Friday, November 23, 2012

Al-Kahfi dan Kisah Seorang Wali

Cukup, cukup sudah, 
cukuplah dua entri saja...hahaha.

Mohon jangan terasa. Ayat di atas ditujukan untuk diri sendiri. Cukuplah dua entri berturut-turut, aku melalut dan menyembang tentang filem. Sekarang tiba waktunya untuk berkongsi hal yang lebih serius dan bermakna. Tambahan pula, di hari Jumaat ini, penghulu segala hari. Perlu diingatkan ya wahai teman sekalian, jangan terlalu mengikutkan perkara yang lara! Binasa jawabnya.

Mari kita bermula semula...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bukankah cantik maksud ucapan tersebut? Salam sejahtera ke atas kamu! Ia bukan sekadar ucapan malah doa kesejahteraan sesama hamba Allah. Lebih afdal kalau diucapkan penuh dan selengkapnya, bukan? Tapi, kalau nak jimatkan penggunaan huruf khususnya di twitter, As salam pun sudah memadai. Cuma mahu diingatkan, tolonglah elak menggunakan singkatan A' kum, Sekom, Salamz... Ini bukan nampak moden, tapi serabut dan langsung tak beri sebarang makna. Aih!

Salam Jumaat!
Sebenarnya, pagi-pagi lagi aku baca beberapa artikel tentang perkara sunat dilakukan pada hari Jumaat. Perkara yang remeh, (sebab Jumaat sentiasa hadir dalam seminggu) ia seharusnya dilaksanakan saban minggu. Cuma, adakalanya sifat manusia yang telah dijadikan sejak azali, pelupa atau lebih jujur lagi, MALAS! 

Terus teranglah, berapa ramai antara kita baca surah Al-Kahfi setiap Jumaat? Tak perlu jawab. Renung-renungkan sendiri. Kalau ada yang terasa, mohon maaf tapi pertanyaan itu bukan sekadar untuk kalian, sebaliknya kepada diri aku juga. Justeru, aku terpanggil untuk berkongsi sedikit tentang kelebihan membaca surah Al-Kahfi dengan memetik beberapa blog yang boleh dipercayai kandungannya; UAI Ustaz Azhar Idrus dan ILoveIslam.

Terdapat beberapa kelebihan khusus disebut Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi. Antaranya 
1) pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat 
2) dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.

Selain itu, terdapat beberapa hadis tentang kelebihan dan kebaikan membaca surah Al-Kahfi;

Abu Sa`id Al-Khudri radhiallahu `anhu beliau berkata bahawa Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat,
maka ALLAH terangi ia dengan cahaya diantara dua Jumaat.”  
(HR al-Hakim dan Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani)

Ali meriwayatkan daripada Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat,
nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari,
daripada segala fitnah yang melanda, dan jika 
keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara 
daripadanya” 
(Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

Daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi,
pasti terlindung daripada dajjal” 
(HR Muslim 809)

Imam Ahmad berkata daripada Abi Darda', Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam, baginda telah bersabda:

"Sesiapa menghafaz sepuluh ayat daripadanya permulaan
surah al-Kahfi,maka terhindar daripada Al-Dajjal."
 [Riwayat Muslim,Abu Daud,Al-Nasa'i,Al-Tarmizi daripada Qatadah]

Imam Ahmad berkata daripada Abi Darda', Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam, baginda telah bersabda:

"Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al-Kahfi,
maka terhindar daripada fitnah Al-Dajjal."
 [Hadis Riwayat Muslim dan Al-Nasa'i]

Daripada Muaz Ibnu Anas Al Juhani daripada bapanya daripada Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam bersabda: 

"Sesiapa membaca awal dan surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yg membaca keseluruhannya,maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi."
 [Hadis Riwayat Ahmad]

Daripada Umar berkata, Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam bersabda: 

"Sesiapa yg membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, 
maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. 
Utknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat."
 [ Hadis Riwayat Ibnu Katsir]

Kalau sesiapa nak baca surah Al-Kahfi, boleh klik di sini. Ada terjemahan sekali. Lebih afdal baca dan faham ertinya, betul tak?

Bercakap tentang surah Al-Kahfi ini, mengingatkan aku kepada sebuah kisah yang pernah diperdengarkan oleh seseorang dahulu. Ya. Aku lupa siapa orangnya atau di mana aku dengar tapi yang penting, aku masih ingat isi kandungan cerita. Kisah tentang seorang wali yang menjadi mangsa umpatan dan juga fitnah (erti dalam bahasa Melayu - tuduhan). Kenapa pula aku mahu berkongsikan cerita ini? Apa kaitan dengan surah Al-Kahfi? Aik, tunggulah dulu. Baca dan fahami, kemudian cuba kaitkan.

Kisah seorang wali yang menjadi mangsa umpatan kepada seorang hamba Allah. Nak dijadikan cerita, hamba Allah ini menyedari kesalahannya dan memohon maaf kepada wali tadi. Wali Allah sedia memaafkan tetapi dengan syarat; sediakan sebiji bantal yang dipadatkan dengan bulu burung. Hamba Allah tadi, menurut dan menyediakan sarung bantal mengikut syarat yang telah ditetapkan. Setelah itu, si wali meminta agar hamba Allah tadi mengoyakkan sarung bantal itu, lalu berterbanganlah bulu-bulu burung tadi ke udara. Kemudian, si wali meminta hamba allah itu untuk mengutip kesemua bulu-bulu burang yang berterbangan agar dimasukkan semula ke dalam sarung bantal. 

Bulu burung umpama umpatan...
Mustahil bukan? Ya. Itulah yang terjadi. Hamba Allah itu tidak dapat memenuhi permintaan si wali tadi

Maka berkatalah si wali (bukan ayat yang sebenar tapi lebih kurang inlah isinya, sebab aku antara ingat dan tidak. Maaf ya!) 

Begitulah umpamanya perbuatan mengumpat. Dosa mengumpat telah diampunkan. Tetapi, bayangkan bulu-bulu burung yang berterbangan tadi seumpama umpatan yang telah didengari oleh orang-orang lain. Adakah umpatan itu hanya berakhir di situ atau ia terus tersebar meluas. Sesungguhnya, adalah mustahil untuk dikutip dan dikumpulkan semula. 

Agak-agak, kalian faham tak apa yang ingin disampaikan wali tadi? Bagi pemahaman aku, setiap pembohongan dan umpatan yang kita lakukan, selagi ada yang mempercayainya, selagi itulah dosa tidak akan dapat dimaafkan. Mungkin orang yang kita umpat sudah memaafkan, tetapi bagaimana pula caranya untuk kita memaklumkan kisah itu adalah bohong kepada orang yang sudah mendengar dan mempercayainya. Selagi orang-orang yang mendengar umpatan (pembohongan) itu percaya, selagi itulah dosa kita tidak dapat termaafkan. 

Nasihat aku kepada semua dan diri sendiri, berhati-hatilah dalam perbualan sehari-hari. Jangan sesedap mulut bercerita selagi kita tidak tahu asal-usulnya. Kalau kisah yang kita dengar itu satu pembohongan dan fitnah semata-mata, maka kita meluaskan lagi sebaran fitnah itu, maka tergolonglah kita dalam orang yang melakukan... fitnah. Jadi, elakkan diri dari bercakap dan bercerita perkara yang sia-sia.

Apa kaitannya dengan surah Al-Kahfi? Memang tiada kaitan tapi, ia sekadar perkongsian. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi dan mengaibkan hamba Allah yang lain.

* baru aku teringat dari mana aku dengar kisah wali ni, radio IKIM.FM. Mulai hari ini dan hari-hari seterusnya, cuba kawal diri yang teman sekalian. Kalau tak dapat elak diri dari mendengar, pandai-pandailah buat tak dengar. Kalau terdengar, jangan gatal-gatal sampaikan pada orang lain pula. Tak baik, dosa tu. Ehem ehem... wartawan, agak-agaknya kerja macam ni ke? Dengar khabar angin? Opppsss... aman, jangan perang!