Aku dan Paranormal...paranormal dan aku?

Tiga hari berturut-turut kami sekeluarga menghadiri majlis bacaan tahlil untuk arwah Pakngah.
Tiga hari itu juga ada macam-macam peristiwa yang berlaku, sama ada pada aku, mahupun ahli keluarga yang lain.
Aku tidak mahu menyentuh tentang perkara yang dialami mereka yang lain, tapi aku berani berkongsi apa yang terjadi pada diri aku!

Hari pertama!
Selasa malam Rabu. Hari sebelumnya aku tak tidur. Gara-gara nak siapkan novel DC. Masuk pejabat sedikit lewat, pukul 12.30 tengah hari. Sepanjang hari di tempat kerja, menghadap komputer. Kepala pusing. Tak cukup tidur, kerja berlambak.

Sampai kampung (Kampung Puah), pukul 8.00 malam. Aku ambil tugasan di bahagian dapur. Memasak. Masak bihun, 4 kali. Seronok sangat. Aku memang suka memasak. Paling suka bila tengok makanan yang aku masak habis dimakan. Hilang rasa letih.

Pukul 11.30 malam, kami pun meninggalkan Kampung Puah, menuju ke Tasik Puteri. Awalnya, kami beriringan. Namun, disebabkan mataku yang terlalu berat gara-gara tak tidur, kereta Satriaku tertinggal jauh ke belakang. Ayuz pula, memecut laju dengan Perdana V6. Makan asap aku dan along dibuatnya.

Pukul 1 pagi, akhirnya kereta Satriaku berjaya bertemu jalan pulang. Tempuh kawasan gelap yang di kiri kanannya padang golf Tasik Puteri. Aku dan along berborak, hilangkan mengantuk. Dalam kebisingan suara aku dan along, tiba-tiba sunyi sepi.

Aku tak mahu cakap apa-apa pada along. Begitu juga along, tak nak beritahu apa-apa pada aku. Masing-masing tahu. Along dapat rasa sesuatu dan aku pula nampak sesuatu. Keadaan sunyi sepi sampailah ke rumah.

Hari Kedua!
Rabu malam Khamis. Rutin terbaru, tapi tak kekal lama. Aku jemput along dan menuju ke Kampung Puah. Kali ini, aku memasak lagi. Mee goreng. Tak cukup, beli bekalan dan aku masak sampai 5 kali. Alhamdulillah, habis dijamah. Perut sakit gastrik, tak makan satu apa pun dari pagi. Aku tak kisah, yang penting majlis berjalan lancar.

Malam ini, bertolak sedikit awal. Kali ini, juga seperti semalam. Ayuz pecut laju. Tak apalah, mana mampu Satria 1.3 kejar V6 2.0. Aku biarkan saja. Melayan mata mengantuk, kepala pusing. Sebenarnya aku dalam keadaan separuh sedar. Kereta yang aku pandu pun sedikit masuk dan keluar garisan. Suara dari mulut along membuatkan aku terus memandu.

Kali ini, di tempat yang sama. Aku dan along berdegil, terus berborak. Macam biasa, masuk kawasan yang sama. Mulut masing-masing terkunci. Aku suluh lampu besar, Alhamdulillah, tak nampak apa-apa. Mataku pandang cermin pandang belakang.

Ada! Entah kenapa, makhluk itu ada di tempat duduk belakang. Aku buat tak endah. Dalam hati, terus berwirid dan berzikir. Allah Maha Besar. Ketakutanku ini, hanya pada-Mu, bukan makhluk ciptaan-Mu.

Lembaga itu hilang.

Hari Ketiga!
Khamis malam Jumaat. Aku tak memandu hari ini. Hari ini, aku kerja separuh hari, sebab jemput along dari tempat kerja dia dan hantar Miqhail ke klinik. Miqhail demam. Pergi ke majlis tahlil hanya dengan satu kereta, Perdana V6, dipandu Ayuz. Aku rehat.

Malam ini pun aku tak memasak. Datang, tolong serba sedikit dan banyak habiskan masa duduk di rumah belakang. Masing-masing keletihan. Temankan along jaga Miqhail dan disertai sepupu-sepupu yang lain. Macam-macam topik yang kami bincangkan.

Kali pertama semenjak beberapa tahun menempuh alam dewasa, hari ini, Shafiq duduk berbual dan berbincang dengan aku dan along. Seronok rasanya, terimbas kembali kenangan yang pernah tercipta, sewaktu kecil-kecil dulu. Memang situasi sebegini yang aku rindu. Berkumpul sanak saudara, cuma yang tiada suara riuh arwah wan.

Entah macam mana, kisah dua malam lepas terbongkar hari ini. Along beritahu dia rasa dan bau sesuatu. Aku pula katakan pada along dan mereka, aku nampak! Tapi, aku dah terbiasa. Malah, malam pertama aku susah lelapkan mata kerana aku dengar bunyi jeritan keras dari belakang rumah.

Itu pun bukan kali pertama. Sudah banyak kali dan aku pun tak berapa nak endah. Masa mula-mula pindah dulu, aku pernah nampak disergah bayang lembaga berkepala singa dengan mata merah. Bukan itu sahaja, aku juga sering dengar bunyi ketukan di tingkap. Bukan aku seorang. Along pun pernah dengar. Buat tak tahu aje, hormati yang itu memang kawasan mereka. Kami datang kemudian. Terpaksa beralah dan mengadaptasi keadaan.

Aku juga teringat kembali beberapa peristiwa paranormal yang pernah aku alami. Terlalu banyak. Mungkin, itu kelebihan aku, dapat merasa dan melihat... samar-samar. Ketika di ASK dulu, aku pernah disergah semangat Seri Rama. Semuanya salah aku, aku yang cabar dia. Mulanya, aku memang sentiasa diganggu, tapi aku tak melawan... biarkan saja benda-benda sebegitu berlaku dan menutup mata, tidur. Tapi, satu malam, aku rasa pelik sebab tiada apa-apa gangguan.

"Eh, tak ada pulak kau nak ganggu aku malam ni?" detik aku dalam hati dan ketawa kecil.

Sepantas kilat suara itu membalas. Sukar untuk aku gambarkan betapa kuatnya suara itu bagaikan mengaum. Aku toleh ke arah dinding, aku dapat lihat, samar-samar Seri Rama. Aku cuba pejamkan mata, terasa-rasa badan aku sejuk dan panas. Sejuk sampai aku rasakan tidak ada seurat benang pun menutup badan. Panas, sampaikan aku berpeluh-peluh. Aku pandang ke katil sebelah, aku cuba panggil Eyna dan Atul. Masing-masing tidur mati. Aku cuba jerit. Suara tak keluar. Aku cuba tendang katil atas, bangunkan Timah. Tapi tak ada apa-apa.

Entah macam mana, aku mampu bergerak. Aku cabut dan berkurung dalam bilik air. Tempat setan! Entah, aku selesa di situ dan duduk sampailah pukul 6 pagi, bertemankan along di talian (sempat telefon Along).

Kejadian seterusnya, adalah kejadian yang paling aku tak boleh lupakan. Masa Makyung. Aku bertugas di bahagian kostum. Aku jaga Atul. Terpaksa siap sedia di belakang tirai. Kalau jadi apa-apa, aku boleh betulkan. Sedang aku tekun menatap Atul dari corong kecil yang ada di tirai, aku toleh ke kanan. Aku nampak Pak Nasir, siap berpakaian lengkap sepasang berwarna kuning dengan setanjak.

"Eh, Pak Nasir kat sini? Tak pergi sedia kat tempat pemuzik?" soalku.

Pak Nasir tak menjawab. Selalunya dia akan membalas dan adakalanya dia akan berseloroh dengan aku. Aku faham, mungkin dia letih. Jadi, aku pusing kembali, melihat Atul dari corong tadi. Tiba-tiba aku nampak Pak Nasir memang dah duduk di tempat pemuzik dan sedang asyik menyanyi!

Persoalannya, siapa yang aku tegur tadi?


Macam biasa, aku tak dapat bergerak. Aku telefon along. Dia suruh aku baca ayat kursi. Aku menurut. Tapi tetap teringat-ingat kejadian itu.

Banyak betul pengalaman aku dengan paranormal. Malah, di tempat kerja baru ini pun ada. Masa aku tengah solat Maghrib. Gerun satu macam aku rasakan. Tengkuk ni macam sengaja diramas-ramas. Selesai solat, aku terus keluar dan kemas-kemas barang. Tak sanggup tunggu lama, walaupun pada awalnya aku nak tinggal lebih lama nak siapkan kerja.

Ada orang kata, itu cuma khayalan dan imaginasiku. Mungkin. Tapi, secara peribadi, aku tak menolak kewujudan paranormal. Cuma, orang yang bertuah dapat melihat makhluk alam ghaib ini. Jadi, aku menganggap, aku ini antara orang yang bertuah! Wallahualam.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku