Wednesday, June 17, 2009

Pemandu-pemandu Dajal!

Kalau dihimpunkan semua entri yang ada dalam blog ini, tentu kisah tentang sikap pemandu di Malaysia ini yang paling kerap aku sentuh. Bilangannya akan bertambah lagi, dari masa ke masa.

Terus terang aku katakan, aku terlalu kecewa dengan sikap pemandu (yang mempunyai sedikit kelebihan duit, dan tentu sekali sempurna..., bukannya buta atau pun lumpuh!). Namun aku tak teragak-agak mengatakan yang kebanyakkan pemandu cacat akal dan fikiran.

Pagi tadi, seperti biasa dalam sebulan ini aku keluar lebih awal. Awal dari biasa atau dalam ayat yang lebih mudah, kembali sementara waktu ke rutin harian yang pernah aku lalui lebih kurang sepuluh bulan lepas. Ya, aku menghantar Along ke pejabatnya di Petaling Jaya (dekat benar dengan rumah Fatimah), hanya untuk sebulan ini kerana abang Zamri berkursus selama sebulan.

Seawal 6.15 pagi, aku dan Along, sudah keluar dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, (perkampungan BUNIAN bak kata Along, sebab terperosok jauh ke dalam... tanpa ada lampu jalan dan tiba-tiba ada syurga!!!! Pemaju Penipu! Pemaju makan duit, patut pun perut buncit!). Selalunya kalau keluar awal, jalan pun tenang. Tetapi aku lupa. Lupa pada kenyataan yang aku terpaksa pula berkongsi jalan dengan bas-bas kuning yang sarat dengan penumpang-penumpang kecil.

Prinsip aku, selagi aku boleh simpan... aku akan simpan. Bila kapasiti dalam otak dah tak mampu menampung segala input busuk, dia akan meledak sendiri. Dan, bahananya, aku berkejar depan pc lalu meluahkan segala nanah yang bisa di otak, hati dan perasaan aku.

Setiap kali aku melihat bas... aku terfikir, apalah sangat yang dikejarkan pemandu bas tu? Pandu bas macam pelesit.

Tak terfikirkah dia tanggungjawab yang dipikulnya?
Adakah mereka sedar nyawa yang ada di setiap tubuh badan yang sedia bertafakur dan menyerahkan segala kepercayaan pada mereka, si pemandu bas?
Tak sedarkah mereka tentang harapan orang-orang diluar sana, yang menanti setiap isi manusia yang mereka bawa setiap kali, sampai ke destinasi dengan selamat?
Tambah pula isi bas sekolah itu dipenuhi dengan berpuluh anak-anak yang sedang menunaikan ibadat untuk memenuhkan ilmu di dada, dan membawa segunung harapan keluarga.
Bukankah amanat yang ada pada mereka setiap kali memegang stereng adalah teramat-amat besar?
Cuba bayangkan pula, kalau anak-anak anda dalam bas pemandu lain dan bersikap seperti anda.

Aku bukan bercakap soal mementingkan diri takut kehilangan masa depan yang akan dipikul pula oleh anak-anak kecil itu. Tetapi aku percaya, setiap mereka yang diberi tanggungjawab memandu anak-anak ini untuk sampai ke destinasi ilmu, tentu berkeluarga... dan akan berkeluarga juga di satu hari nanti.

Kalau situasi yang sama menimpa anak-anak anda, mati terdampar di atas jalanraya, kepala dan badan terputus dua atau lebih sadis jika mayat anak anda langsung tidak dapat dicam, apa agaknya perasaan anda di ketika itu?

Siapa yang perlu anda salahkan?
Anak anda?
Pemandu bas?
atau Allah, dengan alasan paling klise... sudah takdir Illahi!

Langgar lampu merah?
- Lecehlah... dah lambat!

Cucuk angin kenderaan di depan?
- Suka... dah jadi habit!

Memotong kenderaan lain sesuka hati... tanpa memberi sebarang isyarat?
- Buang masa!

Memecut lebih dari 110km/j?
- Suka hatilah, bukannya sampai 240km/j pun!

Jadi, aku tak hairan kenapa ramai ibu bapa sanggup menghantar anak-anak dengan kenderaan mereka sendiri.

Aku pun dah terima hakikat, jalan sesak setiap kali musim persekolahan dan lengang dan tenang setiap kali musim cuti sekolah.

Semuanya kerana hilang percaya kepada pemandu-pemandu bas hantu!

Soalan yang aku mahu setiap pemandu bas hantu jawab... adakah duit tambang bulanan RM70 sudah mampu menjamin nyawa anak-anak tidak berdosa ini selamat sampai?

Percayalah, jika ada kemalangan bas sekolah atau kecuaian pemandu (seingat aku, ada kes pemandu bas melanggar budak sekolah yang diturunkannya, tapi... kes tutup, nyawa yang hilang tiada ganti dan yang bersalah bebas....kenyataan itulah yang paling aku benci)

Setelah selesai baca entri aku ini, pasti ada yang cakap... belum jadi lagi... itu pun nak bising....

Adakah kita mahu perkara ini terjadi lebih dulu kemudian meratap dan mula menuding jari?
Fikir-fikirkanlah....
Selagi boleh dielakkan, elakkanlah...
jangan selalu menyalahkan takdir!