Friday, February 20, 2009

Bila Hati Ber'mulut'

Hati...
tak pernah suarakan pembohongan
semuanya ikhlas...
apa yang terdetik itu adalah jujur
malangnya...
hati itu tidak bermulut!




Aku sedang dan mula belajar untuk mematuhi arahan tanpa sebarang pertikaian atau pertikaman lidah. Kalau boleh aku ingin benamkan aku yang dulu. Aku ingin lebih tenang setiap kali berdepan dengan pelbagai kemungkinan dan situasi. Namun, setiap kali aku melakukan itu hati aku akan terlebih dulu bersuara. Kata-kata hatiku itu lebih tajam dari mata pedang. Kalau dulu ada pepatah mengatakan 'ikut kata hati mati...' bagi aku pula... ikut kata hati = PERANG!

Beberapa hari yang lepas, aku telah ditemukan dengan satu kejadian. Yang mana aku tidak mampu melawan apatah lagi bersuara. Hanya rasa marah itu terzahir dari mata aku dan mungkin juga dari cara aku melawan dengan ... mendiamkan diri!

Aku tak suka orang kata benda-benda melangit tapi hasilnya tak kuat pun dari bunyi kentut anak buah aku... Miqhail. Hal itulah yang terjadi kelmarin. Aku sendiri tak pasti, kenapa mulut aku berat untuk membalas bebelan si lelaki pendek di depanku. Mungkin kerana dia mempunyai tiket imuniti dan kuasa untuk menendang aku keluar. Jadi, aku terus cuba bertahan. Menadahkan telinga dan hati aku mula berzikir segala ibu sumpah seranah.

Pagi itu... di dalam bilik itu, terkurung di antara 4 dinding... beberapa teman perjuangan yang lain dan seorang lelaki pendek! Alhamdulillah, aku berjaya mengawal marah. Namun, tidak berjaya menutup rajuk hati yang berselang-seli dengan rasa kecewa dan sesekali bertangisan rasa MENYAMPAH!

Sepanjang sesi menadah telinga, hati aku tak henti-henti menyumpah. Aku tak nafikan, hatiku tercalar. Sudah tidak ada perasaan untuk menetap lebih lama di ruang 4 dinding bilik itu yang semakin menghimpit. Hati aku terus memberontak. Mulut aku mengukir senyum plastik lantas ku luahkan ayat mudah dan ringkas... 'bolehlah kot!' Lantas menutup sesi menadah telinga pada pagi itu.

Rajuk hatiku berpanjangan. Doa tidak putus. Beberapa minit kemudian, seorang kenalan menyampaikan satu tawaran yang bagi aku TEPAT PADA WAKTUNYA! Ya, hati aku baru sahaja terdetik, dan natijahnya tawaran datang bergolek. Namun aku terus jadi kepala dua. Tidak pasti sama ada pergi atau terus bertahan.

Kukhabarkan pada abah, guru segala guru dan teman segala temanku. Abah hanya senyum.

'Masa kau berdiam tadi, hanya Dia dengar suara kau. Masa kau senyum, hanya Dia tahu lukanya kau. Masa kau sendiri, Dia saja yang menemani kau. Bila Dia dengar, Dia dorong kau ke situ. Dia juga yang tahu rajuk hati kau, yang orang lain tak akan tahu,' kata abah.

'Bila kau nak kasih sayang, kasih sayang abah dan umi tak memadai kasih Dia. Kalau kau datang berjalan, Dia datang berlari'

Aku faham kata abah. Aku belajar lagi hari ini. Aku belajar dari aku. Aku belajar dari hati aku yang bermulut dan suaranya hanya Allah yang dengar dan faham isinya.