Luluh Saat Dia Tersenyum...

My Jaan
Sepatutnya, entri ini sudah lama menetap di ruang blog Fantasi Itu Duniaku. Yalah, entri ini khusus untuk aku berkisah tentang dua kelahiran terindah, permata hati; Firzudeen Aqasha dan Mysarah. Sekaligus menambah bilangan anak buah aku; 4 orang (Miqhail dan Mierza).

Walaupun kelahiran antara keduanya berselang beberapa bulan, tetapi mereka tetap dipisahkan dengan tahun. Sekarang, kalau sesiapa melihat Qasha (Firzudeen Aqasha) dan Mysarah, ramai yang beranggapan mereka ini pasangan kembar! Qasha dilahirkan pada 27 November dan Mysarah pula pada 23 Januari.

Kisah disebalik kelahiran mereka berdua juga sangat menarik. Tidak seperti kelahiran Miqhail dan Mierza. Apa yang boleh aku katakan, Qasha adalah pejuang. Begitu juga Mysarah. Kisah kelahiran mereka ada persamaan; Ayuz (adikku dan bonda Qasha) berjuang selama dua hari di hospital menunggu detik kelahirannya. Manakala Along pula, bertarung nyawa selama hampir 3 hari untuk melahirkan Mysarah dengan selamat. Sesungguhnya, Ayuz dan Along adalah pejuang hebat. Aku? Hmm. Insya-allah, di suatu hari nanti.

Kalau nak diikutkan hati, ingin sahaja aku kongsikan kisah kelahiran Qasha dan Mysarah tetapi kerana menghormati pihak-pihak lain, cukuplah sekadar aku mengatakan, mereka adalah lambang keajaiban dan kebesaran allah subhanawataala yang terjadi di depan mata aku (terutamanya Qasha).

Sungguh besar kekuasaan Allah. Hanya Dia yang mampu menghidupkan dan mematikan seorang hamba-Nya. Semua yang berlaku di atas kehendak-Nya.

Maha besar Allah.
Maha besar Allah.
Maha besar Allah.

Sekarang, tiada alasan untuk aku berasa sunyi. Meriah rasanya apabila suara anak-anak tidak pernah putus menghiburkan setiap masa. Suara jerit pekik, kenakalan, tangisan, hilai tawa menjadi teman. Terkadang, aku turut menjadi sebahagian riuh rendah itu. Tambahan pula, semenjak Miqhail dan Mierza sudah pandai membuli aku. Ada masanya, disuruhnya aku menyanyi dan ada masa yang lain, diajak menari dan bergusti. Kalau ditanya, apa erti kebahagiaan untuk diriku ketika ini; jawapan yang ada hanyalah satu; dikelilingi anak-anak buahku dan sentiasa ditemani famili. Tulang belakang dan juga kekuatanku. 

Mungkin sedikit janggal kerana tidak seperti anak-anak buahku yang lain, Qasha tidak sentiasa berada bersama. Sangat janggal. Yalah. Aku sudah terbiasa melihat anak-anak buahku tumbuh membesar di depan mata, terasa janggal pula apabila berjauhan dengan Qasha yang hanya berkesempatan menghabiskan masa bersama-sama selang satu Jumaat. Saban minggu aku menanti Jumaat tiba. Bertambah ceria dan meriahlah rumah aku di Tasik Puteri. Dan setiap kali Qasha menetap di rumah, memang segala rindu dendam aku lepaskan. Kasihan juga melihat si Qasha terpaksa melayan aku. Ha ha ha.

Tidak kiralah Miqhail, Mierza, Qasha atau Mysarah, hati yang panas tak jadi membara tetapi luluh saat mereka tersenyum. Memang benarlah bagai dikata, anak-anak itu penghuni syurga. Putih, bersih dan suci. Terpulang kepada kita, bagaimana hendak mencoraknya.

* kalau Miqhail terpengaruh dengan kemabukan aku pada dunia Hindi, Mierza pula tersampuk dengan keseronokan aku menyanyikan lagu Carpenter, Mysarah pula, leka mendengar aku berlagu Shattered tapi Qasha? Aku cuma mampu membisikan sayang kerana tiada apa yang mampu aku bicarakan atau nyanyikan. Dia umpama bait-bait nada yang berlagu di depanku. Alahai, rindu!!!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku