Hadapi dengan SABAR!

Gambar dari Mencintai Sederhana
Eh, macam dah selalu pula aku menumpahkan ratusan perkataan dalam blog sejak akhir-akhir ini. Kenapa ya? Entah. Mungkin sebab ini cara aku 'meludahkan' gumpalan rasa yang tidak perlu ada atau disimpan lama di dalam hati. Jika kalian baca dari entri pertama hingga yang sedang ditatapi ini, memang itulah intipatinya. Aku ingat pesan dan nasihat seorang sahabat; Fatimah Sri Anas Putri. Buang negativiti menerusi penulisan kerana kepuasan ada di setiap perkataan yang ditaip/ditulis. 

Ya, perkataan mewakili emosi dan itulah yang sangat akrab dengan seorang penulis biasa seperti aku yang nyatanya seorang manusia. Manusia yang perlu terus berusaha memenangi perhatian pencipta bukan manusia di sekeliling. Bukankah itu yang sepatutnya? 

Setuju atau tidak, kita lebih cenderung melakukan sesuatu untuk menang di mata manusia lain. Macam-macam yang dilakukan dan salah satu darinya, kepura-puraan. Namun kita lupa, tanpa melakukan apa-apa atau berpura-pura, kita sentiasa diperhatikan. Setiap saat dan ketika. Ya, Allah sentiasa memerhatikan setiap perlakuan dan gerak-geri ciptaan-Nya tanpa mengabaikan sesaat pun. Adilkah kita, wahai manusia melupakan Dia yang tidak pernah putus memberikan perhatian? Benar. Tidak adil dan ini bukan sekadar ditujukan kepada orang lain tetapi peringatan kuat untuk diri sendiri!

Berbicara tentang kepura-puraan tadi, ia sememangnya tidak pernah seiring dengan aku. Mungkin, tidak disuntik dalam darah atau menjadi sebahagian dari hati. Adakah ini masalah? Abah pun sering berkata, wajah aku jelas memperlihatkan emosi di dalam. Kalau profesion aku pilih sebagai pelakon, adegan pertama sudah pasti ditolak kerana tidak menepati kehendak skrip.

Kata orang, wajah boleh menipu tetapi bukan mata. Dalam kes aku, mungkin kedua-duanya adalah kegagalan besar. Bila sekali ada bahagian dalam hati yang tersalah 'usik' memang tidak ada peluang untuk aku melayan orang itu dengan cara yang sama. Mungkin dahulu, aku masih boleh bertolak ansur dalam soal hati tetapi dengan pengalaman hidup selama lebih 30 tahun membuatkan hati sangat kebal dan mungkin juga sudah lali. Sama ada aku berdiam atau kalian berundur. Itu sahaja!

Aku tidak akan menuntut dan kalian juga sudah pasti tidak akan meminta maaf. Ini bukan ego tetapi hakikat perhubungan di masa kini. Hubungan bukan sahaja dari sudut kawan kerana definisi hubungan itu juga terlalu luas. Hubungan antara pekerja dan pegawai sekuriti, penunggang motosikal dan pengguna jalanraya lain, pengguna dan pembeli, kenalan di pejabat, di komuter, teman maya dan macam-macam jenis komunikasi lain. Terserah bagaimana dan dari sudut apa yang kalian mahu pertimbangkan! Aku juga sangat jelas memberikan 'nama' di atas setiap perhubungan yang berada di sekeliling. Kenalan, kawan dan sahabat. 

Ada juga yang mempersoalkan, apa beza ketiga-tiga itu kerana kalau diterjemahkan di dalam bahasa lain maksudnya satu.

Sebagaimana yang dikatakan awal tadi, terserah kepada terjemahan masing-masing tetapi aku jelas tahu beza antara ketiga-tiganya. Jujurnya, kuota sahabat sudah lama penuh dan yang semakin bertambah bilangan adalah kenalan. Ada masanya ia berkurangan apabila mencapai satu tahap seperti aku katakan tadi. Jika itu terjadi, aku pun sudah tidak peduli kerana dah terbiasa dan lali. Kau datang dan pergi, aku tak peduli.

Baiklah, apa tujuan entri ini ditulis?

Luahan rasa menerusi kata-kata dan ia adalah khusus kepada golongan yang membuatkan hati rasa panas. Kalau bukan disebabkan berkongsi bumbung dan udara yang sama dari 9 pagi hingga 7 petang (hakikatnya dia jarang di pejabat), memang tidak akan aku layan. Mujur, aku masih profesional. Itu bukan jaminan yang aku akan kekal begini untuk selamanya.Ya, aku hadapi dengan sabar. Bila tiba waktunya, dua patah perkataan sudah cukup menoreh perasaan. Jadi, doakanlah aku terus bersabar supaya tiada hati yang parah. Sesungguhnya, lidah adalah lebih tajam dari mata pedang!


* abah pernah berkata lagi; "kau boleh sakitkan hati orang dengan sepatah kata, hati-hati nanti ada yang benci!"

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku