Pedih menusuk

Hari ini aku sedih sangat.
Amat amat amat sangat.
Ini bukan kali pertama.
Tak tahu adakah aku perlu menyalahkan diri kerana tidak faham?
Atau memang salah aku sebab sengaja tak nak faham?

Pagi tadi, semasa aku mandikan Jaanu dan Jiji, aku dapat rasa Jaanu tak macam biasa. Tak pasal-pasal dia menggarang. Hampir saja hujung jariku mahu digigitnya, dan sesekali dia memanjangkan leher.

"Kenapa ni Jaanu? Apa yang tak kena ni? Marah sangat apahal?" kataku cuba memujuk.

Dia diam sekejap. Aku terus membasuh cengkerangnya. Dan seperti biasa aku mengusik nakal kepalanya. Sekali lagi jariku hampir-hampir jadi makanannya.

"Hish, lapar sangat ke? Lepas mandi kau makanlah puas-puas," kataku lagi sebelum mengangkatnya dan menyelimuti kedua-dua dia dan Jiji.

Sebaik saja aku masukkan dia semula ke dalam bekas, dia kembali memanjangkan leher sambil mengangakan mulutnya luas. Aku tak ambil pusing, dan terus bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Namun aku tak dapat nafikan, hatiku memberat. Rasanya, mahu saja aku menemani Jaanu dan Jiji. Entahlah. Tapi, aku perlu juga pergi ke pejabat. Maklumlah, dateline dah dekat. Lagipun, kalau aku cuti kelakar pula kalau alasan yang aku beri, sebab nak jaga Jaanu.

Masa di pejabat, aku sesekali teringat kepada Jaanu dan Jiji. Maklumlah, entri terbaru pun tentang kura-kura. Jadi, pantaslah ingatan ini sampai ke mereka. Di pejabat lain pula ceritanya dan demi Allah, aku malas nak cerita.

Elok-elok aku cuba memujuk diri, risaukan Jaanu di rumah, aku kena maki habis-habisan dengan sahabat baikku. Punca kemarahan satu saja, sebab aku tak beritahu dia tentang kesihatan aku dan terkejut bila dapat tahu aku sedang tunggu keputusan sahih dari pihak hospital Rabu ini. Maaflah Harvin, tak berniat pun nak sembunyikan hal ni. Aku pun masih ada fikiran yang waras, takkanlah aku nak tambah kerisauan orang, sedangkan dia pun ada masalahnya sendiri.

Tak cukup kena maki dengan Harvin, tahap kesabaran aku diuji pula dengan seorang member ni. Puas juga sepanjang hari aku cuba cari mood, cuba senyum dengan mencari lagu dan sengaja google tentang Salman. Nak naikkan mood. Tup, tup, tak sampai beberapa saat dia hancurkan usaha aku sepanjang hari.

Kenapa ya, manusia suka sangat melihat orang lain sedih?
Tengok orang lain marah-marah?
Apa agaknya yang mereka dapat dengan melihat orang lain sedih dan marah?
Duit? Untung? Pahala?
Apa dia yang buatkan orang sengaja melukakan hati orang?
Mungkin sebab aku ini senang nak dipermainkan?
Kepercayaan aku terlalu gampang dipersendakan?
Biarlah, kalau dah memang dia bahagia dengan cara ini.
Mungkin, ada baiknya juga dengan kesedihan aku, mampu buat orang lain gembira.
Dengan keterlukaan hati aku, buat orang lain bahagia.
Biarlah. Biarlah. Biarlah.
Dia mungkin mendapat satu kebahagiaan, dan Insya-Allah, aku akan dapat lebih berlipat kali ganda.

Aku bertafakur sekejap. Dalam seminit dua, memejamkan mata dan memekakkan telinga. Akhir sekali aku menghembuskan nafas yang amat-amat kasar dan dalam, menyingkir rasa amarah yang menendang kerongkongku.

"Allah," hanya nama dia yang aku lafazkan dan alhamdulillah, kemarahan itu hilang dan lenyap tapi masih berbaki. Aku sekadar manusia, mustahil tidak marah diasak dan dibantai malah dihentam sedemikian.

Tak apalah, moga Allah damaikan hati dia. Moga Allah perkuatkan lagi imanku ini tatkala berdepan dengan keangkuhan dia. Tapi, tak bermakna aku lupakan hari ini. Dia memang tak kenal aku. Atau dia sengaja mencabar keimanan aku. Tak mengapa, biarkan dia tidak mengenal dalaman aku. Kerna bila dia tahu, di satu hari nanti. Aku akan menjadi orang yang paling dia benci untuk seumur hidup. Aku harap, hari itu tidak akan sempat jadi. Semoga Allah pelihara rasa amarahku ini. Amin.

Pulang ke rumah tadi, aku tak terus naik ke bilik. Mahu habiskan sebanyak masa melayan karenah Miqhail. Sesekali dia datang terkedek-kedek mendekatiku. Aman dan tenang aku tika melihat ke dalam anak matanya. Aku duduk berbual-bual dengan abah, bercerita seperti biasa tentang hari ini tapi langsung tidak kusentuh tentang drama luka yang masih berbaki. Biarlah, ini masalah aku. Bila aku rasa tak boleh nak kawal, aku akan kongsi juga dengan abah dan umi. Umi, di satu sudut yang lain, terbaring. Keletihan menjaga cucu nakalnya.

Lebih kurang pukul 10 setengah, aku tekad masuk ke bilik. Seperti biasa, aku akan menegur anak-anakku. Peliknya, tiada balasan. Kalau hari sebelum ini, boleh bergegar meja solek dibuatnya. Aku tak puas hati lalu membuka tudung bekas kutempatkat Jaanu dan Jiji.

Melihatkan saja keempat-empat kaki Jaanu lurus dan kepalanya terkulai, terbenam ke dalam air, aku sudah dapat mengagak. Tentu, dia sudah tiada. Jiji ada di satu sudut lain. Aku mencampakkan beg tangan. Bunyi seakan benda pecah. Tentu telefon bimbit, tapi tak penting.

Aku kuatkan diri, dan menyapa Jaanu. Langsung tiada tindakbalas. Aku mengangkat cengkerangnya. Sah, Jaanu pun mengikut jejak langkah Jojo. Sepantas itu, air mata terus laju menuruni mataku. Mungkin sekali ia himpunan segala perasaan yang aku pendam sepanjang hari ini. Agak lama juga aku meratap pemergian Jaanu. Aku pandang semula ke dalam bekas, Jiji terkuntang-kanting sendirian. Dia pula tidak berkawan. Nampak gayanya, perlulah aku mencari dan membeli seekor lagi bagi menemani Jiji.

Pasti ada yang gelak tatkala membaca entri ini. Buat apalah nak menangis atas kematian kura-kura. Tentulah aku menangis, dari badannya sebesar duit syiling 50 sen sehinggalah sekarang, sebesar tapak tangan aku. Aku berjaga malam keseorangan, dia sentiasa menemani. Sudah dua tahun aku menjaganya. Dua tahun, bukan satu tempoh yang sekejap. Aduh, hati ini berdarah lagi. Hati ini makin dilukai.

Aku tak tahu apa yang perlu aku katakan lagi. Aku masih dan terlalu menyayangi Jaanu. Entahlah, mungkin ambil masa supaya aku dapat kembali tenang.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku