Monday, March 30, 2009

BDH 1791 ... lesen terbang ke apa?


Sebenarnya perkara ini terjadi Jumaat lepas. Aku dah lupakan pun, tapi kebetulan siang tadi masa belek-belek kad memori terserempak dengan gambar van ini. Aku cuba imbas kembali, apa hal gambar van yang tak bermotif ni ada dalam memori kad kamera digital aku.

Bila aku fikir-fikirkan kembali, barulah aku ingat. Pemandu van inilah yang buat kurang ajar dengan aku.

1 - 'Double line', ikut sedap kepala berjambul dia aje, potong 'q'... cilok depan aku.

2 - Himpit kereta kancil aku, dan dengan selamba badaknya, marah aku macam aku pulak yang buat salah.

3 - Langgar lampu merah.

Hari yang sama juga, lebih kurang 15 minit dari kejadian pertama dengan van balaci mana pun aku tak tahu ni, insiden yang sama berulang kembali di depan tol Sungai Buloh menuju ke Tol Rawang. Aku tak sempat nak ambil gambar van yang satu lagi tu, sebab... tak guna pun. Bukannya ada JPJ atau Polis Trafik yang nak buat pantauan atau periksa semula pemandu van ini sama ada lesen mereka ni lesen terbang atau pun memang jalanraya tu, atas nama mak abah mereka.

Persoalannya sekarang, kenapa hina-dina betul sikap pemandu di Malaysia. Tak ada adab sopan langsung. Pantang nampak kereta kecil sikit, mulalah nak menghimpit, nak cucuk-cucuk angin dan hon tak tentu pasal.

Kalau diikutkan, hati aku ni dah bengkak sebab menahan marah dan geram dalam hati. Hampir setiap hari, ada saja yang nak buli aku. Tapi, bila aku memandu kereta Waja... tak ada pula yang berani nak buat kurang ajar. Bila aku pandu Satria, ada saja mamat-mamat 3 siku, kepala letak dekat lutut.... ajak 'race'.

Ohai....

Bangang tahap melaun betullah! Kalau nak race atau nak nyawa melayang, bukan di jalanraya. Setiap kali kalau aku terserempak dalam 'jammed' yang berpunca dari kemalangan, aku bukannya simpati... tapi memaki. Selalunya, orang yang berlanggar tu... orang yang pandu kereta macam pelesit. Kalau mati tak menyusahkan orang tak apa. Sudahlah mati satu hal.... mayat terdampar tengah-tengah jalan. Tunggu polis datang dulu. Ambil laporan... mayat sampai darah keringlah orang tak angkat. Baris kereta semakin panjang.

Orang bukan sedih tapi menyampah...
ayat ni yang orang selalu cakap...

Mati pun menyusahkan orang!

Kepada pemandu-pemandu yang baran tak tentu pasal....
fikir jalanraya mak dan abah mereka punya...
dan juga kepada mereka yang rasa nak bunuh diri....

Fikir nyawa sendiri cukuplah...
Kalau nyawa dah melayang...
siapa nak bayar hutang kereta tu?
Mayat kau?

Minuman Retro....

Sebenarnya, hari ini bukanlah satu hari yang menenangkan. Hati dan perasaan aku jauh tertinggal di rumah. Umi dan abah tak berapa sihat. Miqhail pun begitu juga. Sepanjang masa di pejabat bagaikan hulu jantung di hujung keris. Beginilah aku kebiasaanya. Jika ada sahaja antara mereka yang kurang sihat, maka perasaan aku pun akan kurang senang.

Amat berbeza waktu aku di sekolah dulu atau yang paling hampir, semasa aku masih belajar di ASK. Jika dapat sahaja panggilan atau SMS, aku bisa berlari, keluar dari dewan kuliah atau sengaja tidak menghadirkan diri semata-mata untuk bersama-sama mereka. Aku tak kisah, nak disenarai-hitamkan nama aku atau sebagainya, asalkan aku berada di samping mereka. Bagi aku, mereka lebih penting. Ilmu sentiasa boleh dicari... tapi nyawa keluargaku, amat berharga maka setiap detik, adalah saat yang paling penting untuk bersama.

Namun bila aku sudah menjejak ke alam pekerjaan, tuntutan tugasan dan tanggungjawab bukan lagi bisa diperlekehkan. Kadang-kadang emosi terpaksa tunduk. Sebagaimana yang terjadi pada aku hari ini.

Selesai melaksanakan tugasan di Puchong, aku buat panggilan kepada umi. Hati tak sabar, resahnya mungkin tak terbau dek umi. Aku masih pandai sembunyikan perasaan risauku. Bila aku dengar suara umi di hujung talian, rasa lega tetapi masih tidak mampu memadamkan kekalutan yang melanda. Umi masih tidak sihat sepenuhnya. Tangannya bengkak dan menyebabkan dia tidak boleh bergerak. Aku tahu sangat keadaan itu. Aku telah terbayangkan keadaan di rumah.

Hati aku ingin pulang. Sebelum sempat berkata apa-apa, umi berpesan supaya aku singgah ke rumah pakcik saudaraku (adik abah, Pak Andak Johar) di Taman Samudera. Umi suruh aku mengambil air botol yang telah dipesan sebelum ini. Air apa? Aku pun tak berapa pasti. Jadi, aku singgah sebelum aku pulang terus ke rumah.

Kebetulan semasa aku tiba di hadapan rumah, hanya Mak Andak sahaja yang ada. Pak Andak masih belum balik. Jadi, aku dan rakanku itu masuk ke dalam rumah. Rasa membebankan pula kerana ketika itu Mak Andak sedang bersiap-siap untuk memasak buat suami yang tercinta. Namun, Mak Andak tetap melayan kami.

Terima kasihlah Mak Andak kerana sudi melayan kami ini, wartawan cabuk!

Mak Andak turut menghidangkan kami dengan air minuman yang amat istimewa. Sebelum ini aku selalu mendengar cerita dari abah dan umi mengenai air minuman ini. Kata mereka, air minuman ini memang air berkarbonat tetapi kurang rasa 'gas'nya. Tak seperti air minuman berkarbonat seperti yang ada sekaran (coca cola....) Tak dapat aku nafikan, tatkala air itu mencecah ke tunas-tunas rasa lidahku, rasa lain yang amat sangat. Malah, mampu menghilangkan lelah seharian berkerja.

Aku pulang ke rumah dan siap menunjukkan air minuman itu kepada umi dan abah. Mereka hanya senyum. Bagaikan yang dulu kembali hidup. Aku pun tumpang sekaki. Minum 2 botol lagi. Sedap yang amat dan kerana kesedapan dan keunikan air itulah, dapat mengurangkan beban kesakitan tangan umi yang membengkak. Semuanya hilang dan aku pula terimbau adegan filem Bujang Lapok.... masa Sudin sedang main laga-laga botol gara-gara nak memanggil Zaitun.

Abah sempat berkata kepada aku, mungkin ada persamaan tetapi air minuman yang dulu lebih sedap dan kurang manis. Mungkin sebab itu juga, air dalam botol abah tinggal separuh dan aku perlu menghabiskannya... seperti selalu.

*Kesian Miqhail... matanya terkebil-kebil, memandang aku, abah dan umi menikmati air minuman yang menyegarkan itu. Tak apa, bila Miqhail dah besar nanti... Insya-Allah Miqhail pun akan ada peluang untuk rasa.

semuanya 3 dozen... hah! Minumlah sampai lebam

2 botol aje larat habis

Saja-saja.... teringat Bujang Lapok

Sunday, March 29, 2009

HITAM GELAP ... Masa Untuk Bumi



Aku tak tahu apa yang orang lain nak kata tentang usaha menyelamatkan bumi dengan mengurangkan kegunaan tenaga selama sejam. Bermula pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

Mula-mula aku tahu tentang kempen ini pun, ada rasa geli yang tercuit di hati. Bukan aku memperlekehkan yang menuntut usaha kecil penduduk di bumi ni, tapi apa yang terlintas di fikiranku....


"Ada orang sanggup buatke?"

Diam tak diam, 28 Mac muncul juga. Sebelum tibanya hari yang diuar-uarkan aku ada bertanyakan kepada beberapa orang pendapat mereka tentang usaha ini. Ada yang ketawa dan ada juga... tak layan.

Jadi, aku pasti. Mereka-mereka ini tak kisah pun tentang usaha ini. Tak perlulah bertekak atau ajak mereka sama. Ini inisiatif masing-masing. Tak banyak, sikit membantu pun jadilah.

Entah kenapa, dalam acuh tak acuhnya aku... ada sesuatu dalam hati yang menggeletek untuk turut sama bergelap.

Pagi 28 Mac, kami sekeluarga pergi bersiar-siar menjamu mata dan juga... perut semestinya di Nilai 3. Bak kata kebanyakan orang yang aku temu, Nilai 3 Syurga Kain. Mungkin benar juga kata-kata mereka. Kalau tidak, masakan aku sendiri membeli sepasang kain di sana.

Hari hujan... amatlah lebat. Detik dalam hati,... hikmah bergelap malam nanti.

Dari Nilai, kami bertolak pulang. Sempat sampai di rumah pukul 8 malam. Ada setengah jam sebelum misi bergelap malam ini. Along bersungguh-sungguh menyiapkan Miqhail, mandi dan makan. Apa yang sepatutnya sebelum kami bergelap nanti.

Abah, Umi, Ayuz dan abang Zamri masing-masing keluar. Cari makan. Tinggal aku, along dan Miqhail. Sempat juga aku menonton rancangan kegemaranku D.I.D di Astro. Sesekali aku menjeling arah jam di dinding juga jam di pergelangan tangan.


"Izan, sudah-sudahlah tengok tv tu... dah pukul berapa ni?"

Aku tersenyum aje. Lagipun aku terlupa, ASTRO tak menyokong kempen EARTH HOUR ini, cuma berlagak aje dengan menyiarkan iklan-iklan berkenaan EARTH HOUR.... ironi betul!

Tepat pukul 8.3o malam, kami bertiga pun bergelap. Miqhail tenang saja. Dia peluk erat tubuh Makngahnya... akulah tu. Dalam kegelapan, kami bertiga mencari-cari tempat untuk duduk. Mungkin sedikit nakal, aku membiarkan kipas terpasang. Maklumlah, aku tak nak Miqhail berpanas. AKu turut membiarkan lampu dari telefon bimbit terpasang. Cahayanya cukup terang, menemani kami bertiga.

Sempat juga aku menjenguk ke luar jendela. Aku memang dah agak. Tak ramai yang nak laksanakan kempen ni.

Tak berapa lama kemudian, abah, umi, ayuz balik. Bising betul rumah jadinya dengan celoteh Ayuz. Dia luahkan rasa hampa dengan penduduk di kawasan ini. Tak adapun yang menyahut. Kalau adapun, beberapa orang sahaja yang boleh dikira.

Ayuz juga ada cerita, ada sebuah rumah di hujung lot yang turut sama bergelap. Entah kenapa, hati rasa bangga dengan tuan rumah itu. Mereka hanya menggunakan lilin sebagai teman.

Lilin! Melihatkan itu, Ayuz pun nakal ingin menggunakan cara yang sama. Sudah aku katakan pada dia berulang kali, guna lilin pun ada juga padahnya. Pembakaran bukankah penyumbang pencemaran udara? Ayuz senyum dan tetap berdegil. Kedegilannya itu juga... sikit sebanyak mempengaruhi aku.

Selesai satu jam, aku rasa puas. Ini sahaja cara yang sedikit dapat aku membantu mengurangkan pemanasan global. Harapnya usaha yang sedikit ini membantulah.


Along, Aku & Miqhail... bergelap sekejap je...


Umi, Ayuz dan Miqhail... memang sentiasa memahami... hehehehe

Ayuz... bangga dengan lilinnya... sama juga dengan menambahkan pemanasan global...

Aku...pun lebih kurang juga, 2 kali 5 dengan Ayuz.... bego!

Tidak Retorik Langsung!

Rasa-rasanya, dah seminggu aku tak tengok berita. Mana-mana rangkaian stesen tv punlah. Pukul 8 sampai pukul 9 malam. Jarum jam mencecah aje ke pukul 8. secara tak langsung, telinga aku jadi pekak, mata aku jadi buta. Bukan setakat tahun ini saja. Aku kira, sejak aku dibangku sekolah menengah lagi, dah terbiasa. Masuk saja minggu panas ni, abah memang tak buka mana-manapun siaran tv yang ada berita. Kadang-kadang, dia sengaja menonton Dvd dan Vcd yang dah berabad lama kami tonton. Gara-gara, enggan tengok berita.

Aku masih ingat lagi, ketika di sekolah St Mary dulu, waktu itu subjek sejarah. Cikgu aku... Ya! Cikgu aku seorang bangsa India yang fasih berbahasa Melayu. Malah, petik jari saja dia mampu cerita dari A sampai Z tentang Sejarah Tamadun Islam juga Tanah Melayu.

Nak dijadikan cerita, perhatianku dalam kelas sedikit terpesong (al-maklumlah... pelajar nakal). Aku terpandang ke luar jendela, dan lihat ada sepasang suami isteri sedang mengusahakan kebun sayur. Cantik pemandangannya. Aku asyik melihat kegigihan pasangan itu sehinggalah satu suara menyergah dan menyentap lamunanku.

"Boleh awak terangkan saya tentang apa yang saya terangkan tadi?"

Macam biasa, aku tersipu-sipu. Dah terkantoi!

"Mesyuarat UMNO semalam...?"

"Eh, bagus.... saya ingat kamu tak dengar"

"Saya dengar... tapi kalau cikgu tanya tentang apa yang saya dengar tentang apa atau siapa yang cakap apa di mesyuarat tu, saya tak boleh nak cakap"

"Kenapa pula? Itukan isu semasa..."

"Kalau ada seorang pun macam cikgu... cukuplah, tentu saya sendiri yang buka siaran tu. Tapi..."

"Apa?"

"Ayah saya tak nak tengok... semua dalam tu bercakap... menjerit-jerit.... terlolong macam kena sampuk hantu. Sakit telingalah cikgu... satu benda pun saya tak boleh nak faham. Baik saya tutup aje, tengok cerita dari Vcd lagi bagus"

Aku masih ingat lagi, sebaik sahaja aku menghabiskan ayat tu, satu kelas ketawa. Aku pelik, sebab aku bukan buat lawak. Itu memang kebenarannya.

Oleh kerana sudah terbiasa, sehinggakan hari ini aku tak sanggup tengok liputan tentang perhimpunan UMNO. Entah macam mana, semalam aku terbuka juga Berita Utama di TV3. Masa tu, jam baru pukul 8... tujuan aku buka pun bukan apa, cuma nak melihat ada apa-apa tak yang sedang berlangsung sebelum kempen 'EARTH HOUR' dilaksanakan.

Aku gagahkan juga mata dan telinga, melihat dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh 'seseorang' itu. Tak sampai seminit... aku geleng kepala.

Rasanya dah bertahun-tahun aku tinggalkan sekolah St Mary, tapi trend pemimpin-pemimpin ini masih tak berubah. 'Seseorang' itu..., berdiri megah di belakang podium. Pembesar suara tepat di muncung mulutnya yang merah jambu (bak pakai pemerah bibir). Mukanya kemerah-merahan. Dan 'seseorang' itu juga yang menyampaikan amanatnya umpama langsuir dan 'Pontianak Harum Sundal Malam'.

Bosan betul... pencemaran bunyi. Sakit telinga aku. Ayatnya kosong. Diulang-ulang, semua orang dah tahu. Perlukah 'seseorang' itu berhujah sebegitu rupa? Macam budak kecil yang takut kalah dalam pertandingan syarahan peringkat kelas!

Aku teringat pula ketika aku belajar di sekolah rendah di Bandar Baru Selayang. Masa itu aku baru darjah 5, dan cikgu kelas aku... Puan Nik Azniah, memilih dan melatih aku untuk masuk pertandingan syarahan antara kelas. Aku ingat pesan dia ketika itu....

"Shahaini, kalau kita nak beritahu sesuatu pada sekumpulan orang yang ramai... pastikan ayat yang nak disampaikan mudah difahami dan yang paling penting ada isi. Jangan terjerit-jerit... sakitkan tekak awak dan telinga orang. Faham?"

Aku mengangguk. Sebab perkara itu yang paling mudah untuk aku fahami. Al-maklumlah, budak-budak sekolah memang cepat tangkap.

Hari pertandingan, aku patuhi ajaran cikguku itu. Tetapi, aku sedikit goyah, apabila ada seorang peserta yang juga pelajar perempuan menyampaikan syarahannya dengan penuh bertenaga.

"Wah! Tak payah pakai mic pun tak apa" bisik hatiku.

Sudahnya, bila keputusan diumumkan... (hehehe... bukan nak angkat bakul ya), aku dapat tempat pertama dan si budak yang jerit-jerit tu langsung tak dapat tempat. Alahai, kesiannya.

Aku berlari, tanya pada cikguku....

"Kenapa dia tak menang, rasanya suara dia lagi kuat cikgu?"

Puan Nik senyum aje...

"Itu taktik kotor namanya... tak ada isi, tapi nak menang persembahan...,"

Jadi sekarang, aku tertanya-tanya. Adakah mereka yang terjerit-jerit ketika berhujah di perhimpunan itu semuanya ingin menang sorak atau tidak ada retorik langsung dalam hujahan mereka.

Jangan salahkan aku kalau aku masih memilih bekas timbalan perdana menteri Malaysia 1998 sebagai penghujah terbaik dan pemimpin yang tak perlu mengorbankan kotak suaranya hanya sekadar hendak menang sorak.

Saturday, March 28, 2009

Hari ini masih ada... esok?

Tak ada banyak untuk aku perkatakan. Cuma hari ini ada sesuatu yang menyekat minda. Kebiasaannya, aku masih bisa memandang melangkaui batas waktu. Namun, tatkala aku membaca tajuk berita di semua dada akhbar hari ini... nyata pandangan aku segera kabur. Otak aku serabut tahap kritikal.

Kenapa aku alami kekaburan walhal bekalan cahaya gah disetiap ceruk?
Pandang kiri... pandang kanan....
Aku hanya nampak bom, bom dan letupan....

Bom...
Letup...
Manusia....
Meletup....!!!

Bisakah ada hari esok untuk kita?

Tuesday, March 24, 2009

Hari AKU... KONVOLAH...APA LAGI?

Sedikit lewat, tapi tidak mengapa. Aku masih ingin berkongsi berkenaan hari bahagia seorang AKU (dengan maksud AKU... maknanya AKULAH!)

Imbau kembali, lebih kurang empat tahun yang lalu, pertama kali aku memohon restu umi dan abah untuk sambung belajar. Mereka memang gembira, sebab sebetulnya waktu itu aku baru sahaja selesai menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (tak perlulah disebut berulangkali di mana...?).

Namun, bila mereka tahu yang aku ingin melanjutkan pelajaran bukan dalam jurusan undang-undang... mereka terkejut. Persoalan yang timbul dari mereka... kenapa penulisan dan bukannya undang-undang?

"Dah bosan dengan perundangan. Nak cuba penulisan pulak!"

Memang benar aku dah jemu dengan perundangan. Aku masih terdengar-dengar suara pensyarah yang tidak puas hati dengan undang-undang di negara kita. Masih tidak punya undang-undang sendiri dan berpaksikan undang-undang yang diperkenalkan oleh British. Jangan lupa, bukankah Malaysia di bawah naungannya dan termaktub dalam negara-negara komenwel? Oh ya!

Sebetulnya, aku memang mencintai bidang perundangan juga penulisan. Awalnya, aku ingin menjadikan undang-undang sebagai tunjang kerjaya dan penulisan pula untuk ruang aku menyebarkan pemikiran.

Takdir telah memandu aku ke arah yang aku sendiri tidak pernah terfikir. Satu perbincangan di dalam kelas telah menerbitkan rasa jijik aku untuk bergelar pengamal undang-undang. Jangan tak tahu, aku pernah menjadikan Karpal Singh (Singh Is Kinng) dan juga Azalina Othman sebagai idola. Opps... dulu ya? Sebelum mata ku celik.

Satu insiden, yang hebat diperdebatkan bukan saja di parlimen malah di setiap kelas yang aku ikuti. Amboi! Muaknya aku dengar. Suara-suara kecil tak habis menempelak perundangan Malaysia yang terus kukuh di situ. Ah, jawabnya... aku malas nak teruskan lagi. Tambah pula bila melihat si Hanif, terlepas dan bebas. Mampuslah! Jadi, selamat tinggal cintaku bernama undang-undang tak bermata.

Aku sendiri tertanya-tanya, apa sudahnya jalan hidupku. Aku lebih banyak berkira-kira itu dan ini sehinggalah di satu hari, adikku, Ayuz datang menyapa.

"Apa kata kau isi borang masuk belajar ASK ni? Lagipun, kau memang suka menulis, kan?"

Di sini aku perlu ucapkan terima kasih pada satu-satunya adik, jiwa dan nyawaku. Kalau tidak kerana dia... mungkin aku masih tidak mengenal potensi dan jiwaku sendiri. Along juga, seorang kakak yang paling 'cool'. Tak perlu cakap banyak, tapi dia antara orang yang sentiasa memberi kata-kata perangsang dan semangat. Buatkan aku mengenal lemah dan kekuatan diriku sendiri. Along, gua caya sama lu!. Abah dan Umi tak menghalang, malah masing-masing menasihatkan aku sebelum menjejakkan kaki ke ASK.

"Kalau itu pilihan kau, buat yang terbaik"

Aku juga sampaikan khabar ini kepada seseorang dan satu-satunya jejaka yang bertakhta dihati. Yang hari ini ku gelar sebagai kenangan. Nasihatnya bagai orang acuh tak acuh, tapi cukup bermakna untuk aku kenang sampai bila-bila.

"Awak kalau dah masuk tempat macam tu, jaga diri elok-elok. Tempat macam tu bukan boleh percaya sangat. Silap-silap, awak lupakan saya pulak"

Ingin rasa dihati untuk aku membalas, tapi bibirku kelu. Kalaulah hari itu bisa kembali akan ku katakan

"Cukuplah kalau awak percayakan saya"

Itu semua kenangan. Kenangan yang tidak akan terluputkan dan terus mekar dalam memori. Dia masih selalu ada dalam hidup dan juga hatiku. Ya, aku memegang kata-kata Imaan. Biar hubungan kasih dari hati itu telah terkubur, tapi sayang yang terjalin antara manusia... terlalu sia-sia untuk kita putuskan. Si dia yang bergelar kenangan kekal sebagai kawan dan sahabatku.

"Awak, terima kasih kerana selalu ada."

ASK...
cintaku terus mekar. Pada hidup, pada erti kehidupan dan pada erti setia-kawan.
ASK...
cintaku tidak akan luput. Pada keilmuan, kekitaan dan kecintaan pada bahasa dan bangsaku.
ASK...
aku terlalu bertuah pernah berjalan, belajar, tidur dan hidup di atas namamu.

Majlis konvo yang berlangsung, (ketepikan haru-biru yang turut terjadi... okay?) membuatkan aku sayu. Sayu melihat wajah teman yang aku sayang untuk sekian kalinya. Sayu menghirup udaranya setelah sekian lama. Sayu... kerana tidak bertemu dengan insan-insan yang menjadikan aku insan dan bukannya manusia. Sayangnya, mereka tidak ku temu. Ada yang sedang bercuti... ada yang sedang berkerja dan ada pula yang sudah menyahut seruan Illahi.

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Insya-Allah, segala ilmu yang telah dicurahkan akan aku ikuti. Sesungguhnya, tanpa anda semua, diri ini masih lagi dangkal dan hilang.

Terima kasih dunia, nyawa dan syurgaku :

Abah dan Umi
Along
Ayuz

Ahli Baru :
Abg Zamri
Miqhail (Pari kecilku)

Guru-guru:

Allahyarham Tuan Haji Zubir Ali
Tuan Haji Ghazali Abdullah
Tuan Haji Abd Rahim Abdullah
En Ridzuan Harun
Puan Sujiah Salleh
En Hassan Muthalib
En Rosman Ishak
Pak Mohamad Ali Majod
En Mohd Zaki Abd Rahim
En Zakaria Ariffin
En Mohamad Sukarno Abdul Wahab
En Jefry Talib
En Namron
Puan Juhara Ayob

Sahabat-sahabat:
Ayshah Tahar
Harvinder Gill

Viva El Divo:
Fatimah
Jiha
Airull
Nurul Mardhiah
Roydy Anuar
Salwa

Teman-teman:
Kak Afna
Along Bib
Fieda
Tarmizi
Mizi

Juga minta maaf kepada sesiapa yang namanya terlupa untuk aku senaraikan. Kalau teringat, insya-Allah akan aku isikan kemudian.

Kepada En Wan (En Ridzuan), maaf kerana saya terpaksa 'durhaka' dengan berdegil meletakkan juga gambar En Wan di blog saya. Saya bangga jadi anak murid En Wan dan selamanya akan terus jadi anak murid (yang nakal mungkin) En Wan.



Saturday, March 21, 2009

Universitikah ASWARA ...

Namanya pun sangat menjengkelkan. Setiap kali aku perkenalkan diri sebagai graduan ASWARA, pasti soalan ini akan ditanya... Apa benda ASWARA tu? ASMARA ke ISWARA ke atau AISHWARYA RAI? Tapi bila aku cakap... A.S.K... Hui, bagus tempat tu....

Aku tak tahu kenapa aku perlu bangga dengan ASK. Hal ini aku perlu ingatkan berulang kali pada diri aku. ASK masih yang terbagus. Memang aku tak bersyukur. Para senior aku pernah cerita, ASK bangunannya tinggi, selalu cari gaduh dengan orang-orang pejabat. Tak ada kemudahan itu dan ini. Tak ada buku-buku yang cukup untuk dijadikan rujukan. Tak ada studio tari tak ada makmal penulisan. Ya, memang aku tidak bersyukur. Entah kenapa hati aku mencemburui graduan yang dilahirkan dari ASK. Teramat cemburu. Lebih-lebih lagi bila melihat mereka lengkap berpakaian jubah dan skroll di tangan. CEMBURU DAN IRIHATINYA AKU!

Sekarang aku persoalkan... bangunan ASWARA yang memangnya besar. Walau duduk sedikit terceruk tapi masih mampu memakan tanah bukit yang menghijau. Sekarang hampir-hampir botak. Lantaklah, bak kata seseorang yang aku kenal. Ada pengorbanan untuk suatu kemajuan. Ya... ASWARA kini dah semakin maju. MAJU? MAJU SANGATLAH KONON!

Ini yang siswa-siswi ASWARA banggakan. Selain mencabuli flora, fauna juga turut ternoda.

ASK... mungkin tidak sehebat ASWARA. ASWARA lengkap dan bak kata 'orang' dalam... ASWARA adalah institut pendidikan kesenian yang paling sempurna dalam Malaysia dan akan menjadi misalan di rantau ASIA.

Aku hanya boleh katakan... angan-angan. Mat Jenin pun boleh cakap macam tu.

Bukan. Bukan aku persoalkan kredibiliti ASWARA. ASWARA memang terbagus dan terbaik. Barisan tenaga pengajarnya bukan persoalan di sini. Mereka memang yang terbaik antara yang terbaik. Tapi itu sahaja tidak mencukupi.

Aku naik menyampah, meluat dan terkadangnya 'naik hantu' setiap kali berdepan dengan golongan pentadbir ASWARA.

Kenapa? Soalnya bukan kenapa? Tetapi, perkataan yang boleh aku letakkan.... MALANG!

Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki sebagai pelajar ASWARA sehinggalah sekarang... sembilan bulan bergelar graduan segala urusan tak pernah ada yang mencapai tahap memuaskan. Kalau ada 'rating' yang boleh aku letakkan atau beri hanyalah setakat ... 'KURANG MEMUASKAN' itu pun atas dasar simpati.

Minggu pertama (ketika itu masih dibawah ASK... tapi sudah berbau ASWARA), orientasi. Hebat. Hebat? Tak perlu diriwayatkan di sini.

Sebulan, aku terkejut. Bukan kejutan budaya. Tapi aku terkejut kerana kurangnya budi bahasa di ASWARA. Ya... tempat yang poster kiri dan kanannya 'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'. Aku pun tak faham, apa kriteria untuk seseorang itu bergelar pekerja suruhan kerajaan. Adakah kerana wajah? Kecekapan? atau sekadar masuk tangan belakang?

Kalau nak kata wajah, tak sampai pun ke tahap AYU ONE IN A MILLION, kalau nak katakan cekap, cekap lagi penyambut tamu kat tempat kerja aku ni... tak payah pakai ijazah kot! Masuk tangan belakang? Oppss... akak tak boleh nak bagi komen.

Al-kisahnya... tanggal 18 Mac lalu, kami siswazah ASWARA yang dikumpulkan 2 penggal (2007-2008... apa ke jadahnya kumpul sampai 2 penggal? Kau pikirlah sendiri) semata-mata untuk peristiwa bersejarah. Ah... persetankan dengan sejarah... semuanya PARAH BELAKA!!!

Mula-mula, dapat panggilan. Hari khamis, 5.3.2009, tepat pukul 8.30 malam, dari pejabat ASWARA. Suara halus, sayup-sayup kedengaran memberitahu yang majlis konvo akan diadakan pada 19 Mac 2009.

Mulanya aku hanya anggap itu penangan kengkawan aje, macam wakenabeb tu. Apa taknya? Kalau korang kat tempat akulah, boleh percaya tak yang panggilan tu betul? Dahlah isu konvo ni macam nanah aje buat kami yang dah berabad graduat! Paling lucu, staff yang buat panggilan siap mintak tolong aku sampaikan pada kengkawan aku yang lain? Aku malas nak banyak cerita, aku pun beritahu nama-nama yang 'dia' perlu hubungi. Apa hal plak aku kena buat? Aku tak dapat gaji pun dari ASWARA! Dahlah beberapa kali duit aku ASWARA tak bayar. Simpan kat dalam perut siapa pun aku tak tahu. Tapi yang aku tahu, siapa jugak yang kebas duit titik peluh aku selama aku kat ASWARA... tak HALAL! Apa? Taulah aku bukan TUHAN nak cakap macam tu, tapi fikirlah sendiri, okay!

Aku beritahu ahli keluarga aku yang lain. Ada yang pelik, geleng kepala... tak percaya sebab tak ada surat jemputan yang rasmi. Hah!

Lagi memalukan muka aku sendiri bila abah mula buat perbandingan dengan universiti UiTM dan UIA...(Along UiTM dan aku pernah di UIA). Masa tu jugak abah labelkan ASWARA-TAK PROFESIONAL LANGSUNG! Aku tebalkan muka, kata bukan salah ASWARA, tapi pihak atasan tak dapat beri tarikh.

Macam biasa, umi dan abah termasuk Along, Abg Zamri, Ayuz dan aku jugak. Ada 3 kali pengalaman menghadirkan diri ke majlis konvo. Jadi, sebagai ibu... umi tahu hari itu hari bersejarah (kali ke-2 buat aku). Dia siap suruh aku tempah baju untuk konvo. Aku menurut aje. Masalah timbul bila tukang jahit kata dia tak boleh siapkan awal, dan yang paling awal pun 18 Mac pukul 6 petang. Umi setuju aje, kata sehari sebelum pun dah okay. Macam biasa, aku menurut.

Siapa sangka sial akan menimpa majlis konvo yang sepatutnya berlangsung 19 Mac? Eh, mestilah ada yang dah jangka... kakitangan kepala-mulut ASWARAlah apa lagi! Memperkotak-katikkan kami... siswazah-siswazah yang macam tak ada kerja lain!

Pagi Sabtu, 14 Mac 2009... aku terima satu SMS dari ASWARA. Mengatakan Konvo ditunda ke tarikh 18 MAY! Mangkuk Ayun betul. Aku malu sekali lagi kat umi dan abah, terutama sekali pada abg Zamri (UTM & UUM) dan Along (2 kali kat UiTM).

Nasib baik mereka memahami. Katanya

"tempat baru macam tulah, tak organize lagi"

Tengah hari dapat pula panggilan dari pejabat ASWARA

"maaf ya, sebenarnya 18 Mac...!"

Hah! Ini betul-betul sialan! Kau pikir aku ni barua ke apa? Suka-suka hati nak ikut jadual kau yang macam tongkang pecah!!!

Aku berlari lagi, bagitau umi dan abah. Along dan abg Zamri pun ada. Kali ni, dorang senyum dan cakap....

"Tempat baru macam ni...? Memang tak organize langsung!"

Hah! Tak ke malu muka aku? Aku tak berapa nak kisahkan sangat nasib yang menimpa diri aku. Pada hari berlangsungnya konvo tu, aku pakai yang aku tempah khas masa along bertunang. (Kau bayangkan ajelah, along dah beranak sorang pun sekarang. Lama betul baju yang aku pakai tu. Gara-gara nak ikut kehendak bangsat.... A-Sewel-WARA) Bangang! Tolol!

Kalau korang ingat itu kesudahannya... tidak! Masih banyak lagi peristiwa luka.

1 - Susun atur berterabur. Sekali lagi, aku tahu... abah sedang memerhati dan mencatat kekurangan ASWARA. Bilalah ASWARA ni ada kelebihan agaknya pada pandangan abah. Malu aku!

2 - Tetamu dilayan dengan begitu .... SIAL SEKALI! Hari tu, umi dan abah diberi layanan ... boleh tahan sebab mereka tak komen apa-apa tentang layanan. Tapi, ada 'anjing' yang menahan Along dan abg Zamri sebab bawa budak kecil. Biar aku terangkan... nanti korang anggap aku tak reti baca arahan.. budak-budak di bawah 12 tahun tak dibenarkan masuk. Sekarang ni, yang aku maksudkan bukan masuk ke dewan. Tapi masuk ke tempat pameran. Apa ke jadahnya mereka datang kalau duduk kat kaki lima? Dahlah tempat tetamu tak diberi skrin putih supaya mereka sama-sama lihat. Macam kat UiTM, UIA dan semua U yang lain. Opps... mereka semua kan U... mana nak sama dengan A... A-Sewel-WARA!

3 - Kena tunggu lama. Abah komen lagi. Yang paling pedih. ASWARA tak tahu adab. Tak kenang budi. Abah tanya kat aku....

arwah Zubir Ali siapa sebenarnya kat ASWARA ni?

Aku jawab,

"pensyarahlah abah, kenapa?"

Abah geleng. Dia kesal sebab ASWARA tak tahu kenang budi dan tak tahu adab. Adab apa?

"Tak baca AL-Fatihah pun!"

Aku pun kecewa juga. Aku tak sangka tiada bacaan AL-FATIHAH untuk arwah. Sekurang-kurangnya, itu sahaja yang mampu dilakukan... itupun tak terbuat. SOMBONG BENAR ASWARA!

4 - Selepas Konvo. Ada minah call aku.

"Bila boleh hantar jubah, sehari sepuluh ringgit denda"

Sebelum tu, tempoh pinjam hanya 3 hari. U lain... seminggu. UIA pun macam tu. Aku bukannya apa, manalah mereka-mereka yang lain sempat nak bergambar dengan famili. 3 hari tak cukup beb. Agaknya zaman dorang berkonvo dulu tak suka simpan gambar kenangan dengan famili. Jadi, mungkin sebab itulah mereka-mereka ini tak faham, kenapa aku dan ramai yang lain tak boleh hantar dengan segera. Lagipun, kami semua dah bekerja. Bukan penganggur. Nak bertempek kat ASWARA 24 jam. Macam-macam prosedur kena buat. Itu ini. Mintak bos pelepasan, itupun kalau dapat bos yang memahami. Kalau dapat bos yang suka ikut angin sendiri? Suka-suka hati nak denda konon.

Aku tak kisahlah... ambil ajelah duit deposit tu kalau lapar duit sangat!

Kesimpulan.....
Nak buat konvo berabad lama....
Bila buat.. macam stail koboi....
Inform pakai SMS je...
apa ingat konvo ASWARA ni macam UNDI MASUK AFUNDI KE???

WHAT THE DAMN-FUCKING UNIVERSITY IS THIS?

Friday, March 20, 2009

Selamat Tinggal Kekasihku...

Masalah demi masalah yang menimpa aku. Kali ini, setelah empat tahun berkasih-kasih dan menjalinkan hubungan mesra, akhirnya aku terpaksa lepaskan juga Romi Junior. Ya! Gelaran yang aku berikan kepada komputer riba kesayangan aku. Romi Junior telah banyak membantu aku. Segala-galanya ada dalamnya. Cerpen, novel, skrip, lirik lagu dan juga kisah peribadi hidupku, dikandungnya sejak empat tahun yang lalu. Kerana Romi Juniorlah, karya-karyaku seperti Peristiwa Malam, Kasih Di Hujung Nafas, Rindu Pada Matahari dan juga tugasan-tugasan ketika di ASK/ASWARA dulu mampu kusiapkan.

Kini aku harus terima kenyataan. Romi Junior sudah terlalu nazak. Tak bisa berjuang untuk hidup. Romi Junior sudah lama tenat, tapi aku tetap gagahkan jua dan lebih tepat lagi, menyeksa batinnya. LCDnya sudah tidak berfungsi lagi. Terbakar, gara-gara nak menyiapkan PeTA. Sebelum sempat menyiapkan PeTA seluruhnya, LCD meletup dan terbakar. Mungkin, kalau aku nyatakan disini, sepanjang hari ini aku tetap menggunakan khidmat Romi Junior. Ya, aku menggunakan Romi Junior dengan menggunakan monitor pc(yang besar gedabak tu) sebagai ganti. Kalau nak ketawa, ketawalah sebab, aku dah biasa dengar orang ketawakan aku. Ada juga yang cakap aku ni kedekut, kenapa tak tukar atau beli saja yang lain. Jawabnya, 'kau ada duit ke nak tolong bayarkan?'

Aku masih lagi teringat, kenangan aku bersama-sama Romi Junior. Memandangkan Romi Junior antara Notebook ACER yang terawal, tentu sekali beratnya juga... boleh tahan. Bayangkanlah, ketika sibuk di ASWARA dulu dengan tuntutan menyiapkan PeTA serta tugasan-tugasan lain, aku menjinjing Romi Junior saban hari. Aku gagahkan kaki mendaki setiap tangga di ASWARA. Al-maklum sajalah, lif di ASWARA selalu 'OUT OF ORDER'. Aku pun pernah terperangkap dalam lif sebanyak dua kali. Seronok? Tak... padan muka aku. Mungkin balasan sebab selalu sangat mengutuk ASWARA. Mungkin....

Kakiku yang boleh tahan kecilnya (berbanding saiz badan di atas) mendaki ke perpustakaan ASWARA yang amatlah unik bangunannya. Kalau dilihat dari luar macam bentuk rebana. Ya! Tangganya juga sedikit berpusing. Aku pula, dengan saiz badan yang umpama JUMBO (anak gajah) terpaksa mendaki sehingga ke tingkat paling atas. Tingkat 6. Tingkat itu sudah umpama syurgaku. Setiap kali aku datang (aku datang memang awal, paling awal pukul 7 dan paling lewat 10... ikut kelas ya!) aku pasti terus menuju ke perpustakaan. Sehinggakan Puan Jamaliah dan Puan Natrah dah cukup kenal dengan aku. Mereka berdua juga menggelar aku... penunggu! Nama yang sedap didengar. Kalau aku rajin, aku akan bantu mereka menyusun buku. Pelajar ASWARA memang 'minat' sangat baca buku. Bersepah-sepah sampai ke lantai! Adakalanya aku mengutip sampah makanan. Ya, pelajar ASWARA memang tak sempat nak berehat, itulah adakalanya mereka curi-curi makan dalam perpustakaan. Termasuklah aku.

Kembali kepada Romi Junior. Tentu pelik bukan? Kenapa aku namakannya sebagai Romi Junior? Hmmm... mungkin belum tiba masa yang sesuai untuk dikongsi bersama. Okay, bila mengenangkan semua kenangan bersama Romi Junior, aku rasa sedih dan sedikit kecewa. Kedegilan aku untuk tidak menggantikan mukanya(LCD) telah mengundang ajalnya. Kali terakhir aku dapat menyentuh papan kekuncinya, pada malam Khamis. Aku siap menyediakan artikel yang perlu diserahkan kepada bos di pejabat hari esoknya.

Memandangkan pejabat aku yang hebat kekurangan bekalan komputer, jadi aku dengan bermurah hati hendak menggunakan komputer riba sendiri dengan menggunakan talian internet broadband sendiri. Tak mahu bergaduh, berebut dengan pekerja lain untuk menggunakan 2 buah komputer yang juga sedang nazak. Malangnya, sebaik sahaja aku memetik butang 'operate' Romi Junior menjerit nyaring. Aku tutup dan menghidupkannya semula berkali-kali tetapi bak kata orang, ajalnya dah tiba. Aku relakan Romi Junior pergi.

Hari ini, umi telah membelikan aku sebuah notebook yang juga jenama ACER yang baru supaya aku terus berkarya. Sayangnya, kecanggihan si ACER baru ini langsung tidak memikat hati. Aku sentiasa bergaduh dan selalu saja menghentak kepala ke mana-mana dinding atau meja yang berhampiran. Nasib aku baik sebab kepala aku masih belum retak. Mana tidaknya, si ACER baru ini leceh dan sedikit rumit. Memang dia ringan dari Romi Junior, ringanlah juga pengisiannya. Tak sepantas Romi Junior. Terkadang, aku keluar masuk tandas, dia masih lagi memuat-turun. LEMBAP dan menyakitkan hati.

Aku bertekad... aku pasti akan menghidupkan semula Romi Junior, akan aku gantikan mukanya dengan LCD yang baru. Akan aku rawati pemain CD yang telah tercabut rodanya (tercabut semasa aku cuba nak selamatkannya). Barang yang baru memang semakin canggih, tapi hati aku tetap dengan barang yang lama, sebab kecintaan aku bukan pada kecanggihannya tetapi pada keselesaan dan keserasian kami bersama.

Romi Junior... Baiduri rindu sangat......
tunggu, kita pasti akan ditemukan kembali!

Sunday, March 8, 2009

Perginya...tak akan kembali

Aku mungkin sedikit lewat...
kerana masih berkira-kira dengan percaturan takdir
kehidupan yang pastinya akan disusuli dengan kematian...

Panggilan yang kuterima tepat pukul 12.30 tengah hari, Jumaat (semalam) cukup menggugat fokusku terhadap kerja di depan mata. Dari corong telefon, sayup-sayup kedengaran suara temanku...Airull

"Akak, ada dapat sms yang encik Zubir dah meninggal?"
"Astaghfirullahal-azim...., akak baru je bercakap dengan encik Zubir beberapa minggu lepas. Cuba telefon nombor encik Zubir. Mungkin ada orang salah hantar," kataku cuba memujuk sekaligus menafikan khabar itu. Tak percaya.

Airull akur. Dia cuba segala upayanya untuk menghubungi sesiapa yang mungkin tahu bagi mensahihkan khabar itu.

Manakala aku terus berdoa. Cuba menafikan dan meyakinkan diri. Itu sekadar khabar angin. Hatiku berbelah bahagi. Antara tugas di depan mata dan juga ingatanku yang sudah melayang jauh mencari encik Zubir.

Telefon bimbitku bergetar. Sms masuk. Sms dari Airull. Berat hati untuk membaca kandungannya.

"Dah cuba telefon nombor encik Zubir tapi tak ada 'line', dah sms tapi tak ada balasan"

Jantungku bergoncang. Amat kuat. Rasa satu rentapan dan seakan terputus sedikit demi sedikit dari tangkainya.

Mungkin benar, encik Zubir sudah kembali menyahut panggilan-Nya. Mataku mula bergenang. Tapi kutahan. Tidak mahu dilihat oleh rakan-rakan sejawatan yang lain.

Beberapa minit kemudian, satu sms diterima. Kali ini, nyata menyambar segala kekuatan diri. Tidak sanggup rasanya untuk menatap bait-bait kata itu. Terutama sekali di ayat terakhir.

"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Mont Kiara selepas asar"

"Inalillah-wa-innalillahirajiun...."

Sesalan aku tidak akan bernoktah. Aku terduduk. Air mata tidak dapat tercurah. Sebaliknya, ia mengalir laju di dalam hati. Janjiku pada encik Zubir hanya kekal sebagai janji.

Beberapa minggu lepas, (beberapa minggu selepas kali terakhir aku bertemu dengan arwah encik Zubir di Malam Puisi Demimu Palestine) aku menghubungi encik Zubir. Suaranya riang dan tidak perlu aku bersusah-susah memperkenalkan diri.

"Hah, kamu. Telefon saya ni nak interviu sebagai wartawan ke?" soalnya berseloroh.
"Taklah encik Zubir... saya nak bertanyakan tentang lagu baru encik Zubir... Surat untuk Tuan Presiden,"
"Boleh... awak nak tanya apa?"
Belum sempat aku menjawab, ada suara yang menghentikan perbualan aku dengan encik Zubir.
"Maaflah, ada tetamu di rumah saya ni... boleh kita sambung kemudian?" pintanya.
"Boleh... tentu boleh," ujarku. Aku faham. Encik Zubir memang sentiasa sibuk.
"Jangan lupa telefon saya balik, kita boleh borak-borak panjang... dan bincang tentang lagu tu,"
"Insya-Allah..."

Malangnya... sehinggalah encik Zubir menghembuskan nafas terakhir, jemari aku tidak juga mendail nombornya yang sememangnya ada dalam simpananku. Sampai ke hari ini dan hari seterusnya, lagu Surat untuk Tuan Presiden akan kekal sebagai persoalan besar dalam hidupku.

Pemergian encik Zubir seakan meragut sekeping jiwa yang ada dalam diriku. Dia bukan sekadar guru yang mengajarku subjek penulisan lirik, malah dia salah seorang guru yang mengajar erti kehidupan. Aku belajar menghargai diri. Aku belajar menyayangi alam dan aku belajar menyayangi jiwaku sendiri.

Keletahnya sewaktu di dalam kelas amat menghiburkan. Masih terbayang-bayang gerak tubuhnya menggayakan lagu Tanpa Mu nyanyian Farahwahida. Setiap kali sesi dengannya, pasti ada antara kami menjadi mangsa usikannya.

"Kalau awak dengar lagu ini, mesti awak menangis! Lagi hebat dari lagu Kenangan Terindah..." katanya di saat memperkenalkan lagu DEALOVA kepada ku kerana ketika itu aku terlalu obses dengan lagu nyanyian Samson.

Malah, dia tidak pernah lokek dengan kami... pelajarnya. Sebagai pelajar, kami seringkali mengiringinya setiap kali habis kelas sehinggalah sampai ke keretanya. Seperti para pensyarah jemputan yang lain, encik Zubir juga gigih membawa keperluan mengajarnya sendiri. Maklumlah, di ASWARA ini banyak kekurangannya terutama sekali kepada fakulti penulisan (aku harap kekurangan itu sudah berjaya diisi ketika ini).

Siapa sangka... dalam usik-mengusik dan gurauan kami (aku, Airull dan Fatimah), encik Zubir mempelawa kami untuk mendengar album kompilasi terbarunya (di ketika itu). Bak kata orang, pucuk dicita, ulam mendatang. Kami pun tanpa segan silu masuk dan duduk di dalam keretanya. Bukan setakat seminit dua... tetapi sehingga habis dua buah lagu. Lagu yang berkumandang di dalam keretanya ketika itu adalah lagu Balada Seorang Gadis Kecil.

Sebelum berpisah dengannya, aku ada menunjukkan lirik yang aku buat (malangnya sehinggalah ke hari ini, seorang pemuzik pun tak tahu nak buat lagu untuk dipadankan dengan lirik itu)

Aku masih ingat lagi reaksinya. Sambil mencecahkan roti arab ke dalam kuah, dia tersenyum memandangku. Aku menunggu dengan penuh harapan, biarlah sesuatu yang positif terpacul dari mulutnya. Dia memandang ke arahku sekali lagi.

"Tak sia-sia ilmu yang saya ajar pada kamu semua," kata-kata itu terpacul dimulutnya.
"Kalau boleh, saya nak tengok kamu semua masuk dalam Juara Lagu," ujarnya lagi penuh pengharapan.

Segala-galanya tidak kesampaian.

Selang beberapa lama kemudian, akhirnya kami dipertemukan sekali lagi. Kali ini di Malam Puisi Demimu Palestine. Bila bertemu dengannya, aku sengaja bertanya soalan bodoh... sama ada dia masih ingat padaku atau tidak.

"Mestilah saya ingat. Sekarang buat apa?" soalnya yang ketika itu sibuk dengan gitarnya.
"Nak buat kerja," ujarku.

Dia senyum.

Senyumannya itu masih jelas terbayang. Kata-katanya akan aku jadikan panduan hidup. Aku berharap, di satu hari nanti.... lirik nukilan kami semua akan tercalon untuk Juara Lagu, kerana ia adalah harapan arwah kepada kami. Biarpun amat mustahil, tapi jika kita terus berusaha... pasti boleh! Insya-Allah.

Aku tinggalkan hari ini dengan ucapan takziah kepada keluarga encik Zubir. Manakala bagi aku pula... encik Zubir bukan sekadar guru... dia telah ku anggap seperti bapa sendiri. Dan kini, dia telah kembali kepada-Nya dan meninggalkan kami yang masih belum puas menghabiskan masa bersama-samanya.

Semoga Allah mencucuri rahmatnya. Al - Fatihah...


Alangkah indahnya dunia jika arwah sempat melihat kami berkonvo.

Thursday, March 5, 2009

Lintah, Tikus dan Manusia

Hari ini, aku nak berkongsi pengalaman. Pengalaman yang paling berharga dan aku pastinya sentiasa menyimpannya jauh-jauh dalam benak ingatanku.Tiga peristiwa yang aku kumpul dan kuriwayatkan semua dalam satu entri.


Lintah
Siapa takut lintah? Kenapa takut lintah?

Makhluk yang perlukan air untuk hidup ini seringkali menjadi ancaman kepada kita, makhluk manusia khususnya wanita. Mungkin kerana kejadiannya yang licin, membuatkan kaum wanita terasa geli. Geli?

Beberapa hari yang lepas, aku bersama seorang lagi rakan telah pergi ke Bukit Sentosa (hanya beberapa minit dari rumahku) untuk satu liputan khas mengenai rawatan kecantikan (rawatan resdung) dengan menggunakan lintah. Pertama kali mendengar perkataan lintah, sesuatu dari dalam diri membuatkan aku teruja.

Ya. Benar. Aku ingin mencabar diriku sendiri. Sebaik sahaja tiba di sana (pyraura) aku seakan tak sabar untuk menjadi tikus putih. Aku tahu, rakanku tidak sanggup untuk menjadi model. Jadi, dengan rela hati aku menawarkan diri. Sebelum sesi rawatan dijalankan, kami diberi peluang untuk melihat lintah-lintah yang digunakan.

Ada yang bersaiz kecil dan ada juga yang telah diklasifikasikan sebagai 'bapa lintah'. Saiznya memang amatlah besar.

Bila aku tengok lintah tu, perasaan takut tiba-tiba singgah. Namun, aku tekad demi tugas. Dan yang paling utama.... melawan rasa takut dan geli. Tatkala lintah-lintah menyapa kulit pipi... tak terasa apa-apa pun. Licin dan berair sahaja. Tapi, bila lintah mula menggigit, rasa sakit itu ada. Bukan sakit yang sakit tapi sakit yang sedap. Sakit yang sedap? Cukuplah untuk aku katakan sebagai 'tak dapat digambarkan dalam kata-kata.

Selesai rawatan, kami pun pulang. Terima kasihlah banyak-banyak kepada kedua-dua pengusaha pusat rawatan yang memang mesra alam. Layanan yang memang cukup baik dan membuatkan aku terfikir untuk kembali membuat rawatan susulan. Bukan setakat demo!

Bila sampai ke rumah, macam biasa Umi dan Abah panik. Apa taknya, keluar rumah elok, balik dah bertampal kapas dan darah masih meleleh.

"Tak ada orang lain ke nak buat? Pandai-pandai kau aje cuba-cuba. Dahlah darah kau tu cair, kalau darah tak berhenti macam mana?" rungut Umi dalam kesamaran malam.

Aku tak terfikir pula sampai ke situ. Mungkin juga aku terlupa tentang darahku. Tak apalah. Alhamdulillah, darah tak mengalir teruk cuma tak berhenti dan terus meleleh sehingga awal pagi. Aneh? Memang aneh sebab abang tu ada cakap, paling lama pun darah meleleh sejam. Aku? Jadi, aku terpaksa menampal kesan gigitan lintah yang masih mengalir sebelum pergi ke tempat kerja. Nasib baik hanya sebelah sahaja yang masih meleleh, kalau kedua-dua pipi...

TIKUS
Sebelum masuk pejabat, aku mengambil kesempatan untuk pergi pejabat pos untuk membayar bil. Takut-takut nanti terlambat bayar, maka banyaklah bekalan yang akan terpotong.

Sebaik saja aku mencecahkan kaki ke dalam pejabat, aku dapat rasakan sekeliling sedang memerhati gerakku. Ada yang berbisik dan ada juga yang tersenyum dan cuba menyimpan senyum. Cubaan yang baik kak, tapi saya tetap nampak.

Satu saja yang paling terkesan dek hatiku. Sepasang sahabat, memandang ke arahku sambil ketawa sakan. Aku dapat mendengar butir kata-kata mereka.

"Nak elak jerawat pun tak payahlah sampai tampal plaster"

Memang tak sayang mulut dan tak sayang budi bahasa. Terang-terang mengutuk orang. Apa nak jadi dengan masyarakat Malaysia hari ini. Selalu sangat menyemarakan kontroversi. Itu baru sikit. Bayangkan golongan atasan kita.... fikirlah sendiri. Tak hairanlah satu ketika dulu pernah ada yang mewartakan tahap mentaliti masyarakat Malaysia tidak mencecah gred B, hanya ditakuk gred C. Bangga jadi rakyat Malaysia? Ubahlah persepsi masing-masing, tak perlu prejudis.

Namun ceritanya bukan berkenaan dengan dua makcik-makcik ini. Ceritanya lebih bertumpukan kepada pemerhatian. Oleh kerana bosan dengan cara mereka bertutur dan memandang. Aku bersandar di cermin pejabat pos. Pandangan mataku tertumpah kepada seekor makhluk kecil yang sedang terjengket-jengket untuk masuk ke dalam pejabat. Sedih melihat keadaannya. Tentu sekali tikus ini baru keluar dari longkang.

Kebiasaanya, kita manusia akan berasa geli melihat makhluk yang dilabelkan kotor itu. Bebrbeza pula dengan aku, ada perasaan pilu melihat kegigihan si tikus mencari ruang... untuk berehat, mungkin. Aku terus memerhatikan dari jauh. Aku ingin membantu, tetapi seakan ada yang menghalang. Aku alih pandang ke tempat lain. Tidak mahu dinampak jelas oleh 'manusia-manusia' lain yang sedang akur menunggu giliran.

Tiba-tiba, pejabat pos gempar. Seorang amoi melalak, diikuti beberapa makcik yang lain. Semuanya geli dan jijik melihat si tikus yang hanya duduk di satu sudut, sebelah pintu masuk. Ya! Setakat menjerit lalu mengelak dan terus masuk. Habis-habis pun mereka mengurut dada dan tersenyum ke arahku.

"Terkejut makcik dibuatnya... besar tikus tu"

Aku membalas dengan senyuman. Faham perasaan makcik-makcik itu. Lalu, ada seorang kakitangan pos yang segak datang, menerpa ke arah pintu. Mukanya merah, seakan ada yang tak kena. Aku terus memerhatikan gelagatnya. Aduh! Kenapa binatang sungguh kakitangan itu? Habis diterajangnya si tikus yang tidak mengganggu orang. Tidak cukup diterajang, dihalau pula dengan batang besi. Ya Allah! Manusiakah orang ini? Kenapa binatang sungguh hatinya? Perlukah disepak terajang makhluk sekecil itu, yang hanya menumpang tempat untuk berehat? Salahkah si tikus menumpang ruang milik Allah? Apalah dosa si tikus diperlakukan sekejam itu? Bukankah elok, tangan yang dikurniakan Allah itu digunakan untuk mengambil tikus itu dan dialihkan ke tempat lain, jika benar si tikus mengganggu.

Aku tidak sanggup melihat. Segera aku alihkan pandangan ke arah lain. Ya! Aku cuba membutakan mata, tapi aku gagal memekakkan telinga.

Aku terdengar suara halus, berdecit-decit... sayup-sayup masuk ke ruang telinga. Tak tertahan airmata untuk menjengah keluar. Akukah manusia? Dijadikan Allah untuk melindung makhluk yang lemah. Aku gagahkan diri, cuba mengerling ke arah si tikus. Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu ini. Sesungguhnya aku tak berdaya untuk membantu makhluk ciptaan-Mu dari terus ditindas. Si tikus terjengket-jengket, meninggalkan pejabat pos dan berteduh pula di bawah pondok telefon. Si tikus lemah tidak berdaya dan menarik ekornya yang sudah kelayuan. Ia menggigit hujung ekor, mengesat darah akibat dihentak manusia yang binatang.

Apa bezanya manusia binatang itu dengan bangsa Yahudi laknatullah?
Aku kira, sama saja. Bangsa Yahudi terus menzalimi bangsa Islam dan manusia binatang itu pula menzalimi makhluk kecil yang tidak berdaya.

MANUSIA
Pada hari yang sama, sewaktu pulang dari kerja aku bertemu dengan satu lagi insiden yang memberi aku peluang untuk belajar. Belajar dari kehidupan. Aku memandu ke sebatang jalan yang kecil dan sesak. Ya, tiada apa yang menarik. Hanya melihat kedegilan dan keegoan pemandu-pemandu yang mempunyai lesen dan 'kaya' mempunyai kereta.

Jalan yang kecil dan sesak. Jam pula sudah tepat pukul 6 petang. Semua warga kerja berpusu-pusu untuk pulang. Ya! Sikap pentingkan diri sendiri, tak lepas dari setiap individu yang bergelar... manusia.

Aku lebih suka memerhati dari diperhati. Jadi, dalam keadaan yang sesak itu... aku lebih rela memberi peluang untuk kenderaan lain untuk keluar dari tempat letak kereta. Kereta di hadapanku pula, lebih agresif. Setiap kali ada nyalaan lampu belakang, mohon laluan... pasti dilajukan lagi keretanya. Buruk perangai betul!

Ceritanya bukanlah tentang pemandu kereta Wira hitam di depanku, tetapi dua buah kereta dari bahu-bahu jalan. Kereta Viva putih dan sebuah teksi. Viva, pemandunya seorang wanita lewat 30-an berbangsa cina dan pemandu teksi pula, seorang lelaki juga berusia lewat 30-an dan tidak pasti bangsanya.

Dua-dua memberi isyarat untuk keluar dari tempat letak kereta dan KEDUA-DUANYA EGO! Jangan lupa, ditambah pula dengan pemandu Wira Hitam yang enggan memberi jalan. Dicampur kesemuanya... penyumbang kesesakan dan kemalangan di jalan yang kecil.

Tidak... tiada kemalangan, tetapi hampir-hampir berlanggar. Si teksi enggan memberi laluan, si kereta Wira dengan lagak wiranya yang terus menderumkan bunyi enjin. Tinggallah si Viva, beralah dan memandu kereta masuk semula ke tempat letak kereta.

Apa yang menghairankan aku, si pemandu teksi dan si Wira tadi... lebih kurang ajar dari Mat-Mat Rempit yang bersidaian di bahu-bahu jalan, menunggu giliran mereka untuk melepasi ruang sempit. Mereka inilah yang memberi isyarat kepada si Wira untuk berhenti dan memberi peluang kepada makcik Viva. Si Wira tetap keras kepala, sedang makcik Viva terkial-kial nak mengundur, ditekannya minyak dan meluncur laju sedikit lagi bergeser dengan Viva. Makcik Viva terhenti sekali lagi. Mungkin trauma dan terus berhenti. Aku tidak berganjak dari posisiku dan terus memerhatikan dari dalam kereta.

Seorang Mat Rempit menaikkan tangan, meminta aku untuk memberi peluang makcik Viva keluar. Aku hanya balas dengan senyuman. Akhirnya, bebas juga makcik Viva. Itupun dengan bantuan Mat-Mat Rempit tadi.

Sekarang buat aku terfikir, bukan semua Mat Rempit itu jahat dan bukan semua Mat-Mat berkereta itu baik.