Harga RON95 NAIK...

Ahad lepas, waktu aku ingin mengisi minyak di Petronas sekitar 10:45 malam setelah seharian berkampung dalam kereta pulang dari Teluk Danga Johor, sejumlah 8 pam untuk RON95 telah ditutup kerana kehabisan stok. Yang dibuka hanya satu pam; diesel dan RON97. Nak tak nak, aku terpaksa mengisi tangki Lolly yang dua hari kekeringan sebab direhatkan sepanjang kami sekeluarga ke Johor Bharu ber'rumba'! Oh ya, kisah rumba-rumba tu akan diisi kemudian. Kenapa? Tak ada cukup masa memilih dan edit gambar-gambar yang sangat indah. He he he...


Barisan pengguna yang ingin membayar di kaunter memanjang dan aku tertangkap sepotong ayat salah seorang penunggang motosikal.

A : Baru kejap tadi aku tengok semua pam kosong, takde pun kon tu! Takkan sekelip mata boleh habis?

B : Harga minyak nak naik kot...

Perkara yang sama aku tanya pada abah tapi, tak pula kami mendengar desas-desus tentang harga petrol bakal naik. Petang Isnin, aku ceritakan pada Ayshah, teman sejiwa. Dia pun tak cakap apa-apa tentang harga petrol nak naik. Cuma katanya, mungkin benar-benar stesen minyak tu dah kehabisan stok. Jawapan dari Ayshah sekaligus meyakinkan bahawa, aku masih belum ketinggalan apa-apa berita penting di Malaysia. Namun semuanya berubah apabila abang Zamri balik dan...

Zamri : Petrol semua habis kat stesen Petronas...orang pula ramai nak isi minyak sebab esok harga naik.

Umi : Hmm, betullah Izan umi jangkakan semalam. Stesen tu tutup pam awal sebab harga minyak nak naik. 

Aku: Naik??? 

Zamri : 20 sen...

Entah kenapa, aku yang sepatutnya keluar mengisi minyak malam itu enggan berbuat demikian. Walaupun tangki Lolly hanya ada sedikit petrol yang berbaki. Malas nak fikirkan keadaan di stesen minyak. Lebih baik aku isi, pagi esok. Aman dan memang dah tentu harga naik pun!

Pagi Selasa, sesak teruk sebaik Lolly tiba di persimpangan hospital Sg Buloh. Tiba seawal pukul 8.00 pagi, melarat hingga 8:30 bertemankan aras petrol yang nazak. Alhamdulillah, sempat tiba di stesen Petron. Sengaja aku isi RM30 untuk melihat, banyak mana yang terisi dalam tangki. RM30 = 14.85 liter. Setengah pun tak sampai. Haih, apa boleh buat. Senyum tak perlu kata apa-apa. Malam itu, setibanya Along yang baru pulang dari pejabatnya di Kota Damansara...

Along: Harga nasi lemak dah naik, nasi makin sikit.

Aku: Aku tunggu harga tol, gula, ikan, ayam naik...

Along: Tapi, rakyat dapat lebih duit untuk BR1M nanti.

Aku: Petrol semua orang guna, BR1M tu semua dapat?

Abah: Izan, jangan cakap ikut emosi sebab takkan ubah apa-apa. Dah tanggungjawab kita, ikutlah apa yang kerajaan buat. Yang penting, akhirat nanti. Menjawablah...

Aku dan Along : ...

* sebagai anak yang baik, aku akur pesan abah. Naiklah berapa banyak pun, waima RM20 seliter pun kami tidak akan persoalkan. Minyak, tol, makanan dan apa juga yang perlu dinaikkan. Kami akan berusaha lebih baik menderma untuk ekonomi dan langsaikan bebanan hutang kerajaan Malaysia. Itu tanggungjawab setiap warga Malaysia yang nak duduk lama di Malaysia. Malaysia Aman!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku