Kekosongan yang tidak akan terisi...




Aku sendiri terlupa, tarikh sebenar aku mula-mula mendengar celotehnya. Tetapi, apa yang aku ingat, aku selalu mendengar suara nakal dan celotehnya yang mencuit hati di stesen THR dahulu. Antara lawaknya yang aku ingat sehingga ke hari ini ialah resepi bangun pagi dan juga album KLIA. Ingat semua itu, pasti aku gelak tanpa aku sedari, tuan punya suara sudahpun selamat berangkat. Berangkat selamanya, meninggalkan kita menyahut seruan Illahi.

Jujurnya, aku masih lagi terkejut. Sejak kali pertama mendengar allahyarham dikejarkan ke hospital ada satu suara yang mengatakan mungkin sudah tiba pula masanya. Aku cuba juga berlawan dengan suara itu. Aku masih ingat lagi, aku terus masuk ke bilik umi memberitahu tentang keadaan Din Beramboi. Wajah umi terus berubah. Siapa sangka? Tak ada siapa. Tambahan pula di rumah ini, rancangan Raja Lawak selalu sangat ditonton semula. Malah, iklan rancangan Mandi dan Wuhai Beramboi kerap muncul. Inilah ketentuan Allah. Semuanya sudah tertulis.

Bukan setakat umi, malah seluruh Malaysia bimbang akan kesihatan Din Beramboi. Biar apa juga orang kata tentang dia, aku punyai anggapan aku sendiri. Din Beramboi adalah pembunuh! Ya! Kehadirannya pasti membunuh watak-watak di sampingnya. Setiap kali aku menonton rancangan Spontan, memang aku berharap supaya Din yang dipilih. Dia akan membunuh watak lain. Terus terang aku katakan, aku bukan pendengar setia Era. Tetapi, aku akan dengar rakaman rancangan Drama Sebabak di youtube.

Pemergiannya amat terasa. Tambahan pula, aku membesar dengan menonton setiap lawak dan mendengar celotehnya. Wataknya dalam Ah Long Bukit Beruntung antara yang paling aku suka. Aku juga amat suka lawak yang disampaikannya melalui kumpulan Mamu. Lawak Mamu pada malam itu diselitkan emosi dan aku suka bahagian ayat yang merentap jiwa. Memang benar, tugas pelawak untuk menghiburkan orang. Tapi orang selalu sangat mentertawakan seorang pelawak.

Keberangkatan allahyarham Meor Ahmad Fuad atau Din Beramboi meninggalkan satu lagi kekosongan. Kekosongan yang tidak akan terisi kerana kehilangannya tiada galang ganti. Namun begitu, pelawak lain akan muncul untuk menggalas tugas yang pernah dibawa allahyarham... menghiburkan masyarakat. Aku doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Al-Fatihah....


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku