Friday, March 27, 2015

Makan-Makan di Burgerbyte, Zizan Razak punya!

Burgerbyte
Sudah agak lama rasanya aku tak berkongsi destinasi makan-makan dengan para pembaca blog (terima kasih kerana sudi singgah). Kebetulan, baru-baru ini kami sekeluarga berpeluang mencuba dan menikmati hidangan makanan yang ditawarkan oleh BurgerByte.

Jujurnya, aku pun tidak tahu pemilik kedai makanan ini rupa-rupanya si Zizan Razak. Aku tahu ini pun sebab Along yang beritahu dan ketika itu, aku tidak peduli. Bukannya aku tidak suka atau pembenci Zizan, cuma perihal begini aku tak ambil pusing sangat. Jadi, tidaklah aku merajinkan diri mencari di Google apa-apa informasi tentang Burgerbyte termasuklah lokasi dan laluan yang perlu kami guna untuk sampai ke destinasi. Ah, bila tiba masanya, baru aku fikir. 

Dalam tidak sedar, hari yang dirancang tiba juga dan aku hampir terlupa. Bukan hampir, memang lupa! Mujur Along ingatkan sehari lebih awal. Oh ya, Along dan Umi adalah 'reminder' paling cekap dalam hidup aku. Perkara-perkara remeh dan juga besar, pasti mereka yang tolong ingatkan seorang Ghajini seperti aku! Hahaha.

Bila tiba harinya, (Sabtu) barulah aku sibuk nak menggodek Google mencari alamat dan lokasi sebenar tapi berlagak macam serba tahu. Selepas maghrib, bergeraklah kami dalam dua kenderaan yang berlainan menuju ke Bukit Beruntung, di mana lokasi terletaknya Burgerbyte yang paling hampir dengan kami sekeluarga. Apa acara atau peristiwa penting apa yang membuatkan jadinya rancangan makan-makan di Burgerbyte ini. Ia sempena sambutan hari ulang tahun Along yang sepatutnya jatuh pada bulan April. Disebabkan GST, maka kami meraikannya lebih awal. Hahaha. Lawak. Seloroh sahaja. Birthday Girl tak senang sepanjang April, maka diawalkan. Okeylah tu.

Kami tiba di hadapan premis Burgerbyte di Jalan Adenium kira-kira pukul 8:30 malam kerana menggunakan lebuhraya Latar menuju Utara. Namun begitu, ada kisah menarik yang berlaku dan membuatkan kami terpaksa berpusing kembali ke hentian RnR. Tayar pancit. Hmm. Perkara menarik di sebalik insiden ini, baru aku sedar yang di belakang tempat letak barang, car jack dah tiada! Amboi, dah ke mana perginya? Mustahil boleh tercicir. Tak pasal-pasal kena kelas ceramah terbuka dari abah. Ya, itu memang salah aku. Lagi salah, siapa yang pinjam tak letak balik! Betul tak? Hehehe. Selepas selesai, kami bergerak semula dan Alhamdulillah, tiba juga sebelum pukul 10. Kalau terlewat juga, tidak menjadi masalah kerana Burgerbyte ini beroperasi sehingga 1 pagi!

Kalau selama ini, aku asyik menyaksikan hos-hos rancangan makan di televisyen (tempatan mahupun antarabangsa), seronok sangat bila melihat mereka makan burger bertingkat-tingkat, tanpa berfikir panjang aku pun membuat pesanan; Signature Dish Burgerbyte yang didatangkan dengan dua keping daging burger. Hah! Sekeping lembu dan sekeping lagi kambing. Abah pun begitu, tapi sekeping ayam menggantikan kambing. Tak ketinggalan yang lain-lain, memesan naked burger dengan linangan kuah yang mmmmppphhh serta spagetti yang harum menusuk hidung. Nyum.

Signature Dish Burgerbyte

Lembu dan kambing; mengembu dan mengembek perutku!
Pujian pertama diberikan kepada servis anak-anak buah Zizan, apabila pesanan kami segera tiba di meja makan dan setiap hidangan diberitahu terlebih dahulu sebelum diletakkan di tempat masing-masing. Aku yang istimewa kerana hidangan daging kambing dihidangkan beralaskan pinggan putih. Percaya atau tidak, tidak sampai dua gigitan, perut sudah kenyang walaupun belum kekenyangan. Dalam hati terfikir, bagaimana hos-hos di televisyen boleh melantak sebiji burger sendirian. Senak babe!!!

Ayuz dengan hidangan burger naked!
Itu jari aku, abaikan!
Spagetti di dinding dah di depan mata, umi!
Pujian seterusnya, perlu aku nyatakan di sini adalah rasa burger itu sendiri. Lembut, garing dan ... Allah sahaja yang tahu keserasian rasanya. Malam itu aku tidur dengan kekenyangan dan berbaloilah berpusing untuk menikmati rasa burger yang memang benar-benar lazat. Zizan, tahniah diucapkan dan terima kasih kerana beri peluang kami orang-orang Rawang merasa Burgerbyte. Harap dan berdoa agar lebih banyak cawangan Burgerbyte dibuka.

Tahniah dan terima kasih, Zizan Razak. Burgerbyte sedap!
* sebelum menulis entri ini, sempat aku menjeling beberapa komen dan singgah sebentar ke laman sesawang rasmi Burgerbyte. Ada yang tidak berpuashati dengan minuman tapi aku tidak. Sebabnya, aku minum jus tembikai. Sedap! Hahaha. Mana pernah orang selidik lepas selesai semuanya? Ada. Akulah orangnya.Gelak lagi. Hahaha.