Potret Famili...Syawal 1434

Memang sudah terlewat untuk mengemaskini blog dengan memuatnaik gambar-gambar atau peristiwa yang berlaku di sepanjang Syawal yang lalu, tetapi ia bukanlah satu masalah yang besar. Satunya kerana, tiada pantauan pun yang dibuat atau ruang ini bukan dibeli oleh mana-mana pihak untuk membacanya saban hari, betul tak? Lainlah kalau blog ini ruang berbayar, jadi seharusnya aku membekalkan entri terbaru, mengikut tarikh terkini. Ya, aku tahu itu.

Bukan aku sengaja untuk melewat-lewatkan tetapi ada perkara lain yang harus diselesaikan. Tambahan pula, baru sahaja dua hari lepas berhadapan dengan masalah cubaan menggodam salah satu dari akaun laman sosial milik aku. Peliknya, kenapa akaun milik aku yang mahu digodam? Aku bukan sesiapa dan semestinya tidak pernah teringin pun hendak mencari publisiti dan terkenal dalam sekelip mata. 

Bayangkan kalau si penggodam berjaya menggodam akaun aku; kalau dibuatnya entah apa-apa yang dikemaskini di situ, nama aku juga yang terpalit sama ada baik mahupun buruk! Oh tidak, aku tak perlukan semua itu dan sangat selesa dengan apa juga keadaan sekarang ini. Kepada si penggodam, tolonglah godam akaun selebriti atau sesiapa sahaja tetapi bukan akaun milik aku. Terima kasih...

Syawal tahun ini adalah salah satu Syawal paling indah. Satu; inilah kali pertama sejak beberapa tahun lalu seluruh ahli keluarga berkumpul. Keduanya; kehadiran ahli-ahli baru (dua orang kesemuanya walaupun pada perancangan awal sepatutnya tiga; manusia merancang dan Allah yang menentukan). Ketiganya pula, kami sekeluarga menghabiskan cuti Aidilfitri dengan berlibur di Bukit Merah Lake Town Resort. Tentang percutian itu, akan aku kongsikan dalam entri yang lain. Kenapa? Panjang ceritanya! Hahaha...

Dimulakan kira-kira sejak lebih sepuluh tahun, sesi fotografi setiap aidilfitri sudah menjadi satu acara wajib untuk keluarga Zahar. Tidak kiralah bila waktu ianya diambil; sama ada satu syawal, seminggu syawal atau sebelum Syawal berganjak yang penting mesti ada satu! Tradisi ini diteruskan lagi, kali ini lebih meriah. Selesai sahaja solat sunat Aidilfitri dan menjamu makan pagi bersama-sama, berhimpunlah kami sekeluarga. Satu lagi tradisi yang telah diamalkan sejak arwah wan (Halimah) masih hidup dahulu. 

Berkat kemenangan syawal dan kesuciannya, sesi bermaafan-maafan inilah yang menggugurkan segala ego dan hanya haruman kasih sayang memenuhi segenap ruang. Kalau boleh, biarlah Syawal ini berterusan sampai bila-bila. 

Selesai sesi bermaaf-maafan, masing-masing bersedia mengemas barang ke dalam kereta untuk meninggalkan sementara mahligai tercinta dan mudik ke Perak. Seperti yang dikatakan tadi, destinasi kali ini di Bukit Merah tetapi Along dan keluarganya pulang ke Kampung di Taiping. Ya, perancangan bijak Along. Kami pun tidaklah berpisah di hari raya, malah dapat beristirehat lagi! Wah wah wah, perancangan yang sangat bijak mengalahkan agen OSO!

Sebelum meneruskan perjalanan ke Perak, kami sekeluarga singgah di Bandar Country Home untuk melaksanakan tanggungjawab dan tradisi keluarga; sesi fotografi untuk mengabadikan potret famili Syawal kali ini. Disebabkan kesuntukan masa, Oscar menjadi pilihan terakhir kerana lazimnya Mann's Photo House di Bandar Baru Selayang saban tahun. Mungkin, bukan kerana faktor masa sebaliknya ada isu tentang potret famili terakhir yang diambil di sana. Kualitinya tidak menepati kebiasaan. Jadi, Oscar diberikan peluang untuk menyerlah. Ewah!

Kebetulan sewaktu tiba di Oscar, masih ramai yang berkunjungan dan menziarahi ahli keluarga masing-masing yang telah menetap di tanah perkuburan berhampiran. Namun begitu, kami terpaksa menunggu giliran yang agak panjang apabila sudah ramai yang datang lebih awal untuk merakamkan gambar bersama keluarga tercinta. Ah, seronoknya.

Apabila tiba pula giliran keluarga kami, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Maklumlah, dengan kehadiran anak-anak kecil yang punya kerenah tersendiri. Ambil masa yang agak lama juga, terutamanya untuk menarik perhatian Miqhail ke lensa kamera, memujuk Mierza yang cepat tersentuh dan menenangkan Aqasha yang tidak boleh berenggang dengan Baba dan Bondanya. Tampil tenang hanyalah Mysarah seorang, si bunga yang garang tapi sentiasa bersedia dirakam. Setelah beberapa kali percubaan, akhirnya berjaya juga si jurugambar merakam gambar kami sefamili.

Jadi, tidak perlulah aku bercerita panjang (eh, bukan dah panjang ke?) Inilah hasil dari sesi fotografi Aidilfitri 2013. Mungkin, hanya ada satu sahaja rungutan kepada pihak Oscar; tidak perlulah ditambah solekan ke wajah kami dan menghilangkan garis-garis tua. Potret famili ini untuk kami hayati sepanjang zaman, lebih bermakna jika ia dibiarkan asli seperti asal tanpa perlu dipercantikan!

Potret Famili Syawal 1434...terpampang di dinding rumah!

Gambar ini tak terpilih sebab, butang baju seseorang terbuka... hehehe
Miqhail, dalam agendanya merosakkan gambar...

Dah comel masing-masing, tapi Mierza... aduhai!
Ini pun dah kira ok, cuma muka masing-masing garang sangat kecuali Mysarah!
* wajah umi tampak seperti Delimawati (Hantu Kak Limah Balik Rumah) walhal yang sebenarnya, dia langsung tidak kelihatan seperti kak Limah. Kami dua beradik (Along dan aku), tidak mengenakan sebarang solekan tapi yang pastinya, bulu mata aku memang lentik. Kening aje yang tak tebal. Itu semua hasil kerja kreatif pihak OSCAR. Harap maklum.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku