Monday, May 10, 2010

Melewati Hari Terindah Di Langkawi

Hari Kedua = 09/05/2010

Suasana malam di Langkawi memang tenang dan mendamaikan. Sedang orang lain tidur nyenyak dibuai mimpi, hanya aku seorang terkebil-kebil memandang siling. Waktu begini membuatkan aku mula benci dengan diri sendiri. Alah, sakit orang perempuan. Biasalah tu. Tambah orang macam aku, tiap-tiap kali datang pasti badan rasa rimas semacam. Selalunya, aku akan kacau orang lain (nak alihkan rasa sakit) tapi lain pula kali ini. Mood tak baik. Awal-awal lagi aku dah bangun.


Penganjur percutian...


pasangan emas paling bahagia...

Sepertimana biasa, aku akan mengikut abah. Keluar cari-cari makan. Kataku pada abah, cari makan di gerai-gerai lagi sedap. Jadi, mengembaralah kami anak-beranak meredah pekan Kuah. Kalau di Selayang atau Rawang, gerai makanan memang senang ditemui. Berbeza dengan keadaan di sini. Namun begitu, makanan yang dijual amat murah harganya. Kuih untuk 4 biji hanya seringgit. Di Kuala Lumpur, jangan haraplah nak merasa dapat harga macam itu.


Pemandu bertugas... sedia untuk aktiviti hari ini

Setelah selesai menyentap, kami sekeluarga pun mula bergerak mengikut jadual yang telah diberikan. Aktiviti pertama, mangrove di Kilim Geoforest Park. Memandangkan kami dah menggunakan perkhidmatan seorang agen, tak perlu risau tentang pembayaran sebab dah bayar awal-awal. Cuma datang dan terus naik bot. Sebaik sampai, ada masalah yang timbul. Semangat yang berkobar-kobar untuk melihat alam semulajadi dengan lebih dekat semakin menipis. Abang Zamri dan Along buat keputusan untuk kami sekeluarga datang semula ke Kilim ini pada esok hari.


Sibuk dengan kamera...


muka bengang penganjur...


gabungan pelbagai rasa...


beli jangan tak beli...


Miqhail tak sabar nak main air...


seronok sakan...

Destinasi kedua pula ialah Oriental Village. Di sini, ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Tarikan utamanya pula adalah kereta kabel. Menariknya, Along tidak mahu ikut serta. Alasannya, dia dah pernah pergi. Abah dan umi pula tak boleh berjalan jauh. Hanya aku dan Ayuz sahaja yang tinggal. Maka, dengan perasaan gentar aku menurut sahaja aktiviti yang telah dirancang sejak awal lagi. Tak aku nafi, yang ketinggian bukanlah sesuatu yang aku gemari. Malah, boleh menggeletar badanku dibuatnya. Inikan pula duduk dalam kereta kabel. Sedangkan duduk dalam gondola Eyes On Malaysia yang tak seberapa tinggi tu pun aku dah kecut, inikan pula gunung Mat Cincang. Aduhai... mujur ada Ayuz.


banyak lagi tempat nak pergi ni...


Muka aku yang agak ketakutan...

Seronok juga berada di puncak gunung ini. Udaranya aman dan segar. Kalaulah ada benda yang aku mahu bawa pulang sebagai cenderahati dan kenangan untuk diri sendiri, aku memilih untuk membawa pulang udara segar dan nyaman di pergunungan ini. Setelah lama berkeliaran di sekitar puncak dan puas bergambar sakan, kami dua beradik pun turunlah. Itupun sebab terima sms dari umi. Katanya, ada banyak lagi tempat yang perlu dilawati.


macam mana dia boleh senyum dalam takut-takut?


Tinggi!!! Kalaulah terjatuh....


kugenggam sekuat yang boleh...


aksi dua beradik...

Sebaik turun, aku dapat melihat sekumpulan orang yang mengerumuni seorang anak gadis. Kulihat dan amati, si gadis itu sedang memegang ular sawa. Aku dengan perasaan yang teruja terus menuju ke arahnya. Umi tidak suka dengan idea aku untuk memegang ular sawa itu. Memandangkan ramai yang memilih untuk memegang ular sawa bersaiz kecil dan aku kesuntukan masa, aku memilih untuk memegang ular sawa yang bersaiz besar. Umi cuba melarang aku, tapi aku tetap berdegil. Inilah satu-satunya cara untuk aku melepaskan perasaan takut ketika di puncak tadi. Alhamdulillah, aku berjaya memegang ular sawa itu. Walau sedikit geli-geleman tapi menyeronokan. Abah hanya memandang dari kejauhan. Manakala Miqhail pula tampak takut. Hahaha. Tahu takut juga budak kecik ni.


menahan geli....


Abah melihat dari jauh...


"Apahal kau ni Izan?"
mungkin itu yang abah mahu katakan...



Lebar betul senyuman masing-masing

Kalau ikut pada jadual, destinasi seterusnya adalah telaga tujuh. Ia terpaksa dibatalkan ekoran ramai yang tidak mahu mengunjungi tempat itu dan kami bergerak menuju ke Beras Terbakar. Sampai sahaja ke Beras Terbakar, semua jadi rambang mata kecuali aku. Maklumlah, aku ini bukannya suka membeli-belah. Jadi, aku terus pergi melihat Beras Terbakar serta membaca sejarahnya. Menarik! Salah satu cara orang Melayu paling bijak melawan Siam. Siapa kata Melayu bodoh itu, baik fikir-fikirkan balik. Kebetulan sudah singgah di sini, kami semua singgah mengisi tangki makanan masing-masing dengan hidangan nasi ayam ala-ala Beras Terbakar. Hitam pekat kicap yang disediakan. Masin sungguh kuahnya. Berselera sungguh si Miqhail makan.


Beras Terbakar


Isi tangki masing-masing


Tekun baca sejarah...


Baki beras yang masih tertinggal...

Kamudian, Beras Terbakar kami tinggalkan dan menuju pula ke Makam Mahsuri. Sebelum bercerita lanjut, ada kejadian misteri yang berlaku. Percaya atau tidak, kami tidak dapat bertemu dengan jalan ke Makam Mahsuri. Peliknya, sebelum ini banyak kali kami gunakan jalan yang sama tetapi apabila kami benar-benar ingin menziarahi makamnya, perjalanan terasa semakin jauh. Pelik? Ya. Aku yang memandu pun naik pening. Tak jumpa-jumpa sehinggalah kami berhenti seketika dan merancang semula perjalanan. Alhamdulillah, sampai juga kami ke Makam Mahsuri.


makam Mahsuri

Lebih kurang setengah jam kami menghabiskan masa di sini. Pelbagai info yang aku baca termasuklah kisah di sebalik sumpah tujuh keturunan yang dilafazkan oleh Mahsuri. Ada mengatakan ianya lagenda, ada juga yang mengatakan ianya sekadar mitos. Jujurnya aku punyai pendapatku sendiri yang tidak mahu ku kongsi di sini. Apa-apa pun juga, manusia tidak pernah lari dari perasaan hasad dengki. Perasaan yang diwarisi sejak zaman lahirnya manusia. Tinggalan berjuta-juta tahun dan mustahil untuk ditinggalkan. Kerana hasad dengki, orang lain menjadi kurban. Mendengar kisah Mahsuri membuatkan aku rasa sedih. Mengapa wanita sebegitu sering jadi mangsa?


Manjanya si Miqhail...


Apalah yang cuba si kecik ni buat?

Ketika menziarahi makamnya, seakan satu perasaan pilu menyelubungi kalbu. Sempat juga kusedekahkan Al-Fatihah. Aku tidak mengenalinya, tetapi naluri seorang manusia dan yang paling, hati seorang wanita... aku rasa sayu.


Tak boleh diam-diam...


Kolam air panas?


Rehat sebentar...

Selesai sahaja meninggalkan jejak di Makam Mahsuri, kami menuju pula ke Dataran Lang. Ya, di sini lebih dikenali sebagai medan fotografi. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang merakam kenangan dan bergambar dengan Pak Helang yang kacak lagi gagah. Jurugambar profesional, Ayuz dan aku... siap berbaring atas lantai untuk mengambil sudut dan pose yang tepat. Dengan meletakkan tanda diri di Dataran Lang, kami pulang ke markas untuk bersiap sedia makan malam di Pantai Cenang. Kali ini, sakit aku makin menjadi-jadi. Hanya larat menelan nasi pabrik.


Kat sana tu...


Umi dan abah, bersama cucu kesayangan


Famili Along


Bergaya sungguh....


Bebas... muntahkan segala masalah!!!


Umi yang tak ketinggalan memberi pose!

Oleh kerana sudah malam dan kesakitan yang semakin menjadi-jadi, aku tinggalkan hari ini setakat ini. Jumpa lagi esok.