Musim dugaan…


Aku, antara orang yang sengaja memilih untuk menjadi buta, pekak dan bisu.

Kebelakangan ini emosi bergolak. Perasaan baru bersulam-sulam dengan perasaan lama hingga ada satu-satu masa aku bertanya sendiri, benarkah perasaan yang sedang aku alami ketika ini?

Atau adakah ianya satu lagi hasutan iblis dan syaitan?

Bukan aku menidakkan rasa itu. Aku tak nafikan rasa yang sedang aku nikmati tika ini sungguh indah. Adakalanya aku terfikir untuk benamkan diri seketika dalam rasa itu. Aku mahu masa yang lebih panjang. Tetapi, akal sedarku masih dapat menghidu gerak-geri syaitan yang terselindung di sebalik rasa itu.

Benar! Aku sedang keliru. Keliru dengan rasa yang satu itu. Hampir dua tahun rasa itu terkubur dan tiba-tiba ada sesuatu rasa yang mula mengintai, cuba membolos masuk melalui rongga-rongga kecil yang masih terbuka.

Malangnya, rasa lalu begitu kebal dan kuat menghukum… menjatuhkan penjurian tanpa pembelaan.

Aku bertanya, masih adakah rasa itu dalam hati?
Aku akui, rasa ini adalah kurniaan Mu, tapi aku sudah tidak sanggup untuk terluka sendiri.

Bak kata sahabatku….Ayshah.

“Shahaini, bukan aku kata perasaan kau salah, tapi kalau boleh jangan layan dulu… sebab akhirnya hati kau juga yang akan terluka, baik kau buat bodoh je,”

Aku memilih untuk akur nasihatnya, kerana hanya aku seorang sahaja tahu sakit dilukai rasa itu yang tidak kesampaian. Akibatnya, rasa yang aku pendam itu semakin hari semakin memakan diri sendiri. Kedua-duanya sama bagiku. Menyerah pada rasa itu… kalau rasa itu palsu, aku akan luka dikemudian hari. Aku sudah tidak mampu hidup dipengaruhi rasa itu. Kalau benar ditakdirkan dalam hidup aku untuk merasa rasa itu sekali lagi, aku pasti kali ini adalah cinta mati. Yang terakhir, tiada lagi ruang untuk hatiku ditoreh berkali-kali. Ketahuilah darah kesan luka yang dulu masih mengalir. Deras sekali.

Sekiranya dalam takdir hidupku bertemu dengan orang yang mencetuskan rasa itu semula dalam hati, maka tiada hajat lain, aku ingin terus kekal dengan dia… selamanya.

Jadi, aku terkunci antara kedua-dua jalan ini. Aku menyerahkan segala-galanya pada Allah. Hanya Dia tahu, apa yang baik dan sesuai untuk diri aku ini.

Saat-saat beginilah, fikiranku merangkak, teringatkan Imaan. Hanya dia yang aku ada untuk bertanyakan pendapat tetapi, awal-awal lagi dia pesan yang dia sudah mula sibuk dengan tugasan sosialnya. Imaan, kalaulah kau tahu, aku amat perlukan pandanganmu kali ini. Otak dan mindaku seakan bekerja bila-bila masa saja kita berbincang tentang sesuatu. Dalam erti kata lain, kau mencabar pemikiranku yang seringkali tidur. Aku tetap berharap, kau akan berjaya dengan apa juga niat dan tujuan murnimu demi bangsamu di sana, aku tahu perjuanganmu murni. Cuma ada masanya, aku juga perlukan kau. Aku kepingin tahu kata-kata dan nasihatmu tentang masalahku yang sebesar kuman ini. Mungkin, di lainkali. Di pertemuan yang lain, dan aku pasti terus menunggu hari itu.

Pada seseorang itu, dan jika dia tahu… inilah perasaanku setiapkali ku tatap wajahnya….

“Tujh Mein Dikhta Hai, Allah Ki Yaad Aaati Hai…,”

Dan rasa itu seakan merasuk di sudut hati yang paling dalam… membuatkan aku hilang di dalam aku.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku