dan mementingkan diri. Aku hanya tunduk, geleng kepala. Jadi....

Kenapa perlu diperhangatkan soal isu penggunaan Allah?
Kenapa CINTA sangat dengan perkataan Allah?
Kenapa tidak cuba untuk mencintai ALLAH?

Politik bukan agamaku. Islam bukan sekadar agamaku tetapi nyawa dan hidupku. Aku bercakap bukan untuk politik. Aku bercakap untuk agamaku, nyawa dan hidupku. Bercakap panjang lebar tak guna kalau si Islam sendiri merelakan diri dipijak-pijak. Kalau benar kalian merelakan penggunaan Allah oleh penganut bukan Islam, maka kamu harus juga terima dan redha sahaja pabila mereka berkata....

"Allah Ganesha itu maha agung,"
"Allah Muruga itu maha hebat,"

Dan sesungguhnya terimalah dengan hati terbuka kerana kalian yang merelakan!

Melayu sudah lama ditundukan oleh tuntutan bukan-bukan. Sekarang sudah tiba giliran Islam diperdagangkan demi kepentingan. Kepentingan siapa? Fikir-fikirlah sendiri!

* Aku langsung tak faham bila ada yang senang-senang merelakannya. Allah bukan sekadar perkataan atau kata seerti untuk Tuhan. Dan adakah benar kalian mengenali Allah yang satu?

Friday, January 8, 2010

Yang Teristimewa...


7 Januari
Selamat ulang tahun, sahabatku.
Ariff Rasul

Aku kenal dia untuk pertama kalinya, sekitar tahun 1994. Kebetulan di ketika itu, aku duduk di barisan paling depan. Terhimpit antara dia dan seorang lagi rakan sekelas. Tak ubah macam sandwich! Apa taknya, dua-dua lelaki dan aku seorang sahaja perempuan. Dan aku masih ingat lagi, bagaimana mereka membuli aku. Mujurlah duduk di barisan belakangku Roshaidah. Ada juga teman membantu bila dibuli Shahrul Adli dan juga dia.

Terus terang aku katakan, zaman sekolah rendah merupakan zaman kegemilanganku. Mungkin disebabkan satu sahaja. Dia! Kalau bukan kerana dia selalu mencabar, aku tidak akan berusaha untuk meneruskan kecemerlangan yang ada. Manakala dia pula, terus beri persaingan yang sengit. Ada masanya, dia sengaja buat aku sakit hati. Malangnya, apa juga yang dia cuba lakukan, aku tak pernah pun terasa hati.

Dalam asyik bergaduh dan sakat-menyakat, hubungan aku dengan dia bertambah rapat. Ya, dia telah kuanggap sebagai abang. Pelik? Walaupun dia lebih tua 22 hari, tapi banyak perkara yang diajarnya padaku. Mungkin itulah satu-satunya kelebihan dia sebagai anak sulung. Tak aku sangka, hubungan rapat aku dan dia pernah disalaherti oleh orang sekeliling di ketika itu. Bahananya dapat dirasakan sehingga ke hari ini. Terkadang, ada saja orang bertanyakan tentang dia kepada aku.

Namun begitu, aku juga berani kata yang dia memang punya peranan besar dalam hidupku selain rakan seperjuangan yang lain. Aku kira, kali terakhir aku bertemu dengannya di sekitar tahun 1996. Waktu itu aku di tingkatan 1. Aku dengar perkhabaran yang dia akan berpindah ke Indonesia. Sedih? Memang sedihlah juga. Apa taknya, selama hari ini aku jadikan dia sebagai pencabar dan pemangkin semangat dan tiba-tiba dia pergi begitu saja.

Aku juga masih ingat, yang aku tidak sempat bertemu dengannya untuk ucapkan selamat jalan. Dan benar juga, aku menangis masa dia pergi . Pemergiannya itu sekaligus tmemutuskan hubungan aku dan dia. Aduh. Bak kata Anang, separuh jiwaku pergi. Rasa kosong. Tiada lagi orang yang boleh aku kacau dan tiada lagi aku dengar cabaran dari seseorang yang amat rapat denganku. Aku kira, kalaulah dia dan aku tetap bersama pasti aku akan jadi lebih baik hari ini.

Sejak dari hari itu, aku tak pernah putus asa untuk menjejakinya. Tujuannya tak lain, hanya ingin bertanyakan khabar dan mahu dia selalu berada dalam lindungan Allah serta sentiasa sihat sejahtera. Ketika aku belajar di peringkat universiti, Ayshah pernah beritahu yang dia belajar di kolej yang sama. Bila aku tanya nombor telefon, dengan selamba Ayshah bagitahu aku yang...

"Aku tak tegur pun dengan dia,"

Terkejut juga aku dengar jawapan Ayshah. Namun, aku akur. Takkan aku kena paksa Ayshah bertegur sapa dengan dia semata-mata kerana aku.

Apabila menempuh zaman bekerja, dan setelah bertemu dengan kawan-kawan lama, Roshaidah dan Faizal, satu kekuatan muncul untuk menjejaki dia. Selepas sahaja selesai rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun lepas, aku pun nekad mencari dia bersama beberapa teman yang lain. Alhamdulillah, aku terserempak maklumatnya di beberapa buah halaman sosial di laman maya. Aku tinggalkan pesan dengan harapan dia membalas. Aku menunggu dan terus menunggu.

Bila-bila saja aku rasa perlu, aku hantar lagi pesanan. Tidak berjawab. Aku hantar lagi. Tak pernah jemu kerana aku tahu, pemilik kepada nama itu adalah dia. Nama dia terlalu unik. Sukar ada orang kedua yang mengguna nama serupa. Beberapa bulan kemudian, setelah aku terleka seketika, akhirnya aku terima balasan darinya. Selepas itu dan sehingga ke hari ini, aku bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang kedua untuk bertemu sekali lagi. Sekurang-kurangnya, aku dapat berkongsi cerita sepertimana yang pernah aku lakukan 14 tahun yang lalu.

Walaupun 14 tahun sudah berlalu, tapi aku rasa hubungan dan kemesraan antara kami tak tercela dek rasa segan atau apa-apa sekalipun. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan aku rasa amat selesa. Insya-Allah, kali ini tidak akan berpisah lagi. Dia adalah salah satu hikmah terindah dalam hidupku. Aku suka dengar setiap nasihat darinya. Tak ubah mendengar nasihat seorang abang kepada adiknya. Aku akur mendengar tegurannya. Bagi aku, dia tak salah. Dia duduk di satu tahap yang aku tak bisa capai.

Hari ini adalah hari ulang tahunnya. Jadi, pada hari yang bermakna ini aku mengucapkan Selamat Hari Lahir sahabatku, Ariff Rasul. Semoga kau memperoleh ketenangan dan segala kebahagiaan yang kau inginkan. Aku juga berdoa agar kau sentiasa terpelihara dan dilindungi Allah s.w.t.

Aku juga perlu mengucapkan ucapan selamat hari lahir sebanyak 14 kali, bagi membalas 14 tahun yang hilang dahulu di mana aku tak berkesempatan berbuat demikian.

Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir.....


Selamat Hari Lahir.....
Ariff Rasul...!

Thursday, January 7, 2010

150km/j... tak cukup lagi ke?

Sejak sesi sekolah dah bermula, jalan di Rawang tak sesibuk sebelum ini. Mungkin disebabkan ibu bapa terpaksa keluar awal pagi, hantar anak-anak ke sekolah. Dah 3 hari juga aku keluar lewat dari rumah. Hari ini, paling lewat. Pukul 8.15 baru mula gerak.

Sampai di simpang Emerald dah pukul 8.30 pagi. Jiwa tak goyang lagi, takut lewat masuk pejabat. Yakin akan sempat sampai ke pejabat tepat pada waktunya. Masuk ke tol Rawang dah pukul 8.35 pagi. Dalam hati, masih tak rasa apa-apa. Kalau lambat lima minit pun aku tak kisah sebab aku tak keluar makan. Ganti saja dengan waktu rehat aku, habis cerita.

Sedang aku syok memandu dengan santai, ada sebuah kereta Gen 2 mula cucuk angin belakang Romi. Aku tengok meter laju kereta aku. Mak aih, aku dah tekan sampai 140km/j! Tak cukup lagi ke? Yang mamat Gen 2, masih degil cucuk angin. Dan seperti biasa, aku memang tak suka dibuli. Tambah lagi, lelaki! Apalagi, aku tekan habis sampai 150km/j. Tertinggal dia sedikit ke belakang.

Waktu itu jam baru pukul 8.36 pagi. Baru seminit berlalu. Fuh! Tak sangka. Aku kembalikan kelajuan ke 110km/j. Cuba untuk tenangkan fikiran dan degup jantung tadi yang mengepam sama laju dengan meter kereta. Aku intai cermin pandang belakang. Aik, ada lagi mamat Gen 2 ini. Kali ini dia cucuk angin lagi. Ya Allah, apa masalah dengan dia ni? Sakit otak ke? Aku kembali tekan sampai 160km/j dan aku dapat rasakan satu badan bergoncang.

Sebaik tiba ke simpang susur ke Sg Buloh/Kepong aku beri isyarat ke kiri. Pantas meninggalkan dia yang terus berhantu dan mencucuk kereta lain pula. Aku sempat menjeling, memandang dan ingin mengecam pemandunya. Terbuntang sekejap mataku dibuatnya.

"Ya Allah, akak rupanya!!!!!"


* Apa-apa pun terima kasihlah akak, sebab akak cucuk anginlah saya sempat sampai ke pejabat tepat pada waktunya!

Wednesday, January 6, 2010

Yang Lebih Halus Dari Debu...

Sepanjang hari di pejabat, ada sesuatu yang membengkak dalam perasaan. Mulanya aku nak buat tak tahu. Malas nak layan. Kalau aku layan, aku yang semakin sakit. Lalu aku biarkan terus. Tiba-tiba aku teringat Imaan. Aku pasti dia pernah lalui keadaan yang sama. Bezanya, dia bijak berhadapan dengan situasi ini. Bukan aku. Jadi aku cuba meminjam sedikit semangatnya. Butakan seketika mata dan jiwa.

Aku balik, waktu itu hujan lebat. Aku redah saja, membiarkan air hujan singgah di tubuh. Sejuk tak terasa kerana api di dalam sudah cukup membekalkan kehangatan. Miqhail sambut kepulanganku. Lenyap seketika api yang marak tatkala pipi dicium lembut si Miqhail. Kemudian, laju dia berlari menuju tv plasma. Terkedek-kedek abah mengejar cucu nakalnya.

"Kau dah makan, Ijan?" soal umi yang sedang memegang mangkuk makanan si Miqhail.

"Belum, tengah lapar ni," balasku sambil meletakkan beg tangan di atas tangga.

Aku berjalan deras ke dapur. Tersenyum seorang diri sebaik tengok lauk khas yang dimasak untukku oleh umi. Alhamdulillah. Ada rezeki malam ini. Lantas aku meninggalkan dapur dan berjalan menuju ruang tamu. Aku tertarik melihat sampul yang bergulungan warna coklat, diposkan atas namaku.

Belum sempat aku capai, Miqhail terlebih dulu merampasnya. Si anak kecil itu terus menghulurkan gulungan itu padaku.

"Apa ni?" soalku pada umi.

"Entahlah Ijan, kalendar 2010 agaknya," ujar umi pula.

"Siapa pula nak bagi kalendar ni?" hairan sungguh.

"Klien agaknya," sampuk abah yang leka menonton filem Laskar Pelangi.

Mungkin betul andaian abah. Aku pun rakus mengoyak sampul surat coklat yang membalut gulungan itu. Benar kata umi. Kalendar bergulungan. 2 salinan kesemuanya. Tapi andaian abah tersasar. Bukan pemberian dari klien. Aku membuka setiap bulan dan membelek setiap gambar yang menghiasi muka kalendar itu.

Aku senyum lalu mencampakkan ke atas meja. Cukuplah. Aku dah malas nak hidupkan semula api yang terpadam tadi. Rasa lapar yang menumbuk tadi pun segera menghilang.

"Senang-senang kau campak kalendar tu, kalau tak nak bagi umi," kata umi.

"Ambillah," balasku, langsung tidak mahu memandang kalendar itu.

"Kenapa ni?" soal abah pula.

Aku hanya menggeleng. Hakikatnya dah terpampang jelas di depan mata. Dulu aku hanya dengar cakap-cakap. Aku cuba tepis cakap-cakap itu. Tak mungkin cakap-cakap itu benar. Namun kehadiran gulungan itu seakan bukti sebenar kepada cakap-cakap yang selama ini dianginkan kepada aku oleh mereka-mereka yang sentiasa menjadi semangatku. Semangat meneruskan perjuangan tanpa perlu dibayar apa-apa pun.

Buatkan aku sedar dan terima kenyataan, wujudnya perkara yang lebih halus dari debu. Dan perkara itu adalah aku!

* Kalau nak berdiri sama tinggi jadilah penebeng. Masalahnya dari zaman sekolah sehinggalah sekarang, aku memang tak pandai menebeng.

Tuesday, January 5, 2010

Kisah Cinta

Terus teranglah, aku memang tak berapa nak layan lagu sejiwang ini. Kalau adapun, bahasa yang orang lain tak akan faham (Hindilah tu, apa lagi? hahaha) Tapi, sejak balik dari majlis pertemuan semula dengan kawan-kawan SKBBS dulu naik gila pula aku dengar lagu Love Story. Semuanya gara-gara Dayana, dialah yang pilih lagu ini untuk dinyanyikan. Kuat betul penangan Taylor Swift. Hampir setiap minit aku dengar. Ish ish ish, dah parah betul ini. Jadi, aku pun tak tahu nak isi apa untuk entri kali ini dan tak mahu dibiarkan kosong aku letak lirik lagunya di sini. Selamat berhibur, dan kalau nak dengar klik saja di sini ya! (kalau lirik ini salah, jangan gelak. Aku hanya copy dan paste dari laman web!)

Love Story - Taylor Swift



We were both young when i first saw you
I closed my eyes
And the flashback starts
I'm standing there
On the balcony in summer air

See the lights
See the party, the ball gowns
I see you make your way through the crowd And say hello, little did i know

That you were romeo,you were throwing pebbles
And my daddy said to stay away from juliet
And i was crying on the staircase
Begging you please don't go, and i said

Romeo take me somewhere where we can be alone
I'll be waiting all there's left to do is run
You'll be the prince and i'll be the princess
It's a love story baby just say yes

Romeo save me there trying to tell me how to feel
This love is difficult, but it's real
Don't be afraid, we'll make it out of this mess
It's a love story baby just say yes
Oh Oh

I got tired of waiting
Wondering if you were ever coming around
My faith in you was fading
When i met you on the outskirts of town, and i said

Romeo save me i've been feelling so alone
I keep waiting for you but you never come
Is this in my head? I don't know what to think
He kelt to the ground and pulled out a ring

And said, marry me juliet
You'll never have to be alone
I love you and that's all i really know
I talked to your dad, go pick out a white dress
It's a love story baby just say yes

Oh Oh, Oh Oh
'Cause we were both young when i first saw you...

Sunday, January 3, 2010

Kamu Yang Bernama Magis Nan Terindah


Bekas pelajar 5 D(Dahlia) 1994
Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang

Alhamdulillah. Itu saja kalimah yang bisa terungkap. Sejak hari pertama menjejak kaki ke tahun 2010, pelbagai kenangan manis tercipta. Satu demi satu. Hari ini pula, mencatatkan diri sebagai hari yang paling gembira. Aku kira, tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan betapa gembiranya hatiku tatkala semua yang dirancang berjalan dengan lancar sekali.

Semuanya bermula saat aku, Faizal dan Roshaidah berjumpa di Rumah Terbuka yang diadakan di rumahku raya Aidilfitri yang lepas. Ketika itu, tak ramai lagi bilangan teman-teman yang ada. Cuma aku, Ayshah, Roshaidah dan Faizal. Jadi, untuk memastikan pertemuan semula bekas pelajar SKBBS, aku mulakan usaha menjejak beberapa yang lain.



Tak aku nafi, buntu juga nak mencari yang lain. Satu saja cara yang terfikir dek kepala otak aku tika itu. Menjejak seorang demi seorang melalui laman maya. Dari satu laman sosial ke satu yang lain. Tak juga berjumpa. Ada juga terserempak mereka yang berkemungkinan, jadi aku hantar sahaja mesej dan mengharap dibalas kelak.



Agak lama juga tidak berbalas. Jadi, aku biarkan seketika usaha mencari. Tambahan pula aku sedang sibuk dengan tugasan sendiri. Lama kelamaan, aku pun lupa tentang usaha yang pernah aku jalankan sehinggalah di satu hari aku terima satu balasan mesej dari seseorang. Ariff Rasul. Sahabatku di zaman kanak-kanak. Tatkala terima balasannya itu, mahu terbalik pejabat dibuatnya. Macam terima tawaran masuk ke Akademi Fantasia pulak gamaknya.



Melalui Ariff pula, aku menjejaki seorang lagi teman, Dayana. Sebetulnya, aku pernah bersekolah sama dengannya ketika di St Mary. Entah bagaimana, boleh putus hubungan. Maka, aku cuba pula risik kawan-kawan yang lain termasuklah Rudy, Shahrul Adli, Ng Sze Te dan ramai lagi. Malangnya, nasib tak menyebelahi aku.

Tanpa membuang banyak masa (kebetulan Ayshah dan Faizal pun bakal melangsungkan perkahwinan - tamatkan zaman solo masing-masing!), aku pun merancangkan pertemuan semula yang semestinya menemukan kesemua enam insan istimewa ini. Selama sebulan, aku buat perancangan. Dalam sebulan itu jugalah macam-macam perkara yang terjadi.


Tarikh sebenar pertemuan asal adalah 2 Januari. Disebabkan tarikh itu dekat benar dengan Tahun Baru, banyaklah benda yang membuatkan rancangan itu ditunda ke 3 Januari. Namun, ada hikmahnya juga kerana kebetulan tarikh 3 Januari adalah hari lahir Roshaidah Daud. Kakak paling sulung kepada kami semua.



Bila tiba saat yang dinanti, aku mahu pastikan tidak ada kecacatan. Aku rancang untuk bermalam saja di rumah Ayshah dan alhamdulillah, Ayshah pun tak keberatan. Pada hari itu, aku jemput Dayana dan Ayshah. Memang sedikit kelibut. Apa taknya, takut tak sempat sampai tepat pada masanya.


Tiba saja di Sungai Wang, bertemu pula dengan Ariff. Wah, tak sangka masing-masing dah dewasa! Terpana seketika melihat Ariff yang sama seperti dulu tapi ada sedikit perubahan dari zaman kanak-kanak dulu! Tak sampai beberapa minit kemudian, menyusul pula Faizal dan Roshaidah. Kasihan, malam itu Faizal demam. Siap bawa bekal ubat.



Bila dah berkumpul, apa lagi? Yang demam tak macam demam, yang segan dan pemalu pun jadi sempoi dan yang takut-takut pegang MIC jadi gila mic (akulah tu). Terlalu indah saat berkumpul sama-sama sebegini. Sehingga terlupa empat jam berlalu dengan pantas. Terasa-rasa mahu saja aku hentikan masa tapi tak terdaya.

Pertama kali aku rasa begini gembira dengan kawan-kawan setelah sekian lama. Persoalannya, adakah di sini titik noktah pertemuan atau hanya satu permulaan? Satu sahaja yang aku pasti, aku akan tetap sayang dan rindukan setiap seorang dari mereka. Percayalah, kamu juga antara perkara yang bernama magis terindah untuk aku....


Dayana, Roshaidah, Ayshah, aku, Ariff & Faizal

* Ayshah dan Faizal... tahniah. Insya-Allah, masa majlis kahwin nanti aku akan pakat-pakat dengan Roshaidah, Dayana dan Ariff buat rombongan. Tapi kena gilir-gilir. Lain kali nak kahwin, tengoklah tarikh jangan sama. Kan dah susah?

To Someone Special...


To the world... she is Harvinder...
To me... she is my only Dia....
Love you sweetie...

Happy Birthday....


2 Januari. Aku tak akan lupa tarikh ini. Bukan untuk hari ini sahaja, malah untuk masa-masa akan datang. Insya-Allah.

Dia kata aku akan lupa. Dia fikir, aku juga seperti yang lain. Lama kelamaan, persahabatan itu makin pudar. Tapi dia tak tahu, aku bukan macam yang lain. Sekali aku dah sayang, selamanya akan aku ingat seseorang itu sampai mati. Ya, benar....

Oleh kerana ucapan dan sms Happy Birthday itu dah terlalu biasa, aku dapat satu idea baru. Aku mahu kejutkan sahabatku ini dengan cara yang lain. Aku sengaja tak hantar sms mahupun buat panggilan padanya detik 12 malam. Sebaliknya aku hantar sms tepat pukul 7.39 pagi yang berbunyi begini....

"Dear, I'm totally in a mess. I need u n only u can help me!"

Kenapa aku hantar sms begini? Sahabatku ini jenis yang terlalu 'caring' tentang orang yang disayanginya. Aku sengaja hantar sms begini dan ingin buat dia resah, gelisah dan dalam masa yang sama takut.

Tak berapa lama selepas itu, dia telefon aku. Walaupun ada suara-suara lain di belakangnya, tapi aku dapat baca emosi pada nada suaranya.

Dia bertanya padaku dengan suara yang amat lembut dan terkawal tapi jelas kerisauannya.

"You okay? Ada masalah dengan - - - - - - ke?"

"Tak, masalah I lebih dari tu. I dah tak tahu nak buat apa lagi?" kataku, cuba menggoncangkan lagi sedikit emosinya.

Aku rasa tak sedap hati lalu bertanya dia berada di mana. Rupa-rupanya dia di Gurduwara. Jadi, tak eloklah aku kacau dia sedang mengerjakan ibadatnya. Lalu, pantas aku mencantas rancangan awal aku dan mengubahnya.

"Hari ini 2 haribulan bukan? Hari lahir you," kataku lagi.

Harvinder terdiam seketika.

"Happy birthday...," kataku sambil diikuti ketawa panjang.

Harvinder mula marah-marah. Aku tak kisah dengan amarahnya itu. Apa yang penting, aku mahu dia tahu yang aku selalu ingat hari lahirnya.

Harvinder, andai you membaca blog ini... I nak you tahu, I selalu ingat dan sayang you seperti dulu juga. Nothing will changed our friendship... Insya-Allah. I always there for you... just call me, and you know that... you'll never walk ALONE!!!!

Saturday, January 2, 2010

Salam dari Cameron...




1 Januari, 2010. Hari baru, tahun yang baru. Bagi aku, ia tetap sama seperti hari biasa. Matahari tetap terbit di utara. Malaysia masih tidak bersalji dan hari masih lagi 24 jam. Manakala, jadualku untuk bulan Januari sudah pun padat.

Bermula dengan 1 hingga 2 Januari. Aku dan keluarga telah membawa diri lari jauh dari hiruk pikuk kehidupan di kota. Destinasi yang dituju adalah Cameron Highland. Alhamdulillah. Rancangan ini tetap berjalan lancar. Terima kasih kepada rakan-rakanku. Kalau tidak kerana rancangan yang satu lagi ditunda ke tarikh yang lain, mungkin percutian ini hanya tinggal sebagai 'perancangan'.

Hari Pertama di Cameron

Kali ini, segala-galanya telah dirancang lebih awal. Tempat penginapan pun sudah dibuat terlebih dulu. Tidak perlu lagi risau tentang tempat tidur ketika dalam perjalanan. Jadi, seawal 8.30 pagi (Jumaat), kami sekeluarga bertolak. 2 kereta kesemuanya. Aku memandu kereta abah dan diekori abang Zamri yang memandu dari belakang. Perjalanan yang agak jauh tidak terasa kerana dijamu dengan pemandangan yang begitu tenang dan mengasyikan.

Setibanya di bandar Brinchang, kami sekeluarga berehat sebentar sebelum keluar makan tengah hari. Malangnya, abang Zamri tak dapat ikut keluar makan bersama sebab sudah pening-pening akibat memandu tadi. Mungkin dia masih baru sebab itulah dia tak biasa dengan keadaan di Cameron Highland. Lainlah aku yang sudah terbiasa dengan jalan yang pusing-pusing sebab memang telah diajar abah. Waktu aku nak duduki ujian memandu dulu pun, abah melatih aku di jalan lama di Batu 12 Gombak sehingga Genting-Bentung-Raub. Disebabkan itu jugalah aku tak mudah pening ketika memandu.



Berbalik kepada kisah percutian di Cameron Highland. Selesai saja makan tengah hari, kami pun pulang ke tempat penginapan untuk menyegarkan badan terlebih dahulu. Beberapa minit kemudian, bermulalah pengembaraan kami sekeluarga di Cameron Highland. Abah mengambil alih tugas memandu disebabkan dia lebih arif tentang selok-belok jalan di sini.

Destinasi pertama, Tanah Rata. Di sini, keadaannya memang sejuk. Sepanjang berada di Cameron Highland, penggunaan penghawa dingin dapat dijimatkan. Udara luar lebih sejuk dan nyaman berbanding penghawa dingin kereta.



Mungkin disebabkan hari cuti umum, maka ramailah kelibat manusia memenuhi setiap ceruk bandar Tanah Rata. Namun begitu, sempat juga kami turun dan mencuci-cuci mata di sekitar kawasan pekan. Tak aku nafikan, banyak perubahan yang sudah berlaku kepada bandar ini berbanding kali terakhir kujejak kaki ke sini beberapa tahun dulu.



Tiba saja di kedai-kedai cenderamata, masing-masing rambang mata. Kalau boleh, mahu diangkut semuanya termasuklah kedai sekali. Miqhail pula riang tak terkata tak seperti beberapa hari lepas. Dia juga sudah semakin sembuh dari ulser lidah yang dialaminya. Setelah puas meronda dan merentungkan sejumlah duit, kami menuju pula ke Ringlet.



Malangnya, tak sampai separuh jalan kami terpaksa berpusing balik. Semuanya gara-gara cuaca yang tidak mengizinkan. Tambahan pula keadaan jalan yang rosak. Sebelum apa-apa yang tidak diingini terjadi, berpusinglah kami kembali ke Brinchang dan singgah di taman kaktus.





Kaktus, memang menjadi salah satu pokok kegemaran aku sejak kecil. Sudah tentu aku tidak lepaskan peluang untuk memilikinya. Oleh kerana dah biasa dengan kaktus, kami sekeluarga tidak menghabiskan masa yang lama di situ. Kemudian, kami menuju pula ke kebun strawberry.





Tak seperti dulu, kebun strawberry ini muram. Malah para pekerjanya mempunyai kefahaman bahasa Melayu dan Inggeris yang amat terbatas. Apa-apapun, sempat juga duit dihabiskan di situ. Along membawa Miqhail dan abang Zamri pergi ke puncak di mana pengunjung diberi peluang memetik sendiri buah strawberry. Aku, Ayuz dan umi tidak mengikut sama kerana leka dengan gerai-gerai yang menjual cenderamata. Abah pula sekadar duduk di bawah kerana dah biasa dengan kawasan itu.





Bila tengah sibuk membeli-belah, perut yang lapar tak terasa. Tetapi bila masuk saja ke dalam kereta, perut masing-masing mula menyalak kelaparan. Apalagi, bergegaslah masing-masing mencari tempat untuk makan malam pula. Aduh, tidak sangka di sini pun sesak seperti di Kuala Lumpur. Kereta-kereta hampir tidak bergerak. Aku kira, mungkin ada kemalangan atau pun pembaikan jalan. Tapi yang sebenarnya, ada pasar malam. Untuk jimat masa, aku dan Ayuz turun, manakala umi dan abah sabar menunggu di dalam kesesakkan lalu lintas. Ada macam-macam juadah unik dijual di pasar malam ini termasuklah strawberry disaluti coklat. Sudah tentunya aku tak lepaskan peluang untuk merasa buah yang hanya ada di sini. Selain itu juga, ada jagung bakar. Makanan kegemaran aku. Dan sebagai lebih pilihan, KFC dibeli untuk makanan sampingan.





Mungkin masih tidak cukup, jadi abah memecut kereta sekali lagi menuju ke Tanah Rata. Ternyata, suasana malam di Tanah Rata indah sekali. Terasa-rasa bagaikan di luar negara dengan dipenuhi ramai warga asing. Hampir di mana sahaja, pasti ada orang. Sehinggakan, makanan yang kami pesan hanya siap selepas 45 minit! Bayangkan betapa ramainya manusia yang sanggup menunggu untuk makan! Dahsyat dahsyat!







Selesai pengembaraan hari pertama di Cameron Highland. Malam itu, aku kekenyangan yang amat sangat. Sehingga tidak tersedar bila aku terlelap. Dan percaya atau tidak, kalau selama ini aku punyai masalah untuk tidur, tapi tidak pada malam itu. Aku tidur nyenyak sekali dengan memakai baju yang baru dibeli. Baju tidur berwarna merah jambu. Pertama kali aku menyarungkan warna itu ke tubuhku dan aku berasa bangga!





Hari Kedua di Cameron Highland

Sebenarnya, tinggal satu sahaja tempat lagi yang belum kami kunjungi. Ladang teh. Semalam, Along ada pesan pada aku, yang dia teringin sangat pergi ke ladang teh sebelum balik ke Kuala Lumpur. Aku ikut sahaja, sebab aku pun teringin juga ke sana.



Awal-awal pagi aku dah bangun. Abah pula dah bersiap sedia untuk jalan-jalan dan pesan agar kami bersiap cepat. Setelah siap bersarapan pagi, kami sekeluarga meninggalkan tempat penginapan. Disebabkan tidak tahu tempat ladang teh, kami singgah sebentar di deretan kedai dan kebun strawberry Uncle Sam. Di situlah kami bertanya kepada orang tempatan lokasi sebenar ladang teh sambil membeli bunga-bunga hidup untuk dibawa pulang. Aku pula sempat memborong buah strawberry untuk diberikan kepada kawan-kawan sebaik saja aku pulang ke Kuala Lumpur nanti.



Sepertimana yang dikatakan oleh seorang kakak di kedai itu, kami pun bergeraklah menuju ke Sg Palas. Perasaan teruja mula terasa dengan hanya melihat papan tanda Ladang Teh Boh. Namun, tidak pula terfikir yang perjalanan ke sana bukanlah satu perjalanan yang diidam-idamkan oleh sesiapa pun. Ya Allah, taubat dan insaf sebaik saja sampai di lereng bukit Sg Palas.



Jalannya jauh lebih sempit berbanding jalan di Rawang. Lebih sadis lagi, jalan sempit itu pula diikuti dengan curam yang tinggi. Salah sikit, pasti ada kereta yang tergolek, dan jatuh terhempas ke bawah. Kereta pula penuh di kedua-dua arah. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan di ketika itu. Degup jantung bertambah laju. Kalaulah aku yang memandu, pasti kakiku ini tak terasa jejaknya. Nasib baik abah yang memandu kereta. Nyata, abah memang sabar. Sempat juga aku bertanya soalan ini kepada umi dan abah....

"Pernah keluar berita kereta tergolek kat ladang teh tak sebelum ni?"

"Hish, apa kau tanya macam tu?" bentak Ayuz...

"Baguslah kalau takde. Insya-allah, hari ini pun tak ada..." kataku, cuba melegakan hati.

Hampir setengah jam juga kereta-kereta tersadai di sepanjang lereng ladang teh. Namun, perasaan cemas sedikit berkurangan apabila melihat suasana yang indah. Masya-allah. Indah sungguh ciptaan Allah. Kalau sebelum ini, aku selalu lihat keindahan ladang teh dalam filem Hindi, kali ini aku dapat melihat dan merasakannya sendiri.







Perjalanan yang berbahaya dan mendebarkan itu berbaloi kerana selamat juga kami sekeluarga sampai ke lokasi. Sejuk sehingga menggigit ke isi tulang. Sempat juga aku dan yang lain-lain bergambar kenangan. Percayalah, udaranya terlalu nyaman. Kalaulah ada satu-satu perkara yang ingin dibawa balik, tentu sekali udara bersih di Cameron Highland ini jadi bekalnya.





Agak lama juga kami menghabiskan masa di ladang teh. Kebahagiaan di wajah masing-masing jelas terpancar. Terutama sekali di wajah umi dan abah. Seronok hati lihat mereka gembira. Miqhail pula menjadi tumpuan ramai pengunjung yang sama-sama melawat ladang teh. Dia juga seronok dan bertambah lasak sehingga sukar untuk dikawal.









Setelah puas menghabiskan masa, tiba pula masa untuk pulang. Sepertimana kami datang, begitu juga caranya kami balik. Namun rasa takut berkurangan. Aku tinggalkan Cameron Highland dengan hati yang berat. Mungkin di satu hari nanti, aku akan kembali. Ketika itu, diharapkan aku bukan lagi sendiri.




* Tak perlu ke luar negara kalau nak berbulan madu. Di Malaysia pun sudah cukup. Apa yang penting, waktu bersama dapat dihabiskan sebaik mungkin!