Thursday, November 8, 2012

Cubalah jadi manusia!

Sebenarnya kisah ini terjadi pagi semalam. Tak jauh. Dekat saja dengan rumah aku atau lebih tepat lagi, dalam kawasan perumahan aku, di Blok 1B, Park Avenue. Oh ya, ramai sangat keliru bila aku kata blok! Hmm. Bukan perumahan bertingkat-tingkat ya, tetapi deretan rumah! Ada faham? Bagus.

Seperti hari-hari biasa, keluar rumah seawal 7 pagi. Cuma semalam tergelincir dua puluh minit. Kenapa? Tambah termenung dalam bilik atas sejadah, bahagi pula masa ke dapur curi-curi kalau ada makanan untuk sarapan pagi, darab pula dengan beberapa minit aku duduk termenung memandang Miqhail dan Mierza yang tidur nyenyak. Cemburu! Aku nak juga lena seperti mereka! Hahaha. Melalut? Ya. Maaf.

7.20 pagi, setelah bersalaman dan mengucup tangan umi dan abah, aku memaksa Lolly bergerak di jalanan. Tiba di satu batang jalan, di hadapan sebuah rumah yang mana dipadatkan dengan deretan kereta kiri dan kanan, muncul seekor anak kucing. Kecederaan. Alhamdulillah, aku sempat brek. Aku tunggu sehinggalah si kucing itu berjaya melintas jalan. Namun, ada sebuah kereta Waja keemasan dari arah bertentangan, dipandu seorang makcik telah membunyikan hon berkali-kali. 

Bangkai kucing gambar dari Muslimah Hari Ini
Apa agaknya yang makcik itu mahu? Dia pun nampak ada seekor anak kucing sedang merangkak-rangkak perlahan. Kenapa perlu dibunyikan hon berkali-kali? Lebih menyakitkan, ketika berselisih, si makcik sempat marah-marah, memandang ke arahku. Astaghfirullah. Sabarlah makcikku sayang. Cubalah bertenang. Yang melintas itu pun bernyawa. Biarlah ia berlalu. Tak kiralah lambat sesaat dua. Jangan kita membuat dosa. Menganiaya binatang. Binatang itu bernyawa.
Peristiwa ini mengingatkan aku kepada beberapa kejadian lain tetapi hampir serupa. Pernah sekali, ketika aku terlibat dengan peperangan masa. Yang mana aku harus berkejar ke pejabat sebelum terlewat. Di lebuhraya. Aku masih ingat, Lolly aku pandu di lorong kedua dan ada dua lagi lorong di kiri dan kanan. Sedang tekun memandu, tiba-tiba seekor anjing muncul. Aku juga masih ingat, tiada kereta di hadapan dan belakang. Yang mana, membolehkan seorang pemandu melakukan brek kecemasan. Betul tak? 

Dalam kejadian itu, kebetulan sedang berlangsungnya kerja pembinaan jalan. Jadi, memang setiap kenderaan memandu dengan kelajuan sangat sederhana. Tidak laju dan tidak juga perlahan. Tatkala anjing itu muncul, sebuah kereta Wira yang kedudukannya sedikit hadapan dari Lolly dan berada di lorong kiri (lorong ketiga ya, paling perlahan!) telah melanggarnya. Bukan sekadar melanggar, tetapi memecut laju yang mana akhirnya membuatkan tubuh anjing itu melayang. Cuba bayangkan, apa yang terjadi seterusnya? Anjing itu cuba membangkitkan tubuh lemahnya. Aku tidak pasti apakah kesudahannya. 

Bangkai anjing gambar dari Diari Diskusi Diri
Itu kisah anjing. Baru-baru ini, kisah seekor kucing tapi, aku tak rasa sesuai untuk diceritakan di sini. Sangat menyayat hati. Satu persoalan yang bermain di kepala, kenapa manusia tidak boleh simpan peri-kemanusiaan? Memang benar, dalam peraturan ada mengatakan pemanduan harus diteruskan sekiranya ada binatang yang melintas untuk mengelak kemalangan! Tetapi, sekiranya dalam situasi yang membenarkan kita sebagai pemandu berhenti, kenapa kita terus menekan pedal minyak tanpa mengusik sedikit pun pedal brek. Manusiakah kita? Yang digilis tayar kereta itu tersimpan roh dan nyawa. Bukan batang pisang atau kelapa ya!

* Sekadar nasihat dan peringatan untuk diri sendiri. Kalau berpeluang menyelamatkan nyawa, apalah salahnya kita berhenti. Sesekali, cubalah jadi manusia! Tolonglah!