Bila Kesepian Berbicara...


Wallpaper menarik tapi...

Sedang asyik melayan diri yang ketika ini mengalami sindrom kurang pendengaran, teringat pula aku kepada salah satu filem kegemaranku. Secara peribadinya, aku memberikan klasifikasi malar segar kepada filem ini. Filem yang aku maksudkan, Khamoshi - The Musical. Kali ini, bukanlah pelakon kegemaran yang menjadi punca utama aku memilih filem ini sebagai filem yang tak pernah luput dalam ingatan. Jujurnya, filem ini berdiri kerana kekuatan plot dan semestinya penghayatan watak yang dimainkan oleh pelakon utamanya. Ya, bukan selalu pendukung utama sesebuah filem (tambah pula industri perfileman di India) diletakkan secara keseluruhannya di bahu pelakon wanita. Kalau ada sekalipun, boleh dikira dan antara contoh yang paling kuat adalah Mother India.

Kala industri perfileman Hindi (yang kini lebih dikenali dengan nama Bollywood - bak kata seseorang, gelaran nama Bollywood diberikan oleh orang yang mati otak!) meletup dengan fenomena Hum Apke Hain Kaun dan Dilwale Dulhania Le Jayengge pada tahun 1995, Khamoshi tenggelam. Malah dengan keajaiban gandingan Madhuri-Salman dan kehebatan pasangan Kajol-Shahrukh Khan (ops, Dato'....), filem ini hanya tinggal debu tanpa disedari kehadirannya. Bahang yang dibawakan filem arahan kem Rajshri dan Yash Chopra sekaligus menidakkan filem Khamoshi yang sebenarnya perlu diberikan perhatian yang sama. Industri ghairah mencalonkan dan melambakkan anugerah kepada HAHK juga DDLJ, Khamoshi sekurang-kurangnya masih menerima sedikit simpati dengan berjaya merangkul Anugerah Kritikan untuk tiga kategori penting Filmfare iaitu Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Manisha Koirala) dan Penyanyi Latar Wanita Terbaik (Kavitha Krishnamurthy untuk lagu Aaj Mein Upar).

Berbalik kepada filem Khamoshi-The Musical, berkisarkan Annie, seorang anak kepada pasangan cacat pendengaran dan juga bisu. Kedua-duanya sekali. Sepanjang hayat, (semenjak dari kecil sehingga dewasa) dia mengabdikan diri kepada ibu bapanya tanpa berfikir tentang dirinya sendiri. Dia memendam satu impian, dan amat mencintai muzik. Namun, impian dan kesukaannya itu merupakan musuh terbesar kepada kedua ibu bapanya terutama sekali selepas kematian adik lelakinya yang mati akibat leka bermain loceng di puncak menara gereja. Jadi, dia tiada pilihan lain melainkan menikmati muzik secara sembunyi-sembunyi. Sehinggalah di satu hari dia bertemu dengan Raj yang kebetulan merupakan seorang penyanyi dan pemuzik. Melalui Raj, Annie mula berani melihat impiannya.

Itu adalah antara plot Khamoshi. Dilema yang dihadapi oleh Annie, tentangan keluarga yang memusuhi muzik dan tidak mahu melepaskan Annie (kerana tanpa Annie, hidup mereka kekosongan!), kekasih yang setia menunggu dan sama-sama ingin berjuang. Dalam masa yang sama, bapa Annie membenci Raj kerana hakikatnya Raj jugalah yang akan membawa anaknya pergi. Kalau nak diceritakan memang terlalu panjang.

Antara adegan-adegan yang amat aku sukai dan melekat sehingga ke hari ini...

1 - Ketika Annie berusia 9 - 10 tahun, ayahnya memaksa Annie menjual sabun dari rumah ke rumah. Annie dimarahi kerana tidak mampu memuaskan kehendak hati ayahnya yang mahukan Annie terus tersenyum. Dek kerana ingin memuaskan hati si ayah, Annie berkeras pada dirinya sendiri dan cuba sedaya upaya untuk sentiasa tersenyum dan memastikan sabun yang dijualnya dibeli pelanggan.




Ayah Annie... lakonan Nana Patekar


Senyum begini... luas lagi


Cuba senyum... terbaik untuk puaskan hati ayah!

2 - Annie bertemu dengan Raj di perkuburan. Dan di setiap pertemuan Annie dan Raj memang unik. Adakalanya di kedai muzik, di pesta yang bertemakan topeng, di studio tinggal, di rumah api dan hentian bas. Adegan yang paling terkesan antara kedua watak ini adalah ketika Raj menceroboh masuk ke rumah Annie dan bertanyakan kenapa Annie mula menjarakkan diri. Annie terus berlari membawa Raj ke bilik ayah dan ibunya lalu menjerit sekuat hati dan mengatakan jeritannya tidak akan didengari oleh sesiapa melainkan dirinya sendiri. Bermula saat itulah Raj faham situasi Annie dan membantu serta memberi sokongan untuk Annie mencapai impian dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai anak yang baik.













3 - Keluarga Raj datang ke rumah Annie untuk sesi perkenalan (breaking the ice), tapi disebabkan kecacatan dan sikap inferior ibu Annie membuatkan majlis hari itu jadi teruk. Dan ketegangan suasana perdebatan antara Annie dan ibunya, aku kira amat cantik. Bayangkan bagaimana kesepian berbicara? Itu yang menariknya adegan ini.


Ice breaking ... keluarga Raj dan Annie


Inferior si ibu... lakonan Seema Biswas


Cuba memujuk....


Debat dalam sepi...

4 - Annie menyanyikan lagu Yeh Dil Sun Raha Hai, untuk rakaman studio serta disaksikan oleh ibu dan ayahnya. Annie menyanyikan dan dalam masa yang sama turut membuat bahasa isyarat semoga ayah dan ibunya faham. Emosi kesemua watak ketika itu memang memberi kesan kepada aku yang menonton. Tambah pula bait-bait lirik yang benar-benar menyentuh hati.


Bahasa Isyarat....


Manisha Koirala... Annie


Nyanyian dan bahasa isyarat....


Salman Khan... Raj


Terharu... faham nyanyian anak mereka
berpandukan bahasa isyarat
(Sesuatu yang tidak baik bakal berlaku...)

5 - Annie dihalau keluar oleh ayahnya dan di mana Annie mengungkit semuanya. Ayat yang paling meninggalkan kesan terhadap aku (aku rasa semua yang mempunyai perasaanlah akan terasa!) ...

"Kamu tak benarkan saya untuk menangis sekalipun, ... yang kamu tahu paksa saya untuk senyum senyum senyum!"



"Selama hari ini kamu tak pernah anggap saya sebagai anak. Saya bukan anak kamu tetapi suara kamu."



"Bila saya sakit, kamu tak benarkan saya sakit. Bila saya kecil kamu tak biarkan saya kecil."



"Hari ini saya nak jadi ibu dan kamu nak rampas daripada saya"

Tak dapat aku nafi, memang filem ini memberikan impak yang amat mendalam pada diri aku. Ketabahan seorang anak perempuan, harapan yang diberikan oleh ibu bapa kepada dirinya, membuatkan filem ini amat dekat dengan insan yang segolongan dengan aku. Cinta dan impian bukanlah tunjang utama. Lakonan yang dipersembahkan oleh Manisha Koirala, Nana Patekar, Seema Biswas dan Salman Khan amat bertepatan. Sentuhan sulung pengarah tersohor Sanjay Leela Bhansali ini (pada awalnya menemui kesukaran untuk mencari pelakon gara-gara tiada sesiapa pun sanggup memperjudikan nasib berlakon di bawah arahan pengarah baru, tambahan pula dulunya dia hanyalah seorang koreografer! biasa yang bukan sehebat Farah Khan atau Saroj Khan) telah membuka mata ramai dan sehingga ke hari ini semua nama-nama besar dari Shahrukh Khan (yang dulu pernah menolak tawaran Sanjay!) sehinggalah Hrithik, semuanya berebut-rebut mahu berlakon filem arahannya. Lihatlah saja filem Devdas dan akan datang Guzarish!

Apa yang boleh aku katakan, aku lebih gemar memilih filem Khamoshi berbanding filem-filem arahan Sanjay Leela yang terkemudiannya termasuklah Hum Dil De Chuke Sanam, Devdas dan Saawariya. Aku rasa hanya Black yang menemukan kembali ketulusan Sanjay seperti filem sulungnya Khamoshi. Apa-apa pun, Khamoshi tetap di hati dan mungkin aku terlalu menggilai filem ini sehinggakan aku pernah adaptasikan ianya menjadi sebagai skrip drama sebabak dengan tajuk Suara!


Antara poster Khamoshi yang paling aku suka....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku