Monday, November 9, 2009

Bila aku ingin berkisah...


Inilah hatiku, yang telah dilukai berkali-kali
Terima kasih ya Kawan!

Syukur kepada Allah. Akhirnya, Dia kabulkan doaku dan sekaligus membenarkan aku untuk tersenyum panjang. Sakit yang kutanggung tak terasa kerana bagiku tiada sakit yang lebih nikmat dari sakit ini yang aku rindui saban hari. Alhamdulillah. Bila aku gembira, tentu sekali aku ingin berkongsi dengan semua. Sesiapa juga yang aku kenal. Malah, dibibirku tak lepas dengan senyuman. Aku tak kisah kiranya kakak yang menjaga tol pandang aku 2-3 kali ke arah mukaku ini. Aku terlalu gembira!

Sumpah, demi Allah. Aku lupa segala rentetan peristiwa yang lepas. Mungkin, ianya semua terlalu kecil jika dibandingkan dengan kegembiraan aku hari ini. Sayangnya, perkiraan dan percaturanku kali ini salah. Gembiraku disambut dingin. Tak mengapalah, mungkin bukan semua orang boleh berkongsi rasa gembira yang sama. Aku biarkan dulu. Terlalu awal untuk melihat lenggok perjalanan hari ini. Adakah ianya terlalu mengufuk ke Utara ataupun Selatan?

Aku cuba lagi untuk memulakan hari seperti biasa, tapi masih dingin. Dan bila cukup tiga kali, segalanya jelas. Tak perlu bersuluh dan aku cukup faham respons sebegitu. Dan aku rasa seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong! Sakit betul hati.

"Allah, sesungguhnya aku dah jalankan kewajipan aku. Menegur sapa jiran dan juga saudara seIslamku. Aku harap jangan ukuri dosaku selepas saat ini, jika aku tak bisa bersikap seperti dulu. Hatiku ini ada batasnya dari terus untuk disakiti," pintaku dalam hati dan aku pasti Allah mendengarnya dengan jelas.

Benar kata-kata Along dulu. Ayat yang terlafaz dari mulutnya tidak jujur. Jangan sesekali percaya dan terpedaya. Namun, aku yang berdegil. Aku ketepikan nasihat Along dan natijahnya, hari ini. Padan muka aku. Setiap hari, pasti ada saja insan bernama lelaki membunuh kepercayaan dan keyakinanku kepada mereka. Bukan! Aku bukan maksudkan kekasih ya! Aku cuma mahu berkawan dan sekarang aku sudah terima jawapannya. Dia mahu aku pergi jauh. Jangan diganggu lagi. Baiklah, aku faham. Terima kasih wahai kawan. (kalaulah dia pernah anggap aku sebagai kawan atau mungkin... persinggahan!)

Ya. Aku tahu, yang aku ini bukan apa-apa di matanya. Debu lagi disedari kehadirannya berbanding aku yang jauh, jauh lebih kecil dari kuman di matanya. Biarlah.

Sudah aku lupakan peristiwa Jumaat itu. Dan aku lupakan semua ayat-ayatnya. Tetapi bila peristiwa ini terjadi sekaligus memaksa aku kembali memainkan semula rakaman kata-katanya. Ya. Pedih lagi. Apa boleh buat? Memang sudah dikurniakan Allah supaya hatiku ini jadi lebih cekal terutama sekali berdepan dengan manusia sebegini.

Terus-terang aku katakan, aku berkawan dengan dia tanpa mengharapkan sebarang balasan. Bagi aku, dalam setiap persahabatan tidak perlu bertanya apa yang boleh aku dapat dengan berkawan dengannya tetapi apa yang mampu aku beri pada kawanku. Aku tahu, konsep sebenar iaitu beri dan terima, tapi aku tak ambil pusing konsep itu kerana aku ada pandangan aku sendiri dan tak mahu berpaksi atas konsep universal. Jadi, mahu atau tak mahu aku sekali lagi dijadikan persinggahan. Sama seperti yang lepas-lepas. Adakah aku menyesal?

Pernah dulu seseorang bertanya padaku, ada tak perkara yang aku kesalkan dalam hidup?

Di ketika itu aku jawab tidak. Aku tak kesal ambil keputusan melarikan diri dari 'si dia' dulu (dan akibatnya aku sendiri sekarang...hehehehe), aku tak kesal aku tidak terus belajar dalam jurusan undang-undang dan aku tak pernah kesal dengan apa juga yang telah aku lalui selama ini. Tetapi, untuk pertama kalinya aku kesal. Sukar untuk aku luahkan dalam kata-kata tapi ya aku kesal. Abah pernah berkata padaku yang kesal itu adalah perbuatan yang tidak bagus kerana ianya seolah-olah tidak menerima ketentuan Allah. Ya, tapi aku kesal bukan kerana ketentuan Allah tetapi kerana kedegilan hatiku sendiri.

Bukan aku kepingin sangat mendengar, cuma aku tidak mahu mereka rasa sendiri. Suara mereka perlu didengari dan aku memilih untuk menjadi tempat mereka merelakan perasaan itu keluar padaku. Bukan aku berlagak BAIK atau HEBAT. Cuma itu sikapku yang Allah kurniakan. Bagiku, tidak adil sekiranya kita bahagia dan gembira tetapi orang disekeliling kita dilanda duka nestapa.

Dan hari ini, aku teringat balik pada kata-kata Ayshah semalam tentang ego lelaki yang aku baru nampak kebenarannya.

"Shahaini, kau fikir lelaki nak dengar nasihat atau apa juga yang kita cakap? Tak Shahaini. Lebih-lebih lagi kalau lelaki itu lebih tua dan banyak pengalaman dari kita. Kau cakap pun, mereka-mereka ini ketawa dalam hati. Tak payah nak risaukan orang. Banyak lagi benda kau boleh buat selain fikir tentang masalah orang lain!" nasihat Ayshah padaku, berkongsi pengalamannya tentang ego lelaki.

Ya, tentu dia lebih banyak pengalaman dengan lelaki golongan ini memandangkan tunangnya pun sudah 36 tahun. Bicara di mulut senang, tapi bagaimana nak kusingkirkan rasa itu di hati? Mungkin boleh, aku luahkan segala-galanya depan cermin tapi rasa itu tetap ada. Bukan dia seorang saja kawanku. Ramai lagi di luar sana yang menghargai kehadiran aku tapi seperti yang aku katakan, hati ini tetap degil. Aku rasa sedih sangat bila tahu orang yang hampir denganku menghadapi kemusykilan dan kesedihan. Apa guna aku kalau tak dapat menghiburkan hati lara seorang kawan? Tak apalah. Itu permintaan dia dan aku perlu hormati. Inilah baru benar dikatakan dekat tapi jauh.

Kini, berulang kembali kisah yang sama kulalui dulu. Mereka datang, luahkan itu dan ini, begitu dan begini dan akhirnya mereka pergi. Mahu kuhitung satu persatu nama di sini, tapi tak baik. Ia hanya mengaibkan mereka. Insan yang terakhir buat aku begini (aku berani sebut namanya sebab dia tak pernah peduli pun!) adalah abang Ridz (sebaya tunang Ayshah, 36 tahun dan tahap keegoannya mengalahkan bangunan KLCC). Hah? Abang Ridz? Ya, memang satu kebetulan. Aduh! Sakit. Sakit dijadikan persinggahan dan kemudiannya ditinggalkan terpinga-pinga. Kalau boleh, aku tak mahu lagi dipermainkan sedemikian. Tapi tak mengapa, mungkin ada hikmah disebaliknya. Insya-Allah.


Mati akal!!!

* Masa kenal abang Ridz dulu, abah dah pesan awal-awal. Jangan percaya lelaki dengan nama Ridz ni. Sekarang aku tertanya-tanya, macam mana abah dan along ada kelebihan untuk mengenal hati orang hanya dengan nama tanpa kenal mereka terlebih dulu? Wallahualam.


(Taklah sampai menangis kot! Hehehehe
Aku tak lemah beb!)