Tuesday, July 19, 2011

AWAS! Ingatlah Orang Tersayang!

Mulanya, aku memang tidak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsikan bersama di sini hari ini. Tetapi, ada sesuatu yang aku rasakan agak penting untuk aku ceritakan. Aku tak pasti, mahu klasifikasikan kisah ini sebagai, lucu atau sedih. Apa yang pasti, aku cuma mahu menasihati. Nasihat yang bukan hanya untuk orang lain, tetapi peringatan untuk diri aku sendiri.

Seharian di pejabat, memang amat meletihkan. Ada yang kata, kerja di pejabat ini taklah seletih orang yang bekerja di luar dan aku bukannya nak berdebat, siapa paling letih atau siapa goyang kaki di sini. Dari zaman belajar lagi, aku dah pernah dilemparkan dengan benda-benda begini. Budak-budak penulisan, tak susah. Duduk dalam kuliah, dengar pensyarah membebel. Tugasan pun diselesaikan dengan duduk depan PC atau komputer riba. Tak pun, sumbat telinga dengan MP3, baring atas katil sambil buat tugasan. Memang betul. Aku tak nafikan pun, sebab sekarang ini pun aku tengah meniarap atas katil sambil ketuk papan komputer.

Mungkin di mata orang yang melihat, pekerjaan atau tugas seorang penulis atau yang berkaitan dengan berfikir ini sesuatu yang amat mudah. Seumpama, mengunyah gula-gula getah. Buka pembalut, tarik keluar dan kunyah sehingga habis rasa gulanya. Kemudian, keluarkan dan lekatkan kembali kepada kertas pembalut tadi dan buang. Senang, bukan?

Namun, tak ramai yang tahu. Dalam membuka pembalut gula-gula getah tadi memerlukan usaha dan daya pemikiran. Ya. Nampak remeh tapi sebenarnya banyak proses berlaku sepanjang makan gula-gula getah tadi. Samalah juga dengan tuduhan orang, yang mengatakan kerja penulis ini mudah. Siapa kata mudah? Siapa kata tidak letih?

Memang mudah untuk mengatakan, buruh memang bekerja kuat. Itu dari sudut tenaganya. Penulis?

Otaknya. Di ruang fikirnya. Berdepan dengan komputer bukan sesuatu yang mudah. Terpulang kepada aktiviti yang dilakukan. Kalau bersembang, memanglah tidak perlukan otak dan urat-uratnya pun tidaklah letih. Bersembang dan mengumpat di ruang sosial... memang sangat sial. Hahaha. Bukan niat nak menghina, tapi sangat kena iramanya. Sosial dan sial. Menarik permainannya di situ, tak begitu?

Okey. Aku dah melalut jauh. Apa yang mahu aku katakan di sini, tidak kisahlah apa juga pekerjaan yang dilakukan seseorang itu, kalau sudah namanya kerja maka, memanglah ada kudrat yang diperlukan. Apabila kudrat digunakan, zahirnya akan mengundang keletihan. Pada fizikal mahupun mental dan bagi seorang penulis, keletihan berlaku di medan otaknya.

Kembali kepada kisah yang mahu aku kongsikan. Sepulangnya aku dari pejabat dan sepertimana biasa, aku gunakan lebuhraya. Tidak seperti hari-hari yang lepas, jalan tidaklah sesak. Jadi, ada ruanglah untuk aku memandu kereta pada kelajuan biasa. Perlahan. Adakalanya, kelajuan yang sederhana perlahan ini, aku akan didatangi pelbagai idea. Jadi, perlu hati-hati kerana kalau ada peluang, aku akan rakam dalam telefon bimbit.

Malangnya, bukan idea yang aku dapat sebaliknya, perlakuan janggal seorang pembawa motosikal. Dia perlahankan kelajuan. Kemudian, dia memecut sambil berpusing memandang ke arah aku dan tersenyum. Aku cuma memerhatikan gerak-gerinya. Dia perlahankan kelajuan motornya semula dan membiarkan kereta yang aku pandu, sedikit ke depan. Tidak berapa lama kemudian, dia pecut dan memintas pintas aku semula. Sekali lagi dia senyum. Kali ini senyumannya meleret, membuatkan hati aku berkata,

"Apa motif?"

Aku tahu, orang itu tidak akan aku temui. Satunya, aku tidak kenal orang itu. Keduanya, adakah penting untuk aku tahu siapa orang itu?

Kalau aku berkesempatan atau berpeluang bertemu muka dengan dia, ada nasihat yang ingin aku sampaikan.

"Lebuhraya bukan tempat bergurau senda. Nasib baik tak banyak kenderaan. Kalau asyik senyum sampai tak nampak kenderaan lain, bukankah BERBAHAYA? Ingatlah orang tersayang!
"

Sebagaimana yang aku katakan di awal-awal tadi. Ini peringatan, bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri aku juga. Kadang-kadang, dek kerana terlalu asyik memandu sampai hilang fokus dan jika ini berlaku, peluang untuk terlibat dalam kemalangan sangatlah tinggi. Jadi, berhati-hatilah semua. Jangan jadi punca kepada kemalangan, dan jangan menebeng di setiap kemalangan. Ingatlah orang tersayang.


Anda bermakna untuk seseorang...jangan biarkan seseorang itu menangis!