Wednesday, March 18, 2015

Destinasi sambutan Hari Lahir di Superstar Libra Cruise

Superstar Libra Cruise

Al-kisahnya...

Acrophobia dan thalassophobia; kedua-duanya ada pada aku. Ya. Ketakutan pada ketinggian dan juga laut. Sudah bertahun dan hampir sedekad aku bekerja di bangunan tinggi (pejabat aku di aras 10) tetapi tahap ketakutannya tetap sama. Fobia terhadap ketinggian memang berlaku sejak kecil dan entah berapa kali aku menaiki pesawat, ketakutannya tetap sama dan tidak pernah berkurang. Apa cara untuk hindarkan rasa takut agar tidak dihidu mereka yang mengembara bersama? Tidur tak pun aku sumbat fon telinga, layan lagu sambil suara kecil dalam hati berzikir, ingat Allah.

Thalassophobia, ketakutan pada laut. Tidak pasti sebab-sebab yang membuatkan aku seringkali ketakutan apabila berada di sekitar kawasan laut. Entah bila ianya bermula. Mungkin selepas melihat bencana Tsunami membuatkan aku gerun dan ketakutan? Tambah pula aku tidak boleh berenang. Sekadar berenang dalam jarak dan kedalaman yang sederhana, aku masih boleh bertahan dengan mengapungkan badan. Kalau di laut? Mungkin pecah peparu aku dibuatnya atau lemas. Aku sedar dan tahu kemampuan diri sendiri. Ditambah pula dengan tragedi feri karam di Korea Selatan tahun lalu. Hmm. Memanglah ajal itu akan datang tanpa mengira waktu dan tempat atau bersama siapa kita ketika itu, tetapi kalau benar aku dijemput, biarlah sempurna batang tubuh seperti aku tiba di dunia ini dahulunya.

Wah, ini sudah cukup panjang sebagai mukadimah. Kenapa pula aku melalut panjang tentang dua fobia ini? Apa kaitannya dengan sambutan hari ulang tahun perkahwinan abah dan umi ke-37, hari lahir Mysarah-Ayuz-Aku dan ulang tahun perkahwinan Along-Abang Zamri ke-7? Ya, ada kaitan. Along sudah awal-awal lagi merancang agar sambutan kali ini diadakan di atas kapal, itu pun selama dua hari dan semestinya bermalam. Awal-awal lagi aku menolak, tak mahu! Namun apabila melihat masing-masing sudah bergembira, sangat tidak bertanggungjawab kalau aku seorang sahaja yang menolak dan menghancurkan kegembiraan mereka, betul bukan?



Dari Rawang ke Pelabuhan Swettenham Pulau Pinang

Oleh yang demikian, bermula dari saat Along memberitahu rancangan tersebut sehinggalah aku benar-benar berada di atas kapal, hati jadi tidak keruan. Sepanjang perjalanan menuju ke pelabuhan, khususnya sewaktu berada di jambatan kedua Pulau Pinang, aku dapat rasa tiada setitis darah di muka. Kiri kanan semuanya laut dan hanya sebatang jalan lurus tidak kelihatan daratnya di hadapan dan belakang kereta dipandu abang Zamri. Berbeza dengan anak-anak buah aku (Mysarah dan Mierza) masing-masing siap berdondang sayang. Along pun siap ketawa melihat aku. Eh, aku takut ni!!! Bentak hati.

Rilekslah Angah, kita minum dulu!
Itu apa, papa?
Itu laut ke? Boleh mandi?
Jambatan Pulau Pinang II, panjang gila!
Kami sampai di pelabuhan sekitar pukul 6.30 petang dan hampir mencecah 7 malam. Mujur masih ada beberapa jam sebelum kapal Superstar Libra Cruise ini bergerak. Oh ya, sebelum sampai di kawasan meletak kereta, sudah kelihatan sebahagian tubuh kapal ini. Sumpah atas nama Allah, bergegar jantung aku dibuatnya. Besar. Gergasi. Apabila mengenangkan aku bakal ditelan gergasi lautan itu, gerun juga tetapi sedikit demi sedikit perasaan teruja turut menghalusi perasaan.

Berjalan kaki menuju Superstar Libra Cruise
Ini sebahagian saja!
Kami sudah sampai! Dup dap, dup dap...

Dup dap, dup dap lagi...
Masing-masing tidak sabar...
Anak-anak yang tak sabar ya!





Akhirnya, atas Superstar Libra Cruise

Pujian harus diberikan kepada kakitangan Superstar Libra Cruise dalam menguruskan kami (terutama sekali aku), wajah ceria dan tenang membuatkan para penumpang seperti aku turut berasa tenang dan selamat. Apabila berada di dalam kapal, terasa seakan berada di sebuah dunia yang lain. Kad pengenalan diganti dengan kad khusus dalam masa yang sama memudahkan urusan jual dan beli. Perlahan-lahan rasa gerun dan takut tadi hilang kerana tidak ada apa-apa perbezaan dengan hotel-hotel mahupun mana-mana bangunan di darat.

Sebagai kenangan...
Kad pengenalan di atas kapal
Gambar kenangan dengan parrot, bukan pirate!
Ikut kanan, kanan bukan kiri.
Mereka berjalan dengan pasti... (aku di belakang)
Mereka masih berjalan... (aku berlari, di hadapan)
Mereka terus santai...
Umi melambai dari jauh, abah tekun melangkah...
Ah Miqhail, suka sangat tu!


Cari, di manakah Mysarah...
Pinky tulah, lagak macam anak dara sunti!!!
Ditahan untuk tujuan pemeriksaan.
Tak sabar nak ke bilik masing-masing. Letih beb!
Ayuz, paling letih. Along, awat cun sangat!
Awalnya, aku dan Miqhail telah diberikan bilik yang sama. Memandangkan Miqhail enggan berenggang dengan wan kesayangannya, aku terpaksa berpindah bilik dan tidur bersama Along dan Mysarah. Barang-barang seperti beg pakaian sengaja ditinggalkan di bilik yang telah disediakan untuk aku awal tadi. Bila-bila masa aku mahu sendiri dan menyiapkan diri, aku akan ke bilik itu. Seronok juga, ada masa bersendirian seketika. Oh ya, masalah terbesar di atas kapal ini adalah ketiadaan suiz yang kebiasaan ada di rumah masing-masing. Akibatnya? Aku tak berada di talian sepanjang di atas kapal ini. Power bank yang dibawa pula menjahanamkan kerana menyerap baki tenaga yang tertinggal dan bukan mengecas. Hancur! Ada hikmahnya. Aku bercuti. Benar-benar cuti. Tiada gangguan Twitter, Facebook, Google+, Instagram dan paling penting, tiada panggilan masuk dan juga mesej (Sms/Whatsapp). Bahagia!!!

Laluan ke bilik-bilik penginapan
Miqhail si Mat Cermin, Angah minah Snap
Aksesori dalam bilik
Jaket keselamatan dan beg keselamatan aku!
Ruang bilik yang comel
Beradu...di sini
Sempat bergambar si baby Pinky @ Elsa! Hek...
Setiap aras Superstar Libra Cruise ini mempunyai fungsi yang tersendiri selain menempatkan bilik penginapan para penumpang. Aras yang paling menjadi kegemaran aku, pastilah 9 dan 10. Ya, bahagian paling atas dan hampir dengan langit. Tatkala berada di aras ini, tiada lagi rasa takut atau gerun seperti yang aku alami di awal-awal tadi menghilang sebaik melihat keindahan laut dan kebetulan, ketika mula-mula aku sampai di aras ini kapal masih belum bergerak. Kami naik ke atas pun kerana sudah tiba waktu makan malam. Satu perkara yang perlu kalian tahu, makanan-makanan di atas sini halal kerana disediakan chef beragama Islam. Aku juga sudah melihat senarai nama-nama mereka yang aku kira, sengaja diletakkan oleh pihak pengurusan. Disebabkan para penumpang bukannya hanya untuk golongan Islam, ada juga minuman keras disediakan. Maklumlah, Superstar Libra Cruise ini destinasinya bukan hanya terhad di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Depan? Belakang? Depan mungkin. Ya tak?
Aku tetap tak tahu, mana satu depan dan belakang
Umi mencari aku, aku jumpa umi...
Itu dia, waris den...
Jom makan-makan...
Biar yang arif tentukan...
Cara mata aku memandang...
Golf???
Corak langit di senja hari
Ketakutan perlahan-lahan berpindah rasa kepada keterujaan. Entah berapa keping gambar yang aku rakam. Terima kasih kepada abang iparku yang sudi menyerahkan kameranya dan apabila kamera sudah berada di tangan, jangan ditanya apa yang aku buat. Segala-galanya aku rakam termasuklah cubaan mengeksperimen. Ha, itulah aku. Sesiapa yang kenal, ini bukanlah perkara asing. Aku suka mencuba dan lakukan sesuatu perkara yang lain. Tidak suka mengikut 'jalan' yang sama sebaliknya membentuk satu lagi jalan baru. Sekiranya ada yang suka, terpulang. Kalau tidak, aku tak pernah menghentam. Masing-masing bebas dengan citarasa dan kehendak sendiri.



Penginapan selesa, makanan pun memang sedap!

Berbalik semula tentang bab makanan yang dihidangkan di atas kapal ini. Pelbagai pilihan dan kalian bebas mencuba setiap satunya. Kenyang. Alhamdulillah. Lebih menarik lagi, sepanjang menikmati makan malam kami telah dihiburkan oleh persembahan langsung dari penyanyi yang bertugas untuk Superstar Libra Cruise. Seleksi lagu-lagu yang dihidangkan pula berjaya menambat hati kami khususnya aku. Tidak kira dalam bahasa apa, mereka boleh menyampaikannya dengan cukup baik. Selesai makan malam, masing-masing bergerak ke bilik. Membersihkan diri dan ketika ini, ketakutan tadi mula meresap kembali kerana aku dapat rasa, kapal sudah mula bergerak.

Penghibur Superstar Libra Cruise
Penghibur Angah, si Miqhail
Santai habis...
Adik teringin nak menyanyi mungkin...
Bakal tuan-tuan besar anak-anak buah aku ni!
Mereka sedang rancak makan
Kebetulan tarikh kami menaiki kapal ini jatuh pada hari lahir Mysarah, pihak pengurusan menghadiahkan sebiji kek mini. Cukup untuk dirasa secubit seorang tetapi memandangkan masing-masing berlainan bilik, hanya sebilangan yang dapat merasa. Ah, bukan kek yang jadi hal kerana yang penting adalah ingatan. Sekitar 9 malam, Along keluar untuk bersama-sama keluarganya mengeksplorasi isi kapal dan aku pula, menjenguk umi dan kebetulan, teringat pula gambar-gambar yang dirakam pihak Superstar Libra Cruise sebelum kami menaiki kapal. Jadi, aku keluar dan pergi ke tempat yang diberitahu mereka. Wah, memang cantik. Cantik juga wang yang dibelanjakan. Dua keping gambar bersamaan RM70! Pergh, senak. Harga kapal katanya. Dang!!!

Comel kan?
Baru dua tahun dah belayar...
Kembar aku ni, si Mysarah
Sewaktu merewang-rewang di aras yang sama, bertembung pula dengan Along dan Ayuz bersama famili masing-masing. Kami adik-beradik berpakat untuk naik ke aras 10 untuk menghirup udara malam. Yalah, kalau tidak apa gunanya menaiki cruise tetapi terperuk dalam bilik? Sebelum itu, Umi berhasrat nak ikut sama, tapi aku yang nasihat supaya tunggu lewat malam. Kebetulan dah berjumpa dengan mereka, aku turutkan sahaja. Abang Zamri pula terpaksa pulang ke bilik sebab anak-anak dah mula mengantuk dan si Miqhail mula cari wan. Bagus juga. Umi dan abah dapat berehat, si Miqhail pun kalau dah mengantuk terus tidur.

Ragam abang...
...sebelum tidur!



Ya Allah, sudah di tengah-tengah laut!

Sampai sahaja ke aras paling tinggi ini, gelap pekat dan tidak ada sebarang cahaya lain melainkan dari kapal ini sendiri. Ya Allah, sudah sampai ke tengah-tengah laut rupanya. Tak semena-mena, lutut terasa lemah dan kaki sukar nak bergerak. Ketakutan tadi muncul lagi. Kali ini bukan sahaja laut, ketinggian juga buatkan kaki aku hampir kejung. Along sergah...

"Hoi Izan, kita dah kat tengah laut ni!"

Apa kau fikir aku tak nampak ke Along? Ujar dalam hati tapi tak terlafaz. Takut punya pasal!

Ombak ganas, ini betul-betul ganas.
Meriah... hanya di atas kapal
Along dan Superstar...Libra Cruise!
Dalam takut-takut tu, aku gagahkan juga berjalan tak sedar kaki membawa ke hujung kapal di mana terletaknya bilik karaoke. Sebelum tiba ke aras ini tadinya, hajat masing-masing nak lepak barang sejam dua di bilik karaoke. Hahaha. Nak berkarok tapi malangnya, bilik ini terbuka dan bukan tertutup. Agak malu juga nak berteriak sambil didengar orang kiri dan kanan. Alang-alang dah sampai, melayan jugalah gadis-gadis K-Pop celup yang menyanyikan lagu popular pada mereka itu. Terhibur juga sambil dilayan gelagat Aqasha yang berguling-guling atas lantai beralaskan karpet tebal entah berapa inci. Selesa, bersih. Bila telinga jadi semakin bingit dengan 'key' gadis-gadis yang ke laut (dah memang tengah laut ni pun), bilik karaoke itu kami tinggalkan. 

Seronok lihat gelagat Aqasha...
Nak nyanyi lagu apa ni?
...dan dia terus leka bermain sendiri! Comel!!!
Kau nampak bintang?
Berjalan keluar dari hujung kapal ini memang satu penyeksaan. Jalan sempit dan hanya seorang sahaja boleh melaluinya dalam satu-satu masa. Mereka berjalan laju, termasuklah Aqasha. Sungguh budak-budak memang tidak tahu takut. Aku yang melihat dari jauh, sekejap-sekejap jerit sendirian takut melihat dia yang sendirian ke tepi dan ke tengah. Mujur, tiada apa-apa yang terjadi. Cuma aku yang lemas dengan fikiran sendiri. Tidak seperti Aqasha, kaki aku melangkah dalam kelajuan yang sangat minima. Ya, bukankah sudah aku katakan di awal-awal tadi; terima kasih acrophobia dan thalassophobia!



Impian zaman kanak-kanak tercapai dan aku petik bintang

Lucunya, dalam ketakutan hati, aku turut merasakan ketenangan yang seakan ingin diabadikan selamanya. Hembusan angin yang kedengaran kuat tetapi lembut menyentuh kulit, bermesra dengan alam. Tiada yang damai selain ini. Kami berjalan lagi menuju ke hujung kapal diketuai Firdaus dan diikuti rapat Ayuz, Aqasha, Along dan aku, akhir sekali. Entah pukul berapa, sudah tidak aku hiraukan. Hitam gelap di keliling pun tidak menjadi masalah. Aku lihat bulan. Indah. Aku pandang bintang. Terang. Ya Allah. Tenang. Damai. Alhamdulillah, aku berpeluang menyaksikan semua ini.

Di bahagian hujung ini pula, terletaknya gim dan juga simulasi golf untuk pencinta golf yang meninggalkan darat dengan rela hati. Hahaha. Di sini, aku tidak mahu melepaskan peluang untuk gambar sendiri dirakam. Aku minta pertolongan Along dengan wajah yang cuba dicomel-comelkan sehabis mungkin. Ah, Along aku tetap akan tolong. Satu-satunya kakak aku yang tremendous, marvelous, superliciuous dan Maleficent? Hahaha. Dia tahu maksud aku itu.

Sana, sana tu...
Cuba pose Titanic tapi partner aku kecik sangat!
Nak aje aku gigit pipi Aqasha ni.
Lawa tak? Bukan orangnya. Dia memang lawa. Gambar ni, ok tak?
Di sini, kami melepaskan segala beban dan berbaring di atas lantai. Tidak lagi dihirau pasir atau apa sahaja kekotoran di atasnya. Mata tepat memandang langit. Bintang dan bulan sekata. Aqasha juga turut serta, seakan faham rasa yang tertumpah dalam hati aku ketika itu. Terimbas kembali di satu saat ketika aku di zaman kanak-kanak. Waktu itu, aku berbaring di atas padang bola beralaskan rumput yang menghijau memandang langit biru serta awan-awan berkejaran.

Bolehlah...
Edit, sebab gambar ni seksi sangat! Hahaha...
Aku nampak kamu, jauh di sana dan aku rindu!
"Satu hari nanti, aku nak baring sambil petik bintang tanpa atap atau tingkap. Hanya aku, bulan dan bintang"

Berdekad lamanya, akhirnya impian itu tercapai. Hanya Allah sahaja tahu betapa indahnya rasa itu. Ya, rasa itu aku simpan. Bila-bila sendiri, rasa itu akan keluar dan kembali menyerikan hari dan malamku.



Panggilan misteri di tengah malam

Hampir tengah malam dan setelah puas bermesra dengan alam, kami pun bergerak menuju ke bilik masing-masing. Sempat juga singgah ke bilik umi, bercerita tentang pengalaman indah tadi. 

"Tadi Umi nak pergi, kau tak bagi. Kata tengah malam sikitlah"

Aku tak tahu nak balas apa. Tapi memang salah aku.

"Izan ikut Along, dia ajak."

Jarang aku dapat tidur nyenyak selain bilik, bantal dan tilam milik sendiri. Berbeza keadaannya di sini. Nyenyak dan tenang sambil dibuai ombak. Namun, nyenyak aku direntap apabila Along mengejutkan aku. Pelik juga, kenapa Along kaget pagi-pagi buta begini? Kedengaran deringan telefon.

"Siapa tu?" Along soal aku

"Entah." Aku bangun dan mengangkat gagang telefon, merapati telinga dan...

"Wai, Ah Chong aa..." kedengaran suara lelaki agak berusia menyapa di talian.

"Sorry, wrong number"

"Haiyyaa, sorry."

Salah nombor rupanya. Mungkin panggilan dari salah seorang penumpang yang menginap di atas kapal yang sama. Aku dan Along ketawa sesama sendiri sebelum melayari semula alam mimpi yang terbantut tadi.



Sarapan pagi di tengah laut bertemankan matahari naik

Awal lagi kami dah bangun. Aku bergegas ke bilik umi, untuk memberitahu aku akan ke aras atas untuk merakam gambar matahari naik. Aku tidak mahu terlepas peluang seperti yang berlaku ketika kami di Sabah dahulu. Along dan yang lain-lain telah pun pergi lebih awal. Awal dari aku tetapi, seorang pun tidak kelihatan ketika aku sampai di aras atas. Aku mahu mereka turut menyaksikan keindahan matahari naik di tengah-tengah laut. Hmm, sudahnya sendirian aku merakam si matahari bangkit dengan mata dan juga lensa kamera. Sesekali terpaksa berhenti kerana ada penginap yang melakukan lari anak di atas ini. Teringat aku papan notis yang mengatakan, kegiatan seperti itu harus dilakukan di aras bawah. Hmm. Peraturan hanya di atas papan notis ya!

Saat matahari naik...
semakin terang...
makin terang...
Oh, ini laluan yang sempit aku katakan tadi!
dan dia sudah pun naik!
Cukup terang...
aku tangkap sendiri, teringin!
damai...
Selfie! Hahaha
Disebabkan tidak jumpa sesiapa, aku kembali ke bilik umi. Hah, mungkin mereka sedang bersarapan. Oh ya, aku terlupa. Aku dan umi bergegas menuju ke ruang makan di aras yang sama dan ya, seperti dijangka kesemua ahli keluarga aku di situ menjamu selera. Wah, makanan yang dihidangkan juga sedap-sedap. Sedang tekun menjamu selera, kami dapat merasakan pergerakan kapal yang mula berpusing untuk kembali semula ke pelabuhan. Aku menjenguk ke cermin dan melihat, ombak-ombak menghempas dinding kapal, memutih.

Sempat rembat satu gambar umi
Makan-makan dulu...
Ganas sungguh ombaknya, bergerak pulang ke pelabuhan semula
Selepas menyudahkan suapan terakhir, aku menyertai mereka yang sedang berseronok di kolam. Ya, aku tidak memenuhi piawaian untuk mandi di kolam ini. Jadi, aku menghabiskan masa dengan merakam setiap gambar. Oh ya, sampai hari ini gambar wefie keluarga belum lagi aku lihat. Bagaimanakah agaknya rupa aku dalam gambar itu? Mungkin tidak jadi? Hahaha. Aduhai.

...anak-anak bergembira
Gambar yang paling aku suka, semuanya ada kecuali aku ...
...sebab aku ada di sini! Hahaha..
Abang kepenatan, tapi tak puas. Nak mandi lagi!
Alahai, Angah tarik tuala tu nanti! Hahaha... Aqasha
My Life!!!
"Izan, kapal tengah bergerak!" Along sakat aku
Masa aku snap, dorang tak perasan
Titanic; ini aku yang suruh! Hahaha...
Famili yang comel sangat!
Ini Aku...
Mengira obor-obor...
Umi dah tak sabar nak turun ke darat
berselisih... matanya cun sangat!
menuruni tangga sambil...
dipimpin, Mierza memang favorite orang-orang kat sini!
Muka Mysarah, happy sangatlah tu!
Giliran famili Ayuz!!!
Alhamdulillah, selamat mendarat



Selamat Tinggal Superstar Libra Cruise, Terima Kasih Allah Kami Selamat

Akhirnya kami sampai ke darat. Kalau diawalnya aku takut tetapi sebaik sahaja kaki menjejak darat, terasa pula ingin kembali. Namun, apabila difikir-fikirkan sehalus-halusnya, terima kasih. Cukuplah sekali. Memandangkan perjalanan pulang semula ke Rawang mengambil masa yang panjang, kami telah merancang untuk bermalam dahulu di Pulau Pinang. Mujur penginapan telah dibuat terlebih awal di Hotel Seri Malaysia. Ya, destinasi terakhir untuk melepaskan lelah. Sebelum mendaftar masuk ke hotel, kami sempat menjamah nasi kandar di Nasi Kandar Line Clear. Wah, memang sedap. Komen aku secara peribadi tentang keadaan kedai ni? Hmm. Datanglah sendiri dik oi! Hahaha.

Itu dia, Nasi Kandar Line Clear...
Minum hingga ke titisan terakhir...
Alhamdulillah, kenyang perut, senang hati.
Lukisan mural epik ni!
Kemudian kami meronda lagi hingga ke Bukit Bendera. Beberapa tahun dahulu, kami pernah datang ke sini tetapi tidak berkesempatan menaiki kereta kabel sebab sedang menjalani proses penyelenggaraan. Kali ini, sudah terlalu banyak perubahan dan ianya cukup baik terutama sekali pembinaan bangunan meletak kereta dengan kemudahan lif. Wah, maju sungguh. Kereta kabelnya juga sudah bertukar wajah. Canggih. Ya canggih macam mana sekali pun aku tetap ketakutan. Seperti biasa, aku jadi bahan gelak Along yang duduk di sebelah. Haih, nasib badan.

Dah berubah....
Lebih cantik...
Umi dan abah tak naik...tunggu di bawah saja
Tunggu giliran...
nampak tak kepucatan pada wajah manusia di tepi sekali?
Mierza pun seronok!!!
Kawan reptilia siapa yang terkurung ni?
Sejuk juga di atas Bukit Bendera ni!
Apa yang abang nampak?
Mama tak nampak apa-apa pun, hitam je!
Aku? Cukuplah sekadar di tepi, gayat tinggi!
Miqhail dan kuda...
...berpisah tiada!
Macam di Hong Kong, bukan? Wei, aku gayat!
Di waktu malamnya, mereka ajak keluar. Terima kasih, tapi aku nak tidur. Tidur bersama Miqhail dan esoknya, sebelum meninggalkan Pulau Pinang, aku memenuhi keinginan untuk berenang. Hahaha. Dah lama tak berenang, berpeluh dalam air aku dibuatnya. Pedih mata, tak payah cakaplah.

Mysarah, main tepuk-tepuk air je...
Ketika aku berjaya berenang...hahaha.
Aqasha boleh buat lebih bagus dari aku. Oh, malu!
Jumlah oksigen berlebihan buat aku gagal menahan nafas dalam air! Chet!!!
Lakaran yang sempat aku tinggalkan untuk petugas hotel. Agar mereka ceria!
Menjelang tengah hari, kami pun bergerak meninggalkan Pulau Pinang dan sebelum itu, sempat singgah membeli belah di sekitar Komtar. Alhamdulillah. Percutian dan sambutan Hari Lahir paling bahagia dan pastinya, akan ada lagi yang menarik bakal tiba. Terima kasih Allah. Terima kasih Umi Abah, terima kasih Along, terima kasih Ayuz dan terima kasih semua. Bahagia mencecah 32! Wow!!!

Komtar kini...
Mysarah dan misi tersendiri, cuci-cuci!