Saturday, November 28, 2009

Kebocoran Gegendang?


kalau boleh nak nangis macam bayi ni... huhuhu

Raya kali ini tak begitu meriah, terima kasih kepada telinga kiriku yang tiba-tiba diserang sakit kuat. Kalau raya Aidilfitri lepas, aku di serang batu karang (alhamdulillah sekarang dah pulih, baki batu-batu pun dah keluar habis!) kali ini, telinga pula buat hal. Sebenarnya sejak Isnin lepas aku dah mula terasa kesakitannya, tapi buat tak endah. Malas nak layan. Sudahnya, semalam aku terduduk tak dapat nak gerak. Lagi menyakitkan hati, terdengar-dengar seakan bunyi tapak kaki hampir dengan gegendang.



Nak dijadikan cerita, masa Andak datang ke rumah semalam telinga aku buat pe'el tahap kritikal. Aduh! Malas betul nak layan tapi bunyi dengung ditambah dengan denyutan yang bagaikan mengikut degup jantung membuatkan aku tak tahan dan menyerahkalah. Aku pinta untuk dibawa ke klinik. Tak mahu ke hospital, buat habis duit minyak saja.

Terkedek-kedeklah aku masuk ke dalam kereta yang ketika itu dipandu oleh abang Zamri sambil ditemani Along. Mulanya aku nak pergi sendiri, al-maklumlah dah besar panjang. Tambah pula di rumah masih ada keluarga Andak. Tak manis pula kalau tinggalkan rumah begitu saja beramai-ramai. Niat aku tak kesampaian bila Along kata yang aku tak mungkin boleh pandu kereta sendiri. Betul juga kata Along. Sedangkan masa abang Zamri pandu kereta pun aku dah rasa bergetar satu badan, inikan pula nak memandu sendiri.

Sampai di klinik, kebetulan tak ada pesakit. Jadi, sampai-sampai terus masuk. Macam biasa aku teruslah cakap tanpa segan silu.

"Doktor, saya sakit telinga....,"

Doktor hanya senyum. Tak apa, senyuman itu boleh dimaafkan. Lantas dia menarik cuping telingaku. Rasa nak menjerit pun ada juga. Tapi kutahan. Tak mahu tunjuk sakit sangat, khuatir diketawakan.

"Tak beraya?" soalnya yang sengaja menyimbah bara dalam telingaku.

Aku gelak saja. (faham-fahamlah macam mana aku gelak, bergegar bilik tu dibuatnya)

"Sakit macam mana nak raya?" aku balas balik dengan soalan.

Doktor yang tidak ingin kuketahui namanya itu, gelak dan tersengih.

"Telinga awak ada bisul," katanya lagi sambil meletakkan otoskop/teropong telinga (siapa yang pernah sakit telinga tahulah teropong yang aku maksudkan!)



"Oh, tapi kenapa saya saja yang selalu dapat bisul tu. Ini bukan kali pertama doktor. Tak silap saya, beberapa bulan lepas pun saya baru sakit telinga dan dalam tahun ini saja tak terkira berapa kali dah," kataku lagi kali ini aku mahu tahu yang sebenar-benarnya.

"Gegendang telinga awak pernah kebocoran sebelum ini?" soalnya lagi seolah-olah aku ini doktor kepada diri sendiri.

"Entahlah doktor. Setiap kali saya sakit telinga, doktor cuma cakap telinga saya dihinggap virus. Tak pernah pulak cakap gegendang saya bocor," kataku yang agak kebingungan.

"Masa saya guna alat tadi, saluran telinga awak agak sempit. Selain ada bisul, gegendang awak langsung tak beri tindakbalas dan warnanya pucat dan pudar tak seperti gegendang yang sihat," terangnya pula.

Aku makin bertambah bingung. Bukankah kalau gegendang bocor maknanya kita akan jadi pekak? Tapi setahu aku, aku taklah pekak pun dan masih mampu mendengar bukan macam isteri Pak Man Tempe dalam cerita Seniman Bujang Lapok yang memaksa orang lain terjerit-jerit bila bercakap dengan aku.

"Apa saya perlu buat doktor?" soalku nak keluar cepat. Malas nak melayan lagi celoteh doktor itu.

"Cuci, tapi bukan cuci sendirilah. Kalau cuci sendiri berbahaya. Awak perlu pergi ke hospital untuk lakukan cucian telinga untuk menghilangkan segala bakteria dan kulat yang mungkin ada dalam saluran telinga," jelasnya lagi sejelas-jelasnya.

"Terima kasihlah doktor," kataku lantas mula melangkah pergi tapi sempat ditahan doktor.

"Selamat beraya ya," ujarnya dari kejauhan sebelum aku benar-benar melangkah keluar.

"Beraya hanguit kau," ujarku dalam hati.

Hari ini dah dua hari telinga aku berdondang sayang dengan irama heavy metal yang terkadangnya sengaja mengoyakkan dinding-dinding salur telingaku. Aduh, sakitnya tak terkira. Sabar sajalah. Mungkin ada hikmahnya.