Wira & Wirawati FB vs Waris Kiram

Siapakah yang layak memerintahmu... Sabah?
Mungkin ramai yang bertanya, kenapa aku tidak sedikitpun menyentuh hal pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu, Sabah. Pasti juga ada yang menganggap, isu pencerobohan itu tidaklah besar dan penting untuk aku khususkan satu entri berbicara tentang kebiadapan Kesultanan Sulu kerana kedudukan Sabah itu terlalu jauh dan terpisah dari semenanjung.

Dey, kau salah!!!
Saat terdengar tentang kewujudan 'entiti' yang tidak diingini di Lahad Datu ini lagi, aku sudah mula meluahkan rasa tidak puashati dan bimbang (FB & Twitter). Malah, apabila mereka berani mencabul kedaulatan negara merdeka seperti Malaysia, membuatkan aku bertanya; "di manakah silapnya?"

Tidak kurang juga, aku terbaca bermacam-macam tweet dan status berhubung kes pencerobohan Lahad Datu ini. Kalau diikutkan, ramai betul wira dan wirawati yang berani turun berperang sekiranya terpilih ke sana. Bagus. Itu salah satu amalan yang sangat dituntut. Bukan hanya untuk mempertahankan negara malah demi agama. Benar bukan? (Bukan sekadar untuk menunjuk kekuatan seperti dilabelkan Hak Asasi Manusia Dunia sekarang)

Semenjak peristiwa 1 Mac lalu, di mana menyaksikan 2 anggota keselamatan (wira negara) terkorban, sehinggalah ke hari ini, keadaan masih belum reda. Pasti ada sahaja berita dan makluman terbaru yang dikongsi bersama. Memang ini satu lagi amalan yang bagus. Tetapi, ia menjadi satu kecelaruan yang berpanjangan apabila ia turut diselitkan dengan khabar angin. Malah, ada antaranya yang menyelitkan informasi salah, terutama sekali berhubung sejarah.

Pertama sekali, aku tidak pernah menafikan kewujudan Kesultanan Sulu. Tidak. Cuma aku tidak bersetuju dengan kewujudan waris yang entah dari mana, datang menuntut hak (tanah nenek moyang) mereka. Bersenjatakan, "Kedaulatan Kesultanan Sulu", golongan yang pada awalnya tidak mendapat sokongan dari Filipina (sekarang sudah berubah hala! Wah, syabas Inspector sahab!) segera mencuri perhatian dunia. Nama yang melonjak dan menghantui setiap penghuni tanah berdaulat Malaysia; Sultan Jamalul Kiram III.  

Sultan Jamalul Kiram III
Segala waris yang berhubungan dengan nama Kiram segera menjadi tumpuan lensa dunia. Sama ada dia (tak sesuai digelar sebagai beliau kerana ketuanan Kiram ini masih disangsikan) berhak untuk menerima tumpuan sedemikian, itu terserah kepada media. Apabila media tunduk dan melutut atas kehendak bukan-bukan manusia Kiram ini, maka semakin mendabik dada dan menggunung cita-citanya untuk merampas tanah yang memang dinyatakan olehnya sebagai milik Kesultanan Sulu. Persoalannya..., 

Pak Kiram, kenapa sekarang? 
Kenapa bukan semasa terbentuknya Malaysia pada tahun 1963?
Kenapa bukan sewaktu ura-ura penubuhan Malaysia pada tahun 1961?
Kenapa takut menidakkan perjanjian antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British?

Menerusi perjanjian (difahamkan pernah dimeterai antara SBUB dan Kesultanan Sulu), Sabah diberikan kepada SBUB dan sebagai balasan, SBUB menyediakan bantuan pertahanan dan membayar sejumlah wang setiap tahun sehingga Sabah mengecapi kemerdekaan bersama Malaysia. Ya benar, bayaran 'sewa' itu masih berterusan sehingga sekarang. Itu memang tidak dinafikan.  

Namun, apa yang menjengkelkan, Pak Kiram beria-ia menuntut haknya sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu dan mahukan Sabah tanpa menggunakan saluran tepat. Haih, Kesultanan Sulu tidak ada barisan sokongan yang boleh menasihati tindakan kurang bijak si Sultan? Pelik, bukan? Apa, tiada golongan bijak pandaikah di Sulu sana?

Kalau dilihat pada rentetan sejarah, ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi tuntutan terhadap Sabah. Terdahulu, kerajaan Filipina pernah bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia gara-gara tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia yang turut menyertakan Sabah. Tuntutan pemimpin Moro, Nur Misuari ini dilihat lebih bijak kerana mahu menyelesaikan hal tuntutan ke atas Sabah ini menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Kenapa cara yang sama tidak mahu digunakan oleh Pak Kiram? Takut atau tidak sanggup menunggu lama? Haih, sabar-sabarlah sikit kalau iya pun nak sangat!

Nur Misuari
Terbaru yang aku dengar, Pak Kiram terus berdegil dan mengarahkan agar penyokong merangkap 'pahlawan' Sulu menentang barisan pertahanan Malaysia secara serangan gerila! Nampak tidak, permainan yang disusun Pak Kiram? Dia yang menggerakan tindakan, kekal selamat. Yang digerakan, menjadi bedilan dan mangsa pembunuhan.

Tidak, jangan salahkan mereka (pahlwan Sulu). Ini cara mereka berjihad. Kalau ada yang perlu disalahkan, Pak Kiram. Dia memainkan peranan, semakin terguris egonya, semakin kejam arahan dikeluarkan. Demi Sabah. Demi maruah Kesultanan Sulu?

Pak Kiram, demi nyawa penyokong yang mempercayaimu, cubalah lihat dan pilih cara lebih adil dan selamat!

Dunia hari ini dengan mudah melabelkan peperangan agama antara Kesultanan Sulu (Islam) dan Malaysia (Islam)! Lebih 'enak' didengar apabila Malaysia dituduh sebagai pembuli, seangkatan Amerika! Dan aku di rumah, terus 'berperang' sendirian, di depan monitor sambil melancarkan serangan pada papan kekunci; tidak kiralah sama ada komputer mahupun Blackberry usangku, meluahkan segala rasa yang ada. Tapi, sampai bila? 

Tidak cukup dengan keganasan dan kerakusan yang semakin terdesak mahukan Sabah, puteri Sulu pula menyerang dengan cara lebih emosional. Puteri Jacel Kiram melancarkan serangan dengan meraih simpati dunia. Setiap lensa menyuluh raut emosinya dan menetap selesa di Twitter sambil memperlekehkan Malaysia. Apabila dihujani tweet dari bangsa Malaysia, dengan bangga dia memperkatakan, Sabah tidak pernah bertuankan Malaysia dan mengejek rakyat supaya buka buku dan baca sejarah.

Amboih Jacel, siapa yang perlu telaah sejarah sekarang?
Kenapa tidak mahu merujuk Kerajaan British dan menidakan perjanjian tok-moyang anda?
Persoalan yang bermain-main di ruang fikiran ketika ini, tatkala waris Kiram beria-ia mahukan Sabah dan membentangkan pelbagai bukti serta menghimpun seberapa banyak sokongan, di sebelah pihak yang lain, Malaysia dan rakyatnya (termasuklah wira & wirawati FB, Twitter dan Blogger) terus mempertahankan Sabah agar terus kekal di peta dan termaktub dalam perlembagaan Malaysia, kenapa tidak ditanyakan sahaja kepada masyarakat Sabah;

Mahukah kalian diperintah Kesultanan Sulu atau...
kekal di bawah pemerintahan Malaysia? 

Kenapa tidak mahu menuntut Sabah menerusi perundangan antarabangsa?

Adil atau tidak persoalan aku itu?
Jikalau pungutan suara rakyat Sabah diambil kira, apakah Malaysia dan Kesultanan Sulu sanggup menghormati keputusannya? Di manakah pengakhirannya episod Kesultanan Sulu dan Malaysia ini? Adakah ia akan berlanjutan dan tiada kesudahan seperti perebutan Kashmir yang berlaku antara India dan Pakistan?

* Oh maaf ya, aku tidak selitkan isu tuduh menuduh yang giat berlangsung dalam kepimpinan tertinggi Malaysia (kerajaan mahupun pembangkang). Bagi aku, mempertahankan Sabah adalah lebih penting, dari terus leka dengan sandiwara tuduh menuduh yang tiada kesudahan. Pertahankan Malaysia menjadi keutamaan, bukan pertahankan jawatan!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku