Thursday, June 4, 2009

Kisah Aku, Itik dan Ayam

Hari-hari kerja, kerja hari-hari.
Bila tak kerja bising, bila kerja lagi bising.
Itulah nama manusia... tak tahu bersyukur. Bukannya tak tahu perkataan bersyukur, cuma tak tahu menghayati maknanya. Termasuklah aku. 2x5... 5x2.

Tengah duduk depan pc waktu tengah hari macam ni, ingatan terembat kepada sebuah kisah. Beberapa hari lalu... lepas atau sudah. Sama juga maksudnya... bukan berlaku hari inilah maksudnya tu.

Kisah yang aku kumpul dari pemerhatian aku. Dari negara A hingga ke negara B. Besar makna negara tu. Mulanya aku singgah sekejap. Dalam dua tiga minit. Aku terpaksa bergaul dengan semua hidupan di negara ini. Sama ada yang hidup, atau pun yang mati (tak bernyawa, bukannya bermaksud mayat ya!)

Aku duduk betul-betul di tepi kali. Seekor ayam melintas. Beberapa saat kemudian, diikuti seekor ayam lagi. Aku pun tak tahu kenapa, tapi aku faham makna di sebalik bahasa yang bising terkeluar dari muncung ayam-ayam itu. Ketawa sendiri aku dengar. Ada hati mengumpat aku, mentang-mentanglah aku manusia, tak faham bahasa ayam. Tak mengapa, aku tak nak cari gaduh dengan ayam-ayam katik. Kalau aku buat hal juga, nampak sangat aku ni dah sama taraf dengan ayam-ayam tu yang memang tak belajar. Tak berakal dan sudah semestinya tak berilmu.

Kemudian muncul pula seekor anak itik gebu datang mencelah. Ayam-ayam diam tapi jelas mereka memang tak selesa dengan itik tu. Si anak itik gebu berlalu perlahan-lahan. Kakinya terkuis-kuis, mencari makan di atas tanah.

Ayam-ayam dua ekor, terkedek-kedek tinggalkan anak itik gebu, datang semakin dekat dengan tempat aku duduk. Bising lagi. Kali ini, anak itik gebu jadi mangsa umpatan ayam-ayam ini. Aduhai... aku fikirkan manusia saja pandai mengumpat... binatang pun dah pandai buat dosa sekarang ni. Tak apalah. Aku tak nak masuk campur. Si anak itik gebu selesai mengisi perut dan menghampiri ayam-ayam tadi. Mungkin mahu berkawan. Ayam-ayam ini pula, pantas meninggalkan kawasan itu.

Aku hanya mampu geleng kepala. Si anak itik gebu berhenti betul-betul depan aku. Bagai nak sampaikan sesuatu. Matanya nampak redup. Bahasa matanya terlalu mudah aku faham.

"Mereka fikir aku tak tahu apa yang mereka bualkan... mereka salah. Aku tahu semuanya," ujar anak itik gebu itu dan berlalu pergi.

Terkejut juga aku dibuatnya. Pandai betul anak itik gebu bertutur bahasa manusia. Aku renung kata-katanya dan mungkin ada benarnya.

Kadang-kadang, mimik muka, bahasa tubuh sudah jelas menunjukkan erti perbualan seseorang. Jadi, aku bandingkan pula dengan kehidupan aku sendiri. Ya! Mungkin kedengaran sedikit membangga diri, tapi inilah kebenarannya. Kalau kamu fikir bahasa yang kamu gunakan tak dapat difahami..., fikirlah berulang kali. Ini nasihat percuma... harap kalian sanak saudara ayam mahupun kenalan kucing ataupun anjing, hati-hati dengan kata-kata kalian. Semua bahasa senang sangat untuk difahami (terutama sekali kalau dalam spesifikasi mengumpat dan memburukkan orang lain).