Masalah untuk disuarakan atau masalah untuk bersuara?

Seharusnya, semalam aku sudah berpakat mahu menziarah seseorang yang baru sahaja selamat melahirkan cahaya mata sulungnya. Famili aku yang lain pula harus hadir ke sebuah majlis kenduri. Malangnya, semua aktiviti terpaksa dibatalkan dan sepanjang hari aku berteman kotak tv. Tidak! Bukan aku budak-budak yang mahu menghiburkan hati dengan menatap rancangan Oso, Handy Manny atau Timmy. Aku duduk di depan tv untuk mengetahui berita terkini, laporan paling sensasi. Sensasi?

Bersih. Apa itu bersih? Aku tonton satu stesen tv yang penuh sensasi. Menarik! Aku paling 'suka' ekpresi dan emosi wartawan di lokasi. Katanya, dia malu dengan tindakan golongan yang tidak bertanggungjawab. Malu? Hmmm.

Beberapa minit kemudian, ada lagi berita susulan. Ayat lebih kurang sama dan dia masih, terus malu dan kecewa dengan perhimpunan Bersih. Jujurnya, aku semakin keliru. Aku dapat SMS, bercerita tentang BERSIH.

"Cari informasi di internet!"

Aku pun bawa komputer riba ke ruang tamu, sambil menonton tv aku menaip BERSIH di ruang carian Google. Pandangan mata aku terus tertumpu pada satu nama. Satu tokoh dalam dunia kesusasteraan di Malaysia turut terlibat. Aku terus membaca setiap perincian yang tertera. Telinga aku masih lagi mendengar celoteh dari stesen tv yang terus 'malu' dan kecewa dengan Bersih.

Sesuatu berita yang disampaikan secara visual, tidak menarik jika tiada unsur sensasi. Betul tak? Jadi, stesen tv yang penuh sensasi ini tidak lupa melibatkan orang ramai. Menjadi penunggu di setiap jalan yang sesak. Sesak? Ehem, memanglah sesak kalau jalan ditutup. Kalau jalan dibuka, macam mana boleh sesak? Hmmm.

Macam-macam reaksi dipaparkan. Ya. Aku melihat. Melihat sebagai saksi. Aku bukan berpihak atau berdiri di mana-mana, melainkan duduk di depan tv sambil mencari informasi di internet. Terus mencari dan mendengar.

"Sudah 3 jam tersekat, nak pergi kenduri kahwin ni. Tak sempatlah nampak gayanya! Semua BERSIH punya pasal!"

"Mereka menyusahkan orang! Tak payahlah nak berhimpun. Jangan fikir diri sendiri saja!"

"BERSIH menyusahkan!"

Jujurnya, kalau aku di tempat mereka, tentu itu yang akan aku katakan tetapi aku tidak ada di tempat mereka, mahupun berdiri bersama-sama yang lain dalam perhimpunan BERSIH. Aku duduk di depan tv. Menikmati. Menjadi saksi. Saksi?

Mujurlah, awal-awal lagi aku dengar pengumuman yang mengatakan jalan-jalan di Kuala Lumpur akan ditutup. Aku juga tahu, bila sudah ditutup pasti akan sesak. Sesak di jalanraya, sesak juga untuk bernafas.

Aku masih teringat lagi, ketika belajar di Akademi Seni dahulu. Setiap kali menghampiri bulan kemerdekaan, seakan satu azab untuk sampai tepat pada waktunya untuk kuliah di bangunan yang terletak berhampiran Padang Merbok gara-gara jalan ditutup sempena latihan perbarisan Hari Kebangsaan. Semakin bertambah sesak, bila-bila ada upacara diadakan di Dataran Merdeka yang adakalanya menyebabkan banyak jalan ditutup. Oh, aku lupa. Itu perhimpunan yang dihalalkan. Kesesakan pun turut dihalalkan. Tidak sama dengan perhimpunan yang tidak diluluskan seperti BERSIH ini.

Mata aku masih lagi memandang skrin komputer riba sehinggalah aku terdengar laungan Allahu Akhbar. Aku terhenti. Aku memandang ke skrin tv pula. Lokasi yang berbeza. Masjid dan stesen KTM. Ramai benar saudara Islam di situ. Mereka duduk. Ada yang tua. Ada yang muda. Ada pelajar perempuan. Bertudung labuh. Duduk. Tidak berbuat apa-apa selain melaungkan Allahu Akhbar. Sekarang, aku cuba cantumkan dialog wartawan bertugas tadi dan visual yang ada di skrin.

Entahlah. Aku yang menonton jadi malu bila melihat golongan ini dihalau dan ditolak. Mungkin ini cara bijak untuk menyelesaikan masalah? Masalah dan suara, suara dan masalah. Masalah untuk disuarakan atau masalah untuk bersuara?

* Semua jari menuding ke satu arah. Perkara ini tidak akan terjadi sekiranya pihak pemimpin bijak mengatur strategi dan berdepan dengan golongan ini; rakyat. Bukan lari dan menyerahkan 100% tanggungjawab kepada pihak Polis. Bukankah itu polisi yang dipegang kepimpinan Malaysia; 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'? Atau adakah ini dikatakan sebagai, penakut takut ditakutkan dan menakutkan orang yang ditakuti?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku