Monday, November 18, 2013

Berani Tetapi Bodoh...?

Diam; kalah atau menang? Gambar Hiasan Mill Blog
Perjalanan pulang menuju ke Rawang dari rumah adik aku di Sri Kembangan dan secara tiba-tiba sebuah lori menerpa masuk tanpa memberi sebarang isyarat. Alhamdulillah, selamat tetapi agak terkesan di hati. Entah. Marah atau geram atau terkejut semuanya diadun sebati dan tersimpan kemas dalam hati. Tanpa perlu diberitahu dan mengambilkira input dari otak, aku menghambakan diri mengikut kehendak hati.

Abah : Tak guna berani kalau bodoh, Izan.

Terkejut aku mendengar kata-kata abah yang bersuara sebaik menyedari yang Lolly sedang cuba membenam asap lori di depan.

Abah : Yang penting, tak ada apa-apa jadi. Sudahlah. Jangan diikutkan hati.

Ya, kata-kata yang ini abah selalu pesan. Perlahan-lahan aku mengurangkan tekanan kaki ke atas pedal pemecut. Meter turun sedikit demi sedikit.

Abah : Banyak kekotoran terlekat dalam hati kau, cuba dibawa bersabar. Ingat Allah selalu, bukan diikut hati marah.

Aku : Entahlah abah, ada masanya boleh aje Izan bertenang. Tak kiralah apa juga yang orang buat, Izan boleh balas dengan senyum. Kalau tiba masa nak marah, Izan marah sehabis marah. Tak boleh nak kawal.

Abah : Ada saki baki kekotoran dalam hati. Didik hati untuk tenang selalu, kena konsisten. Tak boleh sekejap tenang, sekejap lagi marah. Rosak kalau terus macam tu.

Aku : Mungkin Izan lebih banyak simpan rasa marah, jadi bila ada benda salah sikit saja boleh melenting. Melenting sorang, masa tak ada orang dalam kereta ni.

Abah : Itu yang bahaya. Kau pun tahu, bukan? Kisah rasulullah Muhammad sallallahu alaihi wasallam,? Hati baginda dicuci para malaikat sehingga bersih. Manusia macam kita ada cara membersihkan hati, tapi bukanlah dengan cara tadi tu. Baginda istimewa.

Aku : Iya abah, kena selalu berzikir dan biar di hujung lidah basah dengan nama-nama Allah. Tapi, ada masanya zikir-zikir itu tak menjadi abah. Sedang Izan berzikir waktu memandu, terjentik juga rasa amarah. Mulut berzikir, kaki tetap tekan pedal dan kejar balik orang yang buat kacau.

Abah : Kalau nak berzikir pun, harus pandai pilih zikir apa? Kalau mulut menzikirkan yang membangkitkan semangat, itu yang buat hati nak berperang sahaja.

Aku : Oh ya, lain kali Izan buat. Ingat tak, pernah abah pesan kalau marah lebih elok detik dalam hati. Selain  elak bergaduh, orang yang tengah berlawan dengan kita pun akan senyap. Tapi abah, ada yang kata perbuatan itu untuk orang pengecut dan hipokrit. Kalau berani, cakap depan-depan. Izan bukan pengecut atau hipokrit!

Abah : Dah abah katakan awal tadi, bukan? Jangan berani tapi bodoh. Apa kau fikir, orang-orang bergerak dalam kumpulan ini berani kalau berseorangan? Bila ramai, bolehlah berlawan dan buli yang lemah. Cuba kalau seorang diri. Melainkan dia memang berilmu dan menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah.

Aku : Sebenarnya, apa yang abah pesan Izan selalu buat dan alhamdulillah, sama ada pihak lawan diam atau angkat kaki. Izan pun malas dah nak bergaduh dengan orang-orang jiwa kosong. Silap haribulan, hati Izan pun jadi hampas.

Abah : Banyak lagi kau kena belajar. Ilmu Allah itu luas, takkan pernah habis. Jadi, baiklah kau mula belajar. Belajar mendidik hati. Kalau betul cara kau mendidik hati, dia boleh bantu kau lebih dari kepala berfikir.

Aku : Faham. Detik hati selalunya benar. Ada masanya, banyak perkara yang naluri Izan berkata itu benar tapi selalu sangat diabaikan. Kadang-kadang, menyesal juga tak mendengar detik hati.

Abah :  Itulah abah cakap, kau dah ada asas. Perlu belajar didik hati.

* bukan selalu aku berpeluang berbicara dengan abah kerana ada sahaja rintangannya. Tapi, bila-bila saja ada peluang, aku tak lepaskan peluang. Abah pun pernah berkata, tidak mahu melihat anak-anaknya bijak pandai tetapi kosong jiwanya. Insya-allah, aku akan terus mencuri ilmu selagi diberikan peluang. Oh, di atas tadi sekadar permukaan kerana isinya, biarlah aku sahaja yang tahu. Ingat, hidup perlu berilmu. Bukan semata-mata belajar dari buku, tetapi haruslah berguru agar jangan sampai tersesat tanpa dipandu.