Sepanjang perjalanan ini...

Jangan salah faham dengan tajuk entri kali ini, tidak ada kena mengena dengan lagu Zaiton Sameon. Jujurnya, aku sendiri buntu mahu memilih tajuk yang sesuai. Bukan apa, hari ini aku ingin berkisah panjang. Dalam tempoh aku menyepi diri, terlalu banyak perkara terjadi. Kalau diikutkan, memang mahu dikongsi. Bukan untuk berbangga diri, cuma mahu berbagi rasa. Lagipun, ada orang mengatakan, kegembiraan seharusnya dikongsi. Betul tak? 

Bagaimana pula dengan kesedihan? Hmm. Tak pernah dengar lagi tentang kesedihan yang harus dikongsi. Perlukah kesedihan dikongsi? Perlu. Tapi dikongsi dengan mereka yang dipercayai. Hah, mula mengutuklah tu! Kegembiraan dan kesedihan, apa juga rasa yang ada, perkara pertama dan penting sekali adalah dikongsi dengan si Pencipta, Allah Maha Esa.

Entri ini boleh dikatakan himpunan sekilas, kisah dan hari-hari yang berlalu dalam hidupku. Kalau berminat untuk baca, berbesar hati si penulis entri ini mengalu-alukan. Namun kalau tak berminat, sila maju ke halaman lain. Mudah bukan. Berhentilah mengutuk. Tak baik!

3 Dekad...
Menurut kalendar masihi, usiaku genap 3 dekad pada 29 Januari yang lalu. Alhamdulillah. Tak sangka, merasa juga hidup di usia ini. Mungkin 29 Januari sudah sinonim dengan aku. Namun, aku lebih suka apabila mengenangkan 14 Rabiulakhir sebagai hari kelahiranku. Buat pertama kalinya, tahun ini, aku raikan umi dan abah pada kedua-dua tarikh ini. Hmm. Kenapa aku raikan mereka? Logiknya, kerana merekalah aku berada di sini. 

Sebelum & Sesudah... ada persamaan tak?
Tanpa rahim umi, aku tidak dikendung dan berkongsi nafas serta segala-galanya selama 9 bulan (tapi dalam kes aku, 10 bulan. Ya, lewat sebulan). Tanpa abah, tiadalah pula aku menumpang dalam rahim umi. Jadi, siapa yang perlu diraikan? Aku atau mereka? 

Terima kasih umi, terima kasih abah...
Sepanjang 3 dekad ini, pelbagai pengalaman telah aku perolehi. Tidak kiralah yang pahit, manis, payau, masin, masam dan segala-galanya. Melampau kalau aku katakan, pengalaman hidup dalam 3 dekad ini terlalu hebat. Cuma apa yang pasti, setiap peristiwa dan dugaan membentuk keperibadian yang lebih baik dari aku yang dulu. Alhamdulillah. Hatiku semakin kebal. Tidak ada ruang untuk mengulangi kesalahan yang sama. Tiada juga peluang untuk menoleh kebelakang dan mengutip memori yang tersia. Yang berlaku, biarkan berlalu. Sesekali menoleh, hanya untuk lebih berhati-hati sekiranya peristiwa sama berulang. Matang sebelum usia atau matang pada usia, itu hanya aku yang layak menilainya. Bukan orang lain.


Sedekad...
You need skill and experience to drive!

Kata-kata ini terus mengekoriku setiap kali kaki di pedal dan tangan di stereng. Ya. Setiap kali aku memandu dan kata-kata ini akan berlagu. Ia datang dari salah seorang pakcik aku (wah, speaking London. Bila dah bijak orang lebih suka guna bahasa lain. Peranan bahasa Melayu digunakan di dapur sahaja) Bukan berdendam tetapi ia aku jadikan sebagai pembakar agar tidak melakukan kesalahan dan mengulangi tindakan kurang bijak pemandu Hawa. 

Muka yang tak mesra alam! Haih...
Bukan bersikap seksis, cuma aku muak dengan tohmahan dilemparkan kepada golongan pemandu wanita. Ketahuilah (atau memang kalian sedar cuma tidak mahu mengaku) hakikatnya, bukan semua pemandu wanita itu bahlol! Bukan semua pemandu lelaki itu hebat (sangat). Maaf, tidak berniat untuk menghukum tetapi, siapa yang menyusahkan polis, bomba dan ambulan setiap kali kemalangan berlaku kalau majoriti yang terlibat adalah pemandu lelaki?

Lesenku dirasmikan oleh Romi, cinta pertamaku!
Sebenarnya, tahun ini genaplah sepuluh tahun usia aku sebagai pemandu berlesen dan bertauliah! Aku masih ingat, dua tahun pertama pengalaman aku sebagai pemandu dengan Lesen P (Percubaan bukan Pakar). Segala-gala pergerakan dalam tempat duduk pemandu aku teliti habis-habisan (masih lagi). Bezanya, sejam sebelum pemanduan, segala isi perut bergoncang seakan mahu keluar. Sekarang, tidak lagi. Petik jari, aku bersedia ke mana sahaja. 


Tahun Ular
Makan besar bukanlah satu perkara baru untuk syarikat di mana tempat aku bekerja. Sudah empat tahun (bulan April tahun ini genaplah 4 tahun) bekerja sebagai editor di sini, tidak terkira berapa kali kami makan besar untuk meraikan perayaan besar di Malaysia. 

Macam biasalah, kami kembar bertiga lain bulan! Hahaha
Berbeza dengan tahun ini, kali pertama seumpamanya, aku merasa melakukan Yee Sang. Yee Sang merupakan salah satu adat kaum cina ketika makan besar sebelum meraikan kedatangan Tahun Baru. Seronok juga, apabila ramai-ramai menggaulkan pelbagai sayuran dan makanan di dalam satu hidangan sama. Bak kata Fion, teman sekerjaku; lebih tinggi makanan dikiraikan, semakin banyak untung.

Seronok juga gaul-gaul makanan ni!
Kalau menurut kalendar tahun cina, tahun ini merupakan giliran Ular. Ada yang kata, tahun ini akan lebih ramai bayi perempuan dilahirkan, perniagaan baru tidak digalakan diadakan pada tahun ini kerana ianya tidak sesuai dan akan mengundang kerugian. Adakah aku percaya? Itu tidak penting. Ia terserah kepada kepercayaan masing-masing. Apa yang pasti, aku menghormati setiap manusia dan kepercayaan mereka. Apabila aku sebut tentang hormat, tidak akan sama dengan percaya. Fahamkan itu ya!


Jalinan Mesra
Alhamdulillah, tahun ini genap juga usia aku sebagai penulis skrip selama 3 tahun. Dalam usia tiga tahun ini, bermacam-macam karenah manusia dalam industri aku temui. Sepertimana manusia lain, mereka ini ada yang baik dan ada juga yang pura-pura baik.

Nate King Cole Malaysia... I did it my way!!!
Sepanjang 3 tahun ini, banyak juga kertas cadangan yang telah dihantar ke pihak stesen tv. Lebih dari 10 naskah. Alhamdulillah, dua darinya sudah ditayangkan (Yang Terindah-RTM & Arah Lain Ke Syurga-RTM). Satu sudah mendapat kelulusan dan beberapa lagi menunggu tarikh dibincangkan. Aku sangat bertuah kerana dipertemukan dengan seorang penerbit dan pelakon (dahulunya aku minat) yang kini lebih aku anggap sebagai mentor; Shaharudin Thamby. Pelbagai ilmu yang aku belajar darinya tanpa sedar. Menerusi syarikatnya juga, skrip tulisanku tersenarai sebagai antara karya terbaik dan menerima intensif dari RTM. Seronok juga apabila berpeluang ditemukan dengan nama-nama besar dalam industri yang selama hari bermain di layar skrin dan aku lihat dari jauh khususnya kak Erma Fatima, Rosyam Noor dan ramai lagi. Ternyata "kegilaan penulis" yang diberikan oleh seorang pengkritik kepadaku menjana tenagaku untuk menghasilkan tulisan yang baik.

Blues Gang? Jauh lebih bagus dari AC Mizal...
Namun begitu, dalam kemanisan menjadi penulis skrip ini juga terselit kepahitan. Aku masih ingat (dan akan terus kekal dalam memori), di mana 4 kertas cadangan tele-movie dan bersiri diambil tetapi dibiarkan jadi pekasam; Namaku Kitut, Peristiwa Malam Raya, Ameera Sofea dan Kabur. Apa nasib kepada kertas cadangan ini, tidak aku ketahui tetapi sekiranya di satu hari nanti ditayangkan cerita yang serupa, aku tahu manusia yang bertanggungjawab di sebaliknya. Berdoalah agar perkara itu tidak akan terjadi. Keempat-empat tajuk ini terlalu hampir denganku terutamanya; Peristiwa Malam Raya (diadaptasi dari cerpen sulungku, Peristiwa Malam).

* seronok juga apabila menyedari, tanggungjawab manusia itu bertambah dengan pertambahan usia. Sekarang, misi aku hanya satu dan tiada siapa lagi dibenarkan untuk datang antara aku dan misi itu!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku